Saat Melihat Kehidupan Dengan Mata Hati

30 09 2010

Lebih sebulan saya tidak menulis di blog. Keutamaan kehidupan saya teralih sedikit apabila saya menetapkan untuk melakukan sesuatu yang berbeza, keluar dari zon selesa setelah lebih 10 tahun dalam perniagaan. Saya tidak berkesempatan untuk menulis, seperti biasa saya lakukan bertahun dahulu. Tekad saya untuk mempelajari ilmu baru tidak pernah padam, justeru saya tinggalkan keselesaan dalam perniaagaan seketika. Saya anggap kealpaan saya untuk menulis di sini sebagai satu pengorbanan untuk mencapai apa yang saya inginkan dalam kehidupan.

Tahun ini saya beraya tanpa kembali ke kampung halaman di Selayang. Syawal tetap dirasakan meriah disambut di Sabah. Dalam keseronokan menyambut Hari Raya, saya mempunyai lebih masa sepanjang Ramadhan untuk menilai diri, muhasabah kehidupan, membetulkan niat dan juga berfikir sedikit jauh dari kebiasaan. Sesuatu yang hanya dapat dilakukan apabila perubahan yang besar berlaku dalam kehidupan.

Kehidupan di Kuala Lumpur memang sibuk, berlalu begitu laju. Kadang-kala belum sempat menghadamkan di hadapan mata, perkara yang lain muncul pula. Kitaran tersebut berlaku berulang kali. Saya sentiasa melihat perkara dengan pandangan mata dan nafsu hingga menjadi lupa, kehidupan itu juga boleh dilihat dari pandangan akal dan hati.

Pandangan akal melihat dengan penuh kajian dan penelitian dengan pemikiran mampu menganalisis. Pandangan akal disokong oleh ilmu sehingga dapat menilai sesuatu perkara tersebut dari segi ketepatan, ketelitian dan elemen yang terperinci.

Tetapi, pandangan mata hati saya kali ini cukup berbeza. Saya tidak begitu taksub dengan perniagaan, tidak begitu gelojoh untuk berdagang. Saya inginkan sesuatu yang berbeza. Pandangan saya turut terbias dengan suatu pandangan yang cukup sukar untuk saya nyatakan secara tepat.

Jika boleh saya ibaratkan kehidupan itu sebagai kuih dan saya melihat kuih tersebut dengan mata hati. Apabila melihat sepotong kuih, saya teringatkan ibu. Terkenangkan kasih-sayang, keprihatinan, ketegasan dalam kelembutan, dan segala yang terbaik darinya. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti bukan sekadar tulang, daging dan urat ibu tetapi kepada yang lebih bermakna, iaitu budi, kasih dan sayangnya.

Begitu juga dengan pandangan saya terhadap kehidupan. Saya mula mencari keredhaan, lebih keberkatan, kesucian dan pencapaian yang lebih unggul. Yang kekal, memberi kebaikan lebih luas. Yang lebih lestari.

Dan pencarian ini masih berterusan….

Saya tanyakan diri sendiri, pandangan mana yang lebih tepat dan murni ? Pandangan mata hati adalah jawapannya.

Di hari yang baik, saya panjatkan doa dari Allah s.w.t agar semua pembaca blog ini sentiasa dilindungi, dirahmati dan diberi keberkatan sebanyak-banyaknya. Moga mendapat pengakhiran yang baik dan tercapai apa yang diimpikan.

Saya dan seluruh keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin!

p/s : Teringat pula ketika kecil selalu membantu ibu membuat kuih samprit! :)







Kami Mahukan Broadband Lebih Baik!

29 10 2009

Di Malaysia, seperti yang kita ketahui mempunyai penawaran perkhidmatan telekomunikasi yang sangat terbatas. Sekadar perbandingan, di Indonesia mempunyai 10 syarikat yang menawarkan perkhidmatan selular secara besar-besar. Di Malaysia pula kita hanya dihidangkan oleh perkhidmatan beberapa syarikat sahaja. Saya antara pelanggan yang paling cerewet bila berkaitan dengan broadband yang tidak memuaskan. Maklum sahaja saya berniaga dari rumah yang bergantung kepada internet 100%. Saya akan sentiasa membuat laporan sekiranya tiada capaian, atau perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Maaf kerana kali ini saya bukan menulis sebarang tip atau perkembangan perniagaan. Tetapi saya menulis atas dasar tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dan ke arah perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik.

Sejak saya menyertai Forum Pengguna Malaysia (www.cfm.org.my), barulah saya sedar bahawa bukan saya sahaja yang merungut mengenai perkhidmatan telekomunikasi. Semakin ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati seperti broadband yang lajunya tidak seperti dijanjikan, masalah bill telefon bimbit dan sebagainya. Apabila diajukan masalah ini kepada pihak yang terlibat, seolah-olah tiada tindakan.

“Dah buat laporan banyak kali, tetapi macam tu juga.. “

Oleh itu, ramai yang give-up untuk terus membuat laporan. Laporan yang pernah dibuat juga seolah-olah tidak menyumbang apa-apa penambahbaikan.

Portal Aduan Forum Pengguna Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)

Minggu lalu saya dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran Portal Aduan CFM (CoP). Ini salah satu usaha bagaimana anda boleh menyalurkan masalah dan aduan anda mengenai perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia. Bukan hanya aduan perkhidmatan selular dan broadband, aduan seperti Astro juga diterima.

Tidak seperti aduan yang anda lakukan kepada penyedia perkhidmatan, satu kelebihan CoP adalah ia bersifat seperti forum. Andaikan anda membuat aduan mengenai perkhidmatan Maxis Broadband yang tidak berkualiti di CoP, maka setiap aduan boleh dilayan oleh pelbagai pihak termasuklah CFM, SKMM, Persatuan Pengguna dan Maxis sendiri. Ini berbeza dengan aduan yang dibuat kepada Maxis sahaja (hanya Maxis sahaja yang tahu) sebaliknya membuat laporan di CoP membolehkan pelbagai pihak berwajib mendengar masalah anda.

Boleh disimpulkan, pelbagai pihak terlibat untuk melayan aduan. Biar pihak kerajaan melalui SKMM mengetahui apa yang sebenarnya dirungutkan oleh masyarakat.

Walaubagaimanapun, CoP tidak akan berkesan sekiranya anda tidak membuat laporan. Kita perlu jadi lebih proaktif dengan membuat laungan dan menjerit kepada pihak berkuasa. Kita perlu buang jauh-jauh rasa tidak peduli. Kita perlu bersuara, membolehkan suara kita didengari.

Platform sudah ada, apa yang perlu dilakukan adalah melakukan tanggungjawab kita untuk membuat laporan.

Tanggungjawab Anda Membuat Laporan

Sekiranya anda mempunyai masalah, aduan atau sebarang pertikaian yang tidak selesai, ini adalah masanya untuk masalah anda didengari oleh pihak yang lebih tinggi. Sekiranya anda pernah membuat laporan ke syarikat telekomunikasi (seperti Celcom, Astro, Maxis dan sebagainya), tetapi anda tidak berpuas hati dengan cara aduan anda dilayan, anda mungkin boleh bawa aduan anda ke peringkat lebih tinggi sehingga ke peringkat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Caranya sangat mudah. Anda hanya perlu login di CoP (http://complaint.cfm.org.my/), mendaftarkan diri anda kemudian hantarkan aduan atau masalah anda.

Dengan menghantar aduan, anda boleh memeriksa status aduan anda dalam masa beberapa hari selepas aduan dibuat. Jadi anda tidak akan tertanya-tanya sama ada aduan anda telah dilayan atau belum. Anda boleh menilai sendiri bagaimana aduan tersebut dilayan, status aduan anda sama ada telah diselesaikan atau belum dan tindakan susulan yang dilakukan. Memandangkan CoP adalah berkonsepkan forum, mungkin aduan anda akan dilayan oleh pelbagai pihak termasuk SKMM sendiri.

Walaubagaimana pun CoP hanya akan boleh membantu anda sekiranya anda mengambil sedikit inisiatif untuk membawa aduan anda ke tengah. Jangan diamkan diri sekiranya ada masalah telekomunikasi. Sebaliknya bertindaklah kerana sumbangan anda untuk membuat aduan akan membantu rakan kita yang lain untuk mendapat perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Lidi yang sebatang mudah untuk dipatahkan, tetapi segenggam lidi yang diikat bersama menjadi lebih kuat, padu dan dapat menyumbangkan sesuatu.