Satu statistik yang dikeluarkan, sejumlah 73 billion SMS dihantar pada 2008. Manakala menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di dalam fakta terpilihnya, mensasarkan bahawa pemilikan telefon bimbit akan melepasi angka 100% menjelang akhir tahun 2009. Tidak termasuk golongan bayi dan kanak-kanak (yang belum celik hanphone), ini bermakna secara purata seseorang mempunyai 2 nombor telefon bimbit.
Dengan statistik terkini, ramai yang cuba untuk memanipulasikan SMS sebagai media pemasaran yang baru. Ia dilihat sebagai salah satu saluran alternatif dalam menyampaikan iklan dan promosi dan tidak hanya bergantung kepada media yang sedia ada. Ini diakui, kerana sifat SMS yang lebih personal dan sentiasa mendapat perhatian pemiliknya.
Begitu pun dalam pemerhatian saya, tidak ramai yang benar-benar dapat menjalankan pengiklanan yang berkesan menggunakan SMS. Ia kelihatan mudah, dengan hanya menaipkan teks, ia akan sampai kepada prospek pelanggan. Kalau ia begitu mudah, mengapa masih ada keluhan dan rungutan kegagalan kempen SMS ? Sebaliknya ada yang lebih teruk lagi apabila dicaci oleh pemilik telefon bimbit kerana mereka terasa seperti ‘dicabuli hak privasi’.
Terdapat satu perkara yang kita terlepas pandang iaitu mengenai penguasaan bahasa dalam teks SMS tersebut. Kita tidak memerlukan pereka grafik atau agensi kreatif untuk membantu membuat pemasaran. Dengan hanya 160 aksara, kita hanya perlu sedikit ‘common sense’ dan sedikit kemahiran berbahasa dibantu dengan pemahaman mengenai golongan sasaran. Kita perlu sensitif dengan penggunakan setiap huruf dan perkataan dalam iklan SMS tersebut.
Sekadar ulangan, apabila menghantar mesej, adakah kita terlepas pandang perkara-perkara ASAS berikutĀ :
1. Pasaran Sasaran (Siapa)
Kenalpasti dan fahami sasaran pelanggan anda. Jangan hantar SMS secara sembarangan. Memahami pelanggan adalah asas penting dalam pemasaran SMS. Jangan mulakan kempen sebelum kita memahami siapa pelanggan tersebut, lingkungan umur, jantina, kedudukan geografi dan faktor demografi yang lain. Lebih mendalam informasi anda ketahui mengenai pelanggan, lebih tepat kempen yang anda akan lakukan.
Perlu diingat bahawa pemasaran SMS adalah proses penghantaran mesej peribadi ke alat personal pelanggan. Untuk menjadikan ia efektif dan tidak menyinggung perasaan ia mestilah releven dengan pemiliknya.
2. Tawaran Yang Istimewa (Mengapa)
Adakah tawaran anda sesuatu yang diinginkan ? Jika bukan, pemasaran SMS anda adalah kerugian total!
Mesej SMS boleh menjadi sebagai satu peringatan sahaja. Dengan peringatan, mungkin pelanggan akan bertambah. Tetapi bertambah, tidak bererti membeli.Jadi masukkan tawaran dan promosi dalam SMS tersebut. Menawarkan diskaun juga adalah langkah bijak. Contohnya, menawarkan diskaun 50% sekiranya pelanggan datang. Ini mewujudkan potensi pelanggan untuk membeli dari hanya datang sekadar ziarah.
3. Masa (Bila)
Pilih masa yang tepat. Sekiranya kita menghantar SMS terlalu awal, pelanggan mungkin lupa, sekiranya terlalu lewat pelanggan mungkin sudah ada perancangan lain. Memilih masa memerlukan keseimbangan yang berhatihati. Masa yang tepat, anda akan mendapat hasil yang diinginkan, masa yang salah anda akan membazirkan wang anda.
Ini adalah mengapa kita perlu mengetahui geografi dan demografi pelanggan. Memahami perangai, tabiat, kebiasaan dan kecenderungan mereka membantu dalam kita memilih masa yang paling sesuai untuk menghantar SMS. Cuba anda baca dan lihat bagaimana BMW menjalankan promosi pada MASA YANG TEPAT.
4. Teks SMS Itu Sendiri (Apa)
SMS telah membentuk struktur bahasanya yang tersendiri. Suka atau tidak ia adalah untuk kita hadapi.
Saya juga pencipta bahasa Malaysia. Ini bermakna kita juga perlu mengubah bahasa kita dengan memendek semua perkataan. Tetapi penggunaan singkatan perkataan yang diketahui umum memang sangat membantu. Kita perlu penguasaan bahasa dan mengatursusunkan bahasa supaya mesej SMS tersebut difahami dalam 160 aksara.
Jika kita berikan sedikit perhatian, tentu ada dalam mesej tersebut yang boleh dipendekkan. Perhatikan secara satu per satu.
Contohnya, “Sekiranya anda ingin keluar dari langganan, sila hantar SMS “Stop” ke 32781″
Tetapi adalah lebih mudah untuk memendekkan seperti :
“Keluar langganan : STOP ke 32781”
Diharapkan tip tadi dapat membantu untuk anda menghantar SMS yang lebih berkesan, bersopan, berstruktur dan paling penting meyakinkan.