Catatan Kembara #254 : Kehidupan Yang Tiada Sempadan Privasi

Catatan Kembara #254 : Kehidupan Yang Tiada Sempadan Privasi

Kawan-kawan,
.
Bila aku post sesuatu di FB, tujuannya untuk berkongsi atau memberitahu. Apa yang selalu lupa, setiap kali keluar travel, aku meninggalkan jejak-jejak kecil yang orang boleh susun ibarat peta dan kaji pattern manusia.
.
“Alah.. Takkan itu pun tak tahu? Semua maklumat kau, semua Facebook dah pegang”.

Tahu dan sedar pun. Maka aku sendiri sangat memilih bahan yang mahu dikongsi. Jarang sangat upload gambar anak, atau keluarga. 
.
Tapi sepanjang travel, lain pula yang perangai aku. 
.
Namanya tour leader, memang begitulah nature. Semua benda mahu dikongsi. Gambar pemandangan, gambar selfie, tetamu atau sebarang jua bukti dimana kita berada. 
.
Buatkan nafas orang sesak cemburu dan jiwa celaru. 
.
Sebab kekurangan masa, aku beralih pula kepada Facebook Live. Lebih cepat, instant dan spontan. Sembur je cakap apa-apa. 
.
Disinilah masalah keselamatan bermula.
.
FB Live secara jelas beritahu dimana aku pada saat itu. Yelah, kalau latarbelakang Live aku di Eiffel Tower, sah memang aku disitu.
.
Sejak September 2018 travel secara konsisten tinggalkan rumah. Di kemuncaknya travel hanya 2-3 hari sahaja balik Glasgow untuk tukar baju, sebelum keluar semua untuk destinasi yang baru.
.
Yang aku tinggalkan adalah 3 nyawa anak amanah Tuhan di rumah. 
.
Yang sepatutnya setiap detik masa aku untuk didik mereka, makan bersama, gelak sehingga keluar airmata, dan melayan Netflix sehingga lewat malam sesekali sekala. 
.
Tidak cukup mereka ditinggalkan, aku bawa pula masalah dari luar.
.
Sejak pindah ke Scotland 5 tahun lalu, hidup ini bukan lagi privasi. Orang datang dan pergi. Tetamu bersilih ganti. Tangan aku terbuka luas menanti kehadiran orang yang mahu bersilaturahmi.
.
Tapi ketika aku tiada, ketibaan tetamu yang mahu berjumpa seperti tidak surut sampai bila. Kan sudah diberitahu, aku tiada. Tapi masih ada juga yang datang menjengah. 
.
Akhirnya aku beritahu sahaja semua seisi rumah, siapa pun tekan buzzer jangan buka pintu! 
.
Hati aku luntur. Seperti apa yang aku kongsi di Facebook ibarat memakan diri.
.
Ini bukan kejadian pertama. Sejak bertahun di perantauan, sering sahaja rumah diterjah seawal jam 6am atau larut malam, ketika aku sakit, ketika anak aku tidak sihat, saat masa tidak mengizinkan.
.
Dan mereka adalah stranger. Tidak aku kenali. Di negara ini, budaya rumah terbuka itu adalah asing sekali.
.
Tapi aku terima dengan hati terbuka. Mereka pun orang Malaysia. Tidak sesekali menolak tetamu. 
.
Mereka datang dengan kebaikan dan rezeki. Mungkin ketika kita sedang terlena alpa, ada pintu syurga yang sedang diketuk oleh puluhan doa kebaikan, Ada sejuta rahmat yang Tuhan janjikan.
.
Mungkin dari fakir yang kita tertolong.
.
Mungkin dari orang kelaparan yang kita beri makan.
.
Atau orang sedih yang kita bahagiakan.
.
Dan mereka mungkin datang dari tetamu yang aku terima dengan gembira. Maka jangan jika remehkan sesuatu walau sekecil hama.
.
Tetapi aku tidak mampu melayan semua. Simpan sahaja hujah berkata rumah dikunjung, rumah diberkati, aku pilih keselamatan dulu. 
.
Tidak tenang jiwa aku bila anak menyendiri. 
.
Jadi aku belajar dua perkara.
.
Bila travel, khususnya kalian yang ada tanggungjawab yang ditinggalkan. Jangan tag anak-anak beritahu mereka anda dimana, yang buat orang lain boleh baca.
.
Buangkan rasa ketagihan berkongsi lokasi semasa. Walau ia mungkin beri kesan kepada bisnes travel seperti aku (orang semua nak tunjukkan ke mana dia pergi), tapi ia tidak tertebus dengan nilai setiap nafas anak-anak yang Tuhan beri.
.
Aturkan masa untuk postkan di Facebook / Instagram. Biar lambat, asal selamat. 
.
Yang kedua. Bukalah pintu seluasnya untuk tetamu. Pun begitu, kalau ada 1000 bilik sekali pun rumah kita, tutupkan satu pintu rapat dan erat agar tiada sesiapa yang tahu, melihat atau peduli.
.
Itulah bilik paling sulit, tempat disimpan segala isi rumah, kegembiraan atau airmata. Ia hanya untuk orang tertentu sahaja. Di balik tabir tiada siapa yang mengerti apa yang kita sedang rasa.
.
Terima kasih yang bertanya khabar. Aku kembali menghirup udara Facebook. Kini dengan lebih berhati-hati.
.
Mohon maaf bagi kalian yang aku tidak santuni. Tetapi percayalah, jika tiada rezeki kita bertemu di bumi Scotland, akan ada tempat yang telah ditetapkan untuk kita.
.
Mungkin Tuhan sedang siapkan tempat pertemuan abadi di syurga nanti. Amin.
.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Menanti salji esok hari
Glasgow, Scotland

Komen melalui Facebook

komentar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *