Petang tadi aku ambil Hafiy dari kelas muzik dengan perasaan berbeza.
“We are going to get a new Prime Minister..”, aku sudah terbayang kerajaan baru walau SPR belum umum secara rasmi.
“So we can have a new building?”, Hafiy tanya.
Aku angguk saja. Walau bukan pun itu sebenarnya.
4 tahun aku di bumi Inggeris, sudah 3 kali lihat pilihanraya disini. Politik negara maju. Yang elok aku sharelah. Yang tidak itu boleh buang ke tepi.
Tiap aku aku tulis tentang politik, aku save sahaja, tidak jadi publish. Aku malas bukan apa, negara kita pantang dicuit, melatah entah apa-apa. Aku ini jauh, pantang cari gaduh.
Di Malaysia, cerita politik warung kopi pun boleh bercerai berai. Bingai.
Tapi sejak semalam, aku rasa Malaysia sudah ada tanda pemikiran negara orang pandai. Bebas dan merdeka. Seperti ciri UK yang aku suka.
1. Orang UK mudah ubah undi. Hari ini kau janji macam-macam tapi tidak tunaikan, esok jangan harap aku undi kau lagi.
Dalam satu debat di kaca TV nasional, seorang surirumah bertanya kepada Perdana Menteri.
“Dulu awak janji begitu begini, tapi awak tidak buat. Jadi kenapa saya perlu percaya awak lagi?”
Terkulat-kulat Perdana Menteri mahu menjawab depan TV. Seperti dijangka partinya kalah.
Rakyat negara maju berpegang apa yang ahli politik kata. Jika tidak seperti dijanji, bye-bye, sayonara sampai berjumpa lagi! Wai boder.. Wai boder…
2. Ahli politik bebas skandal, walau pun cuma bau-bau stokin. Pantang ada isu sikit, berundurlah dengan cara terhormat. Kadang belum pun jadi kes, baru ada conflict of interest mereka terus berundur. Masyarakat berintegriti. Orang tidak suka kroni.
Ahli politik tidak terlibat dalam bisnes, atau ada kepentingan dalam projek. Proksi, ahli keluarga atau boneka yang wakil dalam syarikat berkepentingan punca rasuah dan salah guna kuasa.
3. Bila kerajaan buntu buat keputusan, serahkan semula kepada rakyat. Rakyat terpaksa mengundi semula. Theresa May buat pada tahun lepas. Selamba kodok bubar parlimen, dan suruh undi semula.
Sisi baik. Bila ada masalah, kerajaan berani mengaku tidak tahu apa yang terbaik untuk negara. Untuk elak pening kepala, serahkan balik kepada pengundi. Biar mereka fikir sama-sama.
Bukan semua benda kerajaan tahu. Tidak semua juga rakyat tidak tahu.
4. Ahli politik serius fikir tunaikan janji pilihanraya. Orang pun undi sebab janji, bukan sebab beri harapan tidak pasti. Hayat ahli politik, bergantung kepada laba dan untung yang rakyat dapat.
Setakat ada poster, bendera dan iklan merata belum tentu berjaya. Orang meluat jadinya, asyik muka dia.
UK tiada bendera poster apa bagai. Orang sudah well informed siapa bertanding. Pilih saja.
Sampai sekarang aku masih tidak setuju istilah perang poster. Tidak kira kau parti mana, membazir itu kawannya setan. Berapa banyak duit kita boleh sedekah beli makanan.
5. Ada pembangkang yang kuat. Untuk menjamin kerajaan yang kuat. Di UK, parti Konservatif ini sangat lantang, tapi parti Labour juga pembangkang yang tidak hanya pandai pung-pang.
Ya. Aku rasa BN memang sudah bersedia jadi pembangkang yang kuat. 60 tahun pengalaman kot. Kali ini kerajaan akan kena balun bertubi-tubi, kerja sampai mati.
Yang patut menggelupur adalah kerajaan. Bukan pembangkang.
6. Ahli politik tidak dijulang, diangkat, terlalu hormat. Tiada ikut ketua membabi buta. Tidak juga taksub pada parti. Tiada ahli politik dijadikan idola.
Dalam satu majis, Nicola Sturgeon, Scotland First Minister kelihatan terbiar seorang. Beri ucapan tidak sampai 5 minit, kemudian duduk sahaja di kerusi batu sama orang lain.
Dan tiada siapa pun peduli dengan dia. Aku anak beranak sahaja yang beriya mahu selfie bersama.
Setiap manusia ada prinsip yang dipercayai. Agree to disagree. Kita mula yakin mengambil tindakan berani.
Kali terakhir aku berdebar depan TV bila tengok Final Piala Thomas 1992. Kali ini perasaan itu datang lagi. Bila menanti keputusan Parlimen dan DUN Negeri.
Tahniah Malaysia. Kau peganglah apa yang kau percaya. Kematangan berfikir kita up satu level. Aku salute.
Ini semua pun bukan untuk kita semata. Tapi untuk bangsa dan masa depan kita. Untuk anak cucu yang menunggu.
“Do we still have the highest tower in the world?”, sambung Hafiy.
“Twin towesr”, jawap aku pendek.
“At least we still have something to be proud of”, nada Hafiy lega.
Aku pun lega. Sebab aku sudah boleh tidur lena. Malaysia bangun dengan subuh yang baru.
Bila orang asing tanya tentang Malaysia, aku tunjuk sahaja muka atok 93 tahun yang pernah kata kita mudah lupa. Terima kasih, truly Malaysian worrior.
Kembang hidung aku bangga.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Parti Gajah Duduk
Glasgow, Scotland
Nota: Mahu SHARE silakan sahaja. Aku mahu tidur. Bangun esok pagi, harap ini bukan mimpi.