You are currently viewing

Aku tinggal tidak jauh dari pasaraya. Ia pasaraya yang tidak banyak pilihan tetapi memadai untuk keperluan harian pada harga rendah. Susu 2.2 liter 87 pence, beras sekilo 47 pence, roti buku 47 pence atau telur 15 biji £1.25.
.
Semua seperti teratur. Kaunter pembayaran jarang panjang walau pun pelanggan ramai. Apabila orang beratur panjang sedikit, satu kaunter baru akan dibuka, bila kurang pelanggan, kaunter tersebut ditutup. Sangat fleksibel.
.
Yang aku perhati pelanggan disini adalah orang tua yang cakapnya pun sudah terketar-ketar, pendengaran tidak berapa baik, suara perlahan, mata sudah kabur. Tapi masih datang membeli keperluan sendiri.
.
Cashier melayan pelanggan orang tua ini lain macam sikit. Bila membayar, dibiarkan orang tua itu perlahan-lahan angkat barang ke dalam plastik satu persatu. Memang perlahan tau. Laju sikit dari slow motion.
.
Selepas disebut jumlah wang perlu dibayar, cashier ulang berkali-kali. Sebab 1 pence masih bernilai disini, cashier biarkan sahaja orang tua tadi perlahan-lahan mencari duit syiling sehingga jumpa. Korek satu-satu.
.
Sehingga wang itu cukup, dengan tangan terketar duit itu diberi. Cashier tadi pula akan sebutkan baki wang tadi beserta resit kepada orang tua tadi sehingga selesai.
Take care! Mengucap selamat kepada orang tua tadi berlalu.
Ia situasi yang tenang. Pelanggan lain yang beratur dibelakang pun semua rilex. Sabar menunggu.
.
Jelas aku nampak bagaimana orang tua itu tetap dihormati. Tetap dilayan adil, diberi ruang masing-masing. Walau itu mungkin menyusahkan mereka. Tenang hati membeli belah.
.
Teringat aku seorang tua dulu terketar membayar di kaunter pasaraya acah murah di tanah air. Jelas riak muka sinis cashier seperti tidak sabar menunggu duit untuk membayar.
.
Orang beratur di belakang pula buat muka panjang sampai ke lutut. Ada yang buat gaya berkipas, tengok jam tangan berkali-kali. Semua mata dibelakang seolah ‘menolak-nolak’ orang tua itu supaya cepat selesai.
.
Memang tidak semua orang kita bersikap begitu, Masih belum hilang rasa ihsan dan simpati kita seluruhnya. Cuma ada kalanya, dalam masa kita tergesa-gesa mengejar hal dunia, ada hak orang yang kita nafikan secara tidak sengaja.
Kalau orang tua itu adalah ibu bapa kita apa rasanya ?
.
Kita tidak perlu berbuat apa-apa, cukup sekadar mendoakan orang itu itu selamat sampai ke rumah mereka. Bersabar sedikit. Itu sudah lebih dari cukup untuk mereka tidak menyusahkan sesiapa.

Satu hari kita akan tua juga. Jangan lupa. Itu pun kalau panjang usia.

Catatan Kembara
Irwan Dahnil
Al Fatihah Untuk Arwah Ayah
Glasgow, Scotland

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply