Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda mula melayari internet, dan secara tanpa anda sedari anda telah sampai ke laman web yang anda sendiri tidak jangkakan ?
Tidak pasti ? Cuba buat pemeriksaan singkat :
1. Anda terasa stres. Tidak kira berapa banyak kajian di internet yang telah dilakukan, anda tetap merungut kerana
sentiasa terasa maklumat yang penting tertinggal.
2. Memori ingatan yang lemah. Anda terasa susah untuk mengingati nama-nama penting, tarikh atau maklumat terperinci.
3. Risau melampau. Anda mudah terganggu, berkhayal dan berangan-angan di siang hari. Anda akan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugas dan sering menunda tugasan walau tugasan itu mudah.
Sekiranya anda mempunyai simptom tersebut, ada baiknya anda ‘tune’ semua diri anda.
Dalam kehebatan internet menyebarkan maklumat di ruang siber, sebenarnya telah wujud satu bentuk penyakit yang
sangat merbahaya. Kita yang hidup di dalam dunia yang meletup dengan maklumat sebenarnya sangat terdedah dengan penyakit ini. Hanya dengan menaip satu patah perkataan di internet, kita disajikan dengan 1001 maklumat.
Kebanjiran maklumat atau information overloading adalah merujuk kepada keadaan dimana kita diberikan terlalu banyak maklumat tetapi hanya menggunakan terlalu sedikit maklumat tersebut!
Saya Adalah Pengidap
Saya merupakan salah seorang ‘pengidap’ penyakit ini. Sejak tahun 2006, hidup saya hanya berlegar dengan internet. Semua maklumat saya capai dari carian Google, malah saya tidak lagi melanggan akhbar. Aktiviti bersosial juga berkurangan kerana semua yang menggembirakan saya ada di internet.
Apabila saya ingin membeli sesuatu, internet sangat membantu. Saya boleh membuat carian dengan membandingkan spesifikasi produk yang saya inginkan, membandingkan harga dan membuat penilaian awal sebelum betul-betul membeli. Ini sangat menjimatkan masa dan meningkatkan kemampuan membuat keputusan yang lebih tepat.
Tetapi dalam masa yang sama, saya mula mengabaikan beberapa elemen penting yang biasa saya lakukan sendiri sebelum itu. Saya tidak lagi menghafal tarikh-tarikh penting termasuklah tarikh lahir kenalan dan sahabat. Saya akan andalkan kepada internet yang mempunyai sistem PDA sendiri untuk menguruskan semua jadual tersebut. Nombor telefon rakan-rakan juga saya abaikan. Begitu juga dengan menghafal maklumat akaun perbankan.
Ibarat, kalau tiada internet saya pasti ‘mati’!
Tetapi lama kelamaan saya sedari saya mengidap tanda-tanda seperti diatas. saya mula malas, terasa stress seolah-olah kerja tak pernah selesai, atau sentiasa bimbang dengan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.
Saya pernah menunda penerbitan sebuah buku yang telah siap ditulis pada Julai 2008 ke Mei 2009 hanya kerana saya sentiasa rasakan buku tersebut tidak pernah lengkap!
Anda Mungkin Pengidap Seterusnya..
Saya teringat kepada post di blog saya sebelum ini. rakan-rakan yang menghantar email kerana terasa kebuntuan dan
tidak tahu dimana ingin bermula perniagaan disebabkan terlalu banyak maklumat yang telah dibaca di internet. Ini merupakan satu petanda yang mereka juga boleh menjadi mangsa seperti saya.
Quick check : Apabila anda membaca banyak maklumat di internet, adakah anda akan mengambil sesuatu langkah yang penting selepas itu ? Atau anda hanya membaca, membaca, membaca dan akhirnya berada dalam kesamaran ?
Kalau anda masih lagi berada dalam kesamaran, berhenti seketika. Anda mungkin telah mula dihidapi simptom tersebut! Sekiranya tanda-tanda telah kelihatan, anda perlu lakukan sesuatu.
Langkah-langkah Mengurus Maklumat Yang Keterlaluan
1. Ada tentukan apakah yang anda inginkan. Tetap dan fokus. Selain dari itu, jauhkan atau tutup sahaja tetingkap browser. Ini dapat membantu mencegah anda terlalu ‘teruja’ membaca sesuatu yang tidak releven. Perkara yang menyeronokkan seperti gosip, berita artis, sukan atau sosial merupakan subjek yang senang ‘mencairkan’ dan
membuatkan anda khayal.
2. Rancang dan susun kerja anda supaya maklumat yang diperolehi lebih tersusun. Letakkan kerja atau tugasan dalam aturan 1,2,3 atau berkonsepkan carta alir. Cari maklumat di internet mengikut susunan kerja. Selepas lakukan 1, lakukan yang ke 2 dan seterusnya. Melompat-lompat kerja akan membuatkan kerja anda berterabur dan tidak tersusun. Awas!
3. Kawal aliran maklumat. Ketepikan semua nafsu nafsi yang menggoda anda di internet. Jangan baca semua, fokus dan baca yang anda mahukan sahaja. Cuma kongsikan maklumat di tempat yang sesuai seperti blog, atau Facebook. Jangan kongsikan di semua laman yang anda masuk. Ini cukup membuang masa.
4. Katakan ‘TIDAK’ kepada mereka yang mencuri masa anda. Ini termasuklah rakan chat, gossip dan melayari internet yang tidak bertujuan.
5. Buat senarai tertinggal dan lekat di dinding. Senarai tertinggal adalah perkara-perkara yang anda belum selesaikan. Tuliskan besar-besar sekurang-kurang saiz kertas A4 dan lekatkan di dinding. Gunakan warna yang terang dan ‘striking’. Ini akan sentiasa menjadi motivasi dan pendorong anda untuk kekal fokus di internet.
Alhamdulillah, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat yang melampau di internet. Saya sentiasa mempunyai 3 planner bertulis (bukan PDA), yang sentiasa saya tuliskan menggunakan pen berwarna sebagai pengingat diri. Saya sentiasa catatkan di dinding perkara yang masih belum saya capai untuk tahun ini. Saya sentiasa lakukan mengikut keperluan.
Saya berharap anda tidak mengalami masalah dan penyakit seperti saya. Semoga anda terus bijak menguruskan maklumat dan sentiasa mendapat manfaat dengan maklumat di internet.