Berbeza dengan menjual produk fizikal di internet, menjual perkhidmatan adalah lebih subjektif. Perkhidmatan seperti terjemahan, perkhidmatan latihan, perunding kewangan, menjual insurans, perunding perniagaan dan seumpama dengannya bukanlah begitu mudah untuk dijual. Ini disebabkan persaingan yang hebat dan ramai pula yang menyediakan perkhidmatan yang sama.
Jadi bagaimana untuk menonjolkan diri, menyatakan anda yang terbaik dan mampu memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati ? Untuk menjual perkhidmatan, sebenarnya kita perlu ‘masuk ke minda pelanggan’. Caranya adalah dengan kita manipulasi
sepenuhnya gelagat pelanggan di internet.
Cuma selidiki gelagat pelanggan melayari internet. Mereka sebenarnya mencari maklumat lanjut, bukti-bukti kejayaan dan kredibiliti dari laman web. Mereka akan menyelidik, membaca, melihat dan menilai. Mereka menjustifikasikan perkhidmatan dan membuat perbandingan. Di minda, mereka mencari sebuah perkhidmatan yang dirasakan paling sesuai selepas dibuat penilaian.
Sedar atau tidak, apa yang mereka sendiri lakukan tadi merupakan proses ‘tarbiah’ atau ‘self-finding’. Secara mudahnya, pelanggan yang sebenarnya mencari perkhidmatan! Ini sudah dikira terbalik dari proses mencari pelanggan. Itulah kesan apabila telah meresapi ke minda pelanggan. Maklumat yang telah mereka baca dan fahami akan membentuk kepercayaan.Apabila kepercayaan telah wujud, maka untuk berjual beli menjadi lebih mudah.
Salah satu cara untuk meresapi minda pelanggan sehingga terjualnya perkhidmatan di internet adalah dengan berkongsi pengetahuan. Berkongsi di internet sangat mudah. Melalui blog, forum, social networking dan sebagainya.
5 Cara Mencipta Kredibiliti Perkhidmatan Melalui Perkongsian
1. Menghasilkan catatan di blog untuk dikongsi. Jangan pedulikan sangat mengenai bahasa jika ingin bermula. Teruskan sahaja menulis, asalkan ia memberi manfaat kepada golongan sasar. Tuliskan sesuatu bagaimana perkhidmatan anda sesuatu boleh mengubah diri pembaca secara positif. Bezakan blog peribadi dengan blog perkhidmatan. Elakkan menulis terlalu peribadi sifatnya. Menulis sesuatu yang terlalu teknikal juga tidak memberi kesan.
2. Berkongsikan pengalaman dan kehidupan profesional yang anda lakukan. Apabila anda menghadiri meeting, seminar atau bengkel, ambil gambar dan uploadkan. Jika anda lulus peperiksaan profesional, atau menamatkan pengajian buatkan sedikit catatan kejayaan anda. Kongsikan dengan semua kenalan. Kongsikan yang positif, bukan luahan perasaan yang marah, tidak puas hati, menyumpah-nyumpah.
3. Niat berkongsi adalah untuk menyelesaikan masalah orang lain. Jangan bersifat ‘menjual’. Letakkan perkhidmatan itu sebagai penyelesai masalah orang lain, ia akan kelihatan seperti membantu dan bukan wang semata. Jadikan diri anda kelihatan seperti doktor di klinik. Doktor membantu menyembuhkan penyakit walau sebenarnya ia perkhidmatan berbayar.
4. Sediakan support group, ruangan untuk interaksi. Anda boleh kelolakan forum sekiranya mampu. Jika anda keberatan untuk meletakkan nombor telefon peribadi anda, minta mereka tambahkan anda sebagai kenalan di Facebook. Chat box juga cara yang mudah dan simple untuk mereka berinteraksi dengan anda. Pelanggan ini bertanya dengan anda secara percuma barulah mereka melihat perkhidmatan anda.
5. Penulisan anda mengandungi idea yang sarat dengan idealogi dan perjuangan. Ia mungkin tidak diterima sekarang, tetapi ia mempunyai peluang yang cerah untuk diterima di masa hadapan. Di peringkat awal saya menulis mengenai pemasaran SMS untuk IKS, saya menerima banyak rejection, dan kontroversi. Tetapi ini semua merupakan proses yang memandaikan pembaca. Pembaca yang terasa dirinya pandai akan lebih mudah membuat keputusan untuk membeli.
Wujudkan juga suasana tidak formal dan santai. Sesekali boleh juga selitkan lawak (yang anda rasa kelakar), bahasa pasar, ucapan selamat dan juga perbincangan ringan seperti hobi dan keluarga. Tanpa kita sedari, pelanggan akan menjadi kawan. Itulah sebenarnya yang sangat kita inginkan bila menjualperkhidmatan.
Kawan menolong kawan. Kawan yang juga tidak makan kawan!