Catatan Kembara #229 : Begitu Ayah Mahu Bawa Anak Melihat Dunia

Catatan Kembara #229 : Begitu Ayah Mahu Bawa Anak Melihat Dunia

 

Sudah jadi kerja aku bawa tetamu datang jalan-jalan ke Scotland. Kali ini aku berbesar hati dapat bawa satu keluarga mencari salji di kawasan tanah tinggi.

Mereka berempat. Suami isteri pencen Dan dua anaknya. Gembira bukan main, gelaknya sampai ke hujung telinga.

Tiba di situ, hari pun sudah tengahari. Sebentar lagi boleh naik kereta kabel ke atas puncak.

“Kita tidak lunch dulu? Nanti di atas tiada kedai makan.”, tanya aku.

Mereka berpandangan. “Bolehlah. Nanti malas nak cari kedai.”, balas anaknya.

Kami berjalan masuk ke cafe cool disitu. Lebih kurang, order Fish and Chips 3 pinggan.

1 pinggan untuk aku.
1 pinggan untuk anak lelaki.
1 pinggan share anak perempuan dengan Aunty.

Cuma kopi kosong untuk bapanya.

“Uncle tak makan?”, saja aku tanya.

“Aku ni tak lalu sangat makanan orang putih. Nasi takde ke ?”, seloroh dia. Aku senyum saja. Layan makan, sambil sembang-sembang.

Kemudian anak dan isteri dia minta diri. Mahu ambil gambar disekitar katanya. Tinggal aku berdua dengan pakcik.

Aku tengok pakcik tu tarik dekatkan pinggan- pinggan. Dihimpunkan isi dua-dua pinggan dan perlahan tolak dengan sudu saki makanan disatukan.

Perlahan-lahan sisa makanan anak dia mula makan.

Haih! Tadi kata tak lapar, tiba-tiba macam ada saka dalam badan. Lepas bismillah, terus makan.

10 minit, licin pinggan. “Alhamdulillah. Rezeki tengahari ni dapat makan.” Dia lap mulut, capai cawan dan meneguk air perlahan.

Allahu. Aku hanya mampu tengok, tidak cakap apa-apa.

“Aku ni bukan lapar sangat.”, katanya. Sendawa kecil. Mata macam mula layu. Kenyang.

“Tapi aku memang tak boleh tengok makanan membazir macam ni. Kau bayangkan, sepinggan harga sudah £7. Sekitar RM35. Takkanlah nak biar begitu saja. Mahal tu. Nak makan senang.” Sesekali mata menjeling keluar cafe.

“Order makan, macam orang senang. Aku dah dekat umur 65 ini baru dapat duit nak tengok negara orang sikit. Mereka ni tak tahu, kita ini ikat perut nak bawa dia berjalan.Dia ingat duit ini petik dari pokok agaknya.”

“Kita ni tak pernah nak cakap kita susah,tapi kadang-kadang hati jadi geram.”

Huhu. Aku terdiam, tidak mampu membalas kata. Tapi buat aku sangat terasa. Mendalam.

Teringat aku masa aku Darjah 3, pernah Ibu belikan basikal baru. Punya aku desak-desak. Tapi mungkin hatinya retak beribu, selepas beberapa hari basikal itu hilang tidak bertemu. Jahat betul aku. Rasa malu, kisah itu aku sentiasa ingat, macam tidak pernah berlalu.

Itulah orang tua kita. Mereka sanggup beri apa sahaja.Walau pun tiada punya apa-apa.

Ada masa habis semua hartanya kita regas, tenaganya yang kita peras, bahagianya kita rampas. Hampir tiada apa lagi tinggal yang berbekas.

Kita pula selalu lupa, selalu terasa mereka seperti ‘kaya-raya’. Memang kalau kau kumpulkan segala harta di dunia, tidak dapat menggantikan jasa mereka.

Selain dari Tuhan, hidupnya hanya untuk anak-anak.

Yang sanggup berlapar hanya untuk anaknya kenyang.

Yang tidak boleh tidur malam, hanya sebab anak merengek kelaparan.

Yang hanya menangis di malam kelam, hanya untuk anaknya tersenyum riang di waktu siang.

Sampai masanya nanti, tiada apa yang dapat kita beri. Bila tubuh badannya sudah kaku, hanya untuk kembali ke bumi.

Doakan orang tua kita, kalau tidak sempat beri bahagia di dunia, panjatkan doa tiada penamat. Bekalkan doa dari anak buat mereka di akhirat.

Catatan kembara
Irwan Dahnil
Anak Selayang
Glasgow, Scotland

Komen melalui Facebook

komentar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *