Tips Mendaftar Perniagaan Menggunakan E-Lodgement
6 01 2010
Dahulu, untuk pendaftarkan perniagaan kita terpaksa pergi ke pejabat SSM, suatu aktiviti yang tidak saya gemari disebabkan terlalu ramai orang, beratur, bersesak dan mengambil masa. Tambahan pula pengalaman memandu yang terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas dan juga mencari parkir kenderaan sungguh menjerihkan.
Sekarang, syarikat dan perniagaan sekarang boleh didaftarkan dari rumah.Saya akui, saya rasa teruja dengan kelebihan yang ada pada E-Lodgement. Ia adalah perkhidmatan online yang disediakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memang penyelesaian terbaik kerana dapat menjimatkan masa dan urusan pendaftaran perniagaan hanya mengambil sekitar 30 minit hingga ke 1 jam sahaja hanya dari rumah.
E-Lodgement boleh dicapai melalui dua ‘laluan’ yang berbeza. Satu melalui laman web www.ssm.com.my (dan klik pada logo E-Lodgement) dan satu lagi melalui pautan di laman web www.malaysia.gov.my
Segala proses carian nama dilakukan secara online. Ada hanya perlu mengisi borang carian nama dan hantarkan secara online. Borang tersebut akan diproses dan status kelulusan nama akan diemailkan kepada anda. Sekiranya tidak lulus, anda boleh memohon sekali lagi melalui proses yang sama. Sekiranya lulus boleh terus untuk mendaftarkan perniagaan anda.
Gunakan nama yang telah diluluskan tadi, untuk mendaftarkan perniagaan pula. Ikuti langkah-langkah yang ditetapkan dengan mengisi borang dan memasukkan maklumat yang dikehendaki. Sesudah itu hantarkan borang tersebut.
Seterusnya, lakukan pembayaran. Ada beberapa kaedah pembayaran seperti kad kredit dan perbankan internet. Bayar mengikut caj yang dikehendaki.
Seterusnya, anda hanya perlu tunggu.
Apabila pendaftaran berjaya, email akan dikirimkan kepada anda yang mengandungi sijil pendaftaran perniagaan anda dalam format pdf. Apa anda perlu lakukan, cuma download borang tersebut dan cetak diatas kertas A4.
Selesai! Memang mudah dan pantas.
Fast Track Untuk Pendaftaran Yang Lancar : Tips Menggunakan E-Lodgement
1. Muat turun manual terlebih dahulu. Ia menjimatkan masa anda. Ketika mengisi borang pendaftaran, tidak terdapat huraian atau penerangan bagaimana mengisi borang. Oleh itu dengan adanya manual, anda menjadi lebih pasti mengenai maklumat yang diperlukan.
2. Untuk lebih mudah, mulakan proses pendaftaran melalui laman web www.malaysia.gov.my dan bukannya dari www.ssm.com.my. Ini kerana segala transaksi, status borang disimpan rekod disini. Jika di laman web SSM, rekod ini tidak disimpan.
3. Gunakan Internet Explorer. Sehingga artikel ini ditulis, penggunaan Mozilla atau pelayar web yang lain menyebabkan sesetengah borang tidak dipaparkan.
4. Lakukan urusan pendaftaran ketika waktu pejabat. Semua borang pendaftaran dan permohonan tidak diproses luar waktu pejabat.Memandangkan sistem ini menggunakan pelbagai laman web dan pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, jadi kemungkinan berlaku kelewatan sekiranya salah satu sistem tidak berfungsi atau jatuh pada hari cuti
5. Pendaftaran perniagaan hanya boleh beralamat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah sahaja. Alamat di Sabah dan Sarawak tidak diterima.
6. WAJIB daftarkan diri anda sebagai ahli portal www.malaysia.gov.my DAN SSM Subscriber Registration. Setelah sah kedua-duanya didaftarkan, barulah proses permohonan perniagaan boleh dilakukan. Keahlian portal akan diproses dan akan disahkan terlebih dahulu oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Tunggu email dari JPN untuk pengesahan pendaftaran keahlian. Kemudian barulah daftar SSM Subscriber.
7. Laman web www.malaysia.gov.my akan terlalu padat dengan informasi. Kita boleh ‘pening dan sesat’. Gunakan fungsi carian. Contohnya taipkan sahaja SSM Subscriber Registration dalam fungsi carian. Untuk melayari laman web satu persatu mungkin mengambil masa dan mungkin juga anda tidak temui maklumat yang anda cari!
Semoga tips diatas membantu anda. Selamat mendaftar!









Tips yang bagus .. aku pun ada niat nak bukak syarikat . terima kasih info dan panduan yang ringkas lagi padat
Bagaimana kalau saya sekarang tinggal di Sarawak(menyewa) dan daftarkan alamat perniagaan di Semenanjung Malaysia?
irwandahnil : Saya rasa tiada masalah untuk orang Sarawak atau Sabah mendaftar perniagaan di Semenanjung. Cuma perlukan alamat perniagaan di Semenanjung sahaja dan tidak dibenarkan meletakkan alamat Sabah / Sarawak sebagai cawangan. Cubalah dulu ya!
Terlupa satu lagi soalan…pendaftaran perniagaan boleh secara online?Pertanyaan saya melalui email kepada pihak SSM memberi jawapan untuk perkhidmatan online atau e-lodgement hanya untuk pendaftaran Syarikat sahaja iaitu Sdn Bhd/Bhd sahaja.Jadi pendaftaran Enterprise tidak boleh ke?Mungkin encik ada tips untuk saya….
irwandahnil : Saya pasti boleh untuk perniagaan! Kerana saya baru sahaja mendaftarkan perniagaan. Pendaftaran Syarikat juga boleh.
Tq…saya akan cuba seperti yang encik sarankan…
pendaftaran perniagaan boleh dilakukan online. Saya telah berjaya mendaftar perniagaan milikan tunggal secara online.
Tetapi, saya mehadapi masalah bembuka akaun bisnes dengan bank. Apabila saya kemukakan sijil perniagaan yang saya cetakkan pada kertas A4, pihak bank tidak menerima sijil itu. Menurut pihak RHB, saya perlu dapatkan salinan asal sijil perniagaan dari SSM. Ada sesiapa yang menghadapi masalah ini ? Bank mana yang boleh memerina Sijil Perniagaan yang dicetak pada kertas A4 ini.
irwandahnil : Akaun Maybank menerima salinan cetakan di kertas A4. Saya cadangkan kalau mengalami masalah yang sama, cuba jumpa dengan pegawai atasan bank. Biasanya ada cop mohor E-Lodgement di sijil bercetak tersebut untuk mengesahkan keaslian sijil.
Wah, just in time!
http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/7/20/nation/20100720140310&sec=nation
Salam, Tuan
Jika sekiranya saya ingin menjalankan perniagaan internet.bagaimana nak mendaftar ?
sebagai contoh saya ingin menjalankan perniagaan online ini dari rumah dgn URL http://www.tugasan.biz ( bukan URL sebenar).Yg mana saya mengambil upah membuat apa apa tugasan yg pelanggan inginkan.spt ” memotong rumput di halaman rumah ”
Jika saya mendaftar sebgai pemilik tunggal , adakah Nama pernigaan saya mesti diletakan sebagai “tugazan.biz ” atau ” tugasan enterprise” atau saya boleh namakan sebagai “Man Enterprise” atau http://www.tugasan.biz .
dan boleh kah guna alamat rumah sebagai alamat perniagaan ?
Mohon dapat tuan perjelaskan
Terima kasih
irwandahnil : Saya rasa tugasan.biz / enterprise boleh digunakan sekiranya perniagaan tersebut mencerminkan nama tersebut. Meletakkan singkatan nama seperti Man Enterprise mungkin tidak dibenarkan. Nama sendiri boleh jika bukan singkatan. Apa pun, ia tertakluk juga sama ada nama tersebut telah diambil atau belum. Alamat rumah juga boleh digunakan.