Mencari Kertas Kerja Perniagaan ?

8 02 2010

Mulai hari ini, anda boleh  memuat turun kompilasi kertas kerja perniagaan yang telah dikumpulkan dari pelbagai sumber. Dan ianya adalah percuma.

Tujuan saya mengumpulkan kertas kerja perniagaan ini adalah untuk membantu anda yang tercari-cari contoh kertas kerja. Saya banyak menerima email yang meminta bantuan untuk menyiapkan kertas kerja perniagaan masing-masing. Ramai yang keliru dan tidak pasti mengenai format yang sebenar. Oleh itu, dengan konsep kompilasi ini anda boleh memuat turun mana-mana kertas kerja dan lakukan perbandingan sendiri antara kertas kerja.

Bermula hari ini, saya akan keluarkan Kompilasi Kertas Kerja Perniagaan versi 1.0 yang mengandungi lebih kurang 11 kertas kerja perniagaan. Insyallah dari semasa ke semasa, jumlah kertas kerja ini akan bertambah.

Kertas kerja tersebut boleh DIMUAT TURUN PERCUMA DISINI.

Saya harapkan kertas kerja ini dapat membantu anda untuk memulakan impian perniagaan masing-masing.

Opss! Sebelum itu :

1. Kertas kerja ini hanyalah sebagai panduan dan bukan khidmat nasihat profesional. Oleh itu saya tidak tidak bertanggungjawab dalam risiko perniagaan masing-masing. Tiada jaminan pulangan keuntungan seperti contoh didalam kertas kerja.

2. Kertas kerja ini adalah didapati secara percuma di internet, di pejabat MARA, di kelab-kelab usahawan dan sebagainya. Ia bukan disediakan oleh saya. Saya hanya membantu untuk mengumpulkan kertas kerja tersebut dalam bentuk kompilasi.

3. Kertas kerja tersebut adalah hak cipta dan milik penulis. Penulis berhak untuk meminda, mengubah, menambah dan menarik balik kertas kerja tersebut.

4. Saya tidak membuat perundingan terhadap kandungan kertas kerja tersebut.

Moga membantu!






Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.






Tip Menghantar Promosi SMS Yang Efektif

5 11 2009

Satu statistik yang dikeluarkan, sejumlah 73 billion SMS dihantar pada 2008. Manakala menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di dalam fakta terpilihnya, mensasarkan bahawa pemilikan telefon bimbit akan melepasi angka 100% menjelang akhir tahun 2009. Tidak termasuk golongan bayi dan kanak-kanak (yang belum celik hanphone), ini bermakna secara purata seseorang mempunyai 2 nombor telefon bimbit.

Dengan statistik terkini, ramai yang cuba untuk memanipulasikan SMS sebagai media pemasaran yang baru. Ia dilihat sebagai salah satu saluran alternatif dalam menyampaikan iklan dan promosi dan tidak hanya bergantung kepada media yang sedia ada. Ini diakui, kerana sifat SMS yang lebih personal dan sentiasa mendapat perhatian pemiliknya.

Begitu pun dalam pemerhatian saya, tidak ramai yang benar-benar dapat menjalankan pengiklanan yang berkesan menggunakan SMS. Ia kelihatan mudah, dengan hanya menaipkan teks, ia akan sampai kepada prospek pelanggan. Kalau ia begitu mudah, mengapa masih ada keluhan dan rungutan kegagalan kempen SMS ? Sebaliknya ada yang lebih teruk lagi apabila dicaci oleh pemilik telefon bimbit kerana mereka terasa seperti ‘dicabuli hak privasi’.

Terdapat satu perkara yang kita terlepas pandang iaitu mengenai penguasaan bahasa dalam teks SMS tersebut. Kita tidak memerlukan pereka grafik atau agensi kreatif untuk membantu membuat pemasaran. Dengan hanya 160 aksara, kita hanya perlu sedikit ‘common sense’ dan sedikit kemahiran berbahasa dibantu dengan pemahaman mengenai golongan sasaran. Kita perlu sensitif dengan penggunakan setiap huruf dan perkataan dalam iklan SMS tersebut.

Sekadar ulangan, apabila menghantar mesej, adakah kita terlepas pandang perkara-perkara ASAS berikut  :

1. Pasaran Sasaran (Siapa)

Kenalpasti dan fahami sasaran pelanggan anda. Jangan hantar SMS secara sembarangan. Memahami pelanggan adalah asas penting dalam pemasaran SMS. Jangan mulakan kempen sebelum kita memahami siapa pelanggan tersebut, lingkungan umur, jantina, kedudukan geografi dan faktor demografi yang lain. Lebih mendalam informasi anda ketahui mengenai pelanggan, lebih tepat kempen yang anda akan lakukan.

Perlu diingat bahawa pemasaran SMS adalah proses penghantaran mesej peribadi ke alat personal pelanggan. Untuk menjadikan ia efektif dan tidak menyinggung perasaan ia mestilah releven dengan pemiliknya.

2. Tawaran Yang Istimewa (Mengapa)

Adakah tawaran anda sesuatu yang diinginkan ? Jika bukan, pemasaran SMS anda adalah kerugian total!

Mesej SMS boleh menjadi sebagai satu peringatan sahaja. Dengan peringatan, mungkin pelanggan akan bertambah. Tetapi bertambah, tidak bererti membeli.Jadi masukkan tawaran dan promosi dalam SMS tersebut. Menawarkan diskaun juga adalah langkah bijak. Contohnya, menawarkan diskaun 50% sekiranya pelanggan datang. Ini mewujudkan potensi pelanggan untuk membeli dari hanya datang sekadar ziarah.

3. Masa (Bila)

Pilih masa yang tepat. Sekiranya kita menghantar SMS terlalu awal, pelanggan mungkin lupa, sekiranya terlalu lewat pelanggan mungkin sudah ada perancangan lain. Memilih masa memerlukan keseimbangan yang berhatihati. Masa yang tepat, anda akan mendapat hasil yang diinginkan, masa yang salah anda akan membazirkan wang anda.

Ini adalah mengapa kita perlu mengetahui geografi dan demografi pelanggan. Memahami perangai, tabiat, kebiasaan dan kecenderungan mereka membantu dalam kita memilih masa yang paling sesuai untuk menghantar SMS. Cuba anda baca dan lihat bagaimana BMW menjalankan promosi pada MASA YANG TEPAT.

4. Teks SMS Itu Sendiri (Apa)

SMS telah membentuk struktur bahasanya yang tersendiri. Suka atau tidak ia adalah untuk kita hadapi.

Saya juga pencipta bahasa Malaysia. Ini bermakna kita juga perlu mengubah bahasa kita dengan memendek semua perkataan. Tetapi penggunaan singkatan perkataan yang diketahui umum memang sangat membantu. Kita perlu penguasaan bahasa dan mengatursusunkan bahasa supaya mesej SMS tersebut difahami dalam 160 aksara.

Jika kita berikan sedikit perhatian, tentu ada dalam mesej tersebut yang boleh dipendekkan. Perhatikan secara satu per satu.

Contohnya, “Sekiranya anda ingin keluar dari langganan, sila hantar SMS “Stop” ke 32781″

Tetapi adalah lebih mudah untuk memendekkan seperti :

“Keluar langganan : STOP ke 32781″

Diharapkan tip tadi dapat membantu untuk anda menghantar SMS yang lebih berkesan, bersopan, berstruktur dan paling penting meyakinkan.






Tips Membeli Kereta Untuk Usahawan

5 10 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Pembaca Blog yang Dihormati,

Lebih sebulan saya tidak mengemaskini blog ini. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya terdapat tersalah dan terkasar bahasa saya sepanjang penulisan saya dalam blog ini. Pejam celik, terasa benar 2009 pula menghampiri penghujungnya.

Topik hari ini adalah mengenai kereta. Bila hari raya menjelang tiba, jurujual kenderaan mula menggunakan taktik emosi untuk kesekian kaliannya.Bagi usahawan, mungkin ini menjadi salah satu kebanggaan pencapaian bisnes bila berkereta baru.

“Alangkah seronok dan meriahnya beraya dengan kereta baru!”

Majoriti dari kita mengetahui bahawa membeli kereta secara kredit itu adalah suatu liabiliti. Yang untung hanya bank sedangkan apabila kita membeli, harga kereta tersebut turun di saat ia keluar dari bilik pameran kenderaan. Membeli secara tunai pula kelihatan kurang bijak kerana wang yang ada boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan yang lebih menguntungkan.

Entah mengapa, selama bertahun-tahun lamanya, kereta itulah yang dipandang orang. Mata yang melihat akan terus kabur, dengan sentiasa memandang kereta itu sebagai lambang dan simbol kemewahan. Ini akan dikaitkan dengan perniagaan dan usahawan yang berjaya.

“Bisnes nampak hebat, takkan pakai kereta Kancil je ?”

Seolah-olah memandu Kancil tu rendah sangat tarafnya dan kerana frasa-frasa nakal seperti itulah maka ada usahawan yang sanggup rumahnya buruk tetapi kereta sanggup berkereta hebat. Malah rumah disewa dan bukan dibeli.Sanggup berkereta besar hanya untuk menunjukkan perniagaan laku dan laris.

Jadilah usahawan yang bijak, tidak termakan dengan apa yang dikata orang.

Tips Memilih Kereta Yang Sesuai Untuk Usahawan Kecil

1. Bagi yang bujang, jangan pilih kenderaan berpintu dua. Mungkin kereta akan kelihatan sporty & trendy, tetapi perlu beringat apabila anda telah berkahwin dan mempunyai anak. Pilih kereta berpintu empat masih selesa untuk dinaiki oleh anda dan pasangan dan 2 orang anak. Sekurang-kurangnya orang lain juga selesa menaikinya dan anda tidak perlu menukar kereta hanya disebabkan saiz keluarga yang bertambah.

2. Jenama Toyota dan Honda selalu menjadi pilihan kerana harga 2nd hand yang masih tinggi. Mungkin ia lebih mahal, tetapi ia lebih menjimatkan untuk jangka masa lebih dari 5 tahun. Sesetengah kenderaan sudah mula mendapat ’sakit tenat’ selepas 3 tahun.Jenama kenderaan Korea seperti Hyundai juga mempunyai kualiti yang baik, tetapi nilai jualan semula yang jatuh merudum. Kalau ingin selesa, boleh dapatkan kenderaan ini tetapi niatkan dihati yang kenderaan ini akan dipakai sehingga hancur dan lunyai. Untuk dijual kembali mungkin tidak berbaloi.Tidak termasuk pemasangan tempatan seperti Hyundai menjadi Inokom atau Kia menjadi Naza, kejatuhan harga kenderaan lebih parah disamping kebanyakan kualiti import lebih baik daripada jenama pemasangan tempatan.

3. Sekiranya kehidupan anda masih belum stabil seperti anda ingin meneruskan pengajian ke luar negara, atau ingin berpindah kawasan seperti migrasi ke tempat lain, mungkin tahan dahulu selera membeli kereta. Saya antara orang yang sering menangguhkan pembelian kenderaan kerana niat dan matlamat menyambung pengajian. Bermula Oktober 2009, keluarga saya akan berpindah ke Sabah, maka tertangguh lagi pembelian kereta idaman.

4. Kenderaan import terpakai (recond) juga mempunyai nilai jualan semula yang rendah. Ambil contoh seperti BMW dan Mercedes yang berharga RM150,000 setelah dibawa masuk, akan jatuh sehingga RM100,000-RM120,000 apabila model baru diperkenalkan. Bila membeli perhatikan bilakah model baru kenderaan tersebut akan dikeluarkan. Katakan anda membeli Toyota Wish yang dikilangkan tahun 2009 berharga RM130,000 dan pada tahun 2o10 keluar pula model baru Toyota Wish. Anda akan dapati kenderaan anda akan turun harga secara automatik dengan pengimportan kereta model baru.

5. Beli sahaja kereta terpakai (2nd hand). Kebanyakan mata yang menilai kereta sebagai simbol kekayaan sebenarnya tidak tahu pun harga sebenar kereta. Asalkan kereta BMW atau Mercedes, itu sudah dianggap hebat. Kereta yang berumur lebih 10 tahun pula akan berada sekitar RM50,000 sahaja. Mungkin terdapat kos penyelenggaraan yang sedikit tinggi, Percaya atau tidak walaupun ia kereta terpakai ia tetap mempunyai aura dan kelas yang tersendiri.

6. Pernah dengar istilah 2nd car ? Atau juga bermaksud kenderaan kedua. Apabila membeli kereta hebat, tentunya belanja minyak dan penyelenggaraan juga tinggi. Untuk mengurangkan kos, maka usahawan menggunakan kenderaan kedua untuk urusan harian dan hanya menggunakan kereta hebat untuk urusan rasmi. Maka tidak hairanlah ramai berBMW atau berMercedes, tetapi hari-hari biasa cuma memandu Kancil atau menunggang motorsikal sahaja. Jimat bukan ?

7. Pertimbangkan juga kenderaan pelbagai guna (MPV). Sesuai untuk pelbagai urusan dan penggunaan! Kenderaan seperti Avanza, Grand Livina dan Exora menepati ciri-ciri bergaya disamping berguna untuk mengangkut barangan atau orang :)

Membeli kenderaan dan bertukar-tukar kenderaan secara kerap adalah satu amalan yang membazir. Oleh itu apabila membeli kenderaan pilih kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan jangka sederhana dan juga budget anda. Jangan ikutkan nafsu apabila melihat kereta yang menggoncang iman :)

Jangan bimbang kalau kenderaan anda bukanlah yang paling mahal, paling canggih atau paling hebat. Kerana setiap tahun pasti akan muncul model baru yang lebih baik, lebih hebat dan lebih cantik.

Anda tidak akan rugi kalau tidak membeli kenderaan secara terburu-buru sekarang.






Masa Terbaik Membeli Hartanah

11 06 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Blog Yang Dihormati,

2 minggu lepas saya bercuti. Maka tiada post yang menarik yang sempat saya catatkan dalam blog ini. Anyway, hari ini kembali semula ‘beraksi’ seperti biasa dan ada beberapa catatan menarik untuk saya kongsikan.

Bagi sesiapa yang pernah membeli hartanah tidak kira rumah atau tanah, tentu pernah rasa betapa peritnya urusniaga. Dengan urusan lawyer dan bank memang stress juga dibuatnya. Itu tidak termasuk bayaran deposit, wang muka, caj lawyer, bayaran jurunilai dan pelbagai bentuk kos lain. Memang kalau nak membeli hartanah, urusannya panjang dan leceh!

Memang terlalu lama saya mengidam service apartment di tengah-tengah bandaraya KL, akhirnya tercapai jua dengan Regalia @ Jalan Sultan Ismail. Alhamdulillah, semalam selesai urusan menandatangani S&P dengan lawyer developer. Dan semalam sempat juga cuti masa untuk confirmkan pinjaman dengan bank.

Ini adalah urusniaga terbaik hartanah yang pernah saya lakukan! Walau pun ini bukan hartanah saya yang pertama tetapi ia terlalu unik untuk saya ceritakan.

Mengapa saya katakan ini adalah masanya membeli hartanah adalah kerana tawaran yang diberikan. Tawaran yang diberikan kali ini memang tidak mungkin diperolehi dalam masa ekonomi stabil tanpa kegawatan :

1. Skim Pinjaman Maksima

Bank menawarkan pinjaman 90% - 100% mengikut projek.  Kebiasannya pinjaman sekitar 20 hingga 30 tahun sahaja. Ada juga yang menawarkan pinjaman sehingga 45 tahun atau sehingga berumur 75 tahun!

2. Diskaun Developer

Yang ini jarang berlaku. Developer akan bagi macam2 insentif yang kadang kala tak masuk akal.  Selain aksesori mewah seperti kabinet dapur, wardrobe, aircond dan perkhidmatan lain, developer sanggup menanggung kos bayaran interest selagi rumah belum siap dibina.

3. Tiada caj SNP

Tiada sebarang bayaran SNP dikenakan baik dari pihak developer dan bank. Kalau rumah sekitar RM200,000 sekurang-kurangnya boleh berjimat RM10,000 di situ.

4. Tiada Pembayaran Buta

Dulu, bila beli hartanah yang sedang dalam pembinaan, kita masih terpaksa membayar loan, walau rumah belum siap. Risiko rumah tak siap tetap ada, sedangkan bayaran bulanan tetap perlu dibayar kepada pihak bank. Kali ini, jaminan dari pemaju adalah istimewa. Mula bayar pinjaman apabila rumah siap kelak! Dan pihak developer akan tanggung kos interest pembinaan kepada bank bagi pihak anda. Maka tiada risiko rumah tak siap tapi anda terpaksa tetap membayar.

5. Deposit Rendah

Ada yang serendah RM1000 untuk sebuah kondominium mewah tanpa sebarang caj dan kos lain. Pembayaran loan hanya dibuat selepas hartanah selesai dibina sepenuhnya. Sebelum ini, kebanyakan projek perumahan memerlukan sekurang-kurangnya 10% dari harga hartanah. Kali ini 10% diberikan secara diskaun oleh developer.

Ia ibarat pelaburan yang sangat baik. Kita lihat contoh pengiraan mudah untuk sebuah rumah  dalam pembinaan seperti berikut :

Harga Pasaran Dijual : RM325,000
tolak Diskaun 5% untuk bumiputra RM16,250

Maka, harga sekitar RM309,000

Tolak lagi diskaun 10% oleh developer RM30,900

Harga selepas tolak diskaun bumi + developer = sekitar RM278,000

Disitu sahaja, sudah memberikan untung sekitar RM47,000. Itu adalah keuntungan minima tidak termasuk keuntungan apabila harga yang akan tentu naik lagi ketika hartanah sudah siap dibina.

Dan jumlah modal yang dikeluarkan cuma RM5,000 sahaja sebagai wang deposit.

Ada lagi penjimatan iaitu caj bayaran dan dokumentasi sekitar RM10,000.

Bayangkan keuntungannya. Dengan RM5,000 sekurang-kurangnya jumlah keuntungan cecah RM55,000! Dalam keadaan biasa, saya perlu perlu membayar RM50,000 tetapi kali ini terbalik pula ceritanya.

Dan keuntungan akan naik lagi apabila hartanah tersebut selesai dibina dan saya memilih untuk menjualnya.

Memang mengujakan kerana tahun ini tanpa disangka bertambah lagi satu portfolio hartanah. Nak ucap terima kasih kepada kegawatan ekonomi kerana memudahkan perkara yang susah!

Anda bagaimana ? Ada hartanah yang mempunyai tawaran bagus yang anda boleh kongsikan ?






Big Idea, Big Bucks

21 04 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Blog Sekalian,

Mungkin anda pernah memiliki atau memakai sepasang kasut @ sandal Crocs. Sandal Crocs ni ringan ’slip-resistance’ dan pada asalnya untuk kegunaan aktiviti luar rumah @ outdoor.  Memang dah jadi satu fenomena, orang pegi mana-mana pun pakai sandal ni. Memang popular dan banyak juga yang cetak rompak. :)

Cerita Jibbitz

Disebabkan dah ramai sangat orang pakai sandal Crocs ni, seorang ibu yang memiliki 3 orang anak pada satu hari ingin menambahkan ‘kecantikan’ pada sandal Crocs yang dipakai oleh anak2nya. Biarlah nampak berbeza sedikit berbanding dengan sandal-sandal yang lain.

Jibbitz ni sebenarnya takde ape pun. Ia cumalah idea seorang ibu yang meletakkan aksesori tambahan pada sandal tersebut. Saya pun tatau lah nak istilahkan ape, tapi dengan menambahkan Jibbitz, sandal tersebut menjadi lebih comel dan ceria.

Dipendekkan cerita, pemilik Crocs sangat berminat dengan konsep Jibbitz ni. Beliau menawarkan ibu tadi sebanyak USD10 million untuk memiliki konsep Jibbitz dan tambahan USD10million lagi sekiranya mencapai target jualan!

Bisnes Tak Semestinya Mencipta Benda Baru

Banyak produk-produk yang hebat kadang-kala bukannya dari idea yang baru atau asli. Dengan menambah 10% dari keadaan asal, ia boleh memberikan satu nilai baru dan produk yang berbeza dengan produk yang sedia ada.

Lihat sekeliling. Anda mungkin boleh nampak ada 1001 produk yang boleh diperbaiki, diperelok dan dicantikkan. Mungkin idea anda juga bernilai USD10million, siapa yang tahu!

p/s : Minggu ini 26 April 2009, saya akan menganjurkan Author’s Talk di MPH Mid Valley pada jam 3 hingga 4 petang. Kalau anda ingin mengetahui bagaimana cara untuk mengubah 10% dari produk anda atau produk orang lain dengan menggunakan SMS, mungkin anda boleh hadiri sesi yang akan dianjurkan. Kehadiran juga percuma. Maklumat lanjut, klik disini.






3 Event Dalam 8 Hari

16 04 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembac Blog,

Selalu tak anda terasa selalu tak cukup masa ? Yang ironinya, masa kita banyak kerja, masa tu lah terasa tak cukup dengan 24 jam. Memang ada masa lapang, tapi stress dan tensionnya takkan sama dengan waktu kita terdesak dengan kerja2 yang tak selesai.

Dulu saya selalu dengar2 kata yang saya ni susah betul nak ditemui. Hakikatnya, memang betul pun.  Ada masa2nya, saya free, tapi ada masa2nya saya lebih sibuk dengan urusan lain.. Bukan kerana tiada masa, cuma saya ni mungkin tidak selalu ‘muncul’ di dalam interest group. Saya lebih sibuk dengan ‘dunia’ saya sendiri :)

Anyway, kali ini mungkin peluang untuk berjumpa tiba kembali.

Sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang bermula 17 hingga 26 April ini, saya juga terlibat dengan beberapa acara.

Event #1  :  Kemunculan Penulis / Authors Appearance @ Booth True Wealth Publishing

Elok2 je buku kedua SMS saya diterbitkan, maka saya akan bersama-sama dengan penulis yang lain akan berada pada 18 & 25 April 2009 bermula jam 2 petang. Kalau anda ada pertanyaan tentang buku yang saya tulis, atau ada kemuskilan mengenai sistem SMS, atau hanya ingin datang untuk mendapatkan autograf :), saya mengalu2kan ….

Event #2.  Majlis Pelancaran Buku Bisnes SMS Cara Pantas

Tahun lepas, True Wealth mengadakan event yang sama. Tahun ni buat lagi. Cuma untuk memberi sokongan kepada penerbit kali ini saya juga hadir. Pihak penerbit meraikan penulis-penulisnya. Majlis ini akan diadakan pada 20 April 2009 bermula jam 3 pm di Ruang Legar PWTC.

Event2 ni percuma je kalau anda ingin hadir. Saya menjemput anda untuk sama2.  Kali ini, tak perlu risau kalau tak dapat berjumpa saya… Kali ini saya yang jemput anda! :)

Kalau ada masa dan kelapangan, bawa seisi keluarga ke PBAKL ni.  Sasaran pengunjung juga tinggi dan pelbagai acara dianjurkan. Ini masa yang terbaik untuk membeli buku dan bahan bacaan untuk seisi keluarga. Maklumat lanjut boleh diperolehi disini http://klbookfair.com/index.php/

Event #3 : Author’s Talk @ MPH Mid Valley : Buku SMS Cara Pantas

Seperti sebelum2nya, MPH akan menjemput penulis2 buku untuk bersama2 berkongsi pandangan dan hasil penulisan bersama2 audience.  Kali ini peluang anda untuk lihat sendiri, praktik dan juga sedikit demonstrasi bagaimana sistem SMS berfungsi. Jangan bimbang, bukannya kelas teknikal.. Cuma dengan talk ini membantu anda lebih memahami kandungan buku Bisnes SMS Cara Pantas.

Maklumat lanjut mengenai event @ MPH Mid Valley ada disini http://www.mph.com.my/promotions/promotions.cfm

Anyway, ini pertama kali nak buat book talk @ MPH. Sebelum ini dah banyak kali dijemput tapi tidak berkelapangan.  Saya sendiri tak tahu apa yang boleh dijangkakan dalam book talk kali ini.

Wish me luck & datang beramai2 tanda sokongan :)






Akademisms.com Ada Rumah Baru

18 03 2009

Salam Sejahtera Pembaca Blog,

Lama betul tak buat posting dalam blog ni. Maaf banyak2, saya sangat tersepit dengan masa. Pejam celik bulan Mac pun dah nak sampai penghujung. Saya rasa lega sedikit kerana banyak kerja yang telah selesai.

Blog Akademisms.com telah selesai disetupkan dengan jayanya! Yeah! Sekian lama blog peribadi irwandahnil.com menjadi tempat ‘tumpangan’ untuk membuat catatan mengenai SMS. Semua post yang berkaitan dengan SMS dan yang bersekutu dengannya telah saya pindahkan ke Akademisms.com.

Sedar tak sedar, post paling awal mengenai SMS start pada bulan November 2006! Fuh! Cepatnya masa berlalu. Dengan adanya blog sendiri, maka banyak maklumat mengenai SMS yang boleh saya masukkan. Ini pun baru je masukkan satu post ke blog AkademiSMS.com .. Layari http://www.akademisms.com

Maka bekas yang ditinggalkan di irwandahnil.com akan diisikan dengan kandungan yang lain. Saya rasa nak tukar corak penulisan irwandahnil.com ni jadi lebih santai. Kandungannya pun tak perlu berat2. Saya sebenarnya dah lama nak menulis perkara2 lain. Teringin juga nak menulis merapu2 :) Banyak isu lain boleh dibincang disini contohnya politik yg huru hara, muzik yg berestetika, isu2 semasa, perniagaan dari rumah, internet dan pelbagai lagi.

Anyway, kalau anda rasa blog irwandahnil.com ini tidak lagi sesuai dengan citarasa dan kandungannya mungkin tidak mengikut kehendak penulisan anda, mungkin anda boleh unsubscribe dan sambungkan langganan di blog akademisms.com

Konfigure Wordpress Cara Sonang!

Lebih seminggu juga masa saya habis untuk konfigurasikan Wordpress untuk blog akademisms.com tu. Godek sana sini, cuba templete, import database, buat design dan sebagainya.

Kalau anda baru cuba nak pakai Wordpress, memang stress la sikit nak configure.Kena banyak2 sabo.

Tapi sekarang ni dah ada cara yang lebih mudah (selain dari upah orang lain buat). Dengan belajar dari Youtube dah boleh faham. Dengan sedikit usaha, wordpress tu kacang putih je.

Kalau anda ada kelapangann, maybe boleh hadir ke Bengkel Wordpress anjuran Catzer @ Surfaddict pada 28 Mac ini. Kalau dua tahun dulu waktu terkial2 dengan wodpress, dah lama saya pegi dah bengkel ni…

Jumpa lagi!






Hari Terbuka Truewealth : 30 Minit Demo Step by Step

6 03 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sekadar makluman dan hebahan kepada semua.

Esok akan diadakan hari terbuka anjuran penerbit buku perniagaan dan motivasi kewangan True Wealth Sdn Bhd. Acara akan bermula pkl 11 pagi sehingga 5 petang.

Bagi saya ini adalah peluang baik untuk anda datang kerana anda akan ditawarkan diskaun sehingga 70% bagi buku terpilih.  Bagi pembelian RM150,  dapat pula 1 buku PERCUMA. Maklumat lanjut disini.

Saya, Gobala dan Shuth juga dijangkakan akan berada disana untuk menyokong usaha Truewealth. Insyallah saya akan berkongsi sedikit masa untuk melakukan demonstrasi bagaimana sesuatu sistem SMS diselenggarakan.

Sesi ini tidak lama, cuma 30 minit sahaja kerana saya perhatikan ramai yang masih belum mempunyai pendedahan tentang sistem SMS secara teknikal. Ini adalah peluang anda sekiranya berkelapangan. Jemput hadir sesi tersebut pada jam 12 tghr.

So kalau ada masa jemput hadir ke majlis ilmu ni ya!

Jumpa disana






Pengumuman : Program Pengiklanan Usahawan 2009

19 02 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Just a short note. Sesiapa yang mencari diskaun untuk membeli iklan, ini adalah tempatnya. MECD akan menawarkan 50% geran pengiklanan kepada syarikat yang ingin beriklan. Ayat mudahnya, kalau anda ingin beli iklan dalam akhbar Utusan bernilai RM1,000, MECD akan sponsor RM500.

Ada macam2 media yang buka booth dari akhbar yang popular sehinggalah ke radio dan televisyen. Tahun ini ada geran baru untuk pengiklanan melalui internet. Tetapi masih agak terhad, dan masih jauh dari expectation saya. Last year, saya dapatkan kos pengiklanan saya hampir RM7000 dengan program ini.

Anyway, sapa yang nak kasi geran 50% free kan..

Kalau anda ada kelapangan, datang ke :

Program Pengiklanan Usahawan
17 hingga 23 Februari 2009
Ruang Legar, MECD Putrajaya.

Tahun ini pendaftaran boleh dilakukan secara online. Layari http://www.mecd.gov.my. Tapi borang pendaftarannya macam kureng sikit lah…Saya pun masih belum sempat pergi. Insyallah, saya akan kongsikan dengan anda nanti.

Jumpa di sana!