Tingkat Demi Tingkat Perniagaan di Internet

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca blog yang dihormati.

Mungkin anda pernah menonton cerita klasik P Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Dalam satu adegan, Ahli Nujum Negara ditanya dengan soalan yang lebih kurang berbunyi :

  • “Terdapat sebatang kayu yang diraut cantik. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal?”

Seperti yang kita ketahui jalan ceritanya, ia memang menghiburkan. Tidak bosan berkali-kali menonton.

Bagaimana pula kalau ada yang bertanya :

  • “Terdapat banyak perniagaan dan pemasaran internet. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal ?”

Walau saya bukan ahli nujum, tetapi kerap kali juga diajukan soalan tersebut.  Dalam bahasa sekarang banyak soalan yang berbunyi lebih kurang sama :

“Saya ni masih baru dalam dunia Internet Marketing ni. Macam-macam yang saya baca. Memang banyak yang menarik, macam mana nak memulakan perniagaan internet ? Saya keliru..”

Tidak seperti filem P Ramlee dan Ahli Nujum Negara, jawapannya tidak dapat saya berikan sekelip mata. Bertahun-tahun juga saya memikirkan jawapannya.  Faktanya, ramai yang masih baru memang tidak tahu yang mana hujung, dan yang mana pangkal, keliru dengan perniagaan dan pemasaran internet (IM).

Maklumat dan informasi yang melambak di internet memberikan peluang untuk kita mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang IM, tetapi dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan maklumat yang keterlaluan. Pembaca tidak mengetahui yang mana satu datang dahulu dan di mana ia berakhir.

Sekiranya pembaca tidak dapat menapis kesahihan atau kebenaran maklumat yang dibaca, ini akan menyukarkan lagi. Maka semakin kelirulah jadinya mereka yang masih mentah dalam IM.

Susahnya mencari titik penamat kalau tidak tahu di mana mahu bermula.

Dari Pemasaran ke Perniagaan Internet : Ayuh Cari Garisan Permulaan

Hakikatnya internet itu tidak lebih dari satu media. Ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Seperti tv, akhbar dan radio, dalam ketika ia menyampaikan maklumat akan terselit juga iklan-iklan perniagaan di dalamnya.

Maka konsep yang sama digunakan oleh internet. Dalam menyampaikan maklumat, tersebut juga iklan-iklan perniagaan.  Maka wujudlah banner, bunting dan juga iklan teks di website.

Dalam waktu yang sama wujudlah juga agen,  affilite, promoter atau tukang kempen yang lebih dikenali sebagai Internet Marketer (Pemasar Internet) yang akan mempromosikan bisnes orang lain di internet. Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan orang lain, mereka ini akan memperolehi sejumlah ‘upah’ sebagai ganjaran.

Disinilah bermulanya konsep yang dikatakan buat duit dengan internet!

Boleh dikatakan, kebanyakan garis permulaan kejayaan buat duit di internet adalah dengan menyertai golongan Internet Marketer dalam menjana pendapatan.

Ada terlalu banyak program yang ada. Menjual ebook, adsense, Nuffnang, Pay per review dan seterusnya.Tak larat untuk disebutkan kesemuanya. Tetapi ia mempunyai satu ciri yang sama. Anda akan mendapat imbuhan sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan orang lain.

Jadi sebutlah pelbagai macam bentuk program di internet, sekiranya ada sahaja imbuhan (yang biasanya dalam bentuk komisen) ia memerlukan kemahiran internet marketer untuk menjana pendapatan.

Di sini perlunya kemahiran pemasaran internet (internet marketing skills). Email marketing, social networking, blogging, adwords, SEO, affiliate marketing, youtube marketing dan 1001 lagi kaedah promosi menjadi wajib untuk dikuasai.

Disebabkan terdapat pelbagai teknik pemasaran internet yang ada di internet, lebih banyak seseorang pemasar internet menguasai sesuatu kemahiran, lebih banyak jualan yang boleh dilakukan. Ini bermakna lebih banyak komisen yang akan diperolehi.

Boleh kaya sampai jutawan ke hanya dengan menjadi Internet Marketer ?

Mengapa tidak ? Ada 2 faktor yang membolehkan ia berlaku :

1. Produk dan perkhidmatan antarabangsa selalunya diperdagangkan dalam USD. Bererti komisen yang diperolehi juga adalah dalam US Dollar!

2. Internet Marketer boleh dilakukan secara serentak dalam masa yang sama untuk pelbagai produk dan perkhidmatan. Hanya dengan kemahiran yang sama, kita boleh promosikan ratusan (ribuan) produk orang lain untuk mendapatkan komisen sebanyak-banyaknya.

Mengapa Tidak Menjual Produk Sendiri ?

Ini adalah tahap kedua.  Setelah memahami konsep, selok belok pemasaran internet, seseorang pemasar internet akan beralih pula fokus untuk menghasilkan produk sendiri. Mungkin telah bosan dengan menjual produk orang lain, menjual produk sendiri lebih memberi kepuasan diri dan sudah tentunya memberi lebih banyak keuntungan.

Kebanyakan internet marketer akan mencuba produk digital atau produk virtual yang bersifat tidak perlu menyimpan stok, tiada kos operasi, tiada cost of good sold, tiada modal yang besar dan memberikan margin untung yang lebih. Perniagaan seperti menjual ebook, menjual sistem, menghasilkan portal iklan dan sebagainya menjadi pilihan.

Disini, kita boleh lihat perubahan dari seorang pemasar internet menjadi perniagaan internet.  Ia telah beralih dari hanya mempromosikan dan menjadi pemasar sahaja menjadi sebuah perniagaan dan wujud ‘kedai’ di internet.

Anda bayangkan betapa nikmatnya memiliki produk sendiri apabila anda pula boleh menciptakan program jana duit seperti affiliate program supaya internet marketer yang lain pula mempromosikan produk anda. Sebelum ini anda yang bersusah-payah menjana duit dengan mempromosikan produk orang lain, sekarang semua sudah berubah.

Ada berada di posisi yang lebih baik!

Apabila anda pernah menjadi internet marketer untuk produk orang lain, akan menjadi satu kelebihan kepada anda. Anda akan lebih bijak dalam menentukan pelan pemasaran untuk produk anda sendiri. Selain itu anda akan lebih rasai keperitan yang ditanggung oleh internet marketer. Oleh itu anda akan bersikap lebih adil apabila memberi komisen, lebih menjaga mereka dan memberikan perhatian kepada feedback dan pandangan mereka.

Mampukah  Perniagaan Internet Berjaya Tanpa Pemasar Internet ?

Jawapannya boleh.  Tetapi tahap kejayaan tidak mungkin mencapai tahap kejayaan setinggi apabila dibantu pemasar internet.

Saya hentikan disini dahulu. Memandangkan pangkalnya telah dihuraikan, mungkin ada masa nanti akan saya sambungkan untuk penghujungnya pula…

p/s : Anda tahu tak jawapan soalan Nujum Pak Belalang di atas ? 🙂

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply