Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.






Tips Menulis Profil dan Deskripsi Peribadi

21 01 2010

Penampilan melalui foto di internet adalah penting kerana ia adalah cara pintas bagaimana orang mengenali diri anda. Sesuai dengan matlamat membina kenalan dan lingkungan rangkaian, semua orang sukakan penampilan yang menarik.

Perkara seterusnya yang dinilai adalah mengenai informasi diri. Cerita mengenai diri sendiri juga memberi tafsiran kepada orang lain. Ia boleh jadi dalam bentuk point atau dalam bentuk deskriptif yang menceritakan mengenai diri sendiri. Informasi tersebut juga selalunya bersifat positif, membina dan menyenangkan orang lain. Apabila dibaca, orang lain menjadi lebih selesa kerana memahami secara asasnya bagaimana diri seseorang.

Cuba anda senaraikan 8 perkara yang baik tentang diri anda dalam masa 16 saat.

Boleh ?

Ada diantara kita merasa kurang senang dan tidak selesa apabila bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri. Sangat susah untuk meluah rasa, kadang kala terpaksa berfikir sejenak “Apa yang baik dalam diri saya?”..

Tips Menulis Deskripsi Diri

1. Tidak ada yang salah atau betul dalam menulis deskripsi diri. Anda boleh tulis sesuka hati anda. Pertama kali menulis, jangan fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang diri anda.

2. Buat dalam masa sesingkat mungkin. 8 perkara positif dalam masa 16 saat. Apa yang terlintas dalam masa 16 saat, itulah diri anda yang sebenarnya.

3. Buat satu deskripsi ringkas, kemudian tinggalkan. Jangan lihat atau preview selama beberapa hari. Sekiranya anda ingin mengubah atau menyedapkan deskripsi lakukan selepas itu.

4. Berikan orang lain, rakan atau kenalan untuk membaca deskripsi tersebut. Tanya apa pandangan mereka, apa yang mereka boleh tafsirkan dengan deskripsi tersebut. Adakah sesuai dengan diri anda ?

5. Tuliskan perkara yang positif. Jangan menulis dekripsi yang berbau negatif, sedih, marah, tidak puas hati atau memberontak.

Saya sendiri menulis deksripsi diri banyak kali. Berkali-kali. Sehingga saya rasakan itulah deskripsi yang paling tetap dan sesuai yang benar-benar melambangkan diri saya. Ia mengambil masa kerana manusia memang sentiasa akan berubah dan nilai dalam diri turun berbeza.

Masa untuk melihat kembali dekripsi diri anda!






Tips Membaca Buku Supaya Tidak Lupa

11 01 2010

Saya baru sahaja mula menyelak laman pertama buku Robert Kiyosaki, apabila pembacaan saya terhenti seketika. Bersungguh-sungguh saya cuba mengingati apa yang telah saya baca dalam buku Think and Grow Rich, buku yang selesai dibaca minggu lalu. Penat otak saya cuma mengingati, tetapi tidak banyak poin yang saya dapat ingat kembali. Akhirnya saya selak semula buku tersebut takut-takut terlupa kandungannya.

Saya percaya anda juga pernah mengalami perkara yang sama. Masalah lupa atau merasa tidak cukup sentiasa ada dalam diri manusia.

Setelah habis dibaca, ada yang kecewa kerana kehidupan mereka tetap sama seperti dulu. “Aku dah baca 25 buku kekayaan dan kewangan peribadi, tapi aku tak kaya-kaya pun.. “

Terasa seperti tidak terberkas di hati, pelaburan membeli dan membaca buku dirasakan membazir, banyak masa telah dihabiskan untuk membaca. Lebih malang, bila penulis buku tersebut pula disalahkan kerana tidak dapat memberi hasil dan perubahan yang diharap-harapkan. Kerana kecewa lama-kelamaan terasa malas dan tidak bermotivasi untuk terus membaca.

Dan ia terhenti disitu. Berkuburlah impian untuk melakukan perubahan.

Pernahkah anda merasa pengalaman membaca seperti itu ?

Teringat pesan Opah,”Bila kita belajar semasa kecil ibarat menulis diatas batu..”. Memang lebih mudah mengingat apa yang dibaca ketika kecil kerana otak ketika itu seperti span yang menyerap air. Sehinggakan boleh menghafal baris demi baris dengan mudah. Tetapi bila semakin dewasa, daya ingatan juga akan menjadi semakin berkurangan. Bahan bacaan juga menjadi semakin terpilih.

Tips Membaca Buku Amali Supaya Tidak Lupa

1. Praktiskan ke semua langkah, dan lakukan sekarang! Kita mungkin menjadi lebih berpengetahuan selepas membaca buku tersebut, tetapi ia tidak dapat mengubah apa-apa pada diri jika tidak dilaksanakan. Rencanakan langkah yang perlu diambil seterusnya.

2.Cari kesamaan cerita dalam buku dengan cerita kehidupan kita. Bila kita rasa ada kesamaan cerita di dalam buku tersebut dengan kehidupan kita, maka lebih mudah kita mengingati kandungannya.

3. Jika dibaca, kita memperoleh pengetahuan. Tetapi bila kita amalkan, akan berlaku perubahan. Pengetahuan semata tidak menjamin perubahan.

4. Ulangi poin penting didalam buku. Buat catatan di tepi atau letakkan post-in stiker di halaman buku yang penting. Ini memudahkan kita mencari poin penting dalam buku sebagai rujukan.

5.  Membaca dengan niat untuk menuntut ilmu. Mulakan dengan Basmallah. Itu satu ibadah. Ibadah akan diberi ganjaran pahala. Sekurang-kurangnya pahala telah tersedia.

6. Catatkan kata-kata mutiara. Walaupun ini bukan intipati buku tetapi ia memberi inspirasi.

7. Beri ulasan mengenai buku tersebut. Ulas mengikut kefahaman dan letakkan ulasan anda sebagai nota dan kongsikan dengan rakan anda. Lihat apa pandangan mereka terhadap ulasan anda. Gunakan Facebook untuk berdiskusi.

Mungkin ilmu yang kita baca tidak dapat membantu secara hari ini. Tetapi bila kita kumpulkan ilmu tadi hari demi hari, ia akan mencipta satu gambaran keseluruhan mengenai topik yang kita baca. Ada yang menyatakan, untuk sesuatu perubahan itu berlaku ia memerlukan usaha selama 40 hari secara berterusan.

Cubalah!






Tips Mendaftar Perniagaan Menggunakan E-Lodgement

6 01 2010

Dahulu, untuk pendaftarkan perniagaan kita terpaksa pergi ke pejabat SSM, suatu aktiviti yang tidak saya gemari disebabkan terlalu ramai orang, beratur, bersesak dan mengambil masa. Tambahan pula pengalaman memandu yang terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas dan juga mencari parkir kenderaan sungguh menjerihkan.

Sekarang, syarikat dan perniagaan sekarang boleh didaftarkan dari rumah.Saya akui, saya rasa teruja dengan kelebihan yang ada pada E-Lodgement. Ia adalah perkhidmatan online yang disediakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memang penyelesaian terbaik kerana dapat menjimatkan masa dan urusan pendaftaran perniagaan hanya mengambil sekitar 30 minit hingga ke 1 jam sahaja hanya dari rumah.

E-Lodgement boleh dicapai melalui dua ‘laluan’ yang berbeza. Satu melalui laman web www.ssm.com.my (dan klik pada logo E-Lodgement) dan satu lagi melalui pautan di laman web www.malaysia.gov.my

Segala proses carian nama dilakukan secara online. Ada hanya perlu mengisi borang carian nama dan hantarkan secara online. Borang tersebut akan diproses dan status kelulusan nama akan diemailkan kepada anda. Sekiranya tidak lulus, anda boleh memohon sekali lagi melalui proses yang sama. Sekiranya lulus boleh terus untuk mendaftarkan perniagaan anda.

Gunakan nama yang telah diluluskan tadi, untuk mendaftarkan perniagaan pula. Ikuti langkah-langkah yang ditetapkan dengan mengisi borang dan memasukkan maklumat yang dikehendaki. Sesudah itu hantarkan borang tersebut.

Seterusnya, lakukan pembayaran. Ada beberapa kaedah pembayaran seperti kad kredit dan perbankan internet. Bayar mengikut caj yang dikehendaki.

Seterusnya, anda hanya perlu tunggu.

Apabila pendaftaran berjaya, email akan dikirimkan kepada anda yang mengandungi sijil pendaftaran perniagaan anda dalam format pdf. Apa anda perlu lakukan, cuma download borang tersebut dan cetak diatas kertas A4.

Selesai! Memang mudah dan pantas.

Fast Track Untuk Pendaftaran Yang Lancar : Tips Menggunakan E-Lodgement

1. Muat turun manual terlebih dahulu. Ia menjimatkan masa anda. Ketika mengisi borang pendaftaran, tidak terdapat huraian atau penerangan bagaimana mengisi borang. Oleh itu dengan adanya manual, anda menjadi lebih pasti mengenai maklumat yang diperlukan.

2. Untuk lebih mudah, mulakan proses pendaftaran melalui laman web www.malaysia.gov.my dan bukannya dari www.ssm.com.my. Ini kerana segala transaksi, status borang disimpan rekod disini. Jika di laman web SSM, rekod ini tidak disimpan.

3. Gunakan Internet Explorer. Sehingga artikel ini ditulis, penggunaan Mozilla atau pelayar web yang lain menyebabkan sesetengah borang tidak dipaparkan.

4. Lakukan urusan pendaftaran ketika waktu pejabat. Semua borang pendaftaran dan permohonan tidak diproses luar waktu pejabat.Memandangkan sistem ini menggunakan pelbagai laman web dan pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, jadi kemungkinan berlaku kelewatan sekiranya salah satu sistem tidak berfungsi atau jatuh pada hari cuti

5. Pendaftaran perniagaan hanya boleh beralamat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah sahaja. Alamat di Sabah dan Sarawak tidak diterima.

6. WAJIB daftarkan diri anda sebagai ahli portal www.malaysia.gov.my DAN SSM Subscriber Registration. Setelah sah kedua-duanya didaftarkan, barulah proses permohonan perniagaan boleh dilakukan. Keahlian portal akan diproses dan akan disahkan terlebih dahulu oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Tunggu email dari JPN untuk pengesahan pendaftaran keahlian. Kemudian barulah daftar SSM Subscriber.

7. Laman web www.malaysia.gov.my akan terlalu padat dengan informasi. Kita boleh ‘pening dan sesat’. Gunakan fungsi carian. Contohnya taipkan sahaja SSM Subscriber Registration dalam fungsi carian. Untuk melayari laman web satu persatu mungkin mengambil masa dan mungkin juga anda tidak temui maklumat yang anda cari!

Semoga tips diatas membantu anda. Selamat mendaftar!