Mencari Kertas Kerja Perniagaan ?

8 02 2010

Mulai hari ini, anda boleh  memuat turun kompilasi kertas kerja perniagaan yang telah dikumpulkan dari pelbagai sumber. Dan ianya adalah percuma.

Tujuan saya mengumpulkan kertas kerja perniagaan ini adalah untuk membantu anda yang tercari-cari contoh kertas kerja. Saya banyak menerima email yang meminta bantuan untuk menyiapkan kertas kerja perniagaan masing-masing. Ramai yang keliru dan tidak pasti mengenai format yang sebenar. Oleh itu, dengan konsep kompilasi ini anda boleh memuat turun mana-mana kertas kerja dan lakukan perbandingan sendiri antara kertas kerja.

Bermula hari ini, saya akan keluarkan Kompilasi Kertas Kerja Perniagaan versi 1.0 yang mengandungi lebih kurang 11 kertas kerja perniagaan. Insyallah dari semasa ke semasa, jumlah kertas kerja ini akan bertambah.

Kertas kerja tersebut boleh DIMUAT TURUN PERCUMA DISINI.

Saya harapkan kertas kerja ini dapat membantu anda untuk memulakan impian perniagaan masing-masing.

Opss! Sebelum itu :

1. Kertas kerja ini hanyalah sebagai panduan dan bukan khidmat nasihat profesional. Oleh itu saya tidak tidak bertanggungjawab dalam risiko perniagaan masing-masing. Tiada jaminan pulangan keuntungan seperti contoh didalam kertas kerja.

2. Kertas kerja ini adalah didapati secara percuma di internet, di pejabat MARA, di kelab-kelab usahawan dan sebagainya. Ia bukan disediakan oleh saya. Saya hanya membantu untuk mengumpulkan kertas kerja tersebut dalam bentuk kompilasi.

3. Kertas kerja tersebut adalah hak cipta dan milik penulis. Penulis berhak untuk meminda, mengubah, menambah dan menarik balik kertas kerja tersebut.

4. Saya tidak membuat perundingan terhadap kandungan kertas kerja tersebut.

Moga membantu!






Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.






Tips Membaca Buku Supaya Tidak Lupa

11 01 2010

Saya baru sahaja mula menyelak laman pertama buku Robert Kiyosaki, apabila pembacaan saya terhenti seketika. Bersungguh-sungguh saya cuba mengingati apa yang telah saya baca dalam buku Think and Grow Rich, buku yang selesai dibaca minggu lalu. Penat otak saya cuma mengingati, tetapi tidak banyak poin yang saya dapat ingat kembali. Akhirnya saya selak semula buku tersebut takut-takut terlupa kandungannya.

Saya percaya anda juga pernah mengalami perkara yang sama. Masalah lupa atau merasa tidak cukup sentiasa ada dalam diri manusia.

Setelah habis dibaca, ada yang kecewa kerana kehidupan mereka tetap sama seperti dulu. “Aku dah baca 25 buku kekayaan dan kewangan peribadi, tapi aku tak kaya-kaya pun.. “

Terasa seperti tidak terberkas di hati, pelaburan membeli dan membaca buku dirasakan membazir, banyak masa telah dihabiskan untuk membaca. Lebih malang, bila penulis buku tersebut pula disalahkan kerana tidak dapat memberi hasil dan perubahan yang diharap-harapkan. Kerana kecewa lama-kelamaan terasa malas dan tidak bermotivasi untuk terus membaca.

Dan ia terhenti disitu. Berkuburlah impian untuk melakukan perubahan.

Pernahkah anda merasa pengalaman membaca seperti itu ?

Teringat pesan Opah,”Bila kita belajar semasa kecil ibarat menulis diatas batu..”. Memang lebih mudah mengingat apa yang dibaca ketika kecil kerana otak ketika itu seperti span yang menyerap air. Sehinggakan boleh menghafal baris demi baris dengan mudah. Tetapi bila semakin dewasa, daya ingatan juga akan menjadi semakin berkurangan. Bahan bacaan juga menjadi semakin terpilih.

Tips Membaca Buku Amali Supaya Tidak Lupa

1. Praktiskan ke semua langkah, dan lakukan sekarang! Kita mungkin menjadi lebih berpengetahuan selepas membaca buku tersebut, tetapi ia tidak dapat mengubah apa-apa pada diri jika tidak dilaksanakan. Rencanakan langkah yang perlu diambil seterusnya.

2.Cari kesamaan cerita dalam buku dengan cerita kehidupan kita. Bila kita rasa ada kesamaan cerita di dalam buku tersebut dengan kehidupan kita, maka lebih mudah kita mengingati kandungannya.

3. Jika dibaca, kita memperoleh pengetahuan. Tetapi bila kita amalkan, akan berlaku perubahan. Pengetahuan semata tidak menjamin perubahan.

4. Ulangi poin penting didalam buku. Buat catatan di tepi atau letakkan post-in stiker di halaman buku yang penting. Ini memudahkan kita mencari poin penting dalam buku sebagai rujukan.

5.  Membaca dengan niat untuk menuntut ilmu. Mulakan dengan Basmallah. Itu satu ibadah. Ibadah akan diberi ganjaran pahala. Sekurang-kurangnya pahala telah tersedia.

6. Catatkan kata-kata mutiara. Walaupun ini bukan intipati buku tetapi ia memberi inspirasi.

7. Beri ulasan mengenai buku tersebut. Ulas mengikut kefahaman dan letakkan ulasan anda sebagai nota dan kongsikan dengan rakan anda. Lihat apa pandangan mereka terhadap ulasan anda. Gunakan Facebook untuk berdiskusi.

Mungkin ilmu yang kita baca tidak dapat membantu secara hari ini. Tetapi bila kita kumpulkan ilmu tadi hari demi hari, ia akan mencipta satu gambaran keseluruhan mengenai topik yang kita baca. Ada yang menyatakan, untuk sesuatu perubahan itu berlaku ia memerlukan usaha selama 40 hari secara berterusan.

Cubalah!






Bagaimana Melayan Pelanggan Cerewet

9 12 2009

Pepatah menyebutkan bahawa pelanggan adalah raja. Tanpa mereka apalah erti perniagaan kita. Mereka perlu dilayan sebaiknya demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Realitinya, dalam memberikan layanan kelas A kepada pelanggan, akan ada pelanggan berkelas F. Lebih-lebih lagi pelanggan yang pantang kita lakukan kesilapan, melenting seolah-olah dia sahaja yang betul. Memang sebagai tuan punya perniagaan, ini adalah ujian kesabaran. Darah akan terasa naik ke muka, degup jantung menjadi semakin laju. Kalau sudah terlalu marah, nada suara mula bergetar dan tersekat-sekat, percakapan seolah-olah tidak kena dan terasa benar ingin menamatkan perbualan tersebut secepatnya.

Pelanggan macam inilah yang selalunya menimbulkan ketegangan. Dilayan makin menjadi, tidak dilayan lagi teruk jadinya.

Tips Mengawal Perbualan ‘Panas’ Pelanggan Cerewet

Apabila kita bertemu pelanggan sebegini, kita hanya perlu banyak bersabar dan menarik nafas panjang beberapa kali. Ini membantu mengawal tutur kata. Berkata bila perlu, lebih bersifat informatif dan memperlihatkan bantuan yang ingin dihulurkan kepada pelanggan.

1. Terima dan fahami perasaan pelanggan ketika itu. Mulakan ayat kemaafan seperti “Maaf Tuan. Kami juga tidak sangka perkara tersebut akan berlaku..” Pelanggan dalam keadaan yang marah dan tertekan, jangan kita bersifat defensif dan ayat seolah-olah tidak menerima teguran.

2. Biarkan pelanggan selesai bercakap walaupun seolah-olah tidak akan berhenti. Gunakan bahasa badan tanda anda fahami atau dengan menggunakan ayat-ayat pendek bersetuju seperti “Oh begitu..”, “Ehemmm.. “

3. Banyakkan mendengar kurangkan bercakap. Minta pandangan penyelesaian dari pelanggan. Pelanggan mungkin ada cadangan mengikut kemahuannya. Dengarkan dan pertimbangkan. Seolah-olah kita menganalisa cadangan pelanggan, kita akan kelihatan lebih terbuka dengan pelanggan. Pelanggan ketika ini mungkin akan sedikit sejuk dan nada amarah mereka mungkin sudah menurun.

4. Jika cadangan mereka tidak boleh dilaksanakan, berikan cadangan alternatif.

Ada syarikat makanan segera memberikan makanan lebih secara percuma sekiranya pesanan diterima lewat. Ini sebenarnya cara untuk mereka ‘menutupi’ mulut pelanggan yang tidak berpuas hati. Pelanggan yang mukanya tadi masam dan kelat terus berubah tersenyum lebar ke telinga bila dapat makanan percuma!

Beli pelanggan anda…






Tingkat Demi Tingkat Perniagaan di Internet

13 07 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca blog yang dihormati.

Mungkin anda pernah menonton cerita klasik P Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Dalam satu adegan, Ahli Nujum Negara ditanya dengan soalan yang lebih kurang berbunyi :

  • “Terdapat sebatang kayu yang diraut cantik. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal?”

Seperti yang kita ketahui jalan ceritanya, ia memang menghiburkan. Tidak bosan berkali-kali menonton.

Bagaimana pula kalau ada yang bertanya :

  • “Terdapat banyak perniagaan dan pemasaran internet. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal ?”

Walau saya bukan ahli nujum, tetapi kerap kali juga diajukan soalan tersebut.  Dalam bahasa sekarang banyak soalan yang berbunyi lebih kurang sama :

“Saya ni masih baru dalam dunia Internet Marketing ni. Macam-macam yang saya baca. Memang banyak yang menarik, macam mana nak memulakan perniagaan internet ? Saya keliru..”

Tidak seperti filem P Ramlee dan Ahli Nujum Negara, jawapannya tidak dapat saya berikan sekelip mata. Bertahun-tahun juga saya memikirkan jawapannya.  Faktanya, ramai yang masih baru memang tidak tahu yang mana hujung, dan yang mana pangkal, keliru dengan perniagaan dan pemasaran internet (IM).

Maklumat dan informasi yang melambak di internet memberikan peluang untuk kita mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang IM, tetapi dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan maklumat yang keterlaluan. Pembaca tidak mengetahui yang mana satu datang dahulu dan di mana ia berakhir.

Sekiranya pembaca tidak dapat menapis kesahihan atau kebenaran maklumat yang dibaca, ini akan menyukarkan lagi. Maka semakin kelirulah jadinya mereka yang masih mentah dalam IM.

Susahnya mencari titik penamat kalau tidak tahu di mana mahu bermula.

Dari Pemasaran ke Perniagaan Internet : Ayuh Cari Garisan Permulaan

Hakikatnya internet itu tidak lebih dari satu media. Ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Seperti tv, akhbar dan radio, dalam ketika ia menyampaikan maklumat akan terselit juga iklan-iklan perniagaan di dalamnya.

Maka konsep yang sama digunakan oleh internet. Dalam menyampaikan maklumat, tersebut juga iklan-iklan perniagaan.  Maka wujudlah banner, bunting dan juga iklan teks di website.

Dalam waktu yang sama wujudlah juga agen,  affilite, promoter atau tukang kempen yang lebih dikenali sebagai Internet Marketer (Pemasar Internet) yang akan mempromosikan bisnes orang lain di internet. Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan orang lain, mereka ini akan memperolehi sejumlah ‘upah’ sebagai ganjaran.

Disinilah bermulanya konsep yang dikatakan buat duit dengan internet!

Boleh dikatakan, kebanyakan garis permulaan kejayaan buat duit di internet adalah dengan menyertai golongan Internet Marketer dalam menjana pendapatan.

Ada terlalu banyak program yang ada. Menjual ebook, adsense, Nuffnang, Pay per review dan seterusnya.Tak larat untuk disebutkan kesemuanya. Tetapi ia mempunyai satu ciri yang sama. Anda akan mendapat imbuhan sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan orang lain.

Jadi sebutlah pelbagai macam bentuk program di internet, sekiranya ada sahaja imbuhan (yang biasanya dalam bentuk komisen) ia memerlukan kemahiran internet marketer untuk menjana pendapatan.

Di sini perlunya kemahiran pemasaran internet (internet marketing skills). Email marketing, social networking, blogging, adwords, SEO, affiliate marketing, youtube marketing dan 1001 lagi kaedah promosi menjadi wajib untuk dikuasai.

Disebabkan terdapat pelbagai teknik pemasaran internet yang ada di internet, lebih banyak seseorang pemasar internet menguasai sesuatu kemahiran, lebih banyak jualan yang boleh dilakukan. Ini bermakna lebih banyak komisen yang akan diperolehi.

Boleh kaya sampai jutawan ke hanya dengan menjadi Internet Marketer ?

Mengapa tidak ? Ada 2 faktor yang membolehkan ia berlaku :

1. Produk dan perkhidmatan antarabangsa selalunya diperdagangkan dalam USD. Bererti komisen yang diperolehi juga adalah dalam US Dollar!

2. Internet Marketer boleh dilakukan secara serentak dalam masa yang sama untuk pelbagai produk dan perkhidmatan. Hanya dengan kemahiran yang sama, kita boleh promosikan ratusan (ribuan) produk orang lain untuk mendapatkan komisen sebanyak-banyaknya.

Mengapa Tidak Menjual Produk Sendiri ?

Ini adalah tahap kedua.  Setelah memahami konsep, selok belok pemasaran internet, seseorang pemasar internet akan beralih pula fokus untuk menghasilkan produk sendiri. Mungkin telah bosan dengan menjual produk orang lain, menjual produk sendiri lebih memberi kepuasan diri dan sudah tentunya memberi lebih banyak keuntungan.

Kebanyakan internet marketer akan mencuba produk digital atau produk virtual yang bersifat tidak perlu menyimpan stok, tiada kos operasi, tiada cost of good sold, tiada modal yang besar dan memberikan margin untung yang lebih. Perniagaan seperti menjual ebook, menjual sistem, menghasilkan portal iklan dan sebagainya menjadi pilihan.

Disini, kita boleh lihat perubahan dari seorang pemasar internet menjadi perniagaan internet.  Ia telah beralih dari hanya mempromosikan dan menjadi pemasar sahaja menjadi sebuah perniagaan dan wujud ‘kedai’ di internet.

Anda bayangkan betapa nikmatnya memiliki produk sendiri apabila anda pula boleh menciptakan program jana duit seperti affiliate program supaya internet marketer yang lain pula mempromosikan produk anda. Sebelum ini anda yang bersusah-payah menjana duit dengan mempromosikan produk orang lain, sekarang semua sudah berubah.

Ada berada di posisi yang lebih baik!

Apabila anda pernah menjadi internet marketer untuk produk orang lain, akan menjadi satu kelebihan kepada anda. Anda akan lebih bijak dalam menentukan pelan pemasaran untuk produk anda sendiri. Selain itu anda akan lebih rasai keperitan yang ditanggung oleh internet marketer. Oleh itu anda akan bersikap lebih adil apabila memberi komisen, lebih menjaga mereka dan memberikan perhatian kepada feedback dan pandangan mereka.

Mampukah  Perniagaan Internet Berjaya Tanpa Pemasar Internet ?

Jawapannya boleh.  Tetapi tahap kejayaan tidak mungkin mencapai tahap kejayaan setinggi apabila dibantu pemasar internet.

Saya hentikan disini dahulu. Memandangkan pangkalnya telah dihuraikan, mungkin ada masa nanti akan saya sambungkan untuk penghujungnya pula…

p/s : Anda tahu tak jawapan soalan Nujum Pak Belalang di atas ? :)






Membentuk Personaliti di Internet

23 06 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Blog,

Mungkin anda pernah dengar ungkapan :

“You never get a second chance to make a first impression”

Kebanyakan kita memang suka melihat benda yang cantik-cantik. Dengan melihat benda yang cantik memberikan satu sentuhan luar biasa di dalam diri si pelihat. Bak kata pepatah “dari mata turun ke hati”. Dengan tidak berlebihan, sekurang-kurangnya semua orang ingin melihat sesuatu yang kemas.

Ketika kecil, amanah ibu yang sentiasa saya perlu pegang adalah membedakkan muka sebelum keluar rumah! Walau nak pegi mana sekalipun, telah menjadi kebiasaan ketika kecil. “Muka berkilat sangat nanti nampak comot!” kata ibu. Walaupun kini saya tidak lagi menjadikan ia suatu kemestian sebelum keluar ke rumah, tetapi saya belajar satu perkara tentang pentingnya penampilan yang kemas di khalayak.

Di Malaysia, perniagaan internet selalunya dikaitkan dengan perniagaan yang santai, boleh dibuat dari rumah, fleksibel dan menyeronokkan. Oleh itu kebanyakan pemilik perniagaan internet menampilkan gaya santai dan kasual. Penampilan yang tidak terlalu formal, berpakaian kemeja berjeans menjadi pilihan berbanding dengan bertali leher dan suit. Yang penting imej kemas dan bersih ditampilkan.

Walaupun begitu, dari pengamatan saya, terdapat satu kelemahan yang ketara dalam aspek personaliti usahawan internet. Kelemahan untuk mempersembahkan diri sendiri di internet.

” Kerja di rumah, buat apa nak hensem-hensem sangat”

” Alah. Bisnes kecilan, tak perlu nak posing mengancam begitu sekali”

” Tak reti lah nak senyum bergambar lawa-lawa. Aku ni tak hensem mana pun.. Malu je “

Ini mentaliti yang salah. Di akhirnya, kebanyakan usahawan internet memaparkan penampilan yang berkecamuk. Mereka tidak dapat menonjolkan personaliti yang sepadan dengan produk yang ingin dijual. Ada diantaranya menjual produk digital bernilai sehingga RM200 tetapi penampilan tuan diri tidak membayangkan produk berharga setinggi itu.

“Harga nasi lemak di KLCC jauh lebih tinggi dari nasi lemak di pasar malam”

Walau pun kedua-duanya adalah nasi lemak, tetapi satu pakej nasi lemak KLCC diberikan penampilan menarik dan cara persembahan yang baik. Dibantu dengan faktor lokasi, nasi lemak KLCC dijual mahal.

Samalah dengan produk yang ingin dijual di internet. Diri anda mencerminkan nilai produk atau perkhidmatan anda. Jangan rendahkan nilai produk atau perkhidmatan anda di mata prospek pelanggan hanya kerana anda tidak menambat personaliti mereka.

Mahukah anda membeli produk dari seseorang yang penampilannya kurang meyakinkan ? Anda tahu jawapannya.

Tips Membentuk Personaliti di Internet

1. Jangan gunakan gambar kad pengenalan, gambar passport atau gambar kad pelajar.

Ini hanya ingin menunjukkan wajah skima, kejang dan keras di depan jurugambar. Tiada orang yang dapat menilai diri dan personaliti anda hanya dengan duduk depan kamera kekejangan begitu.

2. Gunakan gambar yang mempunyai resolusi tinggi

Kalau tiada kamera DSLR, gunakan kamera digital biasa. Atau sekurang-kurangnya kamera handphone yang mempunyai resolusi tinggi. Jangan besarkan gambar yang kecil. Muka anda akan pecah ibarat cermin yang retak!

3. Kenakan pakaian yang sesuai

Biasanya orang hanya memaparkan dua bentuk penampilan. Sama ada berpakaian suit bertalileher atau kasual.Sekarang orang suka mengenakan smart casual.

Jangan sesekali berpakaian kain batik atau baju tidur hanya semata-mata nak menunjukkan anda orang yang bekerja dari rumah! Di belakang tabir mungkin tidak mengapa, tapi jangan di depan pelanggan.

4. Bergaya ala-ala artis

Kalau boleh, tetapi bukan satu kemestian.  Natural!

5. Berikan sentuhan emosi

Sentuhan emosi bukan bermaksud anda buat-buat ketawa atau menangis palsu. Sentuhan emosi adalah satu bentuk perasaan yang tercipta dalam diri orang yang melihat. Dengan melihat gambar wujud 1001 bentuk tafsiran. Lihat gambar Richard Bronson yang serius ini membentuk satu sentuhan emosi yang berbeza walau pun sebenarnya beliau seorang yang casual.

6. Lihat apa orang lain buat & beri kelainan

Kalau anda tidak tahu gaya yang anda mahukan, cuba buat carian di google. Lihat bagaimana orang lain menampilkan diri mereka. Anda pilih personaliti yang anda ingin tonjolkan.

7. Cari photographer

Jangan ‘tangkap gambar’ sendiri :) .. Mentang-mentanglah handphone sekarang semua memiliki kamera. Melainkan anda mempunyai kemahiran Photoshop, mungkin anda boleh mengupah seorang photographer profesional yang membantu anda. Tidak mahal, photographer yang saya kenal hanya mengenakan caj RM100 sahaja! Photographer yang bijak akan membantu anda menimbulkan personaliti anda. Bukan jurugrambar di kedai gambar ya!

Impression yang baik adalah impression yang memberikan kesan kepada orang lain. Jangan terkejut pula apabila suatu hari ada orang yang ingin bergambar dengan anda.

Selamat datang ke dunia semi-celebriti!






Big Idea, Big Bucks

21 04 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Blog Sekalian,

Mungkin anda pernah memiliki atau memakai sepasang kasut @ sandal Crocs. Sandal Crocs ni ringan ’slip-resistance’ dan pada asalnya untuk kegunaan aktiviti luar rumah @ outdoor.  Memang dah jadi satu fenomena, orang pegi mana-mana pun pakai sandal ni. Memang popular dan banyak juga yang cetak rompak. :)

Cerita Jibbitz

Disebabkan dah ramai sangat orang pakai sandal Crocs ni, seorang ibu yang memiliki 3 orang anak pada satu hari ingin menambahkan ‘kecantikan’ pada sandal Crocs yang dipakai oleh anak2nya. Biarlah nampak berbeza sedikit berbanding dengan sandal-sandal yang lain.

Jibbitz ni sebenarnya takde ape pun. Ia cumalah idea seorang ibu yang meletakkan aksesori tambahan pada sandal tersebut. Saya pun tatau lah nak istilahkan ape, tapi dengan menambahkan Jibbitz, sandal tersebut menjadi lebih comel dan ceria.

Dipendekkan cerita, pemilik Crocs sangat berminat dengan konsep Jibbitz ni. Beliau menawarkan ibu tadi sebanyak USD10 million untuk memiliki konsep Jibbitz dan tambahan USD10million lagi sekiranya mencapai target jualan!

Bisnes Tak Semestinya Mencipta Benda Baru

Banyak produk-produk yang hebat kadang-kala bukannya dari idea yang baru atau asli. Dengan menambah 10% dari keadaan asal, ia boleh memberikan satu nilai baru dan produk yang berbeza dengan produk yang sedia ada.

Lihat sekeliling. Anda mungkin boleh nampak ada 1001 produk yang boleh diperbaiki, diperelok dan dicantikkan. Mungkin idea anda juga bernilai USD10million, siapa yang tahu!

p/s : Minggu ini 26 April 2009, saya akan menganjurkan Author’s Talk di MPH Mid Valley pada jam 3 hingga 4 petang. Kalau anda ingin mengetahui bagaimana cara untuk mengubah 10% dari produk anda atau produk orang lain dengan menggunakan SMS, mungkin anda boleh hadiri sesi yang akan dianjurkan. Kehadiran juga percuma. Maklumat lanjut, klik disini.






Hari Terbuka Truewealth : 30 Minit Demo Step by Step

6 03 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sekadar makluman dan hebahan kepada semua.

Esok akan diadakan hari terbuka anjuran penerbit buku perniagaan dan motivasi kewangan True Wealth Sdn Bhd. Acara akan bermula pkl 11 pagi sehingga 5 petang.

Bagi saya ini adalah peluang baik untuk anda datang kerana anda akan ditawarkan diskaun sehingga 70% bagi buku terpilih.  Bagi pembelian RM150,  dapat pula 1 buku PERCUMA. Maklumat lanjut disini.

Saya, Gobala dan Shuth juga dijangkakan akan berada disana untuk menyokong usaha Truewealth. Insyallah saya akan berkongsi sedikit masa untuk melakukan demonstrasi bagaimana sesuatu sistem SMS diselenggarakan.

Sesi ini tidak lama, cuma 30 minit sahaja kerana saya perhatikan ramai yang masih belum mempunyai pendedahan tentang sistem SMS secara teknikal. Ini adalah peluang anda sekiranya berkelapangan. Jemput hadir sesi tersebut pada jam 12 tghr.

So kalau ada masa jemput hadir ke majlis ilmu ni ya!

Jumpa disana






Pengumuman : Program Pengiklanan Usahawan 2009

19 02 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Just a short note. Sesiapa yang mencari diskaun untuk membeli iklan, ini adalah tempatnya. MECD akan menawarkan 50% geran pengiklanan kepada syarikat yang ingin beriklan. Ayat mudahnya, kalau anda ingin beli iklan dalam akhbar Utusan bernilai RM1,000, MECD akan sponsor RM500.

Ada macam2 media yang buka booth dari akhbar yang popular sehinggalah ke radio dan televisyen. Tahun ini ada geran baru untuk pengiklanan melalui internet. Tetapi masih agak terhad, dan masih jauh dari expectation saya. Last year, saya dapatkan kos pengiklanan saya hampir RM7000 dengan program ini.

Anyway, sapa yang nak kasi geran 50% free kan..

Kalau anda ada kelapangan, datang ke :

Program Pengiklanan Usahawan
17 hingga 23 Februari 2009
Ruang Legar, MECD Putrajaya.

Tahun ini pendaftaran boleh dilakukan secara online. Layari http://www.mecd.gov.my. Tapi borang pendaftarannya macam kureng sikit lah…Saya pun masih belum sempat pergi. Insyallah, saya akan kongsikan dengan anda nanti.

Jumpa di sana!






Iklan Membunuh!

23 01 2009

Salam Sejahtera Pembaca Blog Yang Dihormati,

Tajuk hari ini agak keterlaluan dan ganas.

Menurut kajian, pembukaan atau headline yang negatif, berbau kontroversial, sensasi akan menarik pembaca untuk terus membaca. Maka strategi yang sama digunakan oleh akhbar dan majalah tabloid untuk melariskan jualan.

Akhbar tabloid jarang menjadi pilihan bacaan saya. Tetapi hari ini, tergerak hati untuk membeli akhbar tabloid Nombor 1 Malaysia. Mungkin disebabkan tajuk luar yang begitu sensasi. Agak mengecewakan, apabila saya lihat di dalamnya LEBIH BANYAK iklan berbanding berita.

Saya menjadi bosan dan mula memeriksa email untuk hari ini. Mata saya tertancap pada satu tajuk email yang diterima. . Hati saya menjadi semakin jelak dengan pelbagai skim perniagaan internet dan juga 1001 tawaran luarbiasa dan Apabila saya buka laman Facebook, pelbagai bentuk iklan ubat kuat dan bisnes cepat kaya mula bermaharajalela di ruangan iklan!

Apa yang mengganggu saya bukanlah iklan, tetapi lebih kepada bagaimana iklan tersebut ditulis atau dipersembahkan. Contohnya tajuk email “Daftar RM30 sahaja, pendapatan sampai bila-bila ” jelas memberikan satu persepsi yang salah terhadap fakta sebenar.

Iklan seperti ” Anda selalu tewas dengan di bilik” pula dilihat sebagai tidak sesuai untuk dipaparkan secara membabi buta kepada golongan umum. Mungkin ini lebih sesuai untuk golongan fokus atau golongan yang benar-benar memerlukan tanpa perlu dihebahkan secara meluas tanpa ada sebarang tapisan.nya

Hakikat setiap bisnes memerlukan iklan untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan. Mengikut sesetengah perniagaan, 30% dari sumber modal dan kewangan diperuntukkan kepada iklan. Dengan pengaruh iklan yang kuat dapat mempengaruhi pembaca atau pelanggan untuk membeli. Tetapi adakah semua iklan itu bebas untuk mempersembahkan apa sahaja maklumat masih menjadi satu tanda tanya.

Bayangkan apa akan jadi terhadap keyakinan penggguna terhadap iklan apabila acap kali iklan memaparkan maklumat yang tidak betul, keterlaluan dan terlalu bebas ?

Anda sendiri boleh buat anggapan anda sendiri…

p/s : Seminar akan datang telah dijadualkan pada 25 April 2009. Masih jauh lagi, tetapi ramai yang hubungi saya menyatakan mereka terlepas seminar pada minggu lalu. So pastikan kali ini anda booking dulu, nanti anda akan dihubungi semula untuk mengesahkan tempat. Jangan terlepas lagi. Maklumat lanjut di http://seminar.akademisms.com