Jiran atas rumah aku nama Rauf. Bangsa Pakistan. Tidak juga rapat, cukup sekadar berbalas salam.
Tapi mak Rauf sangat peramah. Bila terserempak, panjang berjela dia bercakap.
Masalahnya, dia cuma berbahasa Urdu. Tidak pandai English. Tiap kali dia bercakap, kami sekeluarga sekadar mengagak butir cakapnya. Angguk lebih kurang.
Layan je.
Pernah dia bercakap panjang lebar. Tapi sepatah pun aku tak paham. Rupanya, dia minta tunas pokok Aloevera yang kami tanam tepi tingkap. Kah!
Tapi kelamaan jadi kerap pula. Pantang berjumpa mesti mahu bercakap. Kami tak faham la, rimasnya. Huhu.
Sehingga kami pernah lari masuk semula ke kereta menyorok bila nampak dia keluar dari muka pintu.
Dia pernah terjah masuk rumah kami begitu sahaja. Tanjat kami weh!
Tak sanggup dah! Penat jadi peramah. Tiap kali keluar, doa supaya jangan terserempak.
Sehingga beberapa hari lepas, dia ketuk pintu rumah. Aku buka, dia sedang berdiri dan di tangannya menghulur satu bungkusan plastik.
“Iftari, iftari”, katanya dengan muka senyuman. Dia bagi sekotak air mangga Robicon dan kurma.
Aku agak terpana. Tidak tahu mahu kata. Sekadar thank you.
Aku rasa janggal. Sekeliling jiran orang putih, sudah lama tiada jiran seMalaysia untuk adat bertukar juadah makanan berbuka. Ini tiba-tiba jiran Pakistan pula.
Best pula rasa.
Sebab sudah memang adatnya membalas pemberian, esoknya kami balas dengan kuih onde-onde.
Lusanya emak Rauf balas dengan ayam pakora.
Tulatnya kami bagi pulak bread pudding.
Next tu dia bagi manisan kheer, sejenis manisan nasi susu manis.
Begitulah. Sehingga tidak putus-putus pula saling menghulur juadah.
Hari ini kami tidak memberi apa-apa. Terasa sunyi pula.
Kawan-kawan.
Begitulah keberkatan bulan Ramadhan. Saling mahu menumpang pahala beri makan pada yang puasa.
Bila kita saling memberi, tidak berkira rezeki.
Kadang kita tidak suka pada satu perkara, sedangkan Tuhan kata ia baik untuk kita.
Moment dengan emak Rauf sangat membuatkan hati aku rindu pada Malaysia. Semangat Ramadhan yang terus kami mahu membara.
Esok mahu bagi apa pula?
Catatan Ramadhan
Irwan Dahnil
Saki baki rakyat Malaysia
Glasgow, Scotland.