Beberapa minggu lalu, aku terserempak dengan kawan lama di London. Dia seperti yang aku kenal terlibat dengan banyak projek yang melibatkan kerajaan dan kenal orang-orang besar.
Kalau baca Wall dia dulu, cakapnya berdetang, menggegar. Mahu komen pun terasa gentar.
Tapi beberapa lama, perasan tiada lagi notis dari FB dia yang lalu lalang. Statusnya sepi.
“Kau okay ke? Apa projek sekarang?”, aku saja tanya.
.
Tanpa disangka, pertanyaan pendek dibalas dengan isi yang panjang.
Dia kata untuk memilih untuk diam sahaja sekarang. Banyak perubahan dalam hidup, tidak seperti dulu. Keluarga, business dan masalah berkawan-kawan.
Kawan-kawan semakin sedikit, sebab tidak ada projek. Ahli keluarga pula makin menjauh sebab sering berbalah dan berselisih pendapat.
Up status sikit, komen bergaduh panjang berjela.
“Dulu kita sedap sahaja cakap apa. Sukahati. Sebenarnya ramai rupanya yang terasa hati. Banyak benda yang kita tidak boleh senang-senang luah. Tidak semua orang mahu dengar.”
Ada cerita, yang hanya kawan boleh dengar.
Ada berita, yang hanya untuk keluarga.
Tidak semua boleh disekalikan dalam satu masa.
Baginya sekarang, biarlah orang kata dia tidak lagi peramah, susah bergaul seperti dulu. Tapi yang aku perasan pasti, butir cakapnya sekarang lebih terpilih, satu-satu. Wisdom.
Dia memilih diam. Diam yang bermanfaat.
Baginya, diam kini merupakan ibadah yang paling agung. Untuk tahan diri dari berkata sesuatu bagi menjaga hati orang lain agar tidak tersinggung atau sakit hati secara tidak sengaja.
Baik dari segi lisan atau penulisan. Lebih lagi di media sosial, cakap lepas sebab kerana wall itu terasa kita yang punya.
Aku terasa insaf, betapa kekadang kita memilih untuk berdebat konon kerana benar, tapi tidak memilih diam untuk kebaikan.
Sedangkan, tidak ada kebaikan dalam hidup ini kecuali salah satu. Orang yang diam, namun berfikir atau orang yang berbicara dengan ilmu.
Belajar diam adalah lebih susah dari belajar berbicara.
Lidah itu sangat kecil dan ringan. Ia boleh mengangkat seseorang ke kedudukan yang tinggi, atau menghunjam hempas ke darjat paling rendah.
Moga tiap kesusahan kita menjaga lidah, dapat menjaga 1000 perasaan dan hati yang tidak bersalah. Cuma yakinlah, diam itu tidak sentiasa kalah.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Kembara Hati Tisu
Glasgow, Scotland