Usahawan Baru : Menghadapi Tentangan Keluarga

9 09 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya menerima mesej dari seorang sahabat lama. Sebelum ini beliau merupakan seorang pekerja makan gaji yang stabil dari segi pendapatannya. Sehinggalah beliau memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.

Kini, apabila telah berniaga sendiri beliau menerima tekanan yang cukup kuat dari keluarga yang tidak menyokong tindakan beliau walau pun perniagaan beliau telah menunjukkan hasil. Pada pandangan keluarga, bekerja makan gaji dengan kerajaan adalah lebih baik. Beliau sekarang runsing sama ada keluarga mertuanya entah berkenan atau tidak dengan tindakan beliau.

Saya ingin kongsikan jawapan saya kepada beliau :

********************&&&&&&&&&&&&*******************

Salam Tuan,

Moga sentiasa dilindungi Allah sentiasa. Dalam catatan yang ringkas :

1. Paling penting, isteri Tuan sentiasa dibelakang dan menyokong. Biasanya orang rumah ni, mereka bimbang tentang kemampuan kita untuk komitmen dan sara keluarga. Tuan banyakkan berbincang, ini membantu dia untuk terus percaya dengan apa yang Tuan lakukan.

2. Kena buktikan dahulu, apa yang keluarga Tuan dapat ketika makan gaji adalah sama dengan apa yang keluarga dapat ketika tuan buat bisnes. Kalau dulu makan KFC sebulan sekali, lepas bisnes mesti kekalkan yang sama. Kalau dulu wang dapur RM1K sebulan, kekalkan sumbangan tersebut.

Bila berniaga, yang banyak berkorban adalah keperluan diri sendiri dahulu, bukan keperluan keluarga. Jika mereka perlu berkorban sekalipun, janjikan pengorbanan tersebut akan berbaloi dalam satu jangkamasa. Contohnya, tuan meminjam wang simpanan keluarga sebanyak RM1000 yang dijanjikan untuk dibayar dalam masa 1 bulan. Cukup masa, pastikan ia dibayar.

3. Jika perlu, buat semula pengurusan kewangan keluarga. Berbelanja berhati-hati. Selalunya, ada banyak pembelian yang membazir yang boleh dijimatkan.

4. Dalam satu jangkamasa, perlahan-lahan pertingkatkan aset untuk keluarga. Mulakan dengan wang simpanan dahulu. Tambahkan sedikit-demi sedikit. Isteri akan lebih hargai.

5. Seterusnya insurans dan perlindungan takaful untuk keluarga. Jika kita tidak berupaya dan tiada pence, keluarga kita perlu terbela. Tidak perlu beli insurans atau takaful yang mahal. Cukup untuk hospitalization dan ward coverage untuk seluruh ahli keluarga sahaja.

6. Kebanyakan orang hanya menilai perniagaan pada nilai material sahaja (apa yang kita pakai, apa yang kita pandu, rumah kita)… Tetapi itu cuma simbol kekayaan. Tidak perlu menunjuk hanya untuk memuaskan hati orang. Yang penting, keluarga Tuan bahagia dan keperluan mereka terpenuhi. Insyallah, rezeki Allah sentiasa menunggu.

7. Bila keluarga mertua bertanya, cakap yang baik-baik sahaja tentang perniagaan. “Perniagaan berkembang, client baru, pengalaman yang baik…” Jangan ceritakan yang negatif, mereka akan cepat susah hati dan akan mula menunding jari menyatakan tindakan kita berniaga salah. Kita bukan berbohong, cuma kita perlu redakan antagonis.






Mahu Pinjaman Perniagaan ? Fikir Dahulu

6 07 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kelihatan blog ini tidak tersentuh sepanjang bulan Jun 2011.  Trip ke Cambodia memang menyebabkan saya menghilang seketika. Dan yang lebih penting dan bermakna, saya mendapat ahli baru dalam keluarga.  It’s a boy! Sewajarnya, terabai seketika blog ini :)

Apapun, sejak akhir-akhir ini banyak carian di Google yang mencari cara-cara membuat loan dan pinjaman perniagaan.  Sedikit pertimbangan yang saya boleh kongsikan :

1. Jika baru berniaga atau dengan niat mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan, saya syorkan agar simpan sahaja dahulu niat suci tersebut. Boleh saya katakan hampir SEMUA bank tidak akan memberikan pinjaman kepada anda. Itu saya sangat pasti. Kecuali dengan skim-skim pembangunan usahawan yang tertentu, mungkin anda bernasib baik.

Sebabnya adalah mudah kerana bank tidak mahu memberi pinjaman kepada mereka yang belum terbukti berjaya. Kalau mereka beri pinjam, peluang untuk mereka kuting semula duit adalah rendah. Pilihan yang anda ada adalah bootstrapping yang merujuk kepada sumber-sumber kewangan lain seperti duit mak abah, duit saving, duit kawan-kawan dan sebagainya.

2. Kalau telah mula berniaga sekurang-kurangnya 6 bulan, peluang untuk pinjaman masih baik, tetapi jumlah pinjaman biasanya rendah sekitar RM1,000 sehingga RM10,000. Jika anda mementingkan masa, sungguh membuang masa untuk membuat kertas kerja, mencari penjamin dan segala macam dokumentasi yang diperlukan. Berbaloikah ?

3.  Jika anda telah setahun berniaga, institusi pinjaman memerlukan 1001 dokumentasi yang lengkap. Sudahkan syarikat anda diaudit? Bagaimana dengan sistem perakaunan anda? Penyata akaun anda cukup cantik untuk dipersembahkan ? Perniagaan anda cukup menguntungkan untuk membayar balik pinjaman ? Jika syarikat anda lebih dari 3 tahun,  derita untuk menyediakan penyata kewangan juga terheret sama kerana memerlukan penyata untuk 3 tahun!

4. Anda meminjam untuk beli apa ? Beli lori? Beli kilang? Beli tanah? Atau anda meminjam sebagai modal pusingan ? Pinjaman untuk pembelian aset lebih baik dari untuk tujuan lain. Kerana aset tersebut sendiri boleh menjadi cagaran (collateral) jika pinjaman tidak terbayar semula.

5.  Cuba letakkan diri anda sebagai pemberi pinjam wang / bank. Anda rasa anda mahu atau tidak berikan pinjaman kepada syarikat seperti yang anda miliki sekarang ini? Kalau anda sendiri keberatan untuk memberi pinjam, apatah lagi bank!

Hmm.. Bukan untuk melemahkan semangat, tetapi bergantung harap kepada duit orang lain untuk permulaan perniagaan adalah sesuatu yang susah. Kecualilah anda mempunyai bapa yang kaya raya, atau mewarisi harta berjuta, mungkin tidak mengapa.

p/s : Jangan pula pergi ke Along untuk pinjam wang ya… Mereka memang boleh tolong, tapi mesti mau potong (tangan!) :)