Belian Emosi, Badan Merana

Jam sudah menunjukkan jam 5.30 petang. Tidak sampai 2 jam masa berbuka. Ramai mula berpusu-pusu menyesakkan pasar Ramadhan ketika itu. Aroma makanan yang terbit dari seribu makanan cukup menggoncang nafsu. Kelihatan menyelerakan,  pembelian terus dilakukan. Pulang dari pasar Ramadhan terasa longlai. Sambil tangan penuh menjinjit makanan, terbit penyesalan kerana berbelanja sakan…

‘Aduhai nafsu… ‘

Mungkin ini pernah terjadi kepada anda atau pun kenalan. Sedar atau tidak, kita akan membeli makanan yang tidak sepatutnya di bulan Ramadhan. Desakan nafsu, akhirnya kita terbeli juga.

Ketika kecil, ibu saya sering berpesan supaya membawa duit ke pasar Ramadhan cukup-cukup sahaja. Jangan bawa lebih, jangan bawa dompet. Pesan ibu, kalau duit ditangan akan segera habis kalau tidak dijaga. Ketika kecil saya hanya membawa sekitar RM1 ke RM3 ke pasar Ramadhan. Bukan kerana kedekut, tetapi sebanyak itu sahaja yang ibu berikan.

Pesan ibu saya pegang. Sehingga kini berbelanja di pasar Ramadhan bila rasa teringin, cukup sekali seminggu. Tiada pembaziran.

Pengajaran #1

Manusia membeli disebabkan oleh emosi. Kecundangnya pancaindera dengan bau makanan yang sedap dan kelihatan menyelerakan. Padahal mungkin makanan itu tidak sesedap seperti aroma atau bentuknya.

Ini dipanggil emotional buying. Banyak contoh lain yang memainkan emosi pelanggan.

1. Cuba berjalan-jalan di megamall..Tidak hairanlah mengapa lagu raya sudah berkumandang walau belum mula berpuasa.

2. Lihat KFC. Ayam-ayam gorengnya digambarkan rangup, berasap, bersaiz besar dan menyelerakan.

3. Cookie Famous Amos. Dengan motto Free Smell, aroma cookie tersebut cukup lazat menarik perhatian untuk membeli.

Itu semua merupakan pendekatan supaya emosi kita boleh terusik. Mereka hanya memainkan pancaindera kita yang 5 untuk membuat jualan.

Jika anda berniaga, anda patut applykan juga teknik emosi ini. Lebih ‘cair’ pelanggan, lebih banyak jualan!

Pengajaran #2

Bila ke pasar Ramadhan, pastikan apa yang ingin dibeli dan peruntukkan wang yang khusus. Bulan Ramadhan memang syaitan diikat, tapi siapa yang nak mengikat nafsu kalau bukan diri sendiri.

Sudah hari ke 5 berpuasa, saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pembaca blog yang beragama Islam. Moga ibadat kita semua diterima Allah.

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply