Catatan Kembara #217 : Ziarah Orang Tua

Catatan Kembara #217 : Ziarah Orang Tua

Sebelum Ramadhan tempoh hari, sempat kami layan hari keluarga di taman.Penghujung musim bunga. Penutup majlis, aku makan nasi bungkus dengan seorang kawan di kerusi panjang.
.
“Kau tak balik raya tahun ni ?”, saja aku tanya.
.
“Tak kot. Kurang sesuai.”, dia jawap ringkas.
.
Aku pun faham. Balik beraya bukan mudah, sama ada cuti tidak panjang, atau duit poket tidak tebal mana. Flight UK-Malaysia sahaja sudah berapa. Lebih lagi kalau anak 5. Besar belanja.
.
Kawan ni cakap dia cukup risau tiap kali Ramadhan datang. Bila adik beradik balik ke kampung jumpa emak. Aku pelik dan tanya kenapa. Patutnya seronok beramai-ramai.
.
“Memanglah. Siapa tak gembira jumpa emak. Bapa aku pula dah tiada, memang emak tunggu lah anak cucu balik hilangkan sunyi. Meriah”. Nampak riak gembira di muka dia.
.
“Tapi, tiap kali aku balik, rumah emak semua elok. Semua tersusun. Bilik berkemas, cadar baru tukar. Bersih betul. Lepas tu makan semua sedap-sedap. Rindu woi masakan emak.”
.
Kawan berhenti makan. Capai botol, tegur air.
.
“Siapa yang kemas rumah macam tu? Selain emak, rumah itu bukan ada orang jaga sangat pun.”
.
“Mana dia dapat semua ikan, lauk pauk tu kalau dia tidak gagah diri ke pasar. Emak aku tu umur sikit lagi 70 tahun. Sudah tua-tua tu jinjit berat-berat macam itu. Mana larat. Aku bila ingat begitu, tidak tergamak susahkan dia.”, suara dia mula perlahan.
.
Alllahu. Aku terkedu.
.
“Bila semua selesai, semua anak bergegas mahu balik cepat. Esok kerjalah, anak meragamlah. Macam-macam alasan. Malas aku mahu cerita.” kawan diam disitu.
.
Aku pun diam sama.
.
Aku boleh bayangkan. Tinggallah emak kembali sorang. Tinggal dengan segala sampah dan sepah anak dan cucu tinggalkan. Wajah tadinya gembira mula hilang. Penat pun datang.
.
Baru aku faham kenapa kakak aku beriya mahu Ibu tinggal dengan dia. Dia tidak mahu ibu susah, kena uruskan rumah makan minum tiap kali anak-anak datang ziarah.
.
Kawan-kawan,
.
Itulah emak kita. Sampai tua pun masih mahu jaga makan minum anak dia, walau anak semua sudah beranak pinak. Mahu anak cucu selesa, mahu jamu makan sedap-sedap. Sesekali, tak susah pun katanya.
.
Sebenarnya memang susah untuk dia. Emak makin lama, makin tua. Kalau pun masih sihat, bukan makin kuat. Cuma kita ini kena lebih peduli.
.
Bila Ramadhan, Syawal atau bila masa sekali pun, kalau selamat janganlah beritahu emak kau mahu balik, nanti dia jadi susah. Kau balik senyap sahaja.
.
Sampai rumah boleh sahaja kita ringan tangan kemas rumah. Mana yang tidak kemas, kita tolong sama. Jangan bagi emak kemas tempat tidur kita. Sudah-sudahlah. Sejak kecil penat dia keringkan tilam kencing malam, tidak patut sampai tua, cadar pun dia yang pasangkan.
.
Kalau malas atau penat memasak, kau beli siap-siap makanan. Paling pun cuma masak nasi sahaja, buat air kopi panas-panas. Emak pantangnya anak berlapar.
.
Lepas makan, kemas meja. Bawa pinggan kotor dan basuh. Buang sisa makanan, pastikan juga semua periuk belanga dibasuh. Buang sampah siap-siap.
.
Belanga tu pun sebenarnya dipakai masa kau datang. Masa lain, kadang emak cukup dengan makan nasi, telur goreng dan kicap sahaja.
.
Cukuplah bebankan emak kita. Sudah masa untuk beri pula pada dia. Emak hanya mahu bahagia, Kita berilah gembira di hari tua mereka.
.
Betul orang kata betapa hebatnya mak. Boleh menjaga 10 anak, tapi anak yang ramai itu belum tentu boleh jaga.
.
Kadang-kadang emak tidak kata dia sayang kita, tapi kita tahu kasihnya sampai ke syurga. Doanya sepanjang masa masa, dari awal pagi sampai malam hari.
.
Doa kita pula pada emak macam mana? Duit boleh beribu, emak cuma satu.
.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Ramadhan tahun ketiga
Glasgow, Scotland
#lostinsekutland

Nota: Mahu share, silakan saja jika bermanfaat. Esok call ibu, mahu minta doa dan berkat.

Komen melalui Facebook

komentar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *