Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Internet sudah berada dalam generasi kedua, yang juga dikenali sebagai Web 2.0. Ini bermakna web bukan hanya untuk mendapatkan maklumat tetapi menjadi platform kolaborasi, bertukar maklumat dan berkongsi sesuatu. Web 2.0 membolehkan kita lebih ‘connected’ dengan rakan yang lain dalam dunia maya.
Kerana itu wujud dunia maya, suatu dunia lain yang tercipta disebabkan terdapat kumpulan-kumpulan yang berinteraksi seperti dunia biasa. Kalau dalam dunia biasa, kita bersembang dan menghabiskan masa di kedai kopi. Kini Facebook dan MySpace menjadi ‘kedai kopi’ untuk kita mengetahui apa yang berlaku dikalangan rakan kita.
Pendek kata, segala apa yang kita lakukan secara konvensional, juga boleh dilakukan di ‘bumi’ baru, sebuah dunia digital yang dikenali sebagai dunia virtual.
Apabila Facebook dan MySpace telah mengambilalih, cara interaksi kita turut berkembang :
1. Berniaga secara 24 jam, tidak terbatas dengan kedai 10 pagi hingga 10 malam. Mempromosi produk dan perkhidmatan di Facebook memang telah menjadi kebiasaan. Hinggakan menjadi satu limpahan iklan yang membanjiri News Feed.
2. Mencari jodoh menjadi lebih mudah. Lihat sahaja status perkahwinan, lihat foto, perhatikan lingkungan kenalan dan aktiviti harian, baca status dan bahasa yang digunakan, kenali peribadi dan latarbelakang. Boleh diibaratkan ‘katalog’ untuk mencari ribuan calon suami/isteri telah tersedia di Facebook. Yang seronoknya, maklumat ini adalah maklumat yang terdedah, tidak perlu penyelidikan yang sukar. Tidak perlu risik-risik. 🙂
3. Mencari calon pekerja yang terbaik. Dengan Facebook, peribadi seseorang sangat terserlah yang dipancarkan daripada penampilannya di dunia virtual. Apabila kelulusan dan pencapaian akademik bukanlah merit penilaian semata-mata, mengenali hati budi juga melalui Facebook. Kajian menunjukkan Facebook sering menjadi tempat untuk seseorang itu meluahkan perasaan, sesuatu yang terbuku di hati dan susah untuk diluahkan secara berhadapan. Hakikatnya, tiada lagi rahsia yang tidak diketahui umum!
4. Membeli dan memilih barangan tidak hanya terhad dengan membandingkan harga dan kualiti produk. Kini ia menjadi lebih telus. Identiti penjual boleh diketahui. Kita juga boleh mendapat respon daripada pelanggan terdahulu (sama ada ada rungutan atau tidak). Bahkan peribadi penjual juga boleh kita nilai. Acapkali saya menolak tawaran dari agen insurans/takaful, jika peribadi mereka di Facebook tidak saya gemari. Begitu juga dengan penjual yang beriya-iya mempromosikan ubat kurus bila kelihatan dimata saya ubat tersebut tidak berkesan kepada si penjual!
5. Orang yang berpengaruh bukan hanya terbatas kepada ahli politik, selebriti atau artis sahaja. Facebook boleh mengangkat seseorang menjadi selebriti sekelip mata! Sebaliknya juga, Facebook juga boleh menjadi platform untuk membenci dan menganiaya orang.
6. Facebook menawarkan pelbagai bentuk permainan online. Tiada lagi istilah bosan bermain permainan kerana setiap hari pasti ada permainan yang baru. Kerana itu anak zaman sekarang lebih gemar duduk dirumah dan bermain internet berbanding bermain galah panjang atau polis sentri!
Perkembangan Web 2.0 mewujudkan dunia yang baru, yang lebih personal, mempunyai elemen kemanusiaan dan perkongsian pelbagai maklumat yang lebih mendalam. Ini hanya terjadi bermula sekitar di awal alaf baru ini. Sebelum ini, perkara ini tidak pernah diimpikan.
Insyallah, mulai 2011 saya akan mula menulis mengenai dunia virtual ini, kesan, akibat, etika, budaya, sosioekonomi dan juga pelbagai perkara yang dirasakan releven. Saya akan buatkan satu kategori khas dalam blog ini yang saya namakan Dunia 2.0.
Sementara kita bersyukur dengan wujudnya Bumi yang dijadikan Allah, kita juga perlu sedar bahawa wujud ‘dunia kedua’. Bagaimana terurusnya dunia yang baru ini, bergantung kepada kita, sesuatu yang perlu kita perhatikan demi kemaslahatan tamadun manusia.