You are currently viewing Mendidik Anak Berpuasa di Perantauan
Anak aku yang baru mahu belajar puasa

Mendidik Anak Berpuasa di Perantauan

“Daddy, lama lagi ke nak berbuka?”

“Tak lama dah… Sekejap je lagi.”

Mata aku memandang ke jam di dinding. Tepat jam 1.30 tengahari. Masih berbaki hampir 9 jam lagi berpuasa. Anak kecil itu seperti sudah tidak keruan, mundar mandir di dapur mencari makan.

Hafiy, anak lelaki aku yang berumur 8 tahun ini baru berjinak berpuasa. Macam mana aku mahu beritahu bahawa masih panjang lagi masa untuk berbuka. Badannya memang agak kurus, kini kelihatan semakin susut walau baru beberapa hari berpuasa. Setiap beberapa jam, memegang perut datang bertanya perkara yang sama. Seperti tidak tentu duduknya, seperti memulas-mulas menahan sakit. Aku akhirnya mengalah, mengizinkan Hafiy berbuka puasa. Tidak sampai hati aku untuk memaksa menahan lapar bimbang jika memudaratkan kesihatan.

Hafiy selalu tengok sahaja orang bermain dari tepi padang bila keletihan.
Hafiy selalu tengok sahaja orang bermain dari tepi padang bila keletihan.

Ketika ini, Ramadhan jatuh pada musim panas. Bagi negara Scotland yang berada di latitude tinggi, waktu siangnya menjadi panjang. Seawal jam 3 pagi, aku bangunkan anak bersahur. Kemudian selepas Subuh, mereka sambung tidur. Adakala aku biarkan sahaja mereka tidur sehingga jam 10 pagi. Biar puas dan tidak rasa keletihan berpuasa. Siang yang panjang ada baiknya, tetapi menunggu sehingga jam 10 malam, seperti satu siksaan kepada anak.

Hafiy menguap ketika berbuka puasa, matanya seakan tertutup. Keletihan. Masa itu, aku serba salah. Mahu disuruh tidur, waktu solat Isyak pula jam 11 malam. Sedangkan jam 3 pagi akan dikejutkan lagi untuk bersahur. Di sekolah, rakan-rakan makan snek dan lunch yang disediakan ketika dia berlatih puasa. Seperti rasa satu kesalahan pula, kerana hanya Hafiy seorang sahaja yang berpuasa sedangkan orang lain sedang bersedapan makan.

Bulan puasa main seperti biasa. Pucat-pucat muka
Bulan puasa main seperti biasa. Pucat-pucat muka

“I’m bad at this…”

Mengeluh Hafiy tidak dapat berpuasa penuh. Nadanya kecewa. Aku tak nak Hafiy terasa berputus asa. Aku mahu dia terasa seronok berpuasa. Puasa itu tidak menyusahkan.

Tetapi, bagaimana aku mahu beritahu Hafiy bahawa agama Islam ini tidak membebankan?

6 bulan di Glasgow, aku mula rasakan membesarkan anak dengan amalan dan ibadah Islam itu sangat mencabar. Sebenarnya aku sudah jangkakan kepayahannya, tetapi untuk melakukan perubahan itu sebenarya lebih sukar.

Ada sekolah agama petang. Senang mengatur anak mengaji dan belajar agama.
Ada sekolah agama petang. Senang mengatur anak mengaji dan belajar agama.

Ketika aku di Malaysia, Hafiy masih kecil untuk mula berpuasa. Tidak seperti Sufiya, kakaknya sempat berlatih berpuasa dalam persekitaran di tanah air. Masa puasa pendeka hanya sekitar 13 jam. Bangun sahur seawal jam 4 am dan berbuka sekitar jam 7 petang. Di sekolah pula, kebanyakan rakan beragama Islam lain turut berpuasa. Rakan yang bukan beragama Islam dinasihat menghormati dan tidak makan dihadapan orang yang berpuasa. Bila tiba waktunya, mereka akan solat berjemaah bersama-sama. Persekitaran itu memang terbaik untuk kanak-kanak belajar berpuasa.

Dari segi itu aku rasa membesarkan anak di Malaysia, jauh lebih mudah dari berada di perantauan. Kitaran masa siang dan malam itu lebih tetap dan konsisten. Suasana yang konsisten sangat membantu melatih anak-anak dengan jadual masa yang telah ditetapkan. Rutin bangun pagi jam 5, solat subuh dan kemudian ke sekolah. Petangnya Solat Zuhur dan Asar dan menghadiri kelas agama. Menjelang malam, solat Magrib dan solat Isyak sebelum tidur. Ini sangat membantu mendidik anak di tanah air.

Tapi ada satu perkara yang menyedarkan aku. Allah mahu tunjukkan sesuatu.

Di Malaysia, aku jarang sangat mengaji bersama dengan anak, sebab aku tahu mereka sudah mengaji di sekolah. Solat berjemaah juga jarang, apabila kelihatan mereka sangat lesu dan keletihan pulang dari sekolah. Jadi tidak aku tekankan sangat kerana dunia di sekeliling membantu anak aku berlatih sebagai orang Muslim.

Tetapi disini, apabila sekeliling tidak seperti itu, tanggungjawab itu jatuh 100 peratus kepada ibubapa. Kalau bukan aku, siapa lagi yang mahu menanam ruh Islam dan penghayatan iman ada anak-anak aku? Di sekolah mereka belajar antara agama (inter-faith), mereka belajar mengenai agama orang lain. Tiada pelajaran agama Islam di sekolah secara spesifik, apatah lagi disini ramai penduduknya mula tidak percayakan agama.

Somehow, we are very happy to what Allah gave us.
Somehow, we are very happy to what Allah gave us.

Jadi, aku terima cabaran ini supaya aku sendiri menjadi orang yang lebih baik. Sebenarnya Allah sayang kat aku. Allah nak aku sendiri yang berubah. Aku teringat pepatah,“If you want to see the changes, you have to change.” Aku tidak mahu anak aku membesar dengan pendidikan luar negara tetapi pengisian iman yang kosong.

Rindunya aku pada Malaysia. Aku terima tanggungjawab ini. Aku yakin, Allah tidak akan menguji aku dengan perkara yang aku tidak mampu tanggung. Insyallah, hidup di perantauan akan menjadikan aku manusia yang lebih baik di dunia dan menjadi saham di akhirat. Bersangka baik pada Allah, setiap satu itu tidak jadi dengan sia-sia.

// Catatan Ramadhan dari kami di bumi Glasgow, Scotland Julai 2015.

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply