Fenomena Membeli Like Facebook

20 12 2012

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apabila Fanpage baru dibuka, maka membuak-buaklah rasa untuk mempunyai jumlah Like yang tinggi. Bagi selebriti atau jenama yang terkenal, untuk mencecah puluhan ribu malah ratusan ribu Like, bukan perkara besar. Seperti mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, mencapai jumlah Like sejuta (Ya! 1,000,000) tidak terasa peluhnya!

Apabila melihat kegilaan orang mempunyai Like yang tinggi, maka jenama biasa seperti peniaga atau pedagang kecil mulalah memasang angan-angan yang sama besar. Mahu jumlah Like yang tinggi.

Penyakit ini berjangkit kepada organisasi. Apabila saya mengendalikan seminar bersama pegawai perhubungan awam agensi kerajaan, mereka katakan Ketua Pengarah hanya mahu tahu berapa Like yang telah mereka perolehi! Aduh.. KP juga tidak tahu apa-apa….

Tujuannya mudah sahaja. Like yang tinggi bererti capaian terhadap individu lebih tinggi. Dalam konsep pemasaran, ini dipanggil konsep ‘funnel’. Jika ramai orang yang boleh dicapai, maka kempen dan promosi boleh disebarkan dengan lebih luas. Kalkulasi mudah, jika Like adalah 1,000,000 dan sasaran jualan cuma 1 peratus, maka prospek jualan adalah 10,000 orang. Jika satu barang berharga RM1, maka sasaran jualan adalah RM10,000. Funneling adalah cara untuk membantu jualan.

Bagi organisasi, Like yang banyak bererti sokongan dari pihak awam. Maka lebih mudah menyampaikan agenda kerajaan.

Penyakitnya sekarang apabila Like menjadi penanda aras mengukur prestasi pemasaran Facebook. Adakah benar Like penanda aras yang tepat ?

Disangkakan benar, maka bermulalah Fenomena membeli Like untuk mendapat ‘pengikut’. Tawaran pakej perkhidmatan ini sungguh lumayan pulangannya. Dengan pelaburan serendah RM30, perkhidmatan ini akan menambah Like sehingga 1,000 dalam masa tidak sampai 7 hari!

Tiba-tiba perkhidmatan menaikkan Like menjadi begitu popular di internet!

Dalam masa yang singkat, Page kelihatan begitu popular dan ramai pengikutnya. Hebat! Mungkin KP akan kembang hidung bila Like page organisasi mereka tinggi melangit berbanding organisasi lain.

Sebenarnya perkhidmatan Like boleh ditambah melalui beberapa kaedah teknologi. Pendekatan seperti ‘malware’, akaun yang tidak selamat dan memperdaya pengguna. Kerana itu peningkatan Like boleh secara mendadak.

Hakikatnya, peningkatan dalam Facebook atau sebarang media sosial hendaklah bersifat organik, secara alami (natural) dan mengambil masa. Ini memberi kesan yang lebih ‘manusiawi’ apabila kandungan yang disampaikan mendapat respon, Like dan mewujudkan perbincangan. Seterusnya kandungan yang berkualiti akan disebarkan secara viral.

Tindakan membeli Like bukan sahaja tidak bijak, tetapi tidak mendatangkan hasil dalam jangkapanjang. Apalah guna mempunyai Like yang banyak, tetapi tiada interaksi yang berlaku.

Biar lambat, asal berhasil!






Helo Usahawan!

16 10 2012

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Akhirnya! Saya berkesempatan semula untuk menulis di blog ini selepas tepat 8 bulan ditinggalkan. Sepanjang 8 bulan, apa perkara terbaru yang dikongsikan ?

Update #1 : Mulai awal tahun 2012, saya telah mula membangunkan sendiri modul latihan yang berkaitan media sosial untuk organisasi dan juga perniagaan. Ini menjadikan Irwan Dahnil Consulting satu-satunya perniagaan tempatan yang membangunkan modul sendiri untuk perniagaan. Jika anda ingin menggunakan media sosial sebagai saluran pemasaran atau ingin menguruskan media sosial organisasi anda, modul ini telah disiap untuk dilaksanakan. Insyallah, akan saya war-warkan sedikit masa lagi.

p/s : Ia media sosial. Bukan Facebook semata-mata.

Update #2 : Saya kini secara profesional menjalankan latihan, menjadi trainer, jurulatih, mentor, speaker, penyelidik dan perundingan dalam 3 bidang utama ; media sosial, pemasaran, internet dan keusahawanan. Walaupun perkhidmatan ini telah saya tawarkan sejak dahulu lagi, tetapi baru kini saya akan mula ‘monetize’kan skill ini. Jika ada jemputan, boleh hubungi saya :)

Update #3 : Saya akan kembali ke dunia pemasaran internet sedikit masa lagi. Mulai tahun 2013, saya akan menawarkan ‘keahlian eksklusif’. Tentunya ia berbayar, tetapi yuran yang berlegar di fikiran saya hanya RM1 seumur hidup!

Cukup dahulu 3 update ini. Sehingga bertemu di catatan akan datang.






Hidup Dalam Dua Dunia : Antara Bumi dan Facebook

17 01 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Internet sudah berada dalam generasi kedua, yang juga dikenali sebagai Web 2.0. Ini bermakna  web bukan hanya untuk mendapatkan maklumat tetapi menjadi platform kolaborasi, bertukar maklumat dan berkongsi sesuatu. Web 2.0 membolehkan kita lebih ‘connected’ dengan rakan yang lain dalam dunia maya.

Kerana itu wujud dunia maya, suatu dunia lain yang tercipta disebabkan terdapat kumpulan-kumpulan yang berinteraksi seperti dunia biasa. Kalau dalam dunia biasa, kita bersembang dan menghabiskan masa di kedai kopi. Kini Facebook dan MySpace menjadi ‘kedai kopi’ untuk kita mengetahui apa yang berlaku dikalangan rakan kita.

Pendek kata, segala apa yang kita lakukan secara konvensional, juga boleh dilakukan di ‘bumi’ baru, sebuah dunia digital yang dikenali sebagai dunia virtual.

Apabila Facebook dan MySpace telah mengambilalih, cara interaksi kita turut berkembang :

1. Berniaga secara 24 jam, tidak terbatas dengan kedai 10 pagi hingga 10 malam. Mempromosi produk dan perkhidmatan di Facebook memang telah menjadi kebiasaan. Hinggakan menjadi satu limpahan iklan yang membanjiri News Feed.

2. Mencari jodoh menjadi lebih mudah. Lihat sahaja status perkahwinan, lihat foto, perhatikan lingkungan kenalan dan aktiviti harian, baca status dan bahasa yang digunakan, kenali peribadi dan latarbelakang. Boleh diibaratkan ‘katalog’ untuk mencari ribuan calon suami/isteri telah tersedia di Facebook. Yang seronoknya, maklumat ini adalah maklumat yang terdedah, tidak perlu penyelidikan yang sukar. Tidak perlu risik-risik. :)

3. Mencari calon pekerja yang terbaik. Dengan Facebook, peribadi seseorang sangat terserlah yang dipancarkan daripada penampilannya di dunia virtual. Apabila kelulusan dan pencapaian akademik bukanlah merit penilaian semata-mata, mengenali hati budi juga melalui Facebook. Kajian menunjukkan Facebook sering menjadi tempat untuk seseorang itu meluahkan perasaan,  sesuatu yang terbuku di hati dan susah untuk diluahkan secara berhadapan. Hakikatnya, tiada lagi rahsia yang tidak diketahui umum!

4. Membeli dan memilih barangan tidak hanya terhad dengan membandingkan harga dan kualiti produk. Kini ia menjadi lebih telus. Identiti penjual boleh diketahui. Kita juga boleh mendapat respon daripada pelanggan terdahulu (sama ada ada rungutan atau tidak). Bahkan peribadi penjual juga boleh kita nilai. Acapkali saya menolak tawaran dari agen insurans/takaful, jika peribadi mereka di Facebook tidak saya gemari. Begitu juga dengan penjual yang beriya-iya mempromosikan ubat kurus bila kelihatan dimata saya ubat tersebut tidak berkesan kepada si penjual!

5. Orang yang berpengaruh bukan hanya terbatas kepada ahli politik, selebriti atau artis sahaja. Facebook boleh mengangkat seseorang menjadi selebriti sekelip mata! Sebaliknya juga, Facebook juga boleh menjadi platform untuk membenci dan menganiaya orang.

6. Facebook menawarkan pelbagai bentuk permainan online. Tiada lagi istilah bosan bermain permainan kerana setiap hari pasti ada permainan yang baru. Kerana itu anak zaman sekarang lebih gemar duduk dirumah dan bermain internet berbanding bermain galah panjang atau polis sentri!

Perkembangan Web 2.0 mewujudkan dunia yang baru, yang lebih personal, mempunyai elemen kemanusiaan dan perkongsian pelbagai maklumat yang lebih mendalam. Ini hanya terjadi bermula sekitar di awal alaf baru ini. Sebelum ini, perkara ini tidak pernah diimpikan.

Insyallah, mulai 2011 saya akan mula menulis mengenai dunia virtual ini, kesan, akibat, etika, budaya, sosioekonomi dan juga pelbagai perkara yang dirasakan releven. Saya akan buatkan satu kategori khas dalam blog ini yang saya namakan Dunia 2.0.

Sementara kita bersyukur dengan wujudnya Bumi yang dijadikan Allah, kita juga perlu sedar bahawa wujud ‘dunia kedua’. Bagaimana terurusnya dunia yang baru ini, bergantung kepada kita, sesuatu yang perlu kita perhatikan demi kemaslahatan tamadun manusia.