5 Tips Menghasilkan Ebook Berkualiti

15 12 2009

Apa sebenarnya yang orang cari di internet ? Kenalan baru ? Duit ? Hiburan ? Berita ?

Setiap dari kita mempunyai tujuan yang berbeza apabila melayari internet. Boleh disimpulkan internet merupakan tempat kita mencari satu perkara yang penting iaitu MAKLUMAT. Bila dikaitkan dengan perniagaan diinternet, maka tidak hairanlah mengapa menjual ebook menjadi salah satu bentuk perniagaan yang popular.

Tanpa mendebatkan kredibiliti ebook itu sendiri, kita tidak boleh nafikan perniagaan ebook sebenarnya memang pelengkap kepada keperluan orang melayari internet. Bila kita mencari maklumat di internet, kita sanggup membayar untuk suatu maklumat yang kita rasakan sesuatu.

“Memang bijak orang yang menciptakan model perniagaan ebook. “

Sekarang pandangan peribadi, perniagaan ebook masih mempunyai tempat di Malaysia. Dahulunya ebook lebih cenderung untuk mendedahkan teknik-teknik membuat duit di internet, tetapi sekarang skop topiknya lebih meluas. Ebook kini telah melangkaui topik-topik yang lebih umum, bersifat inklusif dan tidak tertumpu kepada buat duit sahaja. Sekarang kita boleh perolehi pelbagai topik ebook seperti keibubapaan, menguruskan kewangan, mengurus perniagaan, meningkatkan kesihatan, kerjaya, motivasi dan pelbagai lagi. Dengan meluasnya pelbagai topik, maka lebih banyak topik ebook yang akan memasuki pasaran.

5 Tip Menghasilkan Ebook Yang Berkualiti

1. Tulis mengenai bidang yang anda tahu, berkemahiran, berpengalaman. Bagi Azizi Ali dalam bukunya menyatakan bahawa 3 topik yang paling mendapat perhatian adalah topik mengenai perniagaan dan keusahawanan, ’self-help’ dan juga hobi. Tetapi banyak lagi topik-topik yang belum diteroka dan dihasilkan.

2. Memilih topik seperti keibubapaan dan kesihatan merupakan topik yang evergreen. Tahun berganti, tetapi maklumat seperti ini sentiasa boleh dibaca pada bila-bila zaman sekalipun. Ebook Buat Duit Dengan SMS yang saya tulis sekitar tahun 2006, bukanlah contoh topik evergreen yang baik kerana terdapat kebergantungan kepada teknologi. Tetapi ketika saya menulis topik tersebut, saya mengikuti tip nombor 1 di atas. :D

3. Sekiranya ingin menulis dalam Bahasa Malaysia, gunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Secara ringkasnya BMT merupakan bahasa Malaysia yang menggunakan tatabahasa dan struktur ayat yang baik dan betul. Dalam satu artikel yang saya baca dari tulisan Puan Ainon yang juga pengerusi syarikat penerbit buku PTS, saya boleh simpulkan bahawa penggunaan BMT dapat mengekalkan kandungan ebook tersebut untuk dibaca oleh generasi akan datang. Sebagai contoh, penggunaan kata ’saya’, ‘awak’ dan ‘kami’ diterima oleh pelbagai generasi berbanding dengan kata ‘lu’, ‘gua’ dan ‘we all’.

4. Jika menulis topik yang umum (bukan topik buat duit), prospek pembeli akan melihat siapakah individu yang menulis ebook tersebut. Prospek ingin melihat adalah penulis ebook tersebut ‘cakap serupa bikin’. Jika anda menulis mengenai topik keibubapaan, adakah anda seorang ibu/bapa yang mempunyai pencapaian yang berbeza dari ibubapa yang lain ? Latarbelakang penulis merupakan aspek penilaian prospek sebelum membeli ebook. Penulisan ebook yang mengikut fokus topik atau niche juga membantu dalam jualan.

5. Ebook bukan bagi tujuan mengaut keuntungan semata-mata. Selain dari memperolehi rezeki yang halal dari jualan ebook, penulis berkongsi pengetahuan dan ilmu. Kandungan ebook yang baik dan berfaedah, menjanjikan potensi menghasilkan pendapatan yang mewah apabila menerbitkan ebook kedua. Dengan membina kredibiliti dan kandungan ebook yang dipercayai, rezeki penulis ebook akan lebih murah apabila menghasilkan ebook kedua pula. Bak kata pepatah, ‘Budi yang baik dikenang jua..”

Mungkin pandangan saya berbeza, tetapi saya membuat kesimpulan, ebook merupakan pelengkap kepada industri buku dan bukan pesaing. Walaupun proses, perundangan dan operasinya boleh memerlukan perbincangan lanjut, penerbit buku yang bijak sahaja boleh melihat potensi ini.

p/s : Ketika di universiti, teknologi maklumat merupakan bidang saya. Ketika itu, tidak dapat saya buat ramalan bahawa sebegini hebat penangan maklumat di internet. Bapa saya ketika itu pula tidak memahami apa-apa meramalkan yang saya akan hanya menjadi seorang kakitangan di Jabatan Penerangan!






Bagaimana Melayan Pelanggan Cerewet

9 12 2009

Pepatah menyebutkan bahawa pelanggan adalah raja. Tanpa mereka apalah erti perniagaan kita. Mereka perlu dilayan sebaiknya demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Realitinya, dalam memberikan layanan kelas A kepada pelanggan, akan ada pelanggan berkelas F. Lebih-lebih lagi pelanggan yang pantang kita lakukan kesilapan, melenting seolah-olah dia sahaja yang betul. Memang sebagai tuan punya perniagaan, ini adalah ujian kesabaran. Darah akan terasa naik ke muka, degup jantung menjadi semakin laju. Kalau sudah terlalu marah, nada suara mula bergetar dan tersekat-sekat, percakapan seolah-olah tidak kena dan terasa benar ingin menamatkan perbualan tersebut secepatnya.

Pelanggan macam inilah yang selalunya menimbulkan ketegangan. Dilayan makin menjadi, tidak dilayan lagi teruk jadinya.

Tips Mengawal Perbualan ‘Panas’ Pelanggan Cerewet

Apabila kita bertemu pelanggan sebegini, kita hanya perlu banyak bersabar dan menarik nafas panjang beberapa kali. Ini membantu mengawal tutur kata. Berkata bila perlu, lebih bersifat informatif dan memperlihatkan bantuan yang ingin dihulurkan kepada pelanggan.

1. Terima dan fahami perasaan pelanggan ketika itu. Mulakan ayat kemaafan seperti “Maaf Tuan. Kami juga tidak sangka perkara tersebut akan berlaku..” Pelanggan dalam keadaan yang marah dan tertekan, jangan kita bersifat defensif dan ayat seolah-olah tidak menerima teguran.

2. Biarkan pelanggan selesai bercakap walaupun seolah-olah tidak akan berhenti. Gunakan bahasa badan tanda anda fahami atau dengan menggunakan ayat-ayat pendek bersetuju seperti “Oh begitu..”, “Ehemmm.. “

3. Banyakkan mendengar kurangkan bercakap. Minta pandangan penyelesaian dari pelanggan. Pelanggan mungkin ada cadangan mengikut kemahuannya. Dengarkan dan pertimbangkan. Seolah-olah kita menganalisa cadangan pelanggan, kita akan kelihatan lebih terbuka dengan pelanggan. Pelanggan ketika ini mungkin akan sedikit sejuk dan nada amarah mereka mungkin sudah menurun.

4. Jika cadangan mereka tidak boleh dilaksanakan, berikan cadangan alternatif.

Ada syarikat makanan segera memberikan makanan lebih secara percuma sekiranya pesanan diterima lewat. Ini sebenarnya cara untuk mereka ‘menutupi’ mulut pelanggan yang tidak berpuas hati. Pelanggan yang mukanya tadi masam dan kelat terus berubah tersenyum lebar ke telinga bila dapat makanan percuma!

Beli pelanggan anda…