Mengatasi Penyakit Kebanjiran Maklumat di Internet

21 07 2009

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda mula melayari internet, dan secara tanpa anda sedari anda telah sampai ke laman web yang anda sendiri tidak jangkakan ?

Tidak pasti ? Cuba buat pemeriksaan singkat :

1. Anda terasa stres. Tidak kira berapa banyak kajian di internet yang telah dilakukan, anda tetap merungut kerana
sentiasa terasa maklumat yang penting tertinggal.

2. Memori ingatan yang lemah. Anda terasa susah untuk mengingati nama-nama penting, tarikh atau maklumat terperinci.

3.  Risau melampau. Anda mudah terganggu, berkhayal dan berangan-angan di siang hari.  Anda akan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugas dan sering menunda tugasan walau tugasan itu mudah.

Sekiranya anda mempunyai simptom tersebut, ada baiknya anda ‘tune’ semua diri anda.

Dalam kehebatan internet menyebarkan maklumat di ruang siber, sebenarnya telah wujud satu bentuk penyakit yang
sangat merbahaya. Kita yang hidup di dalam dunia yang meletup dengan maklumat sebenarnya sangat terdedah dengan penyakit ini. Hanya dengan menaip satu patah perkataan di internet, kita disajikan dengan 1001 maklumat.

Kebanjiran maklumat atau information overloading adalah merujuk kepada keadaan dimana kita diberikan terlalu banyak maklumat tetapi hanya menggunakan terlalu sedikit maklumat tersebut!

Saya Adalah Pengidap

Saya merupakan salah seorang ‘pengidap’ penyakit ini. Sejak tahun 2006, hidup saya hanya berlegar dengan internet. Semua maklumat saya capai dari carian Google, malah saya tidak lagi melanggan akhbar. Aktiviti bersosial juga berkurangan kerana semua yang menggembirakan saya ada di internet.

Apabila saya ingin membeli sesuatu, internet sangat membantu. Saya boleh membuat carian dengan membandingkan spesifikasi produk yang saya inginkan, membandingkan harga dan membuat penilaian awal sebelum betul-betul membeli.  Ini sangat menjimatkan masa dan meningkatkan kemampuan membuat keputusan yang lebih tepat.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mula mengabaikan beberapa elemen penting yang biasa saya lakukan sendiri sebelum itu. Saya tidak lagi menghafal tarikh-tarikh penting termasuklah tarikh lahir kenalan dan sahabat. Saya akan andalkan kepada internet yang mempunyai sistem PDA sendiri untuk menguruskan semua jadual tersebut. Nombor telefon rakan-rakan juga saya abaikan. Begitu juga dengan menghafal maklumat akaun perbankan.

Ibarat, kalau tiada internet saya pasti ‘mati’!

Tetapi lama kelamaan saya sedari saya mengidap tanda-tanda seperti diatas. saya mula malas, terasa stress seolah-olah kerja tak pernah selesai, atau sentiasa bimbang dengan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.

Saya pernah menunda penerbitan sebuah buku yang telah siap ditulis pada Julai 2008 ke Mei 2009 hanya kerana saya sentiasa rasakan buku tersebut tidak pernah lengkap!

Anda Mungkin Pengidap Seterusnya..

Saya teringat kepada post di blog saya sebelum ini. rakan-rakan yang menghantar email kerana terasa kebuntuan dan
tidak tahu dimana ingin bermula perniagaan disebabkan terlalu banyak maklumat yang telah dibaca di internet. Ini merupakan satu petanda yang mereka juga boleh menjadi mangsa seperti saya.

Quick check : Apabila anda membaca banyak maklumat di internet, adakah anda akan mengambil sesuatu langkah yang penting selepas itu ? Atau anda hanya membaca, membaca, membaca dan akhirnya berada dalam kesamaran ?

Kalau anda masih lagi berada dalam kesamaran, berhenti seketika. Anda mungkin telah mula dihidapi simptom tersebut!  Sekiranya tanda-tanda telah kelihatan, anda perlu lakukan sesuatu.

Langkah-langkah Mengurus Maklumat Yang Keterlaluan

1. Ada tentukan apakah yang anda inginkan. Tetap dan fokus. Selain dari itu, jauhkan atau tutup sahaja tetingkap browser. Ini dapat membantu mencegah anda terlalu ‘teruja’ membaca sesuatu yang tidak releven. Perkara yang menyeronokkan seperti gosip, berita artis, sukan atau sosial merupakan subjek yang senang ‘mencairkan’ dan
membuatkan anda khayal.

2. Rancang dan susun kerja anda supaya maklumat yang diperolehi lebih  tersusun. Letakkan kerja atau tugasan dalam aturan 1,2,3 atau berkonsepkan carta alir. Cari maklumat di internet mengikut susunan kerja. Selepas lakukan 1, lakukan yang ke 2 dan seterusnya. Melompat-lompat kerja akan membuatkan kerja anda berterabur dan tidak tersusun.  Awas!

3. Kawal aliran maklumat. Ketepikan semua nafsu nafsi yang menggoda anda di internet. Jangan baca semua, fokus dan baca yang anda mahukan sahaja. Cuma kongsikan maklumat di tempat yang sesuai seperti blog, atau Facebook. Jangan kongsikan di semua laman yang anda masuk. Ini cukup membuang masa.

4. Katakan ‘TIDAK’ kepada mereka yang mencuri masa anda. Ini termasuklah rakan chat, gossip dan melayari internet yang tidak bertujuan.

5. Buat senarai tertinggal dan lekat di dinding. Senarai tertinggal adalah perkara-perkara yang anda belum selesaikan. Tuliskan besar-besar sekurang-kurang saiz kertas A4 dan lekatkan di dinding. Gunakan warna yang terang dan ’striking’. Ini akan sentiasa menjadi motivasi dan pendorong anda untuk kekal fokus di internet.

Alhamdulillah, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat yang melampau di internet. Saya sentiasa mempunyai 3 planner bertulis (bukan PDA), yang sentiasa saya tuliskan menggunakan pen berwarna sebagai pengingat diri. Saya sentiasa catatkan di dinding perkara yang masih belum saya capai untuk tahun ini. Saya sentiasa lakukan mengikut keperluan.

Saya berharap anda tidak mengalami masalah dan penyakit seperti saya. Semoga anda terus bijak menguruskan maklumat dan sentiasa mendapat manfaat dengan maklumat di internet.






Tingkat Demi Tingkat Perniagaan di Internet

13 07 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca blog yang dihormati.

Mungkin anda pernah menonton cerita klasik P Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Dalam satu adegan, Ahli Nujum Negara ditanya dengan soalan yang lebih kurang berbunyi :

  • “Terdapat sebatang kayu yang diraut cantik. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal?”

Seperti yang kita ketahui jalan ceritanya, ia memang menghiburkan. Tidak bosan berkali-kali menonton.

Bagaimana pula kalau ada yang bertanya :

  • “Terdapat banyak perniagaan dan pemasaran internet. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal ?”

Walau saya bukan ahli nujum, tetapi kerap kali juga diajukan soalan tersebut.  Dalam bahasa sekarang banyak soalan yang berbunyi lebih kurang sama :

“Saya ni masih baru dalam dunia Internet Marketing ni. Macam-macam yang saya baca. Memang banyak yang menarik, macam mana nak memulakan perniagaan internet ? Saya keliru..”

Tidak seperti filem P Ramlee dan Ahli Nujum Negara, jawapannya tidak dapat saya berikan sekelip mata. Bertahun-tahun juga saya memikirkan jawapannya.  Faktanya, ramai yang masih baru memang tidak tahu yang mana hujung, dan yang mana pangkal, keliru dengan perniagaan dan pemasaran internet (IM).

Maklumat dan informasi yang melambak di internet memberikan peluang untuk kita mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang IM, tetapi dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan maklumat yang keterlaluan. Pembaca tidak mengetahui yang mana satu datang dahulu dan di mana ia berakhir.

Sekiranya pembaca tidak dapat menapis kesahihan atau kebenaran maklumat yang dibaca, ini akan menyukarkan lagi. Maka semakin kelirulah jadinya mereka yang masih mentah dalam IM.

Susahnya mencari titik penamat kalau tidak tahu di mana mahu bermula.

Dari Pemasaran ke Perniagaan Internet : Ayuh Cari Garisan Permulaan

Hakikatnya internet itu tidak lebih dari satu media. Ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Seperti tv, akhbar dan radio, dalam ketika ia menyampaikan maklumat akan terselit juga iklan-iklan perniagaan di dalamnya.

Maka konsep yang sama digunakan oleh internet. Dalam menyampaikan maklumat, tersebut juga iklan-iklan perniagaan.  Maka wujudlah banner, bunting dan juga iklan teks di website.

Dalam waktu yang sama wujudlah juga agen,  affilite, promoter atau tukang kempen yang lebih dikenali sebagai Internet Marketer (Pemasar Internet) yang akan mempromosikan bisnes orang lain di internet. Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan orang lain, mereka ini akan memperolehi sejumlah ‘upah’ sebagai ganjaran.

Disinilah bermulanya konsep yang dikatakan buat duit dengan internet!

Boleh dikatakan, kebanyakan garis permulaan kejayaan buat duit di internet adalah dengan menyertai golongan Internet Marketer dalam menjana pendapatan.

Ada terlalu banyak program yang ada. Menjual ebook, adsense, Nuffnang, Pay per review dan seterusnya.Tak larat untuk disebutkan kesemuanya. Tetapi ia mempunyai satu ciri yang sama. Anda akan mendapat imbuhan sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan orang lain.

Jadi sebutlah pelbagai macam bentuk program di internet, sekiranya ada sahaja imbuhan (yang biasanya dalam bentuk komisen) ia memerlukan kemahiran internet marketer untuk menjana pendapatan.

Di sini perlunya kemahiran pemasaran internet (internet marketing skills). Email marketing, social networking, blogging, adwords, SEO, affiliate marketing, youtube marketing dan 1001 lagi kaedah promosi menjadi wajib untuk dikuasai.

Disebabkan terdapat pelbagai teknik pemasaran internet yang ada di internet, lebih banyak seseorang pemasar internet menguasai sesuatu kemahiran, lebih banyak jualan yang boleh dilakukan. Ini bermakna lebih banyak komisen yang akan diperolehi.

Boleh kaya sampai jutawan ke hanya dengan menjadi Internet Marketer ?

Mengapa tidak ? Ada 2 faktor yang membolehkan ia berlaku :

1. Produk dan perkhidmatan antarabangsa selalunya diperdagangkan dalam USD. Bererti komisen yang diperolehi juga adalah dalam US Dollar!

2. Internet Marketer boleh dilakukan secara serentak dalam masa yang sama untuk pelbagai produk dan perkhidmatan. Hanya dengan kemahiran yang sama, kita boleh promosikan ratusan (ribuan) produk orang lain untuk mendapatkan komisen sebanyak-banyaknya.

Mengapa Tidak Menjual Produk Sendiri ?

Ini adalah tahap kedua.  Setelah memahami konsep, selok belok pemasaran internet, seseorang pemasar internet akan beralih pula fokus untuk menghasilkan produk sendiri. Mungkin telah bosan dengan menjual produk orang lain, menjual produk sendiri lebih memberi kepuasan diri dan sudah tentunya memberi lebih banyak keuntungan.

Kebanyakan internet marketer akan mencuba produk digital atau produk virtual yang bersifat tidak perlu menyimpan stok, tiada kos operasi, tiada cost of good sold, tiada modal yang besar dan memberikan margin untung yang lebih. Perniagaan seperti menjual ebook, menjual sistem, menghasilkan portal iklan dan sebagainya menjadi pilihan.

Disini, kita boleh lihat perubahan dari seorang pemasar internet menjadi perniagaan internet.  Ia telah beralih dari hanya mempromosikan dan menjadi pemasar sahaja menjadi sebuah perniagaan dan wujud ‘kedai’ di internet.

Anda bayangkan betapa nikmatnya memiliki produk sendiri apabila anda pula boleh menciptakan program jana duit seperti affiliate program supaya internet marketer yang lain pula mempromosikan produk anda. Sebelum ini anda yang bersusah-payah menjana duit dengan mempromosikan produk orang lain, sekarang semua sudah berubah.

Ada berada di posisi yang lebih baik!

Apabila anda pernah menjadi internet marketer untuk produk orang lain, akan menjadi satu kelebihan kepada anda. Anda akan lebih bijak dalam menentukan pelan pemasaran untuk produk anda sendiri. Selain itu anda akan lebih rasai keperitan yang ditanggung oleh internet marketer. Oleh itu anda akan bersikap lebih adil apabila memberi komisen, lebih menjaga mereka dan memberikan perhatian kepada feedback dan pandangan mereka.

Mampukah  Perniagaan Internet Berjaya Tanpa Pemasar Internet ?

Jawapannya boleh.  Tetapi tahap kejayaan tidak mungkin mencapai tahap kejayaan setinggi apabila dibantu pemasar internet.

Saya hentikan disini dahulu. Memandangkan pangkalnya telah dihuraikan, mungkin ada masa nanti akan saya sambungkan untuk penghujungnya pula…

p/s : Anda tahu tak jawapan soalan Nujum Pak Belalang di atas ? :)