Tip (Short-cut) Menjadi Pakar

13 01 2013

Semua bisnes akan mengaku perkhidmatan dan produk mereka terbaik, paling berkualiti dan paling mantap!

“Produk ini terkini dan menggunakan teknologi baru..”

“Kami sedia berkhidmat 24 jam sehari 7 hari seminggu..”

“Pendekatan kami membolehkan anda dapat menjimatkan wang dan masa sebanyak 50%”

Tiada dalam sejarah bisnes akan mengaku jujur kelemahan atau kekurangan bisnes sendiri. Semua akan kata, mereka yang terbaik. Takut jika bersikap jujur, tidak laku pula.

Jadi bagaimana untuk menjadikan cakap atau kata-kata ini dipercayai oleh orang lain (dengan mudah) ?

Ya! Dengan menjadi PAKAR.

Ada beberapa cara untuk menjadi PAKAR dalam bisnes :

1. Membaca BANYAK buku/artikel/majalah mengenai bidang bisnes anda.

Jika anda mahu menjadi pakar pemasaran Facebook, baca banyak buku mengenai bidang tersebut.  Jika mahu menjadi pakar kewangan, bacalah buku berkaitan kewangan dan ekonomi.

Berapa banyak buku perlu dibaca ? Sebagai permulaan 20 buku!

Mengapa begitu banyak ? Sebenarnya sedikit sahaja jika dibandingkan jumlah buku yang diperlukan untuk menulis artikel. Ini akan saya terangkan di point nombor 2.

2. Tulis Artikel

“Aisehmen. Kali terakhir saya menulis ketika peperiksaan SPM 1993.. Otak sudah karat..”

Pakar tidak karat otaknya. Menulis menyebabkan otak semakin tajam dan kritis.

Tulislah artikel di majalah atau suratkhabar. Atau sekurang-kurangnya, tulis di blog di internet. Di Facebook ada ruangan Notes untuk membolehkan kita menulis.

Menulis tentu memerlukan idea atau kandungan. Of course! Kerana itu kita perlu lebih banyak membaca. Jika untuk menjadi pakar pada awalnya kita perlu membaca 20 buku, untuk menulis pula kita perlukan input sekurang-kurangnya dari 50 buah buku!

3. Menghasilkan “Panduan Bagaimana…”

Tuliskan sebuah ebook dan edarkan secara percuma.

“Bagaimana menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun”

“Menjadi pelajar cemerlang secara part-time…”

“Menjadi pekerja malas yang disayangi boss..”

Topik mestilah mudah dan relevan. Tidak perlu tebal, cukup sekitar 25 halaman sahaja.

4. Menulis Buku

Adui! Menulis artikel pun terhegeh-hegeh, inikan pula mahu menulis buku.

Cuba satu hari anda pergi ke kedai buku. Kebanyakan orang yang berjaya mempunyai buku sendiri.

Cara shortcut menulis buku : Tuliskan artikel 300 patah perkataan dalam satu bidang yang sama secara konsisten sekali seminggu selama 6 bulan.

Selepas 6 bulan : 4 artikel x 6 bulan = 24 artikel.

Gabungkan artikel tersebut, ubahsuai sedikit.

Wallah! Buku selesai ditulis dalam masa 6 bulan !

5. Sertai Persatuan

Ini cara untuk mendapat network bisnes lebih baik. Selain itu, ini menjadi pengiktirafan sosial penyertaan anda dalam industri. Biasanya persatuan akan diketuai oleh individu berjaya, kaya dan berpengaruh. Dapat juga mengambil gambar bersama mereka.

6. Bercakap!

Anjurkan seminar, bengkel dan program anda sendiri. Biarkan pun secara kecilan. Orang akan memandang orang yang pandai bercakap sebagai orang yang tampan dan cantik!

7. Sijil Profesional

Jika anda pengaturcara, dapatkan sijil profesional seperti dari Microsoft. Jika anda pemilik spa, dapatkan sijil kelayakan dari badan yang berautoriti.

8. Sambung belajar

Fenomena orang yang tidak mahu sambung belajar kerana kemaruk bisnes menjadi-jadi sekarang ini.

Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.

“Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Kalau boleh biar sampai ke PhD tu…

Semua tip diatas memerlukan usaha. Tiada yang benar-benar shortcut kecuali ilmu dan usaha.






10 Buku Bisnes Terbaik : Siri 1

4 09 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Budiman,

Saya tidak pernah menerima pendidikan perniagaan secara formal di sekolah atau universiti. Kerana itu saya sangat berterima kasih kepada banyak sumber rujukan dan buku yang menjadikan setiap bisnes yang saya lakukan sebagai peluang untuk belajar. Mungkin ada banyak lagi buku-buku perniagaan yang hebat diluar sana, tetapi ini adalah 10 buku perniagaan (tidak mengikut susunan) yang banyak mengubah persepsi dan menjadikan siapa saya hari ini :

1. Blue Ocean Strategy (BOS)

Penulis : CW Kim & R. Mauborgne

Telah diterjemah kepada pelbagai bahasa. Saya baca versi English yang lebih mudah difahami. BOS sangat memberi kesan kerana selepas akan membuatkan kita berfikir untuk meletakkan inovasi dan kelainan dalam perniagaan. Saya tidak lagi mahu mengeluarkan produk yang terikut-ikut dengan orang lain. Strategi yang berbeza, dan bagaimana merancangkan BOS bagi perniagaan. Bagi saya, jika produk/bisnes kita tidak unik, maka tiada bisnes. Perniagaan perlu berbeza untuk kekal lama.

BOS juga merupakan inspirasi besar untuk saya mengubah strategi penulisan buku dan juga pemasaran internet.

2. E-Myth Revisited

Penulis : Michael Gerber

McDonalds terkenal dan masih kekal sehingga sekarang bukan kerana mereka pembuat burger yang paling sedap. Saya lebih suka rasa burger tempatan Ramly. Tetapi mengapa McD dapat terus kekal ? Mengapa mereka dapat membuatkan orang percaya burger mereka paling sedap? Mengapa mereka dapat menghasilkan rasa burger yang sama di merata tempat? Rahsianya adalah dengan mempunyai sistem perniagaan. Sistem yang dibentuk, dirancang, dan boleh diduplikasikan. Kedai makan yang berjaya bukanlah kedai makan yang paling sedap, tetapi kedai yang dapat mengekalkan kualiti rasa disemua kedainya.

Pengajaran penting : Tukang masak yang terbaik tidak semestinya peniaga yang baik. Bermaksud jika anda pandai buat sesuatu, tidak semesti anda juga boleh membuka bisnes yang berjaya.

3. The Long Tail

Penulis : Chris Anderson

Konsep yang diketengahkan adalah dengan menawarkan banyak produk dalam sesuatu niche. Contohnya, jika anda menjual buku, anda perlu menjual seratus judul, dan kalau boleh beribu judul dalam pelbagai kategori. Kedai online seperti Amazon mengecap jaya dengan konsep ini. Begitu juga dengan iTune yang menjual lagu-lagu. Ini memberikan kepuasan kepada pelanggan dalam memilih disamping membuka pasaran pelanggan yang lebih luas.

Di KL, kedai mamak memang cukup popular. Pada pandangan saya, mereka menggunakan teori Long Tail. Walau pun ia kedai yang dikenali dengan roti canai dan teh tarik, tetapi kedai mamak kini menawarkan lebih dari itu. Nasi beriyani, nasi lemak, masakan barat seperti chicken chop sehinggalah masakan tomyam. Sebut sahaja makanan apa, kedai mamak kini lebih universal.

Ini menjadikan lebih banyak jualan berlaku dan bukan hanya produk khusus sahaja. Konsep Long Tail menjadikan produk yang tidak dikenali, laris semula.

4. Guerrilla Marketing

Penulis : Conrad Levinson

Saya suka dengan pendekatan pemasaran gerila kerana ia berkos rendah dan mementingkan kreativiti. Ia sangat sesuai untuk perniagaan kecil. Selama ini kita bercerita mengenai 4P dalam pemasaran, tetapi pemasaran gerila lebih bersifat ’selamba’ dan ‘main belasah’ dalam pendekatannya. Ia berkesan!

5. The Psychology of Selling

Penulis : Brian Tracy

Ini asas pemasaran. Bermula dari mental setting sehinggalah strategi untuk mendekati pelanggan. Buku ini sangat sesuai untuk mereka yang takut sangat untuk buat jualan. Buku ini masih menggunakan pendekatan klasik pemasaran, tetapi masih relevan dengan dunia perniagaan. Saya suka!

Nanti akan saya sambungkan dengan Siri 2. Masih lagi dengan demam raya, masih menikmati masa-masa berkualiti bersama keluarga di K.Lumpur. Bagi rakan di luar sana, saya ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!






Ebook Akan Menggantikan Buku Bercetak Sedikit Masa Lagi

4 08 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Para Pembaca Budiman,

Minggu lalu salah seorang penulis yang terkenal dengan karya untuk kanak-kanak menyatakan kebimbangan beliau dengan perkembangan ebook.  Beliau merasakan masih belum bersedia untuk apa-apa menghadapi vortek / gelombang ebook. Ini tentunya akan mengancam jualan buku-buku bercetak apabila ebook mula diterima oleh masyarakat bagi menggantikan buku fizikal.

Memang ada asas kebimbangan beliau. Jika kita hanya melihat fakta-fakta jualan oleh Amazon, memang sudah kelihatan trendnya :

  • Sehingga tahun 2011, pertumbuhan jualan Amazon adalah yang terbaik dalam masa 10 tahun disokong oleh jualan buku pelbagai format (digital dan bercetak).
  • Dalam masa 5 minggu sejak diperkenalkan, Kindle yang berharga USD114 mencatatkan jualan terbaik bagi Amazon!
  • Amazon telah menjual 3 kali ganda ebook berbanding tahun 2010
  • Kurang dari 1 tahun diperkenalkan, Amazon menjual lebih banyak ebook berbanding buku bercetak. Sejal April 2011, nisbah pembeli ebook berbanding pembeli buku bercetak adalah 2:1.
  • Setiap 100 buku bercetak yang dijual, ebook telah terjual 105!

Ini bermakna jualan ebook telah melebihi jumlah jualan buku bercetak.

Bagaimana dengan nasib buku bercetak selepas ini? Sebelum ini, industri muzik telah melalui vorteks ini melalui model bisnes iTune. Tetapi untuk industri buku ditransformasikan, tidaklah semudah itu. Ia akan mengambil sekurang-kurangnya 2 fasa kritikal :

1. Mewujudkan Pasaran : Mengubah pasaran supaya pelanggan bersedia untuk untuk membelanjakan wang untuk ebook. Sudah ada permintaan, tetapi tidak agresif. Pelanggan masih lagi perlu dididik dan digalakkan untuk adaptasi teknologi. Buat masa sekarang mungkin harga teknologi seperti Kindle, iPad, Nook adalah mahal, tetapi teknolgi akan turun harganya bila industri sampai ke tahap ekonomi berskala. Harga akan turun!

2. Perubahan Permainan : Bila peraturan, kaedah, langkah-langkah, cara dan piawaiannya telah ditetapkan. Buat masa sekarang, belum lagi. Amazon masih dengan Kindle, Apple masih dengan iBook, Barnes& Noble masih dengan Nook. Masih belum ada keseragaman dan kompatibiliti. Cara masing-masing. Masih ingat apa yang dilakukan Apple kepada industri muzik sebelum ini? Melalui iTune, Apple telah melakukan proses perubahan permainan.

  • Boleh memilih lagu yang dibeli (bukan album/CD)
  • Boleh menyusun lagu mengikut susunan kegemaran
  • Tidak perlu membawa seluruh CD/album. Cukup dengan lagu selektif

Ketika ini permainan ebook ini masih belum diubah secara universal oleh mana-mana pihak. Saya tertanya-tanya siapa akan menjadi jaguh nanti. Jika lihat ke hadapan, bukan hanya muzik dan buku tetapi pelbagai lagi media kandungan yang sedang dihambat ancaman digital. Akhbar bercetak sudah banyak yang gulung tikar. Majalah juga menerima kesan yang sama. Sekarang ini, radio dan televisyen pula.

Vorteks ini akan berlaku. Gelombang digital akan mengambil tempat. Berapa lama ia akan berlaku di Malaysia ? Saya jangkakan tidak lama. Pemain industri di luar Malaysia sedang sibuk mencari keserasian teknologi. Dan ia sedang berlaku dengan agresif sekarang ini. Bila ini berlaku, Malaysia sebagai sebuah negara yang sering mengadaptasi teknologi, juga akan menerima gelombang ini.

Dan melalui pengamatan, bila gelombang ini berlaku, ia sangat kuat, tidak tertahankan. Seperti apa yang berlaku dengan penerimaan Facebook di Malaysia. Ia ibarat tsunami yang mengubah lanskap dan muka bumi industri buku. Hanya ada dua golongan, yang selamat dan yang terkubur.






Impian Ramadhan Terbaik

31 07 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini 1 Ramadhan bersamaan 1 Ogos 2011. Tidak pernah sejak wujudnya blog irwandahnil.com ini, saya mencatat sesuatu pada hari pertama Ramadhan. Walau bagaimanapun, saya rasa tidak pernah terlepas untuk mencatatkan sesuatu disini. Ada sahaja yang menarik pada perspektif saya :

http://www.irwandahnil.com/2009/08/26/belian-emosi-badan-merana/

http://www.irwandahnil.com/2008/09/01/juadah-berbuka-puasa/

http://www.irwandahnil.com/2007/09/13/pengalaman-berniaga-ramadhan-soho-baru/

Syukur, tahun ini saya dapat membuat catatan pada malam Ramadhan yang pertama. Selepas pulang dari solat terawih, punya sedikit masa untuk mengusik blog ini. Sedikit berbeza, tetapi signifikan :)

Sejak tahun lalu, saya sebenarnya rasa sedikit ‘tenang’. Mungkin setelah 12 tahun berbisnes,bermula tahun lepas saya benar-benar ‘melepaskan lelah’, tidak mengusahakan sesuatu yang signifikan untuk perniagaan. Walau saya masih menulis beberapa bab untuk buku-buku perniagaan untuk terbitan akan datang, tetapi perasaan sebagai usahawan berbeza sama sekali.

Dalam saya ingin terus berbisnes, saya mula mencari jalan yang berbeza. Benar, wang juga adalah motif berniaga, tetapi saya mahukan yang lain. Bukan lagi wang semata. Bukan lagi kepuasan peribadi. Bukan lagi kemahsyuran,bukan lagi pengiktirafan. Sudah-sudah dengan kata-kata orang lain yang menyatakan kehebatan. Semua telah saya kecapi.

Saya banyak melakukan kesalahan dan kesilapan sepanjang bergelar usahawan. Bila saya menoleh ke belakang, saya akan rasa malu, menyesal. Saya insan yang lemah, ada masanya, saya juga pernah dikaburi oleh wang ringgit dan kuasa. Saya malu untuk mengangkat muka. Kesalahan yang bukan saya berbangga untuk menyatakannya.

Memang saya ’sesat’. Tetapi, jika bukan wang dan kepuasan, maka apalagi yang dicari dengan bisnes?

Jawapan buat masa sekarang : ENTAH! Saya cuma mahu mencari sesuatu yang lebih hakiki. Bagaimana dan bila, saya tidak pasti.

Tetapi saya yakin!

Contohnya, blog ini juga telah mencapai usia 5 tahun sejak tahun 2006. Alhamdulillah, sejak awal blog ini bukan bermotifkan duit. Ia kekal dari dahulu sebagai wadah untuk saya mencatatkan sesuatu. Jika ia dibaca dan memberi manfaat kepada orang lain, alhamdulillah mengharapkan saham akhirat juga saya. Tetapi jika tidak dibaca, tidak menguntungkan pada pandangan orang lain itu tidak menjadi nanah kepada saya. Kerana pada awalnya, telah saya tetapkan matlamatnya.

” Tahun ini saya mengharapkan ihsan dan berkat Ramadhan. Tunjukkan, berikan sedikit hidayah, jalan yang lurus, cahaya yang terang untuk saya teruskan perjuangan. Izinkan saya menyumbang dalam bidang bisnes dan keusahawanan mengikut jalan yang telah ditentukan. Mohon dibuangkan rasa keraguan dan was-was. Dibersihkan sumber keuntungan agar hanya yang halal dan berkat sahaja yang tinggal untuk dinikmati. Moga ada ruang untuk limpahan rezeki untuk insan lain agar turun merasa berkatnya. “

Biarlah sedikit, kecil, tidak kelihatan, tetapi berkesan. Doakan saya.

Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf diatas dosa yang saya lakukan. Memang banyak yang buruk dari baiknya. Moga Ramadhan tahun ini Ramadhan yang terbaik juga buat pembaca sekalian. Andai kata Ramadhan ini yang terakhir untuk kita, doakan agar ia Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui.  Amin!






5 Cara Mencipta Kredibiliti Perkhidmatan Melalui Perkongsian

13 04 2010

Berbeza dengan menjual produk fizikal di internet, menjual perkhidmatan adalah lebih subjektif. Perkhidmatan seperti terjemahan, perkhidmatan latihan, perunding kewangan, menjual insurans, perunding perniagaan dan seumpama dengannya bukanlah begitu mudah untuk dijual. Ini disebabkan persaingan yang hebat dan ramai pula yang menyediakan perkhidmatan yang sama.

Jadi bagaimana untuk menonjolkan diri, menyatakan anda yang terbaik dan mampu memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati ? Untuk menjual perkhidmatan, sebenarnya kita perlu ‘masuk ke minda pelanggan’. Caranya adalah dengan kita manipulasi
sepenuhnya gelagat pelanggan di internet.

Cuma selidiki gelagat pelanggan melayari internet. Mereka sebenarnya mencari maklumat lanjut, bukti-bukti kejayaan dan kredibiliti dari laman web. Mereka akan menyelidik, membaca, melihat dan menilai. Mereka menjustifikasikan perkhidmatan dan membuat perbandingan. Di minda, mereka mencari sebuah perkhidmatan yang dirasakan paling sesuai selepas dibuat penilaian.

Sedar atau tidak, apa yang mereka sendiri lakukan tadi merupakan proses ‘tarbiah’ atau ’self-finding’. Secara mudahnya, pelanggan yang sebenarnya mencari perkhidmatan! Ini sudah dikira terbalik dari proses mencari pelanggan. Itulah kesan apabila telah meresapi ke minda pelanggan. Maklumat yang telah mereka baca dan fahami akan membentuk kepercayaan.Apabila kepercayaan telah wujud, maka untuk berjual beli menjadi lebih mudah.


Salah satu cara untuk meresapi minda pelanggan sehingga terjualnya perkhidmatan di internet adalah dengan berkongsi pengetahuan. Berkongsi di internet sangat mudah. Melalui blog, forum, social networking dan sebagainya.

5 Cara Mencipta Kredibiliti Perkhidmatan Melalui Perkongsian

1. Menghasilkan catatan di blog untuk dikongsi. Jangan pedulikan sangat mengenai bahasa jika ingin bermula. Teruskan sahaja menulis, asalkan ia memberi manfaat kepada golongan sasar. Tuliskan sesuatu bagaimana perkhidmatan anda sesuatu boleh mengubah diri pembaca secara positif. Bezakan blog peribadi dengan blog perkhidmatan. Elakkan menulis terlalu peribadi sifatnya. Menulis sesuatu yang terlalu teknikal juga tidak memberi kesan.

2. Berkongsikan pengalaman dan kehidupan profesional yang anda lakukan. Apabila anda menghadiri meeting, seminar atau bengkel, ambil gambar dan uploadkan. Jika anda lulus peperiksaan profesional, atau menamatkan pengajian buatkan sedikit catatan kejayaan anda. Kongsikan dengan semua kenalan. Kongsikan yang positif, bukan luahan perasaan yang marah, tidak puas hati, menyumpah-nyumpah.

3. Niat berkongsi adalah untuk menyelesaikan masalah orang lain. Jangan bersifat ‘menjual’. Letakkan perkhidmatan itu sebagai penyelesai masalah orang lain, ia akan kelihatan seperti membantu dan bukan wang semata. Jadikan diri anda kelihatan seperti doktor di klinik. Doktor membantu menyembuhkan penyakit walau sebenarnya ia perkhidmatan berbayar.

4. Sediakan support group, ruangan untuk interaksi. Anda boleh kelolakan forum sekiranya mampu. Jika anda keberatan untuk meletakkan nombor telefon peribadi anda, minta mereka tambahkan anda sebagai kenalan di Facebook. Chat box juga cara yang mudah dan simple untuk mereka berinteraksi dengan anda. Pelanggan ini bertanya dengan anda secara percuma barulah mereka melihat perkhidmatan anda.

5. Penulisan anda mengandungi idea yang sarat dengan idealogi dan perjuangan. Ia mungkin tidak diterima sekarang, tetapi ia mempunyai peluang yang cerah untuk diterima di masa hadapan. Di peringkat awal saya menulis mengenai pemasaran SMS untuk IKS, saya menerima banyak rejection, dan kontroversi. Tetapi ini semua merupakan proses yang memandaikan pembaca. Pembaca yang terasa dirinya pandai akan lebih mudah membuat keputusan untuk membeli.

Wujudkan juga suasana tidak formal dan santai. Sesekali boleh juga selitkan lawak (yang anda rasa kelakar), bahasa pasar, ucapan selamat dan juga perbincangan ringan seperti hobi dan keluarga. Tanpa kita sedari, pelanggan akan menjadi kawan. Itulah sebenarnya yang sangat kita inginkan bila menjualperkhidmatan.

Kawan menolong kawan. Kawan yang juga tidak makan kawan!






Mencari Kertas Kerja Perniagaan ?

8 02 2010

Mulai hari ini, anda boleh  memuat turun kompilasi kertas kerja perniagaan yang telah dikumpulkan dari pelbagai sumber. Dan ianya adalah percuma.

Tujuan saya mengumpulkan kertas kerja perniagaan ini adalah untuk membantu anda yang tercari-cari contoh kertas kerja. Saya banyak menerima email yang meminta bantuan untuk menyiapkan kertas kerja perniagaan masing-masing. Ramai yang keliru dan tidak pasti mengenai format yang sebenar. Oleh itu, dengan konsep kompilasi ini anda boleh memuat turun mana-mana kertas kerja dan lakukan perbandingan sendiri antara kertas kerja.

Bermula hari ini, saya akan keluarkan Kompilasi Kertas Kerja Perniagaan versi 1.0 yang mengandungi lebih kurang 11 kertas kerja perniagaan. Insyallah dari semasa ke semasa, jumlah kertas kerja ini akan bertambah.

Kertas kerja tersebut boleh DIMUAT TURUN PERCUMA DISINI.

Saya harapkan kertas kerja ini dapat membantu anda untuk memulakan impian perniagaan masing-masing.

Opss! Sebelum itu :

1. Kertas kerja ini hanyalah sebagai panduan dan bukan khidmat nasihat profesional. Oleh itu saya tidak tidak bertanggungjawab dalam risiko perniagaan masing-masing. Tiada jaminan pulangan keuntungan seperti contoh didalam kertas kerja.

2. Kertas kerja ini adalah didapati secara percuma di internet, di pejabat MARA, di kelab-kelab usahawan dan sebagainya. Ia bukan disediakan oleh saya. Saya hanya membantu untuk mengumpulkan kertas kerja tersebut dalam bentuk kompilasi.

3. Kertas kerja tersebut adalah hak cipta dan milik penulis. Penulis berhak untuk meminda, mengubah, menambah dan menarik balik kertas kerja tersebut.

4. Saya tidak membuat perundingan terhadap kandungan kertas kerja tersebut.

Moga membantu!






5 Tips Menghasilkan Ebook Berkualiti

15 12 2009

Apa sebenarnya yang orang cari di internet ? Kenalan baru ? Duit ? Hiburan ? Berita ?

Setiap dari kita mempunyai tujuan yang berbeza apabila melayari internet. Boleh disimpulkan internet merupakan tempat kita mencari satu perkara yang penting iaitu MAKLUMAT. Bila dikaitkan dengan perniagaan diinternet, maka tidak hairanlah mengapa menjual ebook menjadi salah satu bentuk perniagaan yang popular.

Tanpa mendebatkan kredibiliti ebook itu sendiri, kita tidak boleh nafikan perniagaan ebook sebenarnya memang pelengkap kepada keperluan orang melayari internet. Bila kita mencari maklumat di internet, kita sanggup membayar untuk suatu maklumat yang kita rasakan sesuatu.

“Memang bijak orang yang menciptakan model perniagaan ebook. “

Sekarang pandangan peribadi, perniagaan ebook masih mempunyai tempat di Malaysia. Dahulunya ebook lebih cenderung untuk mendedahkan teknik-teknik membuat duit di internet, tetapi sekarang skop topiknya lebih meluas. Ebook kini telah melangkaui topik-topik yang lebih umum, bersifat inklusif dan tidak tertumpu kepada buat duit sahaja. Sekarang kita boleh perolehi pelbagai topik ebook seperti keibubapaan, menguruskan kewangan, mengurus perniagaan, meningkatkan kesihatan, kerjaya, motivasi dan pelbagai lagi. Dengan meluasnya pelbagai topik, maka lebih banyak topik ebook yang akan memasuki pasaran.

5 Tip Menghasilkan Ebook Yang Berkualiti

1. Tulis mengenai bidang yang anda tahu, berkemahiran, berpengalaman. Bagi Azizi Ali dalam bukunya menyatakan bahawa 3 topik yang paling mendapat perhatian adalah topik mengenai perniagaan dan keusahawanan, ’self-help’ dan juga hobi. Tetapi banyak lagi topik-topik yang belum diteroka dan dihasilkan.

2. Memilih topik seperti keibubapaan dan kesihatan merupakan topik yang evergreen. Tahun berganti, tetapi maklumat seperti ini sentiasa boleh dibaca pada bila-bila zaman sekalipun. Ebook Buat Duit Dengan SMS yang saya tulis sekitar tahun 2006, bukanlah contoh topik evergreen yang baik kerana terdapat kebergantungan kepada teknologi. Tetapi ketika saya menulis topik tersebut, saya mengikuti tip nombor 1 di atas. :D

3. Sekiranya ingin menulis dalam Bahasa Malaysia, gunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Secara ringkasnya BMT merupakan bahasa Malaysia yang menggunakan tatabahasa dan struktur ayat yang baik dan betul. Dalam satu artikel yang saya baca dari tulisan Puan Ainon yang juga pengerusi syarikat penerbit buku PTS, saya boleh simpulkan bahawa penggunaan BMT dapat mengekalkan kandungan ebook tersebut untuk dibaca oleh generasi akan datang. Sebagai contoh, penggunaan kata ’saya’, ‘awak’ dan ‘kami’ diterima oleh pelbagai generasi berbanding dengan kata ‘lu’, ‘gua’ dan ‘we all’.

4. Jika menulis topik yang umum (bukan topik buat duit), prospek pembeli akan melihat siapakah individu yang menulis ebook tersebut. Prospek ingin melihat adalah penulis ebook tersebut ‘cakap serupa bikin’. Jika anda menulis mengenai topik keibubapaan, adakah anda seorang ibu/bapa yang mempunyai pencapaian yang berbeza dari ibubapa yang lain ? Latarbelakang penulis merupakan aspek penilaian prospek sebelum membeli ebook. Penulisan ebook yang mengikut fokus topik atau niche juga membantu dalam jualan.

5. Ebook bukan bagi tujuan mengaut keuntungan semata-mata. Selain dari memperolehi rezeki yang halal dari jualan ebook, penulis berkongsi pengetahuan dan ilmu. Kandungan ebook yang baik dan berfaedah, menjanjikan potensi menghasilkan pendapatan yang mewah apabila menerbitkan ebook kedua. Dengan membina kredibiliti dan kandungan ebook yang dipercayai, rezeki penulis ebook akan lebih murah apabila menghasilkan ebook kedua pula. Bak kata pepatah, ‘Budi yang baik dikenang jua..”

Mungkin pandangan saya berbeza, tetapi saya membuat kesimpulan, ebook merupakan pelengkap kepada industri buku dan bukan pesaing. Walaupun proses, perundangan dan operasinya boleh memerlukan perbincangan lanjut, penerbit buku yang bijak sahaja boleh melihat potensi ini.

p/s : Ketika di universiti, teknologi maklumat merupakan bidang saya. Ketika itu, tidak dapat saya buat ramalan bahawa sebegini hebat penangan maklumat di internet. Bapa saya ketika itu pula tidak memahami apa-apa meramalkan yang saya akan hanya menjadi seorang kakitangan di Jabatan Penerangan!






Tip Menghantar Promosi SMS Yang Efektif

5 11 2009

Satu statistik yang dikeluarkan, sejumlah 73 billion SMS dihantar pada 2008. Manakala menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di dalam fakta terpilihnya, mensasarkan bahawa pemilikan telefon bimbit akan melepasi angka 100% menjelang akhir tahun 2009. Tidak termasuk golongan bayi dan kanak-kanak (yang belum celik hanphone), ini bermakna secara purata seseorang mempunyai 2 nombor telefon bimbit.

Dengan statistik terkini, ramai yang cuba untuk memanipulasikan SMS sebagai media pemasaran yang baru. Ia dilihat sebagai salah satu saluran alternatif dalam menyampaikan iklan dan promosi dan tidak hanya bergantung kepada media yang sedia ada. Ini diakui, kerana sifat SMS yang lebih personal dan sentiasa mendapat perhatian pemiliknya.

Begitu pun dalam pemerhatian saya, tidak ramai yang benar-benar dapat menjalankan pengiklanan yang berkesan menggunakan SMS. Ia kelihatan mudah, dengan hanya menaipkan teks, ia akan sampai kepada prospek pelanggan. Kalau ia begitu mudah, mengapa masih ada keluhan dan rungutan kegagalan kempen SMS ? Sebaliknya ada yang lebih teruk lagi apabila dicaci oleh pemilik telefon bimbit kerana mereka terasa seperti ‘dicabuli hak privasi’.

Terdapat satu perkara yang kita terlepas pandang iaitu mengenai penguasaan bahasa dalam teks SMS tersebut. Kita tidak memerlukan pereka grafik atau agensi kreatif untuk membantu membuat pemasaran. Dengan hanya 160 aksara, kita hanya perlu sedikit ‘common sense’ dan sedikit kemahiran berbahasa dibantu dengan pemahaman mengenai golongan sasaran. Kita perlu sensitif dengan penggunakan setiap huruf dan perkataan dalam iklan SMS tersebut.

Sekadar ulangan, apabila menghantar mesej, adakah kita terlepas pandang perkara-perkara ASAS berikut  :

1. Pasaran Sasaran (Siapa)

Kenalpasti dan fahami sasaran pelanggan anda. Jangan hantar SMS secara sembarangan. Memahami pelanggan adalah asas penting dalam pemasaran SMS. Jangan mulakan kempen sebelum kita memahami siapa pelanggan tersebut, lingkungan umur, jantina, kedudukan geografi dan faktor demografi yang lain. Lebih mendalam informasi anda ketahui mengenai pelanggan, lebih tepat kempen yang anda akan lakukan.

Perlu diingat bahawa pemasaran SMS adalah proses penghantaran mesej peribadi ke alat personal pelanggan. Untuk menjadikan ia efektif dan tidak menyinggung perasaan ia mestilah releven dengan pemiliknya.

2. Tawaran Yang Istimewa (Mengapa)

Adakah tawaran anda sesuatu yang diinginkan ? Jika bukan, pemasaran SMS anda adalah kerugian total!

Mesej SMS boleh menjadi sebagai satu peringatan sahaja. Dengan peringatan, mungkin pelanggan akan bertambah. Tetapi bertambah, tidak bererti membeli.Jadi masukkan tawaran dan promosi dalam SMS tersebut. Menawarkan diskaun juga adalah langkah bijak. Contohnya, menawarkan diskaun 50% sekiranya pelanggan datang. Ini mewujudkan potensi pelanggan untuk membeli dari hanya datang sekadar ziarah.

3. Masa (Bila)

Pilih masa yang tepat. Sekiranya kita menghantar SMS terlalu awal, pelanggan mungkin lupa, sekiranya terlalu lewat pelanggan mungkin sudah ada perancangan lain. Memilih masa memerlukan keseimbangan yang berhatihati. Masa yang tepat, anda akan mendapat hasil yang diinginkan, masa yang salah anda akan membazirkan wang anda.

Ini adalah mengapa kita perlu mengetahui geografi dan demografi pelanggan. Memahami perangai, tabiat, kebiasaan dan kecenderungan mereka membantu dalam kita memilih masa yang paling sesuai untuk menghantar SMS. Cuba anda baca dan lihat bagaimana BMW menjalankan promosi pada MASA YANG TEPAT.

4. Teks SMS Itu Sendiri (Apa)

SMS telah membentuk struktur bahasanya yang tersendiri. Suka atau tidak ia adalah untuk kita hadapi.

Saya juga pencipta bahasa Malaysia. Ini bermakna kita juga perlu mengubah bahasa kita dengan memendek semua perkataan. Tetapi penggunaan singkatan perkataan yang diketahui umum memang sangat membantu. Kita perlu penguasaan bahasa dan mengatursusunkan bahasa supaya mesej SMS tersebut difahami dalam 160 aksara.

Jika kita berikan sedikit perhatian, tentu ada dalam mesej tersebut yang boleh dipendekkan. Perhatikan secara satu per satu.

Contohnya, “Sekiranya anda ingin keluar dari langganan, sila hantar SMS “Stop” ke 32781″

Tetapi adalah lebih mudah untuk memendekkan seperti :

“Keluar langganan : STOP ke 32781″

Diharapkan tip tadi dapat membantu untuk anda menghantar SMS yang lebih berkesan, bersopan, berstruktur dan paling penting meyakinkan.






3 Event Dalam 8 Hari

16 04 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembac Blog,

Selalu tak anda terasa selalu tak cukup masa ? Yang ironinya, masa kita banyak kerja, masa tu lah terasa tak cukup dengan 24 jam. Memang ada masa lapang, tapi stress dan tensionnya takkan sama dengan waktu kita terdesak dengan kerja2 yang tak selesai.

Dulu saya selalu dengar2 kata yang saya ni susah betul nak ditemui. Hakikatnya, memang betul pun.  Ada masa2nya, saya free, tapi ada masa2nya saya lebih sibuk dengan urusan lain.. Bukan kerana tiada masa, cuma saya ni mungkin tidak selalu ‘muncul’ di dalam interest group. Saya lebih sibuk dengan ‘dunia’ saya sendiri :)

Anyway, kali ini mungkin peluang untuk berjumpa tiba kembali.

Sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang bermula 17 hingga 26 April ini, saya juga terlibat dengan beberapa acara.

Event #1  :  Kemunculan Penulis / Authors Appearance @ Booth True Wealth Publishing

Elok2 je buku kedua SMS saya diterbitkan, maka saya akan bersama-sama dengan penulis yang lain akan berada pada 18 & 25 April 2009 bermula jam 2 petang. Kalau anda ada pertanyaan tentang buku yang saya tulis, atau ada kemuskilan mengenai sistem SMS, atau hanya ingin datang untuk mendapatkan autograf :), saya mengalu2kan ….

Event #2.  Majlis Pelancaran Buku Bisnes SMS Cara Pantas

Tahun lepas, True Wealth mengadakan event yang sama. Tahun ni buat lagi. Cuma untuk memberi sokongan kepada penerbit kali ini saya juga hadir. Pihak penerbit meraikan penulis-penulisnya. Majlis ini akan diadakan pada 20 April 2009 bermula jam 3 pm di Ruang Legar PWTC.

Event2 ni percuma je kalau anda ingin hadir. Saya menjemput anda untuk sama2.  Kali ini, tak perlu risau kalau tak dapat berjumpa saya… Kali ini saya yang jemput anda! :)

Kalau ada masa dan kelapangan, bawa seisi keluarga ke PBAKL ni.  Sasaran pengunjung juga tinggi dan pelbagai acara dianjurkan. Ini masa yang terbaik untuk membeli buku dan bahan bacaan untuk seisi keluarga. Maklumat lanjut boleh diperolehi disini http://klbookfair.com/index.php/

Event #3 : Author’s Talk @ MPH Mid Valley : Buku SMS Cara Pantas

Seperti sebelum2nya, MPH akan menjemput penulis2 buku untuk bersama2 berkongsi pandangan dan hasil penulisan bersama2 audience.  Kali ini peluang anda untuk lihat sendiri, praktik dan juga sedikit demonstrasi bagaimana sistem SMS berfungsi. Jangan bimbang, bukannya kelas teknikal.. Cuma dengan talk ini membantu anda lebih memahami kandungan buku Bisnes SMS Cara Pantas.

Maklumat lanjut mengenai event @ MPH Mid Valley ada disini http://www.mph.com.my/promotions/promotions.cfm

Anyway, ini pertama kali nak buat book talk @ MPH. Sebelum ini dah banyak kali dijemput tapi tidak berkelapangan.  Saya sendiri tak tahu apa yang boleh dijangkakan dalam book talk kali ini.

Wish me luck & datang beramai2 tanda sokongan :)






Kenapa Ayat Di Internet Hype & Over ?

13 04 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Pembaca Blog,

Sebelum saya menulis post ini, saya ingin menyatakan bahawa saya ini bukanlah seorang yang mempunyai pendidikan secara intensif di dalam penulisan.  Ia hanya sebuah pandangan peribadi yang bernilai 2 sen..

Hari demi hari, semakin ramai orang menceburi perniagaan internet. Boleh dikatakan laman web semakin banyak dan tentunya semakin banyak bahan yang boleh diperolehi di internet.

2 Saat Untuk ‘Wow’

Disebabkan terlalu banyak laman web, pengunjung lebih bersifat selektif. Bahan yang dibaca perlu mempunyai nilai yang membuatkan mereka ingin terus membaca. Produk yang ingin dijual melalui laman web mesti mempunyai nilai memujuk yang tinggi.

Mengikut kajian, setiap laman web hanya mempunyai 2 saat sahaja untuk terus ‘mengikat’ mata pengunjung. Sekiranya laman web tidak mempunyai gaya penulisan yang betul, pelanggan tutup je laman web tu dan cari yang lain.

Sekiranya anda mempunyai laman web yang menjual, gaya penulisan salesletter mesti mantap.

Penulisan Mantap Tidak Bererti Hype & Over

Hype di sini saya maksudkan berlebih-lebih. Ia merujuk kepada penulisan yang ‘too good to be true’, sukar dipercayai, melampau-lampau.

Cukuplah kalau ditulis untuk mendapat perhatian dan menerima respon dari pelanggan. Kalau terlalu sangat, nanti orang turn-off atau istilah mudahnya ‘potong stim’. Kadang penulisan yang tidak dikawal menyebabkan krediliti penjual akan menurun.

Bak kata pepatah, biarlah penulisan tersebut lebih ‘lembut’ dari penyampaiannya tetapi mempunyai kesan yang responsif.

Kelemahan Penulisan Salesletter

Ramai yang beranggapan nak tulis salesletter itu sangat mudah. Ini kelemahan mereka yang masih baru dalam internet marketing. Disebabkan salesletter ini subjektif, ia tiada betul salah.

Kalau tulis gaya A-Z, ia tetap suatu salesletter. Kalau tulis dari Z-A, ia masih salesletter.

Tapi ia akan dibezakan dengan result jualan yang diperolehi. Salesletter yang baik menyebabkan lebih banyak produk terjual.

Kuasai dulu ilmu menulis salesletter. Jangan perlekehkan penulisan asas ini.

Orang Malaysia Suka Yang Hype ?

Saya pernah mengubah salesletter saya yang menghasilkan jualan RM2,ooo. Salesletter ini boleh dikatakan sangat mengujakan, kurang hype, tetapi memang membuatkan orang terliur…

Bila saya tukar salesletternya ke mode yang lebih lembut dan sopan, ibarat jurujual yang pemalu, jualan merudum!

Betul ke orang Malaysia suka yang melampau-lampau ni ? Sendiri fikir-fikirkan… Sampai sekarang orang masih suka skim cepat kaya.. :)

Kalau Tak Pandai Menulis Salesletter…

Kalau tak pandai tulis, tanya diri anda apa yang anda pandai ? Melukis, mewarna, menyanyi, berlakon atau bercakap ?

Penulisan salesletter fungsinya untuk memberi sebanyak2 pengetahuan kepada pengunjung web disamping meningkatkan kredibiliti dan kebolehpercayaan pengunjung kepada produk yang anda jual.

Kalau tak pandai menulis, masukkan elemen lain dalam penulisan salesletter.

  1. Kalau pandai mewarna, warna kan laman web dengan tona warna yang sesuai supaya lebih cantik. Siapa yang tak suka cantik kan ?
  2. Kalau pandai berlakon dan beraksi, buat satu video dan letakkan dalam salesletter tu..
  3. Kalau anda pandai bercakap, cuba tambahkan satu testimonial audio dalam salesletter tu ..
  4. Kalau anda pandai grafik, tambahkan grafik yang menarik dan sesuai so penulisan tidaklah membosankan.
  5. Kalau anda pandai berlakon, mungkin boleh buat drama sebabak dan masukkan dala youtube!

Menguasai salesletter bukan sahaja melalui penulisan. Banyak cara lain. Kalau anda mempunyai ayat penulisan yang hype dan over, anda ada dua pilihan. Balik dan belajar atau buat benda yang anda tahu ?

Mana satu pilihan anda?