Puas Hati Menjadi IM : Apa Kata Anda ?

26 05 2010

Ketika saya memulakan perniagaan di internet, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dan pengetahuan. Kuncinya hanya satu. saya banyakkan membaca dan tambahkan ilmu. Tetapi ada satu lagi metod yang saya gunakan untuk melonjak lebih cepat dengan mencari mentor.

Walaupun saya berjaya menemui mentor yang saya inginkan, ia bukanlah proses yang mudah. Kini senario mencari mentor lebih simple.Buku dan seminar perniagaan internet pula lebih ada di mana-mana. Alhamdulillah, ia tidak sesukar dahulu. Ini memberi satu indikasi bahawa industri ini berkembang dengan sihat.

Sudah hampir hampir 5 tahun saya terlibat dengan perniagaan di internet, kini saya mencari sedikit nilai tambah dalam industri perniagaan internet. Saya masih lagi berfikir dan masih belum mendapat jawapan :

1. Carian di Google masih belum menemukan saya dengan latihan atau kursus perniagaan internet tempatan yang benar-benar memuaskan hati. setiap kursus atau seminar internet hanya berlangsung dalam jangkamasa pendek yang rata-ratakan sekadar kursus satu hari.

Mungkin Tuan/Puan boleh kongsikan kursus, seminar dan latihan pemasaran dan perniagaan internet yang terbaik anda pernah hadiri ?

2. Industri perniagaan internet belum ada payung lindungan seperti dewan perniagaan dan kelab. Perniagaan internet lebih hampir dengan projek ‘indie’, individual dan ‘one-man-show’. Mungkin ini mengapa dirasakan belum perlu sebuah pertubuhan, organisasi atau badan yang membantu IM tempatan sendiri.

3. Saya masih mencari universiti dan institut pengajian tinggi yang menawarkan pengajian, latihan atau kursus yang berkaitan dengan pemasaran dan perniagaan internet. Di luar negara sudah ada. Jika anda mempunyai sebarang pandangan, saya mohon agar dapat dikongsikan.

4. Belum ada konsep persijilan dalam perniagaan dan pemasaran internet. Persijilan bermaksud individu yang menerimanya diperakui oleh satu badan yang mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan dan pemasaran internet.

5. Perkhidmatan profesional yang belum mencapai tahap profesional. Ketika ini sesiapa sahaja boleh mendabik dada menyatakan mereka adalah jaguh di internet. Benarkah ?

6. Bantuan kerajaan yang masih rendah. Adakah kerajaan masih lagi di zaman batu, yang meletakkan syarat perniagaan yang berjaya mesti ada kedai, premis dan pejabat. Kalau tiada kedai tidak kelas katanya. Saya mencari-cari bentuk bantuan khusus yang kerajaan boleh tawarkan.

Saya memohon Tuan/Puan yang mempunyai pandangan mengenai 6 isu diatas untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya, jika saya dapat mengenalpasti satu bentuk model kursus perniagaan internet yang boleh dijadikan satu kayu ukuran, saya ingin membawa industri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Atau adakah saya sebenarnya bermimpi di siang hari apabila semua perkara diatas tidak releven langsung dalam industri IM ?

What cu say ? :)

Salam Usahawan!






5 Cara Mencipta Kredibiliti Perkhidmatan Melalui Perkongsian

13 04 2010

Berbeza dengan menjual produk fizikal di internet, menjual perkhidmatan adalah lebih subjektif. Perkhidmatan seperti terjemahan, perkhidmatan latihan, perunding kewangan, menjual insurans, perunding perniagaan dan seumpama dengannya bukanlah begitu mudah untuk dijual. Ini disebabkan persaingan yang hebat dan ramai pula yang menyediakan perkhidmatan yang sama.

Jadi bagaimana untuk menonjolkan diri, menyatakan anda yang terbaik dan mampu memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati ? Untuk menjual perkhidmatan, sebenarnya kita perlu ‘masuk ke minda pelanggan’. Caranya adalah dengan kita manipulasi
sepenuhnya gelagat pelanggan di internet.

Cuma selidiki gelagat pelanggan melayari internet. Mereka sebenarnya mencari maklumat lanjut, bukti-bukti kejayaan dan kredibiliti dari laman web. Mereka akan menyelidik, membaca, melihat dan menilai. Mereka menjustifikasikan perkhidmatan dan membuat perbandingan. Di minda, mereka mencari sebuah perkhidmatan yang dirasakan paling sesuai selepas dibuat penilaian.

Sedar atau tidak, apa yang mereka sendiri lakukan tadi merupakan proses ‘tarbiah’ atau ’self-finding’. Secara mudahnya, pelanggan yang sebenarnya mencari perkhidmatan! Ini sudah dikira terbalik dari proses mencari pelanggan. Itulah kesan apabila telah meresapi ke minda pelanggan. Maklumat yang telah mereka baca dan fahami akan membentuk kepercayaan.Apabila kepercayaan telah wujud, maka untuk berjual beli menjadi lebih mudah.


Salah satu cara untuk meresapi minda pelanggan sehingga terjualnya perkhidmatan di internet adalah dengan berkongsi pengetahuan. Berkongsi di internet sangat mudah. Melalui blog, forum, social networking dan sebagainya.

5 Cara Mencipta Kredibiliti Perkhidmatan Melalui Perkongsian

1. Menghasilkan catatan di blog untuk dikongsi. Jangan pedulikan sangat mengenai bahasa jika ingin bermula. Teruskan sahaja menulis, asalkan ia memberi manfaat kepada golongan sasar. Tuliskan sesuatu bagaimana perkhidmatan anda sesuatu boleh mengubah diri pembaca secara positif. Bezakan blog peribadi dengan blog perkhidmatan. Elakkan menulis terlalu peribadi sifatnya. Menulis sesuatu yang terlalu teknikal juga tidak memberi kesan.

2. Berkongsikan pengalaman dan kehidupan profesional yang anda lakukan. Apabila anda menghadiri meeting, seminar atau bengkel, ambil gambar dan uploadkan. Jika anda lulus peperiksaan profesional, atau menamatkan pengajian buatkan sedikit catatan kejayaan anda. Kongsikan dengan semua kenalan. Kongsikan yang positif, bukan luahan perasaan yang marah, tidak puas hati, menyumpah-nyumpah.

3. Niat berkongsi adalah untuk menyelesaikan masalah orang lain. Jangan bersifat ‘menjual’. Letakkan perkhidmatan itu sebagai penyelesai masalah orang lain, ia akan kelihatan seperti membantu dan bukan wang semata. Jadikan diri anda kelihatan seperti doktor di klinik. Doktor membantu menyembuhkan penyakit walau sebenarnya ia perkhidmatan berbayar.

4. Sediakan support group, ruangan untuk interaksi. Anda boleh kelolakan forum sekiranya mampu. Jika anda keberatan untuk meletakkan nombor telefon peribadi anda, minta mereka tambahkan anda sebagai kenalan di Facebook. Chat box juga cara yang mudah dan simple untuk mereka berinteraksi dengan anda. Pelanggan ini bertanya dengan anda secara percuma barulah mereka melihat perkhidmatan anda.

5. Penulisan anda mengandungi idea yang sarat dengan idealogi dan perjuangan. Ia mungkin tidak diterima sekarang, tetapi ia mempunyai peluang yang cerah untuk diterima di masa hadapan. Di peringkat awal saya menulis mengenai pemasaran SMS untuk IKS, saya menerima banyak rejection, dan kontroversi. Tetapi ini semua merupakan proses yang memandaikan pembaca. Pembaca yang terasa dirinya pandai akan lebih mudah membuat keputusan untuk membeli.

Wujudkan juga suasana tidak formal dan santai. Sesekali boleh juga selitkan lawak (yang anda rasa kelakar), bahasa pasar, ucapan selamat dan juga perbincangan ringan seperti hobi dan keluarga. Tanpa kita sedari, pelanggan akan menjadi kawan. Itulah sebenarnya yang sangat kita inginkan bila menjualperkhidmatan.

Kawan menolong kawan. Kawan yang juga tidak makan kawan!






Membezakan Perniagaan Sebenar dan Skim Perniagaan di Internet

9 03 2010

Catatan ini saya tujukan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan di internet. Mereka masih baru dalam bisnes internet, jadi sering menjadi mangsa dengan skim bisnes, money game, head hunting, MLM online dan 1001 skim. Skim ini akhirnya lebur, hancur dan runtuh. Mereka yang baru setahun jagung terlibat dengan bisnes internet akan pasrah, kecewa dan motivasi berada di paras bawah.

Kecuali didorong oleh perasaan tamak dan inginkan pulangan segera, mereka yang baru berjinak dengan perniagaan di internet harus mencari ‘mazhab’ yang betul. Kenali industri, kenali pemain di dalamnya.

Mengenai pemain perniagaan internet sebenarnya tidaklah sesusah mana. Pemain yang hebat mempunyai ciri-ciri dan kualiti seperti berikut :

1. Mereka mempunyai komuniti dan selalu berinteraksi di internet. Mereka mempunyai rangkaian kenalan sosial yang luas dan mungkin juga mempunyai pengikut yang ramai. Mereka selalu berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Sekali sekala mereka akan mengadakan pertemua tidak rasmi seperti sesi teh tarik.

2. Perniagaan mereka memerlukan usaha dan biasanya ia bukan berjaya sekelip mata. Mereka telah melalui zaman percubaan selama beberapa tahun sehingga mereka ketemui formula mereka sendiri dan membentuk lingkaran kenalan yang berkualiti.

3. Fokus dan mengkhusus kepada produk atau perkhidmatan bukan hanya wang semata-mata. Mereka akan berinovasi menghasilkan produk atau perkhidmatan dengan menitikberatkan kualiti supaya produk tersebut dapat meningkatkan kehidupan orang lain. Ia tidak mensasar jualan semata-mata. Mereka TIDAK PERNAH atau akan bercerita “Jika bayar RMxxx akan dapat pulangan RMzzz”.. Pantang mereka untuk

4. Mereka memberikan khidmat nasihat dan pandangan yang tanpa bias, prejudis atau berat sebelah. Mereka tidak pro kepada mana-mana pihak dan sering berada dalam keadaan berkecuali, natural dan kritis. Pandangan dan idea mereka ini sering kali diterbitkan secara percuma di internet melalui blog, ebook percuma atau forum. Dan seringkali juga, catatan mereka ini menjadi bahan rujukan tidak rasmi, diangkat sebagai autoriti untuk berbincang mengenai sesuatu topik.

5. Mempunyai personaliti dan identiti. Apa yang keluar dari mulut mereka biasanya adalah emas!

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mendekatkan diri dengan individu ini. Mula berbaik dengan lingkaran kenalan disekelilingnya. Terlibat sama dalam perbincangan online, forum atau Facebook. Jika mempunyai masa, sertai sesi teh tarik mereka!

Sedikit sebanyak kita juga akan menjadi sebijak mereka dalam membezakan mana satu skim perniagaan atau perniagaan sebenar. Kita akan bijak membezakan yang mana intan dan yang mana kaca!






5 Tips ‘Otai’ Mengekalkan Pendapatan di Internet

4 03 2010

Orang kata, di internet mudah dapat duit. Senang mencari wang ringgit. Sertai affiliate, Adsense dan pelbagai lagi. Di internet, dengan menjual informasi memang boleh menghasilkan pendapatan. Bagi sesiapa yang baru menjana pendapatan di internet mengetahui bisnes secara kecilan di internet menghasilkan pendapatan yang kecil, berkala dan juga bermusim. Dah namapun bisnes kecilan.. Bila ada ebook baru dikeluarkan, semua akan mempromosikan ebook yang sama. Bila ada produk baru dilancarkan, pun jadi begitu. Ia datang dan pergi. Bermusim.

Tetapi mengapa ada antara mereka yang dikenali sebagai ‘otai’ (orang lama) di internet dapat mengekalkan pendapatan mereka ? Mereka ada formula mereka sendiri. Mengikut pengamatan saya, mereka ini mempunyai ciri-ciri berikut yang diamalkan. Kira macam petualah ni:

1. Mereka ada masa untuk produk

Walau dalam kesibukan dan hiruk pikuk dunia internet, mereka peruntukkan masa untuk membina produk mereka sendiri. 60% masa digunakan untuk membuat hal sendiri, kajian dan penyelidikan dan juga pembangunan produk dan selebihnya barulah digunakan untuk menyertai affiliate atau bersosial di internet. Itu pun, mereka sangat memilih program yang ingin disertai, tidak secara terburu-buru dan sangat santai. Mereka tidak terikut-ikut dengan cakap-cakap.

2. Mereka mencipta formula

Mereka bukan berniaga di internet setahun dua. Lebih dari itu, mereka telah terlibat dengan pelbagai perniagaan di internet. Sehinggakan mereka mampu memetakan senario perniagaan dengan jelas, menganalisa, membuat kajian dan ujian dan akhirnya menemuni formula mereka sendiri. Mereka akan dapat satu formula produk apa yang berpotensi untuk dibangunkan. Kerana itu, kebanyakan otai ini dikenali sehingga kita.

3. Membina rangkaian dan lingkaran kenalan

Mereka mempunyai rangkaian kenalan yang luas dan ini adalah WAJIB! Kenalan pula selalunya mereka akan kelaskan kepada 2 golongan; 1. Pengikut 2. Rakan niaga. Mereka akan tahu menilai rakan mana yang diperlukan untuk tujuan tertentu.

4. Fokus dalam bidang

Memang itulah lumrah IM yang terkenal. Mereka dahulu juga hingusan yang bermain dengan wang kecil. Semua bisnes nak dicuba, semua produk dipromotekan. Yang penting dapat duit. Tetapi bila sudah semakin senior, mereka semakin senyap, memilih dan juga fokus. Mereka usahakan pendapatan pasif, dan juga meningkatkan saiz pendapatan. Pendapatan kecil tidak lagi menarik minat mereka. Oleh itu, mereka khusus dalam bidang masing-masing. Cuba lihat sekeliling, siapakah yang dikenali sebagai pakar Ebay ? Pakar Blog ? Pakar produk fizikal ? Pakar dropshipping ? Pakar Lelong ?

Pakar SMS ? :D

5. Membina jenama dan identiti

Mereka menuju kepada pembangunan jenama peribadi. Mereka menggunakan strategi jenama untuk menjual produk dan perkhidmatan mereka. Mereka mula menggunakan strategi ‘lautan biru’ meneroka perniagaan yang lebih kekal dan berdaya saing. Mereka tidak kisah jika produk mereka tidak laku sekarang, tetapi mungkin setahun dua lagi, mereka mula menjana pendapatan secara passive.

Inilah disebut Formula Rahsia. Terokai diri kita, adakah kita juga sedang mencipta formula rahsia ?






9 Sebab Saya Perlu ke Malaysia Internet Summit 2010

9 02 2010

Malaysia Internet Summit akan diadakan pada 21 Februari 2010 di PWTC Kuala Lumpur.  Adakah anda akan menghadirinya ? Bagi saya ada sebab mengapa saya akan menghadiri acara penting industri pemasaran internet ini..

1. Sejak 2005, saya tidak pernah saksikan penyertaan pakar pemasaran internet paling ramai yang akan berkongsi satu pentas. Sebelum ini kalau ada sekalipun mungkin seramai 5 atau 6 orang pakar sahaja, tetapi kali ini 12 orang! Ia ibarat Anugerah Grammy dalam industri muzik!

2. 12 orang panel adalah panel paling lengkap dengan penguasaan cabang pemasaran internet masing-masing. Dari segenap sudut, bermula dengan produk digital dan ebook sehinggalah produk fizikal. Tidak terkecuali seperti pakar affiliate, pakar Ebay, SEO dan pakar blog.Setiap panel mempunyai kekuatan masing-masing.

3. MIS tidak ‘gender bias’ kerana turut membawakan seorang panel wanita yang cukup berpengaruh. Jangan segan kalau anda seorang wanita, anda tidak pernah dilupakan :D

4. Acara sampingan Social Networking turut akan disertai oleh tetamu jemputan yang dekat dihati. Oleh itu, sepanjang MIS turut serentak berlaku aktiviti yang meningkatkan rangkaian sosial anda.

4. Menghadiri seminar dan persidangan seperti ini adalah cara yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu selain dari membaca buku, mendengar audio dan sebagainya.  Sekurang-kurangnya 3 kali seminar dan latihan dalam setahun.

Maklumat panel dan pakar yang hadir, ada DISINI!

5. Jika anda memandang ke hadapan, ini adalah masanya untuk mencari business venture. Lebih mudah untuk berurusan dihari kemudian. Hulurkan kad perniagaan anda, dan hubungi mereka nanti melalui email. Bayangkan email yang anda akan kirimkan berbunyi begini :

” Assalamualaikum Tuan XXX, Saya doakan agar tuan berada dalam keadaan sihat. masihkan tuan ingat pertemuan kita di MIS2010 dahulu?  Saya sebenarnya memerlukan pandangan tuan ….. “

Joint Venture lebih mudah bermula apabila kita pernah bersua muka. Rakan JV akan memberi maklum balas yang lebih kepada anda, kita pernah berjumpa berbanding orang yang tidak dikenali. Kalau tak percaya, cubalah!

6. Jika anda datang sebagai penuntut, ini adalah peluang anda untuk memilih sifu yang tepat. Hanya belajar dari yang terbaik!

7. Anda tidak akan berasa ‘kecil’ kerana ramai juga orang yang setaraf dengan kita. Tiada peserta yang kecil, tiada impian yang terlalu besar!

8. Peluang bergambar dengan mereka yang berpengaruh. Ingat frasa “Great mind think alike”. “A feather of birds flock together” ? Gambar bersama orang berpengaruh akan memberikan limpahan aura kepada anda. Anda juga akan dikenali sebagai orang yang mempunyai kenalan dikalangan mereka yang hebat. Bayangkan rakan anda berkata ” Eh! Engkau berkawan dengan Irwan Dahnil ye ?”, contoh je…

9. Ini adalah MIS yang julung kali diadakan. Kemungkinan untuk diadakan lagi adalah pada tahun hadapan pula. Menjelang tahun hadapan, senario pemasaran internet telah berlaku. Adakah anda akan terus ketinggalan nanti?

Saya juga ingin berjumpa anda DI SANA!!

Sebenarnya kita tidak perlu sebab untuk hadir ke MIS 2010. Kita hanya perlukan dorongan.

Insyallah, jumpa di sana!






Tips Menulis Profil dan Deskripsi Peribadi

21 01 2010

Penampilan melalui foto di internet adalah penting kerana ia adalah cara pintas bagaimana orang mengenali diri anda. Sesuai dengan matlamat membina kenalan dan lingkungan rangkaian, semua orang sukakan penampilan yang menarik.

Perkara seterusnya yang dinilai adalah mengenai informasi diri. Cerita mengenai diri sendiri juga memberi tafsiran kepada orang lain. Ia boleh jadi dalam bentuk point atau dalam bentuk deskriptif yang menceritakan mengenai diri sendiri. Informasi tersebut juga selalunya bersifat positif, membina dan menyenangkan orang lain. Apabila dibaca, orang lain menjadi lebih selesa kerana memahami secara asasnya bagaimana diri seseorang.

Cuba anda senaraikan 8 perkara yang baik tentang diri anda dalam masa 16 saat.

Boleh ?

Ada diantara kita merasa kurang senang dan tidak selesa apabila bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri. Sangat susah untuk meluah rasa, kadang kala terpaksa berfikir sejenak “Apa yang baik dalam diri saya?”..

Tips Menulis Deskripsi Diri

1. Tidak ada yang salah atau betul dalam menulis deskripsi diri. Anda boleh tulis sesuka hati anda. Pertama kali menulis, jangan fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang diri anda.

2. Buat dalam masa sesingkat mungkin. 8 perkara positif dalam masa 16 saat. Apa yang terlintas dalam masa 16 saat, itulah diri anda yang sebenarnya.

3. Buat satu deskripsi ringkas, kemudian tinggalkan. Jangan lihat atau preview selama beberapa hari. Sekiranya anda ingin mengubah atau menyedapkan deskripsi lakukan selepas itu.

4. Berikan orang lain, rakan atau kenalan untuk membaca deskripsi tersebut. Tanya apa pandangan mereka, apa yang mereka boleh tafsirkan dengan deskripsi tersebut. Adakah sesuai dengan diri anda ?

5. Tuliskan perkara yang positif. Jangan menulis dekripsi yang berbau negatif, sedih, marah, tidak puas hati atau memberontak.

Saya sendiri menulis deksripsi diri banyak kali. Berkali-kali. Sehingga saya rasakan itulah deskripsi yang paling tetap dan sesuai yang benar-benar melambangkan diri saya. Ia mengambil masa kerana manusia memang sentiasa akan berubah dan nilai dalam diri turun berbeza.

Masa untuk melihat kembali dekripsi diri anda!






5 Tips Menghasilkan Ebook Berkualiti

15 12 2009

Apa sebenarnya yang orang cari di internet ? Kenalan baru ? Duit ? Hiburan ? Berita ?

Setiap dari kita mempunyai tujuan yang berbeza apabila melayari internet. Boleh disimpulkan internet merupakan tempat kita mencari satu perkara yang penting iaitu MAKLUMAT. Bila dikaitkan dengan perniagaan diinternet, maka tidak hairanlah mengapa menjual ebook menjadi salah satu bentuk perniagaan yang popular.

Tanpa mendebatkan kredibiliti ebook itu sendiri, kita tidak boleh nafikan perniagaan ebook sebenarnya memang pelengkap kepada keperluan orang melayari internet. Bila kita mencari maklumat di internet, kita sanggup membayar untuk suatu maklumat yang kita rasakan sesuatu.

“Memang bijak orang yang menciptakan model perniagaan ebook. “

Sekarang pandangan peribadi, perniagaan ebook masih mempunyai tempat di Malaysia. Dahulunya ebook lebih cenderung untuk mendedahkan teknik-teknik membuat duit di internet, tetapi sekarang skop topiknya lebih meluas. Ebook kini telah melangkaui topik-topik yang lebih umum, bersifat inklusif dan tidak tertumpu kepada buat duit sahaja. Sekarang kita boleh perolehi pelbagai topik ebook seperti keibubapaan, menguruskan kewangan, mengurus perniagaan, meningkatkan kesihatan, kerjaya, motivasi dan pelbagai lagi. Dengan meluasnya pelbagai topik, maka lebih banyak topik ebook yang akan memasuki pasaran.

5 Tip Menghasilkan Ebook Yang Berkualiti

1. Tulis mengenai bidang yang anda tahu, berkemahiran, berpengalaman. Bagi Azizi Ali dalam bukunya menyatakan bahawa 3 topik yang paling mendapat perhatian adalah topik mengenai perniagaan dan keusahawanan, ’self-help’ dan juga hobi. Tetapi banyak lagi topik-topik yang belum diteroka dan dihasilkan.

2. Memilih topik seperti keibubapaan dan kesihatan merupakan topik yang evergreen. Tahun berganti, tetapi maklumat seperti ini sentiasa boleh dibaca pada bila-bila zaman sekalipun. Ebook Buat Duit Dengan SMS yang saya tulis sekitar tahun 2006, bukanlah contoh topik evergreen yang baik kerana terdapat kebergantungan kepada teknologi. Tetapi ketika saya menulis topik tersebut, saya mengikuti tip nombor 1 di atas. :D

3. Sekiranya ingin menulis dalam Bahasa Malaysia, gunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Secara ringkasnya BMT merupakan bahasa Malaysia yang menggunakan tatabahasa dan struktur ayat yang baik dan betul. Dalam satu artikel yang saya baca dari tulisan Puan Ainon yang juga pengerusi syarikat penerbit buku PTS, saya boleh simpulkan bahawa penggunaan BMT dapat mengekalkan kandungan ebook tersebut untuk dibaca oleh generasi akan datang. Sebagai contoh, penggunaan kata ’saya’, ‘awak’ dan ‘kami’ diterima oleh pelbagai generasi berbanding dengan kata ‘lu’, ‘gua’ dan ‘we all’.

4. Jika menulis topik yang umum (bukan topik buat duit), prospek pembeli akan melihat siapakah individu yang menulis ebook tersebut. Prospek ingin melihat adalah penulis ebook tersebut ‘cakap serupa bikin’. Jika anda menulis mengenai topik keibubapaan, adakah anda seorang ibu/bapa yang mempunyai pencapaian yang berbeza dari ibubapa yang lain ? Latarbelakang penulis merupakan aspek penilaian prospek sebelum membeli ebook. Penulisan ebook yang mengikut fokus topik atau niche juga membantu dalam jualan.

5. Ebook bukan bagi tujuan mengaut keuntungan semata-mata. Selain dari memperolehi rezeki yang halal dari jualan ebook, penulis berkongsi pengetahuan dan ilmu. Kandungan ebook yang baik dan berfaedah, menjanjikan potensi menghasilkan pendapatan yang mewah apabila menerbitkan ebook kedua. Dengan membina kredibiliti dan kandungan ebook yang dipercayai, rezeki penulis ebook akan lebih murah apabila menghasilkan ebook kedua pula. Bak kata pepatah, ‘Budi yang baik dikenang jua..”

Mungkin pandangan saya berbeza, tetapi saya membuat kesimpulan, ebook merupakan pelengkap kepada industri buku dan bukan pesaing. Walaupun proses, perundangan dan operasinya boleh memerlukan perbincangan lanjut, penerbit buku yang bijak sahaja boleh melihat potensi ini.

p/s : Ketika di universiti, teknologi maklumat merupakan bidang saya. Ketika itu, tidak dapat saya buat ramalan bahawa sebegini hebat penangan maklumat di internet. Bapa saya ketika itu pula tidak memahami apa-apa meramalkan yang saya akan hanya menjadi seorang kakitangan di Jabatan Penerangan!






Tips Memilih Program Affiliate Untuk Usahawan Internet Baru

13 10 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca blog yang saya hormati,

Tidak dinafikan salah satu program menjana pendapatan yang paling mudah adalah dengan menyertai program affiliate. Selain daripada mudah dan percuma, selalunya ia menjadi platform dimana usahawan internet yang baru ‘mencuba nasib’ untuk mula memperolehi pendapatan di internet. Hanya sertai, dapatkan kod affiliate dan mula promosi. Sekiranya terjual, komisen akan diperolehi.

Tetapi ada satu tabiat di internet dimana kita suka,rajin dan berminat untuk mendaftarkan diri di dalam program affiliate. Malangnya program tersebut tidar benar-benar menjana pendapatan untuk kita. Maka tidak hairanlah, menurut kajian cuma 2% sahaja dari usahawan internet yang menyertai program affiliate benar-benar menjana pendapatan.Kita lupa bahawa menjadi ‘promoter’ kepada produk lain juga memerlukan teknik dan juga strategi yang betul.

Tips Memilih Program Affiliate Bagi Usahawan Internet Baru

Kejayaan menjual dari program affiliate sebenarnya sangat bergantung kepada kredibiliti penjual. Teknik dari mulut ke mulut usahawan internet, akan mempengaruhi pelanggan untuk membeli. Untuk menjana pendapatan dari program affiliate perlulah melihat dari pelbagai sudut. Antaranya :

1. Memilih program affiliate

Teringat saya kepada rakan ketika makan lunch buffet di sebuah hotel. Oleh kerana ia adalah buffet, maka rakan saya tadi mengambil sebilangan besar makanan yang terhidang. Yang lucunya, ada makanan yang tidak diketahui namanya. “Bayar mahal-mahal.. bila lagi nak rasa macam-macam”. Akhirnya makanan yang tidak kena dengan seleranya tidak dimakan. Kan lebih baik jika beliau memilih dahulu sebelum mengambil makanan tersebut ? Pembaziran itu sahabat akrab syaitan.

Memilih bererti membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menyertai.Lihat siapa penganjur program tersebut. Nilaikan kredibiliti penganjur. Selain itu lihat juga imbuhan yang bakal diterima. Adakah dalam bentuk peratus komisen, tarikh pembayaran, kaedah pembayaran dan sebagainya.

2. Sumber dari pakar atau ahli

Pernah dengar istilah “Jack of all trades, master of none”. Ia adalah ucapan yang merujuk kepada orang yang sangat umum, tetapi tidak mempunyai kemahiran /specialist dalam bidang tertentu. Pelanggan yang spesifik akan membeli dari orang yang pakar, mahir dan berpengalaman.

Andaikan anda mencari kasut. Kedai mana yang anda lebih gemar kunjungi sama ada kedai sukan Al Ehsan, atau pasaraya Giant ? Bagi anda yang inginkan lebih pilihan yang lebih spesifik akan suka ke kedai spesialist dan bukan ke gedung umum yang menjual 1001 barangan.

3. Sentiasa menjaga kredibiliti

Internet adalah dunia maya. Meyakinkan pelanggan untuk membeli di dunia maya adalah mencabar. Di internet, kuasa pemasaran mulut-ke-mulut jauh lebih berkesan. Pelanggan mempunyai kecenderungan untuk membeli sekiranya kenalannya yang boleh dipercayai mencadangkan pembelian tersebut. Ini adalah kredibiliti. Sertai program affiliate yang tidak berlawanan dengan kredibiliti anda.

4. Tidak bersilang dengan produk lain

Sekiranya anda dalam industri pertanian, cuba sertai program affiliate yang terlibat dengan pertanian juga. Ini membantu anda mengekalkan kredibiliti dan seniority anda. Satu lagi adalah istiqomah atau konsisten. Jika anda menjual produk pertanian A, jangan pula dalam masa yang sama mempromosikan produk pertanian B. ‘Walk the talk’, cakap mesti serupa bikin!

Anda boleh sertai banyak program affiliate, tetapi jangan lupa matlamat asal anda. Kalau sekadar suka-suka menyertai affiliate mungkin tidak mengapa. Tetapi bukankah matlamat anda ingin menjana pendapatan? Jika bukan mengapa anda habiskan masa anda dengan menyertai tetapi tidak komited.

Perbaiki cara kerja.

Pelancaran semula Program Affiliate Irwan Dahnil

Saya akan melancarkan suatu produk baru yang unik tidak lama lagi. Oleh itu saya ingin menjemput dan mempersilakan anda untuk menjadi sebahagian dari penggiat perniagaan internet yang lain untuk menyertai program ini. Program affiliate ini telah saya masukkan link untuk produk Akademisms.com dan anda boleh mula melakukan promosi.

Dari semasa ke semasa, saya akan tambahkan kumpulan produk (selain dari Akademisms.com) sedikit demi sedikit. Insyallah, komisen juga akan saya ubah sedikit masa lagi (buat masa sekarang cuma 10%), dan penyertaan sebagai ahli affiliate akan saya tutup bila telah memenuhi matlamat nanti.

Sebelum anda sertai, cuba anda ikutkan tips yang saya berikan tadi. Adakah ia bertepatan dengan anda ? Jika ya, sertailah program affiate yang mudah ini dan ianya percuma. Layari http://www.idjv.net






Mengatasi Penyakit Kebanjiran Maklumat di Internet

21 07 2009

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda mula melayari internet, dan secara tanpa anda sedari anda telah sampai ke laman web yang anda sendiri tidak jangkakan ?

Tidak pasti ? Cuba buat pemeriksaan singkat :

1. Anda terasa stres. Tidak kira berapa banyak kajian di internet yang telah dilakukan, anda tetap merungut kerana
sentiasa terasa maklumat yang penting tertinggal.

2. Memori ingatan yang lemah. Anda terasa susah untuk mengingati nama-nama penting, tarikh atau maklumat terperinci.

3.  Risau melampau. Anda mudah terganggu, berkhayal dan berangan-angan di siang hari.  Anda akan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugas dan sering menunda tugasan walau tugasan itu mudah.

Sekiranya anda mempunyai simptom tersebut, ada baiknya anda ‘tune’ semua diri anda.

Dalam kehebatan internet menyebarkan maklumat di ruang siber, sebenarnya telah wujud satu bentuk penyakit yang
sangat merbahaya. Kita yang hidup di dalam dunia yang meletup dengan maklumat sebenarnya sangat terdedah dengan penyakit ini. Hanya dengan menaip satu patah perkataan di internet, kita disajikan dengan 1001 maklumat.

Kebanjiran maklumat atau information overloading adalah merujuk kepada keadaan dimana kita diberikan terlalu banyak maklumat tetapi hanya menggunakan terlalu sedikit maklumat tersebut!

Saya Adalah Pengidap

Saya merupakan salah seorang ‘pengidap’ penyakit ini. Sejak tahun 2006, hidup saya hanya berlegar dengan internet. Semua maklumat saya capai dari carian Google, malah saya tidak lagi melanggan akhbar. Aktiviti bersosial juga berkurangan kerana semua yang menggembirakan saya ada di internet.

Apabila saya ingin membeli sesuatu, internet sangat membantu. Saya boleh membuat carian dengan membandingkan spesifikasi produk yang saya inginkan, membandingkan harga dan membuat penilaian awal sebelum betul-betul membeli.  Ini sangat menjimatkan masa dan meningkatkan kemampuan membuat keputusan yang lebih tepat.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mula mengabaikan beberapa elemen penting yang biasa saya lakukan sendiri sebelum itu. Saya tidak lagi menghafal tarikh-tarikh penting termasuklah tarikh lahir kenalan dan sahabat. Saya akan andalkan kepada internet yang mempunyai sistem PDA sendiri untuk menguruskan semua jadual tersebut. Nombor telefon rakan-rakan juga saya abaikan. Begitu juga dengan menghafal maklumat akaun perbankan.

Ibarat, kalau tiada internet saya pasti ‘mati’!

Tetapi lama kelamaan saya sedari saya mengidap tanda-tanda seperti diatas. saya mula malas, terasa stress seolah-olah kerja tak pernah selesai, atau sentiasa bimbang dengan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.

Saya pernah menunda penerbitan sebuah buku yang telah siap ditulis pada Julai 2008 ke Mei 2009 hanya kerana saya sentiasa rasakan buku tersebut tidak pernah lengkap!

Anda Mungkin Pengidap Seterusnya..

Saya teringat kepada post di blog saya sebelum ini. rakan-rakan yang menghantar email kerana terasa kebuntuan dan
tidak tahu dimana ingin bermula perniagaan disebabkan terlalu banyak maklumat yang telah dibaca di internet. Ini merupakan satu petanda yang mereka juga boleh menjadi mangsa seperti saya.

Quick check : Apabila anda membaca banyak maklumat di internet, adakah anda akan mengambil sesuatu langkah yang penting selepas itu ? Atau anda hanya membaca, membaca, membaca dan akhirnya berada dalam kesamaran ?

Kalau anda masih lagi berada dalam kesamaran, berhenti seketika. Anda mungkin telah mula dihidapi simptom tersebut!  Sekiranya tanda-tanda telah kelihatan, anda perlu lakukan sesuatu.

Langkah-langkah Mengurus Maklumat Yang Keterlaluan

1. Ada tentukan apakah yang anda inginkan. Tetap dan fokus. Selain dari itu, jauhkan atau tutup sahaja tetingkap browser. Ini dapat membantu mencegah anda terlalu ‘teruja’ membaca sesuatu yang tidak releven. Perkara yang menyeronokkan seperti gosip, berita artis, sukan atau sosial merupakan subjek yang senang ‘mencairkan’ dan
membuatkan anda khayal.

2. Rancang dan susun kerja anda supaya maklumat yang diperolehi lebih  tersusun. Letakkan kerja atau tugasan dalam aturan 1,2,3 atau berkonsepkan carta alir. Cari maklumat di internet mengikut susunan kerja. Selepas lakukan 1, lakukan yang ke 2 dan seterusnya. Melompat-lompat kerja akan membuatkan kerja anda berterabur dan tidak tersusun.  Awas!

3. Kawal aliran maklumat. Ketepikan semua nafsu nafsi yang menggoda anda di internet. Jangan baca semua, fokus dan baca yang anda mahukan sahaja. Cuma kongsikan maklumat di tempat yang sesuai seperti blog, atau Facebook. Jangan kongsikan di semua laman yang anda masuk. Ini cukup membuang masa.

4. Katakan ‘TIDAK’ kepada mereka yang mencuri masa anda. Ini termasuklah rakan chat, gossip dan melayari internet yang tidak bertujuan.

5. Buat senarai tertinggal dan lekat di dinding. Senarai tertinggal adalah perkara-perkara yang anda belum selesaikan. Tuliskan besar-besar sekurang-kurang saiz kertas A4 dan lekatkan di dinding. Gunakan warna yang terang dan ’striking’. Ini akan sentiasa menjadi motivasi dan pendorong anda untuk kekal fokus di internet.

Alhamdulillah, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat yang melampau di internet. Saya sentiasa mempunyai 3 planner bertulis (bukan PDA), yang sentiasa saya tuliskan menggunakan pen berwarna sebagai pengingat diri. Saya sentiasa catatkan di dinding perkara yang masih belum saya capai untuk tahun ini. Saya sentiasa lakukan mengikut keperluan.

Saya berharap anda tidak mengalami masalah dan penyakit seperti saya. Semoga anda terus bijak menguruskan maklumat dan sentiasa mendapat manfaat dengan maklumat di internet.






Tingkat Demi Tingkat Perniagaan di Internet

13 07 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca blog yang dihormati.

Mungkin anda pernah menonton cerita klasik P Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Dalam satu adegan, Ahli Nujum Negara ditanya dengan soalan yang lebih kurang berbunyi :

  • “Terdapat sebatang kayu yang diraut cantik. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal?”

Seperti yang kita ketahui jalan ceritanya, ia memang menghiburkan. Tidak bosan berkali-kali menonton.

Bagaimana pula kalau ada yang bertanya :

  • “Terdapat banyak perniagaan dan pemasaran internet. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal ?”

Walau saya bukan ahli nujum, tetapi kerap kali juga diajukan soalan tersebut.  Dalam bahasa sekarang banyak soalan yang berbunyi lebih kurang sama :

“Saya ni masih baru dalam dunia Internet Marketing ni. Macam-macam yang saya baca. Memang banyak yang menarik, macam mana nak memulakan perniagaan internet ? Saya keliru..”

Tidak seperti filem P Ramlee dan Ahli Nujum Negara, jawapannya tidak dapat saya berikan sekelip mata. Bertahun-tahun juga saya memikirkan jawapannya.  Faktanya, ramai yang masih baru memang tidak tahu yang mana hujung, dan yang mana pangkal, keliru dengan perniagaan dan pemasaran internet (IM).

Maklumat dan informasi yang melambak di internet memberikan peluang untuk kita mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang IM, tetapi dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan maklumat yang keterlaluan. Pembaca tidak mengetahui yang mana satu datang dahulu dan di mana ia berakhir.

Sekiranya pembaca tidak dapat menapis kesahihan atau kebenaran maklumat yang dibaca, ini akan menyukarkan lagi. Maka semakin kelirulah jadinya mereka yang masih mentah dalam IM.

Susahnya mencari titik penamat kalau tidak tahu di mana mahu bermula.

Dari Pemasaran ke Perniagaan Internet : Ayuh Cari Garisan Permulaan

Hakikatnya internet itu tidak lebih dari satu media. Ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Seperti tv, akhbar dan radio, dalam ketika ia menyampaikan maklumat akan terselit juga iklan-iklan perniagaan di dalamnya.

Maka konsep yang sama digunakan oleh internet. Dalam menyampaikan maklumat, tersebut juga iklan-iklan perniagaan.  Maka wujudlah banner, bunting dan juga iklan teks di website.

Dalam waktu yang sama wujudlah juga agen,  affilite, promoter atau tukang kempen yang lebih dikenali sebagai Internet Marketer (Pemasar Internet) yang akan mempromosikan bisnes orang lain di internet. Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan orang lain, mereka ini akan memperolehi sejumlah ‘upah’ sebagai ganjaran.

Disinilah bermulanya konsep yang dikatakan buat duit dengan internet!

Boleh dikatakan, kebanyakan garis permulaan kejayaan buat duit di internet adalah dengan menyertai golongan Internet Marketer dalam menjana pendapatan.

Ada terlalu banyak program yang ada. Menjual ebook, adsense, Nuffnang, Pay per review dan seterusnya.Tak larat untuk disebutkan kesemuanya. Tetapi ia mempunyai satu ciri yang sama. Anda akan mendapat imbuhan sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan orang lain.

Jadi sebutlah pelbagai macam bentuk program di internet, sekiranya ada sahaja imbuhan (yang biasanya dalam bentuk komisen) ia memerlukan kemahiran internet marketer untuk menjana pendapatan.

Di sini perlunya kemahiran pemasaran internet (internet marketing skills). Email marketing, social networking, blogging, adwords, SEO, affiliate marketing, youtube marketing dan 1001 lagi kaedah promosi menjadi wajib untuk dikuasai.

Disebabkan terdapat pelbagai teknik pemasaran internet yang ada di internet, lebih banyak seseorang pemasar internet menguasai sesuatu kemahiran, lebih banyak jualan yang boleh dilakukan. Ini bermakna lebih banyak komisen yang akan diperolehi.

Boleh kaya sampai jutawan ke hanya dengan menjadi Internet Marketer ?

Mengapa tidak ? Ada 2 faktor yang membolehkan ia berlaku :

1. Produk dan perkhidmatan antarabangsa selalunya diperdagangkan dalam USD. Bererti komisen yang diperolehi juga adalah dalam US Dollar!

2. Internet Marketer boleh dilakukan secara serentak dalam masa yang sama untuk pelbagai produk dan perkhidmatan. Hanya dengan kemahiran yang sama, kita boleh promosikan ratusan (ribuan) produk orang lain untuk mendapatkan komisen sebanyak-banyaknya.

Mengapa Tidak Menjual Produk Sendiri ?

Ini adalah tahap kedua.  Setelah memahami konsep, selok belok pemasaran internet, seseorang pemasar internet akan beralih pula fokus untuk menghasilkan produk sendiri. Mungkin telah bosan dengan menjual produk orang lain, menjual produk sendiri lebih memberi kepuasan diri dan sudah tentunya memberi lebih banyak keuntungan.

Kebanyakan internet marketer akan mencuba produk digital atau produk virtual yang bersifat tidak perlu menyimpan stok, tiada kos operasi, tiada cost of good sold, tiada modal yang besar dan memberikan margin untung yang lebih. Perniagaan seperti menjual ebook, menjual sistem, menghasilkan portal iklan dan sebagainya menjadi pilihan.

Disini, kita boleh lihat perubahan dari seorang pemasar internet menjadi perniagaan internet.  Ia telah beralih dari hanya mempromosikan dan menjadi pemasar sahaja menjadi sebuah perniagaan dan wujud ‘kedai’ di internet.

Anda bayangkan betapa nikmatnya memiliki produk sendiri apabila anda pula boleh menciptakan program jana duit seperti affiliate program supaya internet marketer yang lain pula mempromosikan produk anda. Sebelum ini anda yang bersusah-payah menjana duit dengan mempromosikan produk orang lain, sekarang semua sudah berubah.

Ada berada di posisi yang lebih baik!

Apabila anda pernah menjadi internet marketer untuk produk orang lain, akan menjadi satu kelebihan kepada anda. Anda akan lebih bijak dalam menentukan pelan pemasaran untuk produk anda sendiri. Selain itu anda akan lebih rasai keperitan yang ditanggung oleh internet marketer. Oleh itu anda akan bersikap lebih adil apabila memberi komisen, lebih menjaga mereka dan memberikan perhatian kepada feedback dan pandangan mereka.

Mampukah  Perniagaan Internet Berjaya Tanpa Pemasar Internet ?

Jawapannya boleh.  Tetapi tahap kejayaan tidak mungkin mencapai tahap kejayaan setinggi apabila dibantu pemasar internet.

Saya hentikan disini dahulu. Memandangkan pangkalnya telah dihuraikan, mungkin ada masa nanti akan saya sambungkan untuk penghujungnya pula…

p/s : Anda tahu tak jawapan soalan Nujum Pak Belalang di atas ? :)