Anak aku balik dari sekolah minggu lalu dengan muka excited Ada career fair katanya. Ramai orang datang. Doktor, engineer, scientist.
“Dah besar nak jadi apa?”
“Beautician. Atau mountain rescuer. Thrilling!”
Ohoi!
Meloncat aku dengar. Entah apa-apa punya kerja. Lain sangat dari mainstream. Aku tahu, sekolah di sini sangat terbuka terhadap kerjaya dan tiada double standard dalam mengadili orang. Tapi takkan lah jadi penyelamat gunung ?
.
Anak aku cerita sungguh-sungguh dengan passion. Fuh! Aku macam tidak yakin anak aku akan jadi penyelamat gunung yang berjaya. Biar betul. Entah apa yang sekolah cucuk dalam kelas.
.
Pun begitu, ada benda yang terkesan yang nampak lain pada anak aku. Cara kami melihat dunia pekerjaan. Lain benar. Aku masih lagi memandang dunia pekerjaan ini seperti yang aku percaya dari dulu.
1. Pandangan Masyarakat
Mungkin sebab aku peminat tegar cerita Ibu Mertuaku, mejistret, lawyer dan doktor itu sudah sebati sebagai kerja yang terhormat dan terpandang tinggi. Terbina pemikiran bahawa itulah cita-cita yang mesti dicapai. Pemusik ? Low class dan masa depan kelam. Dan boleh buta macam Kasim Selamat.
Bagi anak aku pula, semua pekerjaan sama penting, dan ada sumbangan masing-masing. Sebab kita bekerja dalam sistem. Semua ada cara dan fungsi. Tahu betapa sengsara kalau tukang sampah lupa angkat sampah selama seminggu ?
.
2. Semua pekerjaan dihargai
Dalam kelas dipanggil posmen untuk kongsi pengalaman. Posmen je kot. Posmen itu pun berceritalah tentang kerjanya, sumbangannya. gajinya..Tapi ia diceritakan dengan penuh semangat sehingga di akhir sesi, semua pelajar mengucap terima kasih kepada pak posmen.
Aku terfikir bila aku pernah ucap terima kasih kepada posmen yang menghantar surat ke rumah aku? Aku tidak ingat.
.
3. Semua pekerjaan boleh cari makan
Mungkin sistem sosial kita tidak adil. Ada kasta. Siapa tidak pandai sekolah, kerja bawahan jadinya. Siapa yang belajar pandai, masa depan cemerlang dan sesuai menjadi menantu Nyonya Mansoor seperti Doktor Ismadi. Bagi siapa ada bakat, pendamkan sahaja. Tidak ke mana.
Sebaliknya, aku lihat di sini laluan kerjaya dibentuk melalui minat. Kalau kau suka main bolasepak, kau boleh tendang bola hari-hari sampai peringkat tertinggi. Kalau kau suka menyanyi, British Got Talent itulah tempat kau cuba. Semua itu bukan buang masa dan berakhir sebagai aktiviti ko kurikulum sahaja. It’s real. Bukan angan-angan.
Disini kau diberi peluang untuk dipandang sama rata di mata masyarakat. Patutlah Yuna duduk di US dan Nicole David berlatih di luar negara.
.
4. Tidak didorong dengan tekanan sekeliling
Bila kau balik beraya di kampung, semua tanya berapa keputusan SPM kau, universiti mana, atau course apa kau nak ambil. Emak bapa pula harap anak dapat kerja yang baik-baik dan jadi kebanggaan adik beradik. Dapat kerja gomen, sudah berbunga kembang hati emak di kampung.
Kawan pula bersembang kencang. Kerja kalau tidak gaji besar memang tidak geng. Apa kelas naik kereta nasional bila orang semua tengok kereta Jepun. Atau mungkin juga kalau kita bekerja tidak kelas ini, susah untuk meyakinkan bakal bapa mertua untuk menyara anaknya.
Tetapi disini, walau apa kerja kau buat asalkan halal dan betul, semua orang akan hormati.
.
5. Rezeki itu datang dari langit bukan dari manusia
Yang memberi rezeki tu kerja Tuhan. Bukan kerja manusia. Kita usahalah yang terdaya. Allah sudah jadikan rezeki setiap seorang itu. Adil dan saksama. Usah ragu dengan rezeki yang Allah beri. Tidak terkurang sedikit pun rezeki pekerja sokongan itu jika dibandingkan dengan gaji pegawai tinggi. Tuhan ada sukatannya.
.
Bila aku lihat, aku sekarang ni pun tidak menjadi askar atau penyelamat dunia. Jadi apa hak aku nak mengadili cita-cita murni anak aku ? Aku bukan memburukkan mana-mana pekerjaan, sekadar kita sedar kita ini hidup saling memerlukan.
Sepandai-pandai doktor tu pun, perlukan penggali kubur lepas mati. Contoh je. Doktor jangan marah ye.
Catatan Kembara
Irwan Dahnil
Bukan Superman
Glasgow, Scotland