Fenomena Membeli Like Facebook

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apabila Fanpage baru dibuka, maka membuak-buaklah rasa untuk mempunyai jumlah Like yang tinggi. Bagi selebriti atau jenama yang terkenal, untuk mencecah puluhan ribu malah ratusan ribu Like, bukan perkara besar. Seperti mantan Perdana Menteri Tun Mahathir, mencapai jumlah Like sejuta (Ya! 1,000,000) tidak terasa peluhnya!

Apabila melihat kegilaan orang mempunyai Like yang tinggi, maka jenama biasa seperti peniaga atau pedagang kecil mulalah memasang angan-angan yang sama besar. Mahu jumlah Like yang tinggi.

Penyakit ini berjangkit kepada organisasi. Apabila saya mengendalikan seminar bersama pegawai perhubungan awam agensi kerajaan, mereka katakan Ketua Pengarah hanya mahu tahu berapa Like yang telah mereka perolehi! Aduh.. KP juga tidak tahu apa-apa….

Tujuannya mudah sahaja. Like yang tinggi bererti capaian terhadap individu lebih tinggi. Dalam konsep pemasaran, ini dipanggil konsep ‘funnel’. Jika ramai orang yang boleh dicapai, maka kempen dan promosi boleh disebarkan dengan lebih luas. Kalkulasi mudah, jika Like adalah 1,000,000 dan sasaran jualan cuma 1 peratus, maka prospek jualan adalah 10,000 orang. Jika satu barang berharga RM1, maka sasaran jualan adalah RM10,000. Funneling adalah cara untuk membantu jualan.

Bagi organisasi, Like yang banyak bererti sokongan dari pihak awam. Maka lebih mudah menyampaikan agenda kerajaan.

Penyakitnya sekarang apabila Like menjadi penanda aras mengukur prestasi pemasaran Facebook. Adakah benar Like penanda aras yang tepat ?

Disangkakan benar, maka bermulalah Fenomena membeli Like untuk mendapat ‘pengikut’. Tawaran pakej perkhidmatan ini sungguh lumayan pulangannya. Dengan pelaburan serendah RM30, perkhidmatan ini akan menambah Like sehingga 1,000 dalam masa tidak sampai 7 hari!

Tiba-tiba perkhidmatan menaikkan Like menjadi begitu popular di internet!

Dalam masa yang singkat, Page kelihatan begitu popular dan ramai pengikutnya. Hebat! Mungkin KP akan kembang hidung bila Like page organisasi mereka tinggi melangit berbanding organisasi lain.

Sebenarnya perkhidmatan Like boleh ditambah melalui beberapa kaedah teknologi. Pendekatan seperti ‘malware’, akaun yang tidak selamat dan memperdaya pengguna. Kerana itu peningkatan Like boleh secara mendadak.

Hakikatnya, peningkatan dalam Facebook atau sebarang media sosial hendaklah bersifat organik, secara alami (natural) dan mengambil masa. Ini memberi kesan yang lebih ‘manusiawi’ apabila kandungan yang disampaikan mendapat respon, Like dan mewujudkan perbincangan. Seterusnya kandungan yang berkualiti akan disebarkan secara viral.

Tindakan membeli Like bukan sahaja tidak bijak, tetapi tidak mendatangkan hasil dalam jangkapanjang. Apalah guna mempunyai Like yang banyak, tetapi tiada interaksi yang berlaku.

Biar lambat, asal berhasil!

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply