Bill Gates Yang Unggul | Apakah kereta idaman anda ?

9 03 2007

Salam Sejahtera,

Posting hari ini mungkin lari sikit dari topik SMS. Saja beralih topik sedikit. Kalau anda masih ingat posting saya tahun lalu mengenai orang-orang kaya di dunia ? Apabila jutawan tidak lagi menjadi tahap pencapaian kekayaan yang tinggi, billionaire menduduki takhta baru.. Billionaire, atau pun biliowan (betul ke istilah ni ?) sudah menjadi suatu ukuran baru dalam menentukan tahap kejayaan dan kekayaan seseorang. Kalau jutawan ni mungkin sudah terlalu ramai atau nilai tersebut sudah terlalu rendah untuk zaman ini..

So cabaran untuk menjadi biliowan telah lama bermula… Cita-cita jutawan perlu di’upgrade’kan sekarang.. :)

Saya hampir hilang pengiraan terhadap Bill Gates dalam menduduki carta tertinggi dalam golongan elit ini. Tahun ke 13 berturut-turut! Asyik2 Bill Gates, tetapi itulah hakikat. Sungguhpun begitu, jurang perbezaan kekayaan Bill Gates semakin menipis. Warren Buffet cuma  beberapa billion sahaja di bawahnya. Mungkinkah Buffet akan ‘menaiki takhta’ tahun depan ?
Walau apa pun, Top 5 yang mengungguli carta bilionaire tetap muka yang sama, dan paling penting, jumlah kekayaan mereka juga turut meningkat. Semakin kaya! Senarai penuh orang terkaya di dunia boleh rujuk di sini.

Kereta idaman anda? 

Saya masih teringat ketika dulu, saya pernah ajukan soalan kepada adik saya yang 10 tahun lebih muda dari saya. ” Nanti Iman dah besar, Iman nak naik kereta apa?”

” Iman nak beli kereta zaman Iman lah…”

Heh.. Terkedu seketika. Ketika saya sudah membayangkan akan memiliki BMW, adik saya rupanya lebih advance. Lebih maju ke hadapan. Betul juga jawapannya.

Sekarang, saya lebih mengerti mengapa kita perlu beli kereta di zaman kita. Perlu diingat sekiranya anda ingin kaya, anda perlu melabur dalam aset. Dan kereta bukanlah aset hakiki. Harga kereta semakin hari semakin turun, semakin murah. Sekiranya dahulu lagi saya telah memiliki BMW, tentunya harga sudah turun. Erti kata lain, kekayaan saya sudah berkurangan.

Bijak juga adik saya. :) (Kerana itu adik saya lebih praktikal dalam memilih kerjaya bersama MAS sebagai jurutera dan memilih untuk mendapatkan sijil profesional berbanding dari mendapatkan ijazah yang belum menjanjikan pekerjaan!)

Anyway, dalam langkah sebelum kaya, pilih lah aset. Dalam pelbagai bentuk. Tanah, rumah dan sebagainya. Bila duit sudah mula bekerja untuk anda, memilih kereta ibarat memilih ikan di pasar !






Kertas Kerja Mantap - Perancangan Pemasaran II

7 03 2007

Salam Sejahtera,

Minggu lepas tiada catatan yang sempat saya coretkan untuk membuat kertas kerja yang mantap. Kali ini cuma saya ingin berkongsi mengenai perkara asas pertama dalam menjayakan perniagaan.

Biasanya orang kata, jual apa yang kita tahu. Tapi bagi saya, kejayaan sesuatu perniagaan adalah lebih bergantung kepada apa yang pelanggan mahu, walaupun kita tidak tahu (tetapi boleh buat rujukan), atau erti kata lain, DEMAND. Tanpa demand, kita sebenarnya merintis jalan perniagaan yang lebih sukar.

Demand ibarat gula. Dimana ada gula disitu ada semut. Di mana ada permintaan dari pelanggan, disitu lah ada usahawan.

Pilih Pelanggan Yang Betul

Seringkali kalau kita ingin memulakan perniagaan dengan membuat andaian siapa yang akan menjadi pelanggan kita. Sebenarnya lebih terperinci kita dapat mengenalpasti pelanggan kita, maka potensi untuk kita membuat jualan adalah lebih tinggi. Jangan meraba dalam gelap. Jangan syook sendiri. Sekiranya anda betul2 yakin bahawa perniagaan anda mempunyai prospek pelanggan, tunjukkan dalam kertas kerja anda.

Senaraikan prospek anda
Sekiranya betul-betul ada pelanggan, cuba anda senaraikan kategori pelanggan anda. Berapa ramai pelanggan anda? Pantang dalam kertas kerja, pelanggan anda adalah suatu ciptaan dari angan2 anda.

Buat analisa pemasaran
Bagaimana untuk membuat kajian yang sedalam mungkin mengenai pelanggan anda. Anda perlu buat kajian. Kajian sama ada melalui pembacaan, statistik, laporan atau pemerhatian. Atau sebarang kaedah lain yang anda yakin boleh memberikan anda maklumat.

Semakin banyak maklumat, semakin tepat analisa anda. Semakin hampir anda dengan pelanggan anda, semakin tinggi peluang melakukan jualan.

Analisa ini juga boleh dibuat melalui kajian demografi ( umur, tahap pendidikan etc). Ini akan mengecilkan skop pelanggan anda. Pelanggan anda akan menjadi lebih tertumpu.

Sebenarnya ini adalah langkah bijak sebelum memulakan perniagaan. Sekiranya anda rasa membuat analisa adalah membuang masa, maka anda salah. Lebih baik membuang masa dengan membuat analisa, dari membuang masa, tenaga dan wang ringgit apabila analisa anda tidak tepat atau tersalah pengiraan.






Memulakan Perniagaan SMS dalam 14 Hari - Siri #6

6 03 2007

Salam Sejahtera,

Wah!Wah! Sedar tak sedar, dah masuk siri ke enam. Banyak juga input yang saya terima. Terima kasih atas pandangan semua. Saya juga akan sentiasa melihat semula kandungan bersiri ini. Harap-harap saya boleh pendek kan hari untuk memulakan perniagaan SMS ini kepada 7 atau 10 hari. Kita saksikan nanti.

Mengenai revenue model saya masih belum buat keputusan. Bagaimana sistem ini akan boleh menghasilkan pendapatan akan saya dedahkan dihari terakhir siri ini.

So far, secara rasminya kita dah ada nama rasmi untuk projek ini. SMS Grup. Dan kita dah ada logo pun. Sekarang ni kita menantikan pula laman web untuk projek ini. Berikan saya beberapa hari untuk saya selesaikan beberapa perkara. Sebaik sahaja laman web tersebut siap, akan saya hebahkan untuk pandangan anda.

Hari #6 – Rehat sikit… Tenangkan Fikiran

Sudah masuk hari ke enam Oh ya! Berehat bukan bermakna tidak berfikir ya! Cuma bukan berfikir secara analitik tetapi lebih kepada kreatif.

Secara kreatifnya saya berfikir, agak2nya apa sebab prospek pelanggan saya memerlukan SMSGrup? Apakah kebaikan SMSGrup kepada mereka? Adakah SMSGrup dapat mengubah beberapa keadaan atau masalah yang dihadapi oleh prospek pelanggan sebelum ini? Saya cuma dapat memikirkan beberapa sebab mengapa mereka perlukan SMSGrup..

1. Notis Pembatalan
2. Notis Tergempar
3. Alert atau Reminder
4. Maklumat Perbincangan
5. Tips
6. Penghantaran Maklumat Berbayar

Adakah saya syok sendiri? Harap2 tidak. Cuma mungkin boleh diperincikan lagi kandungannya.

Kalau andalah adalah prospek pelanggan saya, agak-agaknya mengapa anda ingin menggunakan SMSGrup?






Broadcast Tanpa Caj Kepada Pelanggan

5 03 2007

Salam Sejahtera,

Minggu ini dan minggu hadapan saya akan kembali sibuk menyiapkan tugasan ’sekolah’. Time waits for no man, kalau tidak dibuat sekarang, kerja semakin banyak dan bertangguh. Sejak balik dari bercuti, masih belum dapat menyusun jadual untuk pertemuan dengan rakan-rakan usahawan yang lain. Hanya sempat berjumpa dengan FayZ untuk berbincang mengenai kerjasama dengan pihak TV9.

Anyway, coretan hari ini adalah cukup mudah dan sekadar mengingatkan sahaja.

Laporkan Spam SMS - MCMC
Saya terbaca satu berita di akhbar utama semalam. Mengenai laporan seorang warga emas yang menerima beberapa SMS sepanjang 6 bulan yang lepas dan setiap SMS yang diterima dicajkan RM0.50. Sepanjang 6 bulan tersebut, beliau terpaksa membayar sejumlah RM166 untuk perkhidmatan yang tidak diminta. Yang lebih melucukan apabila setiap SMS tersebut bertanyakan beliau sama ada ingin berkenalan dengan seorang gadis! Selepas itu, beliau menerima pula panggilan dari seseorang yang mengaku dirinya dari California dengan menyatakan bahawa dia akan membayar segala bil SMS yang dicaj tadi. Keadaan ini sangat mengelirukan beliau, padahal beliau tidak sesekali pernah melanggan perkhidmatan sedemikian.

Kes ini hampir sama dengan kes penipuan SMS yang lain, dimana mangsa yang menerima SMS yang dikatakan pemenang pertandingan kuiz Akademi Fantasi dikehendaki membayar sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Tetapi perkara yang paling mencurigakan saya, walau pun begitu, menurut Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia (MCMC), tiada sebarang aduan rasmi diterima mengenai perkara ini. Benarkah begitu ? TIADA LANGSUNG aduan dibuat?

Jadi ke manakah mangsa-mangsa penipuan ini mengadu nasib? Yang saya pernah dengar, laporan polis dibuat. Tetapi bagaimana dengan laporan rasmi dengan MCMC?

Tahukah anda, sekiranya anda membuat aduan rasmi kepada MCMC, mereka boleh menjalankan siasatan dengan mengenalpasti SMS tersebut dihantar oleh pihak mana bahkan MCMC boleh menyiasat sehingga boleh mengarahkan sesebuah perkhidmatan penyedia perkhidmatan SMS ditutup. Mungkin ramai tidak sedar perkara ini dan seperti kebiasaan dengan laporan polis, kita beranggapan sudah memadai.

Buatlah laporan rasmi kepada MCMC sekiranya anda adalah mangsa. Laporan boleh dibuat secara online di forum laman web MCMC.

Broadcast Tanpa Caj
Istilah broadcast adalah merujuk kepada hebahan maklumat kepada pengguna atau pelanggan. Seperti TV, radio dan email mempunyai ciri-ciri untuk membuat hebahan. Kebiasaannya orang yang menerima hebahan tidak dikenakan sebarang bayaran. Dalam pemasaran, SMS juga boleh digunakan sebagai alat hebahan. Cuma SMS mempunyai sedikit keistimewaan dan keunikan dalam hebahan. Dengan SMS kita mempunyai pilihan untuk mengenakan caj bagi setiap mesej yang diterima!

Inilah yang selalu dimanipulasikan oleh penyangak SMS. Sedangkan dalam etika pemasaran, sekiranya kita ingin menghantar maklumat, kitalah yang perlu menanggung kosnya dan bukannya penerima maklumat tersebut. Melainkan pelanggan bersetuju untuk dikenakan caj, barulah SMS Broadcast berbayar boleh dihantar kepada mereka.

Ingat! Sekiranya anda membuat hebahan, mungkin ada yang terasa terganggu. Mereka tidak ambil pusing, kerana hebahan SMS hanya sekadar iklan biasa. Tetapi sekiranya SMS tersebut dicajkan kepada mereka, saya pasti 99.999% pemerima SMS Broadcast tersebut akan melenting!

Hati-hati dengan aktiviti SMS Broadcasting. Mesej anda mungkin akan tergolong dalam SPAM SMS.

Harga Yang Sesuai - RM1000? RM500?
Sekiranya anda ingin mempunyai Sistem Undian SMS sendiri, atau mempunyai Sistem Tempahan SMS sendiri, berapakah caj yang anda sanggup bayar? RM1 ribu setahun? Atau RM500 setahun?

Kajian tidak rasmi yang saya buat saya dapati perkhidmatan ini dikenakan caj tahunan yang tinggi. Saya agak kecewa dengan kos permulaan yang agak tinggi yang dikenakan oleh sesetengah penyediakan perkhidmatan. Ini akan melambatkan proses pembudayaan pemasaran SMS itu sendiri. Sedangkan saya ingin memperkenalkan Sistem SMS Grup pun ada yang berpandangan RM100 setahun sudah terlalu mahal.

Saya sendiri tidak mempunyai jawapannya. Kalau saya katakan RM100, ramai yang berkata terlalu rendah harganya…

Apa pendapat anda? Haruskan Sistem ini diberikan PERCUMA?






Model Pemasaran SMS #6 - AFUNDI!!

4 03 2007

Salam Sejahtera,

Siri Model Pemasaran SMS dah masuk ke siri ke enam. Terima kasih kepada semua pembaca yang sentiasa memberikan komen dan juga pandangan. Saya sangat menghargainya.

Seperti yang pernah saya kongsikan dengan peserta seminar, saya menghadapi saat-saat yang sangat memeritkan dalam kempen pemasaran SMS. Usaha saya ini mungkin 90% gagal, saya cuba untuk mempopularkan kaedah ini di Malaysia. Nampak seolah-olah idea gila, tetapi saya percaya apa yang saya lakukan. Sekurang-kurangnya pemasaran dan perniagaan SMS akan terus berkembang di Malaysia dan boleh memecahkan dominasi syarikat-syarikat besar dalam menyediakan perkhidmatan SMS. Doakan saya berjaya. 10% kejayaan akan sentiasa menjadi apa yang saya percaya!

UNDI..UNDI…UNDI..UNDI

Hari ini saya cuma ingin berkongsi maklumat mengenai sistem pemasaran yang saya rasa ramai yang tahu dan faham bagaimana ia berfungsi. Bahkan rancangan televisyen pun selalu menyiarkan kaedah undian seperti ini yang menyebabkan sistem ini tidak asing lagi buat kita. SMS Voting membolehkan anda menganjurkan sebarang undian SMS anda sendiri. Andaikan anda menjadi penganjur undian Akademi Fantasia (AFUNDI). Ini membolehkan anda mengadakan pungutan suara dan pendapat dengan responden anda menghantar SMS sebagai kaedah undian.

Ini membolehkan anda membuat undian sendiri. Dengan SMS lebih ramai pengundi boleh menghantar undi mereka.

Contoh Aplikasi SMS Voting:
1. Undian Pertandingan Akademi Fantasia
2. Undian Pertandingan Malaysian Idol
3. Undian Pertandingan Mentor
4. Undian Pemilihan Presiden Kelab atau Persatuan
5. Pungutan Suara - Setuju atau Tidak?
6. Undian Pertandingan Wanita Tercantik Malaysia

Bagaimana SMS Voting Berfungsi?
Sebagai penganjur, anda akan diberikan ID unik yang khusus dan juga kod pendek 5 digit. Sebagai contoh, katakan ID anda adalah IDSAYA dan kod 5 digit anda adalah 38282, maka setiap undian akan dihantar dengan cara menaip

UNDI[jarak]UNDI[jarak]KodPilihan dan hantarkan SMS ke 38282

Pengundi pula akan menerima satu SMS secara automatik dari anda dengan menyatakan bahawa undian anda telah diterima.

Keputusan undian SMS akan diperolehi setelah masa undian tamat atau ditutup.

Saya tidak bercadang untuk menghuraikan panjang lebar mengenai Sistem undian SMS. Fenomena yang dah selalu sangat kita dengar.

Apa pendapat anda ?

p/s : Doakan Buku Pertama SMS di Malaysia selamat diterbitkan. Nantikan buku tersebut di pasaran!

p/s : Saya juga sedang mengubahsuai aplikasi SMS Grup. Terima kasih yang memberi pandangan untuk penambahbaikan sistem SMS tersebut.