Selepas bertahun² di Eropah, bila beralih sekejap ke Pakistan ia seolah memberi suasana baru.
Pekan kecil utara Pakistan ini mengingatkan aku pada Lauterbrunnen Switzerland. Ada deretan kedai, jalan kecil dan background gunung yang sebongkah.
Lembah Hunza jauh di wilayah Gilgit Baltistan menghampiri sempadan China, terletak di pergunungan Pakistan Utara. Salah satu tapak UNESCO ia adalah salah satu kawasan paling popular baik dari segi sejarah dan budaya, juga adat istiadat yang berwarna-warni, menjadi tarikan selama bertahun-tahun.
Lembah ini adalah rumah kepada beberapa kubu dan runtuhan purba. Menerokai Kubu Baltit dan Altit yang mengagumkan, aku banyak belajar tentang warisan budaya yang kaya di rantau ini.
Memandang ke bawah dari puncak kubu, kelihatan petak-petak rumah dan di tengahnya mengalir air sungai berwarna. Sedikit berlumpur tetapi warna zamrud itu muncul setiap kali matahari memancar.
Aku terpesona.
Wilayah ini terkenal dengan buah-buahan segar, sayur-sayuran dan hidangan tempatan. Seperti chapshoro, pastri berisi daging yang lazat dan mengenyangkan.
Merasai teh dan gula-gula tempatan, yang dibuat dengan resipi tradisional, bagi aku ini yang harus dibawa pulang sebagai buah tangan.
Sepanjang jalan nak ke Hunza, melalui pekan-pekan yang berakhir dengan perkataan Abad. Seperti Karimabad dan Aliabad. Dalam bahasa Urdu, Abad bererti ‘kehidupan’ dan merujuk kepada populasi atau bandar.
Kampung-kampung ada yang sangat terpencil dan dibina ke dalam tebing, sesetengahnya berusia lebih daripada 1,000 tahun. Laluan kasar, rabung yang curam. Dan mereka berjalan kaki yang jauh ke ladang.
Mungkin kerana itu orang Hunza adalah antara kumpulan yang berumur panjang di seluruh dunia.
Pada awal 1970-an, National Geographic menyiarkan satu siri artikel yang banyak menyelidik orang yang berumur panjang ini termasuklah tentang orang dari wilayah Hunza.
Jadi kenapa mereka boleh berumur panjang?
Adakah kerana faktor fizikal seperti makan buah aprikot? Atau minum dan mandi dengan air glasier yang berlumpur yang ada mineral. Iklim? Atau gaya hidup yang tinggal di kawasan bergunung dan mukabumi yang kasar?
Orang Hunza berumur panjang kesan daripada hubungan sosial dalam budaya yang tiada tekanan dan mengutamakan komuniti dan hubungan.
Ini terbukti dapat meningkatkan tahap kesihatan dan menjalani kehidupan yang lebih lama.
Pheww! Rupanya it’s a mental wellness. Atau kesihatan mental.
Aku menarik nafas panjang. Pentingnya mental yang sihat, sebagai ikhtiar untuk umur yang panjang. Hidup dalam stress, penuh dengan tekanan menghilangkan kebahagiaan..
Leka aku baca artikel itu di bilik hotel yang betul-betul menghadap gunung, cantik bersalji. Nikmat sekali berada di tanah tinggi.
Yang aku fikir kembara itulah penawar dan ubat untuk mental tidak berapa betul sudah hampir sedekad.
Cepat-cepat aku tutup artikel itu. Menarik nafas. Dan menoleh pandangan ke belakang bangunan.
Sebuah tanah perkuburan. Huhuh.
Lain macam layanan Hunza untuk aku kali ini.
Peringatan bahawa selama mana pun hayat di dunia, akan kembali juga kepada Sang Pencipta.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Warga IrwanAbad
Hunza, Pakistan
Nota : Aku menulis catatan kembara perjalanan seluruh dunia. Boleh follow FB : Irwan Dahnil