Tip (Short-cut) Menjadi Pakar

13 01 2013

Semua bisnes akan mengaku perkhidmatan dan produk mereka terbaik, paling berkualiti dan paling mantap!

“Produk ini terkini dan menggunakan teknologi baru..”

“Kami sedia berkhidmat 24 jam sehari 7 hari seminggu..”

“Pendekatan kami membolehkan anda dapat menjimatkan wang dan masa sebanyak 50%”

Tiada dalam sejarah bisnes akan mengaku jujur kelemahan atau kekurangan bisnes sendiri. Semua akan kata, mereka yang terbaik. Takut jika bersikap jujur, tidak laku pula.

Jadi bagaimana untuk menjadikan cakap atau kata-kata ini dipercayai oleh orang lain (dengan mudah) ?

Ya! Dengan menjadi PAKAR.

Ada beberapa cara untuk menjadi PAKAR dalam bisnes :

1. Membaca BANYAK buku/artikel/majalah mengenai bidang bisnes anda.

Jika anda mahu menjadi pakar pemasaran Facebook, baca banyak buku mengenai bidang tersebut.  Jika mahu menjadi pakar kewangan, bacalah buku berkaitan kewangan dan ekonomi.

Berapa banyak buku perlu dibaca ? Sebagai permulaan 20 buku!

Mengapa begitu banyak ? Sebenarnya sedikit sahaja jika dibandingkan jumlah buku yang diperlukan untuk menulis artikel. Ini akan saya terangkan di point nombor 2.

2. Tulis Artikel

“Aisehmen. Kali terakhir saya menulis ketika peperiksaan SPM 1993.. Otak sudah karat..”

Pakar tidak karat otaknya. Menulis menyebabkan otak semakin tajam dan kritis.

Tulislah artikel di majalah atau suratkhabar. Atau sekurang-kurangnya, tulis di blog di internet. Di Facebook ada ruangan Notes untuk membolehkan kita menulis.

Menulis tentu memerlukan idea atau kandungan. Of course! Kerana itu kita perlu lebih banyak membaca. Jika untuk menjadi pakar pada awalnya kita perlu membaca 20 buku, untuk menulis pula kita perlukan input sekurang-kurangnya dari 50 buah buku!

3. Menghasilkan “Panduan Bagaimana…”

Tuliskan sebuah ebook dan edarkan secara percuma.

“Bagaimana menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun”

“Menjadi pelajar cemerlang secara part-time…”

“Menjadi pekerja malas yang disayangi boss..”

Topik mestilah mudah dan relevan. Tidak perlu tebal, cukup sekitar 25 halaman sahaja.

4. Menulis Buku

Adui! Menulis artikel pun terhegeh-hegeh, inikan pula mahu menulis buku.

Cuba satu hari anda pergi ke kedai buku. Kebanyakan orang yang berjaya mempunyai buku sendiri.

Cara shortcut menulis buku : Tuliskan artikel 300 patah perkataan dalam satu bidang yang sama secara konsisten sekali seminggu selama 6 bulan.

Selepas 6 bulan : 4 artikel x 6 bulan = 24 artikel.

Gabungkan artikel tersebut, ubahsuai sedikit.

Wallah! Buku selesai ditulis dalam masa 6 bulan !

5. Sertai Persatuan

Ini cara untuk mendapat network bisnes lebih baik. Selain itu, ini menjadi pengiktirafan sosial penyertaan anda dalam industri. Biasanya persatuan akan diketuai oleh individu berjaya, kaya dan berpengaruh. Dapat juga mengambil gambar bersama mereka.

6. Bercakap!

Anjurkan seminar, bengkel dan program anda sendiri. Biarkan pun secara kecilan. Orang akan memandang orang yang pandai bercakap sebagai orang yang tampan dan cantik!

7. Sijil Profesional

Jika anda pengaturcara, dapatkan sijil profesional seperti dari Microsoft. Jika anda pemilik spa, dapatkan sijil kelayakan dari badan yang berautoriti.

8. Sambung belajar

Fenomena orang yang tidak mahu sambung belajar kerana kemaruk bisnes menjadi-jadi sekarang ini.

Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.

“Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Kalau boleh biar sampai ke PhD tu…

Semua tip diatas memerlukan usaha. Tiada yang benar-benar shortcut kecuali ilmu dan usaha.






Disember | Catatkan Pencapaian Kecil, Ia Akan Menjadi Besar

1 12 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Sepanjang hari ini, banyak status di Facebook rakan-rakan yang berkata mengenai Disember. Di penghujung tahun, ada yang mengeluh kerana tidak berjaya mencapai matlamat sebaliknya ada yang gembira kerana telah melebihi dari apa yang dihajati.

” Di awal tahun saya berazam untuk menulis sekurang-kurangnya sebulan sekali di blog. Tetapi catatan terakhir saya adalah pada September! :(

2. Percaya dengan satu pepatah yang menyatakan ‘biar kecil dari berhasil..” Ia azimat setiap kali menetapkan matlamat.  Pesan Peter Drucker bahawa menetapkan matlamat mesti selalu menggunakan S.M.A.R.T ! Jadi jika pencapaian kurang ’smart’, ia adalah biasa. Apa yang penting, kita menilai semula untuk menjadikan ia lebih bijak dan boleh dicapai.

3. Tetapi yang menjadi bahaya jika disebabkan pencapaian besar tidak tercapai, habis segala pencapai kecil dilupakan.  Rahsia untuk mencapai kejayaan besar terletak kepada berapa banyak pencapaian kecil yang telah dicapai.  Contoh mudah, jika kita pandai mengeja, seterusnya kita akan pandai membaca. Mengeja diibaratkan sebagai pencapaian kecil membolehkan kita membaca (pencapaian besar). Bagi penulis buku pula, kejayaan kecil adalah apabila berjaya menulis sebuah bab dalam buku, pencapaian besar adalah apabila buku berjaya dicetak dan diterbitkan.

4. Mungkin jika Arnold Schwarzenegger tidak menjadi Mr Olympia acara sukan bina badan, beliau tidak akan menjadi hero filem boxoffice Terminator. Dan mungkin juga jika beliau tidak sepopular menjadi bintang filem, beliau tidak terpilih menjadi Gabenor California sekarang! Formula ‘Success Breed Success’ terpakai disini bererti suatu pencapaian awal akan menghasilkan pencapaian susulan.

5.  Jadi appreciate apa pencapaian kecil yang telah dicapai. Ingatkan semula apa juga perkara yang memberi kepuasan. Bagi yang baru pertama kali menjual, ingatkan seronoknya mendapat RM1 yang pertama. Atau mungkin sekarang anda telah yakin untuk bercakap dengan pelanggan berbanding dahulu. Ini semua kejayaan kecil yang tidak dimasukkan dalam matlamat awal tahun.

” Antara pencapaian kecil saya adalah apabila Page Facebook Irwan Dahnil Insight telah mencapai 1000 Like sebelum akhir tahun. Saya hargai pencapaian tersebut. Moga tahun hadapan mencapai 2000 Like pula :)

6. Kumpulkan kejayaan kecil. Jadikan ia ibarat sebuah kompilasi kejayaan. Ibarat unit-unit asas kejayaan yang hebat.  Tiada pencapaian yang hebat tercapai tanpa pencapaian kecil.

Hampir boleh mengucapkan selamat tinggal kepada tahun kejayaan kecil 2011. Kejayaan besar menanti di tahun hadapan






Usahawan Baru : Menghadapi Tentangan Keluarga

9 09 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya menerima mesej dari seorang sahabat lama. Sebelum ini beliau merupakan seorang pekerja makan gaji yang stabil dari segi pendapatannya. Sehinggalah beliau memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.

Kini, apabila telah berniaga sendiri beliau menerima tekanan yang cukup kuat dari keluarga yang tidak menyokong tindakan beliau walau pun perniagaan beliau telah menunjukkan hasil. Pada pandangan keluarga, bekerja makan gaji dengan kerajaan adalah lebih baik. Beliau sekarang runsing sama ada keluarga mertuanya entah berkenan atau tidak dengan tindakan beliau.

Saya ingin kongsikan jawapan saya kepada beliau :

********************&&&&&&&&&&&&*******************

Salam Tuan,

Moga sentiasa dilindungi Allah sentiasa. Dalam catatan yang ringkas :

1. Paling penting, isteri Tuan sentiasa dibelakang dan menyokong. Biasanya orang rumah ni, mereka bimbang tentang kemampuan kita untuk komitmen dan sara keluarga. Tuan banyakkan berbincang, ini membantu dia untuk terus percaya dengan apa yang Tuan lakukan.

2. Kena buktikan dahulu, apa yang keluarga Tuan dapat ketika makan gaji adalah sama dengan apa yang keluarga dapat ketika tuan buat bisnes. Kalau dulu makan KFC sebulan sekali, lepas bisnes mesti kekalkan yang sama. Kalau dulu wang dapur RM1K sebulan, kekalkan sumbangan tersebut.

Bila berniaga, yang banyak berkorban adalah keperluan diri sendiri dahulu, bukan keperluan keluarga. Jika mereka perlu berkorban sekalipun, janjikan pengorbanan tersebut akan berbaloi dalam satu jangkamasa. Contohnya, tuan meminjam wang simpanan keluarga sebanyak RM1000 yang dijanjikan untuk dibayar dalam masa 1 bulan. Cukup masa, pastikan ia dibayar.

3. Jika perlu, buat semula pengurusan kewangan keluarga. Berbelanja berhati-hati. Selalunya, ada banyak pembelian yang membazir yang boleh dijimatkan.

4. Dalam satu jangkamasa, perlahan-lahan pertingkatkan aset untuk keluarga. Mulakan dengan wang simpanan dahulu. Tambahkan sedikit-demi sedikit. Isteri akan lebih hargai.

5. Seterusnya insurans dan perlindungan takaful untuk keluarga. Jika kita tidak berupaya dan tiada pence, keluarga kita perlu terbela. Tidak perlu beli insurans atau takaful yang mahal. Cukup untuk hospitalization dan ward coverage untuk seluruh ahli keluarga sahaja.

6. Kebanyakan orang hanya menilai perniagaan pada nilai material sahaja (apa yang kita pakai, apa yang kita pandu, rumah kita)… Tetapi itu cuma simbol kekayaan. Tidak perlu menunjuk hanya untuk memuaskan hati orang. Yang penting, keluarga Tuan bahagia dan keperluan mereka terpenuhi. Insyallah, rezeki Allah sentiasa menunggu.

7. Bila keluarga mertua bertanya, cakap yang baik-baik sahaja tentang perniagaan. “Perniagaan berkembang, client baru, pengalaman yang baik…” Jangan ceritakan yang negatif, mereka akan cepat susah hati dan akan mula menunding jari menyatakan tindakan kita berniaga salah. Kita bukan berbohong, cuma kita perlu redakan antagonis.






10 Buku Bisnes Terbaik : Siri 1

4 09 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Budiman,

Saya tidak pernah menerima pendidikan perniagaan secara formal di sekolah atau universiti. Kerana itu saya sangat berterima kasih kepada banyak sumber rujukan dan buku yang menjadikan setiap bisnes yang saya lakukan sebagai peluang untuk belajar. Mungkin ada banyak lagi buku-buku perniagaan yang hebat diluar sana, tetapi ini adalah 10 buku perniagaan (tidak mengikut susunan) yang banyak mengubah persepsi dan menjadikan siapa saya hari ini :

1. Blue Ocean Strategy (BOS)

Penulis : CW Kim & R. Mauborgne

Telah diterjemah kepada pelbagai bahasa. Saya baca versi English yang lebih mudah difahami. BOS sangat memberi kesan kerana selepas akan membuatkan kita berfikir untuk meletakkan inovasi dan kelainan dalam perniagaan. Saya tidak lagi mahu mengeluarkan produk yang terikut-ikut dengan orang lain. Strategi yang berbeza, dan bagaimana merancangkan BOS bagi perniagaan. Bagi saya, jika produk/bisnes kita tidak unik, maka tiada bisnes. Perniagaan perlu berbeza untuk kekal lama.

BOS juga merupakan inspirasi besar untuk saya mengubah strategi penulisan buku dan juga pemasaran internet.

2. E-Myth Revisited

Penulis : Michael Gerber

McDonalds terkenal dan masih kekal sehingga sekarang bukan kerana mereka pembuat burger yang paling sedap. Saya lebih suka rasa burger tempatan Ramly. Tetapi mengapa McD dapat terus kekal ? Mengapa mereka dapat membuatkan orang percaya burger mereka paling sedap? Mengapa mereka dapat menghasilkan rasa burger yang sama di merata tempat? Rahsianya adalah dengan mempunyai sistem perniagaan. Sistem yang dibentuk, dirancang, dan boleh diduplikasikan. Kedai makan yang berjaya bukanlah kedai makan yang paling sedap, tetapi kedai yang dapat mengekalkan kualiti rasa disemua kedainya.

Pengajaran penting : Tukang masak yang terbaik tidak semestinya peniaga yang baik. Bermaksud jika anda pandai buat sesuatu, tidak semesti anda juga boleh membuka bisnes yang berjaya.

3. The Long Tail

Penulis : Chris Anderson

Konsep yang diketengahkan adalah dengan menawarkan banyak produk dalam sesuatu niche. Contohnya, jika anda menjual buku, anda perlu menjual seratus judul, dan kalau boleh beribu judul dalam pelbagai kategori. Kedai online seperti Amazon mengecap jaya dengan konsep ini. Begitu juga dengan iTune yang menjual lagu-lagu. Ini memberikan kepuasan kepada pelanggan dalam memilih disamping membuka pasaran pelanggan yang lebih luas.

Di KL, kedai mamak memang cukup popular. Pada pandangan saya, mereka menggunakan teori Long Tail. Walau pun ia kedai yang dikenali dengan roti canai dan teh tarik, tetapi kedai mamak kini menawarkan lebih dari itu. Nasi beriyani, nasi lemak, masakan barat seperti chicken chop sehinggalah masakan tomyam. Sebut sahaja makanan apa, kedai mamak kini lebih universal.

Ini menjadikan lebih banyak jualan berlaku dan bukan hanya produk khusus sahaja. Konsep Long Tail menjadikan produk yang tidak dikenali, laris semula.

4. Guerrilla Marketing

Penulis : Conrad Levinson

Saya suka dengan pendekatan pemasaran gerila kerana ia berkos rendah dan mementingkan kreativiti. Ia sangat sesuai untuk perniagaan kecil. Selama ini kita bercerita mengenai 4P dalam pemasaran, tetapi pemasaran gerila lebih bersifat ’selamba’ dan ‘main belasah’ dalam pendekatannya. Ia berkesan!

5. The Psychology of Selling

Penulis : Brian Tracy

Ini asas pemasaran. Bermula dari mental setting sehinggalah strategi untuk mendekati pelanggan. Buku ini sangat sesuai untuk mereka yang takut sangat untuk buat jualan. Buku ini masih menggunakan pendekatan klasik pemasaran, tetapi masih relevan dengan dunia perniagaan. Saya suka!

Nanti akan saya sambungkan dengan Siri 2. Masih lagi dengan demam raya, masih menikmati masa-masa berkualiti bersama keluarga di K.Lumpur. Bagi rakan di luar sana, saya ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!






Impian Ramadhan Terbaik

31 07 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini 1 Ramadhan bersamaan 1 Ogos 2011. Tidak pernah sejak wujudnya blog irwandahnil.com ini, saya mencatat sesuatu pada hari pertama Ramadhan. Walau bagaimanapun, saya rasa tidak pernah terlepas untuk mencatatkan sesuatu disini. Ada sahaja yang menarik pada perspektif saya :

http://www.irwandahnil.com/2009/08/26/belian-emosi-badan-merana/

http://www.irwandahnil.com/2008/09/01/juadah-berbuka-puasa/

http://www.irwandahnil.com/2007/09/13/pengalaman-berniaga-ramadhan-soho-baru/

Syukur, tahun ini saya dapat membuat catatan pada malam Ramadhan yang pertama. Selepas pulang dari solat terawih, punya sedikit masa untuk mengusik blog ini. Sedikit berbeza, tetapi signifikan :)

Sejak tahun lalu, saya sebenarnya rasa sedikit ‘tenang’. Mungkin setelah 12 tahun berbisnes,bermula tahun lepas saya benar-benar ‘melepaskan lelah’, tidak mengusahakan sesuatu yang signifikan untuk perniagaan. Walau saya masih menulis beberapa bab untuk buku-buku perniagaan untuk terbitan akan datang, tetapi perasaan sebagai usahawan berbeza sama sekali.

Dalam saya ingin terus berbisnes, saya mula mencari jalan yang berbeza. Benar, wang juga adalah motif berniaga, tetapi saya mahukan yang lain. Bukan lagi wang semata. Bukan lagi kepuasan peribadi. Bukan lagi kemahsyuran,bukan lagi pengiktirafan. Sudah-sudah dengan kata-kata orang lain yang menyatakan kehebatan. Semua telah saya kecapi.

Saya banyak melakukan kesalahan dan kesilapan sepanjang bergelar usahawan. Bila saya menoleh ke belakang, saya akan rasa malu, menyesal. Saya insan yang lemah, ada masanya, saya juga pernah dikaburi oleh wang ringgit dan kuasa. Saya malu untuk mengangkat muka. Kesalahan yang bukan saya berbangga untuk menyatakannya.

Memang saya ’sesat’. Tetapi, jika bukan wang dan kepuasan, maka apalagi yang dicari dengan bisnes?

Jawapan buat masa sekarang : ENTAH! Saya cuma mahu mencari sesuatu yang lebih hakiki. Bagaimana dan bila, saya tidak pasti.

Tetapi saya yakin!

Contohnya, blog ini juga telah mencapai usia 5 tahun sejak tahun 2006. Alhamdulillah, sejak awal blog ini bukan bermotifkan duit. Ia kekal dari dahulu sebagai wadah untuk saya mencatatkan sesuatu. Jika ia dibaca dan memberi manfaat kepada orang lain, alhamdulillah mengharapkan saham akhirat juga saya. Tetapi jika tidak dibaca, tidak menguntungkan pada pandangan orang lain itu tidak menjadi nanah kepada saya. Kerana pada awalnya, telah saya tetapkan matlamatnya.

” Tahun ini saya mengharapkan ihsan dan berkat Ramadhan. Tunjukkan, berikan sedikit hidayah, jalan yang lurus, cahaya yang terang untuk saya teruskan perjuangan. Izinkan saya menyumbang dalam bidang bisnes dan keusahawanan mengikut jalan yang telah ditentukan. Mohon dibuangkan rasa keraguan dan was-was. Dibersihkan sumber keuntungan agar hanya yang halal dan berkat sahaja yang tinggal untuk dinikmati. Moga ada ruang untuk limpahan rezeki untuk insan lain agar turun merasa berkatnya. “

Biarlah sedikit, kecil, tidak kelihatan, tetapi berkesan. Doakan saya.

Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf diatas dosa yang saya lakukan. Memang banyak yang buruk dari baiknya. Moga Ramadhan tahun ini Ramadhan yang terbaik juga buat pembaca sekalian. Andai kata Ramadhan ini yang terakhir untuk kita, doakan agar ia Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui.  Amin!






Liga Keusahawanan Korporat

12 07 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ketika memandu,siaran radio yang menghebahkan mengenai Tan Sri Tony Fernandez akan terlibat dengan rancangan realiti yang cukup popular dengan “You’re Fired!”. Saya segera membuat carian di Google, siri The Apprentice yang mempopularkan Donald Trump akan muncul dengan versi Asia!

Wah! Ini berita sensasi. Maka menyerulah saya kepada seluruh alam supaya menyertai rancangan realiti ini. Mengapa tidak, ini batu loncatan untuk mendampingi liga keusahawan korporat. Jika Trump mempunyai pelbagai organisasi yang besar dan kuat, saya rasa Tan Sri Tony juga tidak kurangnya. Bahkan, saya rasa ini akan melonjakkan lagi Tan Sri Tony dari segi populariti sebagai ikon dan taikun usahawan berjaya Asia! Keputusan yang sangat bijak!

Kalau anda ingin bayangkan siapakah usahawan korporat, mereka selalu digambarkan oleh media sebagai orang yang berjaya dengan penampilan pakaian yang segak berkot, berkereta mewah, mempunyai pejabat pencakar langit siap bersetiausaha, mempunyai organisasi yang ramai pekerja!

Ya! Merekalah usahawan korporat yang bekerja dalam organisasi. Dalam siri The Apprentice versi Donald Trump, semua usahawan digambarkan sebagai usahawan korporat, sepadan dengan aspirasi Mr Trump yang mahukan usahawan yang akan bekerja dalam organisasinya yang besar. Usahawan korporat sebenarnya sama sahaja dengan usahawan biasa, mereka berupaya mengambil risiko yang sederhana dan diperhitungkan, risiko peribadi dan mereka juga tidak takut dipecat!

Kerena itu, ayat “You’re Fired” oleh Mr Trump tidak menakutkan bagi mereka. Secara mental, mereka memang telah bersedia untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka.

p/s : Jika anda usahawan bukan korporat, jangan terikut-ikut dengan gambaran usahawan korporat. Tidak salah menjadi usahawan berpakaian biasa, menaiki kereta biasa dan mempunyai pejabat di rumah! Steve Jobs, pengasas Apple juga mempunyai gaya korporat yang santai yang selalu berpakaian t-shirt turtle neck berjeans. Cool kan ? :)






Kelebihan Bisnes Ketika Usia Muda

17 12 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Beberapa bulan saya tidak mencatatkan sesuatu. Mohon maaf kepada pembaca setia, kesibukan dan tanggungjawab menyebabkan saya tidak dapat mencoretkan sesuatu disini. Saya dalam misi pencarian ilmu yang tidak berkesudahan :)

Saya mengendalikan beberapa kursus keusahawanan beberapa minggu lalu khusus untuk pelajar dan juga lepasan universiti. Mereka muda belia belaka, maka suasana sepanjang kursus tidak sunyi dari gelak ketawa dan juga suasana yang menghiburkan. Satu perkara yang saya suka adalah ‘energy dan vibes’ mereka. Sunggu bersemangat, ide mereka memang segar.

Memang suatu kelebihan jika mula berniaga dari awal. Usahawan akan gagal dan bangkit semula. Proses ini berulang-ulang. Bermula awal bermakna usahawan mempunyai masa untuk bangkit semula ketika masih muda.

Proses yang saya panggil ‘cuba-gagal-cuba-jaya’ ini sebenarnya yang menjadikan bisnes berjaya. Setiap kali gagal ada elemen yang kita pelajari. Terdapat sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita pelajari apabila kegagalan berlaku iaitu ilmu meningkat, pengalaman bertambah, modal terkumpul, jaringan kenalan bertambah luas dan minat semakin mendalam.

Untuk usahawan muda, kebanyakkannya hanya mempunyai satu elemen sahaja iaitu MINAT. Empat elemen yang lain memang tiada atau sangat kurang. Kerana ini bisnes sering tidak menjadi seperti yang diharapkan…

Jika anda kenal Arnold Schwarzenegger..

Beliau menetapkan matlamat untuk menjadi Mr. Universe pada usia 15 tahun. Beliau mencapai matlamat tersebut ketika usia 20 tahun bahkan berjaya menjadi Mr. Olympia sebanyak 7 kali!

Seterusnya beliau menjadi pelakon dalam siri aksi seperti The Terminator dan Conan The Barbarian.

Sekarang beliau merupakan Gabenor California di USA!

Itu merupakan cerita gemilang.

Sebaliknya, Colonel Sanders pula memulakan perniagaan memasak ayam pada usia 40 tahun. Pada usia 65 tahun, perniagaan merosot sehingga beliau menjual perniagaannya untuk diselamatkan. Ketika itu, beliau hanya mempunyai USD105 yang diambil dari akaun sekuriti sosial. Sungguhpun begitu, KFC kekal sehingga sekarang kerana pertolongan orang.

Apa kelebihan Arnold berbanding Sanders dalam perniagaan ?

Kerana Arnold bermula awal, beliau telah meneroka lebih jauh dari apa yang beliau jangkakan. Dari sukan bina badan, menjadi bintang filem sehingga terjun dalam bidang politik. Itu satu pencapaian yang luar biasa!

Bagi Sanders pula, tiada pilihan yang banyak. Ketika berusia 65 tahun, bukan mudah untuk mencari franchisee yang boleh menjayakan semula KFC. Beliau sebenarnya lebih bernasib baik kerana punya pengalaman hidup yang lebih panjang. Di usia yang tua, tidak banyak pilihan bisnes yang ada apabila badan sakit-sakit dan tidak ’setajam’ ketika muda. Sanders meninggal dunia ketika usia 90 tahun.

Mengapa Arnold lebih berjaya ?

Arnold melalui ‘cuba-gagal-cuba-jaya’ yang lebih panjang berbanding Sanders!

Kerana itu Arnold lebih berjaya. Setiap kegagalan yang Arnold alami menjadikan beliau lebih baik, ilmu dan pengalaman beliau bertambah, kenalan semakin ramai, dan modal juga bertambah. (Arnold juga salah seorang pengasas kepada Planet Hollywood!).

Saya boleh simpulkan, memulakan perniagaan ketika usia muda memang lebih banyak kelebihan.  Bermula awal bererti kita menjadi lebih bertanggungjawab (secara lebih luar biasa) dan kematangan terbina. Minda terasah menjadi lebih tajam.

Apa yang memotivasikan saya, di akhir kursus tersebut peserta yang muda-muda belaka berkata kepada saya,

‘Kami memilih untuk melalui proses yang lebih panjang, kerana hanya dengan itu kami menjadi lebih berjaya!”

Saya mengakhiri kursus saya dengan perasaan yang lega dan penuh kepuasan..






Saat Melihat Kehidupan Dengan Mata Hati

30 09 2010

Lebih sebulan saya tidak menulis di blog. Keutamaan kehidupan saya teralih sedikit apabila saya menetapkan untuk melakukan sesuatu yang berbeza, keluar dari zon selesa setelah lebih 10 tahun dalam perniagaan. Saya tidak berkesempatan untuk menulis, seperti biasa saya lakukan bertahun dahulu. Tekad saya untuk mempelajari ilmu baru tidak pernah padam, justeru saya tinggalkan keselesaan dalam perniaagaan seketika. Saya anggap kealpaan saya untuk menulis di sini sebagai satu pengorbanan untuk mencapai apa yang saya inginkan dalam kehidupan.

Tahun ini saya beraya tanpa kembali ke kampung halaman di Selayang. Syawal tetap dirasakan meriah disambut di Sabah. Dalam keseronokan menyambut Hari Raya, saya mempunyai lebih masa sepanjang Ramadhan untuk menilai diri, muhasabah kehidupan, membetulkan niat dan juga berfikir sedikit jauh dari kebiasaan. Sesuatu yang hanya dapat dilakukan apabila perubahan yang besar berlaku dalam kehidupan.

Kehidupan di Kuala Lumpur memang sibuk, berlalu begitu laju. Kadang-kala belum sempat menghadamkan di hadapan mata, perkara yang lain muncul pula. Kitaran tersebut berlaku berulang kali. Saya sentiasa melihat perkara dengan pandangan mata dan nafsu hingga menjadi lupa, kehidupan itu juga boleh dilihat dari pandangan akal dan hati.

Pandangan akal melihat dengan penuh kajian dan penelitian dengan pemikiran mampu menganalisis. Pandangan akal disokong oleh ilmu sehingga dapat menilai sesuatu perkara tersebut dari segi ketepatan, ketelitian dan elemen yang terperinci.

Tetapi, pandangan mata hati saya kali ini cukup berbeza. Saya tidak begitu taksub dengan perniagaan, tidak begitu gelojoh untuk berdagang. Saya inginkan sesuatu yang berbeza. Pandangan saya turut terbias dengan suatu pandangan yang cukup sukar untuk saya nyatakan secara tepat.

Jika boleh saya ibaratkan kehidupan itu sebagai kuih dan saya melihat kuih tersebut dengan mata hati. Apabila melihat sepotong kuih, saya teringatkan ibu. Terkenangkan kasih-sayang, keprihatinan, ketegasan dalam kelembutan, dan segala yang terbaik darinya. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti bukan sekadar tulang, daging dan urat ibu tetapi kepada yang lebih bermakna, iaitu budi, kasih dan sayangnya.

Begitu juga dengan pandangan saya terhadap kehidupan. Saya mula mencari keredhaan, lebih keberkatan, kesucian dan pencapaian yang lebih unggul. Yang kekal, memberi kebaikan lebih luas. Yang lebih lestari.

Dan pencarian ini masih berterusan….

Saya tanyakan diri sendiri, pandangan mana yang lebih tepat dan murni ? Pandangan mata hati adalah jawapannya.

Di hari yang baik, saya panjatkan doa dari Allah s.w.t agar semua pembaca blog ini sentiasa dilindungi, dirahmati dan diberi keberkatan sebanyak-banyaknya. Moga mendapat pengakhiran yang baik dan tercapai apa yang diimpikan.

Saya dan seluruh keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin!

p/s : Teringat pula ketika kecil selalu membantu ibu membuat kuih samprit! :)







Orang Yang Gagal Mempunyai Magis

10 07 2010

Pada pandangan saya, dunia akademi memandang KESILAPAN sebagai tidak elok dan harus dijauhi. Dalam dunia pendidikan, lebih banyak kesilapan dilakukan seseorang, lebih kurang bijak seseorang itu akan kelihatan.

Kerana itu, ada masanya saya kurang berminat untuk ke sekolah. Setiap kesilapan yang dilakukan dipandang negatif. Saya tidak tahu mana silapnya sistem pendidikan kita, tetapi melakukan kesilapan di sekolah bukan dilihat dari aspek positif. Lebih teruk, saya dihukum kerana melakukan kesilapan!

Mereka yang belajar dari dunia jalanan (street smart) pula mempunyai pandangan berbeza mengenai konsep melakukan kesilapan. Dalam dunia perniagaan, lebih banyak kesilapan yang dilakukan membuka lebih banyak peluang untuk mempelajari benda baru, sesuatu yang tidak pernah diketahui sebelumnya.

Kesilapan adalah ibarat magis. Apabila sesuatu yang baru dipelajari, maka perspektif terhadap perniagaan akan menjadi lebih baik. Ibarat kita belajar menunggang basikal. Kesilapan demi kesilapan memang mengecewakan. Sehinggalah kita mampu mengayuh, mengimbangi dan mengawal basikal, maka rodanya akan berputar dengan sendirinya. Dunia baru akan terbuka. Suatu keajaiban yang baru ditemui dalam kesilapan.

Banyak kesilapan dalam perniagaan yang membuka dunia kejaiban yang tidak pernah terbayangkan sebelumnya.

1. Warren Buffet telah tersilap membeli Berkshire Hathaway, sebuah syarikat pengeluaran T-Shirt yang hampir lingkup. Kini, Berkshire Hathaway antara syarikat yang mempunyai saham syarikat yang tertinggi di dunia.

2. Syarikat Diamond Fields yang sepatutnya mencari berlian sebagai bisnes utama tetapi sebaliknya menjumpai nikel. Saham syarikat melonjak naik serta merta selepas penemuan nikel.

3. Levis Strauss menuju ke California untuk mencari emas tetapi gagal menemuinya. Akhirnya menjahit seluar dari kanvas untuk pelombong emas. Sekarang ini siapa yang tidak kenal jeans Levi’s.

Semua itu adalah kerana kegagalan dan kesilapan awal. Ia dihukum dengan mungkin kerugian dalam wang ringgit tetapi dalam waktu yang sama, iktibar dari kesilapan menjadikan ia lebih baik dari sebelumnya.

Christopher Columbus juga melakukan kesilapan apabila mencari laluan perdagangan ke negara China tetapi akhirnya menemui Amerika! Lihatlah apa kemajuan negara yang berpengaruh di dunia sekarang.

Founder IBM juga pernah menyatakan ” Jika ingin mendapatkan kejayaan yang pantas, GANDAKAN kegagalan!”.. Lebih banyak silap, lebih cepat kita capai kejayaan.

Walau bagaimana pun, saya tidak menyalahkan sistem pendidikan di Malaysia yang menjadikan kita takut untuk melakukan kesilapan. Itu zaman yang telah berlalu.

Tokoh usahawan terkenal Malaysia, Syed Mokhtar al-Bukhari pernah menyatakan bahawa orang hanya akan melihat yang berjaya sahaja. Apa kesilapan, kegagalan lalu tidak pernah terlintas di fikiran. Orang tengok yang baik-baik sahaja.

Ambil iktibar. Apa yang lebih penting adalah apa yang dipelajari dari kesilapan lalu yang membolehkan kita terus maju dan menemui keajaiban atau magis yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

p/s : Saya dalam mode menghadapi kegagalan. Jadi kali ini saya menulis untuk memotivasikan diri sendiri. Moga anda juga mendapat manfaat. :)






Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.