Kami Mahukan Broadband Lebih Baik!

29 10 2009

Di Malaysia, seperti yang kita ketahui mempunyai penawaran perkhidmatan telekomunikasi yang sangat terbatas. Sekadar perbandingan, di Indonesia mempunyai 10 syarikat yang menawarkan perkhidmatan selular secara besar-besar. Di Malaysia pula kita hanya dihidangkan oleh perkhidmatan beberapa syarikat sahaja. Saya antara pelanggan yang paling cerewet bila berkaitan dengan broadband yang tidak memuaskan. Maklum sahaja saya berniaga dari rumah yang bergantung kepada internet 100%. Saya akan sentiasa membuat laporan sekiranya tiada capaian, atau perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Maaf kerana kali ini saya bukan menulis sebarang tip atau perkembangan perniagaan. Tetapi saya menulis atas dasar tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dan ke arah perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik.

Sejak saya menyertai Forum Pengguna Malaysia (www.cfm.org.my), barulah saya sedar bahawa bukan saya sahaja yang merungut mengenai perkhidmatan telekomunikasi. Semakin ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati seperti broadband yang lajunya tidak seperti dijanjikan, masalah bill telefon bimbit dan sebagainya. Apabila diajukan masalah ini kepada pihak yang terlibat, seolah-olah tiada tindakan.

“Dah buat laporan banyak kali, tetapi macam tu juga.. “

Oleh itu, ramai yang give-up untuk terus membuat laporan. Laporan yang pernah dibuat juga seolah-olah tidak menyumbang apa-apa penambahbaikan.

Portal Aduan Forum Pengguna Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)

Minggu lalu saya dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran Portal Aduan CFM (CoP). Ini salah satu usaha bagaimana anda boleh menyalurkan masalah dan aduan anda mengenai perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia. Bukan hanya aduan perkhidmatan selular dan broadband, aduan seperti Astro juga diterima.

Tidak seperti aduan yang anda lakukan kepada penyedia perkhidmatan, satu kelebihan CoP adalah ia bersifat seperti forum. Andaikan anda membuat aduan mengenai perkhidmatan Maxis Broadband yang tidak berkualiti di CoP, maka setiap aduan boleh dilayan oleh pelbagai pihak termasuklah CFM, SKMM, Persatuan Pengguna dan Maxis sendiri. Ini berbeza dengan aduan yang dibuat kepada Maxis sahaja (hanya Maxis sahaja yang tahu) sebaliknya membuat laporan di CoP membolehkan pelbagai pihak berwajib mendengar masalah anda.

Boleh disimpulkan, pelbagai pihak terlibat untuk melayan aduan. Biar pihak kerajaan melalui SKMM mengetahui apa yang sebenarnya dirungutkan oleh masyarakat.

Walaubagaimanapun, CoP tidak akan berkesan sekiranya anda tidak membuat laporan. Kita perlu jadi lebih proaktif dengan membuat laungan dan menjerit kepada pihak berkuasa. Kita perlu buang jauh-jauh rasa tidak peduli. Kita perlu bersuara, membolehkan suara kita didengari.

Platform sudah ada, apa yang perlu dilakukan adalah melakukan tanggungjawab kita untuk membuat laporan.

Tanggungjawab Anda Membuat Laporan

Sekiranya anda mempunyai masalah, aduan atau sebarang pertikaian yang tidak selesai, ini adalah masanya untuk masalah anda didengari oleh pihak yang lebih tinggi. Sekiranya anda pernah membuat laporan ke syarikat telekomunikasi (seperti Celcom, Astro, Maxis dan sebagainya), tetapi anda tidak berpuas hati dengan cara aduan anda dilayan, anda mungkin boleh bawa aduan anda ke peringkat lebih tinggi sehingga ke peringkat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Caranya sangat mudah. Anda hanya perlu login di CoP (http://complaint.cfm.org.my/), mendaftarkan diri anda kemudian hantarkan aduan atau masalah anda.

Dengan menghantar aduan, anda boleh memeriksa status aduan anda dalam masa beberapa hari selepas aduan dibuat. Jadi anda tidak akan tertanya-tanya sama ada aduan anda telah dilayan atau belum. Anda boleh menilai sendiri bagaimana aduan tersebut dilayan, status aduan anda sama ada telah diselesaikan atau belum dan tindakan susulan yang dilakukan. Memandangkan CoP adalah berkonsepkan forum, mungkin aduan anda akan dilayan oleh pelbagai pihak termasuk SKMM sendiri.

Walaubagaimana pun CoP hanya akan boleh membantu anda sekiranya anda mengambil sedikit inisiatif untuk membawa aduan anda ke tengah. Jangan diamkan diri sekiranya ada masalah telekomunikasi. Sebaliknya bertindaklah kerana sumbangan anda untuk membuat aduan akan membantu rakan kita yang lain untuk mendapat perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Lidi yang sebatang mudah untuk dipatahkan, tetapi segenggam lidi yang diikat bersama menjadi lebih kuat, padu dan dapat menyumbangkan sesuatu.






Tips Memilih Program Affiliate Untuk Usahawan Internet Baru

13 10 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca blog yang saya hormati,

Tidak dinafikan salah satu program menjana pendapatan yang paling mudah adalah dengan menyertai program affiliate. Selain daripada mudah dan percuma, selalunya ia menjadi platform dimana usahawan internet yang baru ‘mencuba nasib’ untuk mula memperolehi pendapatan di internet. Hanya sertai, dapatkan kod affiliate dan mula promosi. Sekiranya terjual, komisen akan diperolehi.

Tetapi ada satu tabiat di internet dimana kita suka,rajin dan berminat untuk mendaftarkan diri di dalam program affiliate. Malangnya program tersebut tidar benar-benar menjana pendapatan untuk kita. Maka tidak hairanlah, menurut kajian cuma 2% sahaja dari usahawan internet yang menyertai program affiliate benar-benar menjana pendapatan.Kita lupa bahawa menjadi ‘promoter’ kepada produk lain juga memerlukan teknik dan juga strategi yang betul.

Tips Memilih Program Affiliate Bagi Usahawan Internet Baru

Kejayaan menjual dari program affiliate sebenarnya sangat bergantung kepada kredibiliti penjual. Teknik dari mulut ke mulut usahawan internet, akan mempengaruhi pelanggan untuk membeli. Untuk menjana pendapatan dari program affiliate perlulah melihat dari pelbagai sudut. Antaranya :

1. Memilih program affiliate

Teringat saya kepada rakan ketika makan lunch buffet di sebuah hotel. Oleh kerana ia adalah buffet, maka rakan saya tadi mengambil sebilangan besar makanan yang terhidang. Yang lucunya, ada makanan yang tidak diketahui namanya. “Bayar mahal-mahal.. bila lagi nak rasa macam-macam”. Akhirnya makanan yang tidak kena dengan seleranya tidak dimakan. Kan lebih baik jika beliau memilih dahulu sebelum mengambil makanan tersebut ? Pembaziran itu sahabat akrab syaitan.

Memilih bererti membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menyertai.Lihat siapa penganjur program tersebut. Nilaikan kredibiliti penganjur. Selain itu lihat juga imbuhan yang bakal diterima. Adakah dalam bentuk peratus komisen, tarikh pembayaran, kaedah pembayaran dan sebagainya.

2. Sumber dari pakar atau ahli

Pernah dengar istilah “Jack of all trades, master of none”. Ia adalah ucapan yang merujuk kepada orang yang sangat umum, tetapi tidak mempunyai kemahiran /specialist dalam bidang tertentu. Pelanggan yang spesifik akan membeli dari orang yang pakar, mahir dan berpengalaman.

Andaikan anda mencari kasut. Kedai mana yang anda lebih gemar kunjungi sama ada kedai sukan Al Ehsan, atau pasaraya Giant ? Bagi anda yang inginkan lebih pilihan yang lebih spesifik akan suka ke kedai spesialist dan bukan ke gedung umum yang menjual 1001 barangan.

3. Sentiasa menjaga kredibiliti

Internet adalah dunia maya. Meyakinkan pelanggan untuk membeli di dunia maya adalah mencabar. Di internet, kuasa pemasaran mulut-ke-mulut jauh lebih berkesan. Pelanggan mempunyai kecenderungan untuk membeli sekiranya kenalannya yang boleh dipercayai mencadangkan pembelian tersebut. Ini adalah kredibiliti. Sertai program affiliate yang tidak berlawanan dengan kredibiliti anda.

4. Tidak bersilang dengan produk lain

Sekiranya anda dalam industri pertanian, cuba sertai program affiliate yang terlibat dengan pertanian juga. Ini membantu anda mengekalkan kredibiliti dan seniority anda. Satu lagi adalah istiqomah atau konsisten. Jika anda menjual produk pertanian A, jangan pula dalam masa yang sama mempromosikan produk pertanian B. ‘Walk the talk’, cakap mesti serupa bikin!

Anda boleh sertai banyak program affiliate, tetapi jangan lupa matlamat asal anda. Kalau sekadar suka-suka menyertai affiliate mungkin tidak mengapa. Tetapi bukankah matlamat anda ingin menjana pendapatan? Jika bukan mengapa anda habiskan masa anda dengan menyertai tetapi tidak komited.

Perbaiki cara kerja.

Pelancaran semula Program Affiliate Irwan Dahnil

Saya akan melancarkan suatu produk baru yang unik tidak lama lagi. Oleh itu saya ingin menjemput dan mempersilakan anda untuk menjadi sebahagian dari penggiat perniagaan internet yang lain untuk menyertai program ini. Program affiliate ini telah saya masukkan link untuk produk Akademisms.com dan anda boleh mula melakukan promosi.

Dari semasa ke semasa, saya akan tambahkan kumpulan produk (selain dari Akademisms.com) sedikit demi sedikit. Insyallah, komisen juga akan saya ubah sedikit masa lagi (buat masa sekarang cuma 10%), dan penyertaan sebagai ahli affiliate akan saya tutup bila telah memenuhi matlamat nanti.

Sebelum anda sertai, cuba anda ikutkan tips yang saya berikan tadi. Adakah ia bertepatan dengan anda ? Jika ya, sertailah program affiate yang mudah ini dan ianya percuma. Layari http://www.idjv.net






Tips Membeli Kereta Untuk Usahawan

5 10 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Pembaca Blog yang Dihormati,

Lebih sebulan saya tidak mengemaskini blog ini. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya terdapat tersalah dan terkasar bahasa saya sepanjang penulisan saya dalam blog ini. Pejam celik, terasa benar 2009 pula menghampiri penghujungnya.

Topik hari ini adalah mengenai kereta. Bila hari raya menjelang tiba, jurujual kenderaan mula menggunakan taktik emosi untuk kesekian kaliannya.Bagi usahawan, mungkin ini menjadi salah satu kebanggaan pencapaian bisnes bila berkereta baru.

“Alangkah seronok dan meriahnya beraya dengan kereta baru!”

Majoriti dari kita mengetahui bahawa membeli kereta secara kredit itu adalah suatu liabiliti. Yang untung hanya bank sedangkan apabila kita membeli, harga kereta tersebut turun di saat ia keluar dari bilik pameran kenderaan. Membeli secara tunai pula kelihatan kurang bijak kerana wang yang ada boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan yang lebih menguntungkan.

Entah mengapa, selama bertahun-tahun lamanya, kereta itulah yang dipandang orang. Mata yang melihat akan terus kabur, dengan sentiasa memandang kereta itu sebagai lambang dan simbol kemewahan. Ini akan dikaitkan dengan perniagaan dan usahawan yang berjaya.

“Bisnes nampak hebat, takkan pakai kereta Kancil je ?”

Seolah-olah memandu Kancil tu rendah sangat tarafnya dan kerana frasa-frasa nakal seperti itulah maka ada usahawan yang sanggup rumahnya buruk tetapi kereta sanggup berkereta hebat. Malah rumah disewa dan bukan dibeli.Sanggup berkereta besar hanya untuk menunjukkan perniagaan laku dan laris.

Jadilah usahawan yang bijak, tidak termakan dengan apa yang dikata orang.

Tips Memilih Kereta Yang Sesuai Untuk Usahawan Kecil

1. Bagi yang bujang, jangan pilih kenderaan berpintu dua. Mungkin kereta akan kelihatan sporty & trendy, tetapi perlu beringat apabila anda telah berkahwin dan mempunyai anak. Pilih kereta berpintu empat masih selesa untuk dinaiki oleh anda dan pasangan dan 2 orang anak. Sekurang-kurangnya orang lain juga selesa menaikinya dan anda tidak perlu menukar kereta hanya disebabkan saiz keluarga yang bertambah.

2. Jenama Toyota dan Honda selalu menjadi pilihan kerana harga 2nd hand yang masih tinggi. Mungkin ia lebih mahal, tetapi ia lebih menjimatkan untuk jangka masa lebih dari 5 tahun. Sesetengah kenderaan sudah mula mendapat ’sakit tenat’ selepas 3 tahun.Jenama kenderaan Korea seperti Hyundai juga mempunyai kualiti yang baik, tetapi nilai jualan semula yang jatuh merudum. Kalau ingin selesa, boleh dapatkan kenderaan ini tetapi niatkan dihati yang kenderaan ini akan dipakai sehingga hancur dan lunyai. Untuk dijual kembali mungkin tidak berbaloi.Tidak termasuk pemasangan tempatan seperti Hyundai menjadi Inokom atau Kia menjadi Naza, kejatuhan harga kenderaan lebih parah disamping kebanyakan kualiti import lebih baik daripada jenama pemasangan tempatan.

3. Sekiranya kehidupan anda masih belum stabil seperti anda ingin meneruskan pengajian ke luar negara, atau ingin berpindah kawasan seperti migrasi ke tempat lain, mungkin tahan dahulu selera membeli kereta. Saya antara orang yang sering menangguhkan pembelian kenderaan kerana niat dan matlamat menyambung pengajian. Bermula Oktober 2009, keluarga saya akan berpindah ke Sabah, maka tertangguh lagi pembelian kereta idaman.

4. Kenderaan import terpakai (recond) juga mempunyai nilai jualan semula yang rendah. Ambil contoh seperti BMW dan Mercedes yang berharga RM150,000 setelah dibawa masuk, akan jatuh sehingga RM100,000-RM120,000 apabila model baru diperkenalkan. Bila membeli perhatikan bilakah model baru kenderaan tersebut akan dikeluarkan. Katakan anda membeli Toyota Wish yang dikilangkan tahun 2009 berharga RM130,000 dan pada tahun 2o10 keluar pula model baru Toyota Wish. Anda akan dapati kenderaan anda akan turun harga secara automatik dengan pengimportan kereta model baru.

5. Beli sahaja kereta terpakai (2nd hand). Kebanyakan mata yang menilai kereta sebagai simbol kekayaan sebenarnya tidak tahu pun harga sebenar kereta. Asalkan kereta BMW atau Mercedes, itu sudah dianggap hebat. Kereta yang berumur lebih 10 tahun pula akan berada sekitar RM50,000 sahaja. Mungkin terdapat kos penyelenggaraan yang sedikit tinggi, Percaya atau tidak walaupun ia kereta terpakai ia tetap mempunyai aura dan kelas yang tersendiri.

6. Pernah dengar istilah 2nd car ? Atau juga bermaksud kenderaan kedua. Apabila membeli kereta hebat, tentunya belanja minyak dan penyelenggaraan juga tinggi. Untuk mengurangkan kos, maka usahawan menggunakan kenderaan kedua untuk urusan harian dan hanya menggunakan kereta hebat untuk urusan rasmi. Maka tidak hairanlah ramai berBMW atau berMercedes, tetapi hari-hari biasa cuma memandu Kancil atau menunggang motorsikal sahaja. Jimat bukan ?

7. Pertimbangkan juga kenderaan pelbagai guna (MPV). Sesuai untuk pelbagai urusan dan penggunaan! Kenderaan seperti Avanza, Grand Livina dan Exora menepati ciri-ciri bergaya disamping berguna untuk mengangkut barangan atau orang :)

Membeli kenderaan dan bertukar-tukar kenderaan secara kerap adalah satu amalan yang membazir. Oleh itu apabila membeli kenderaan pilih kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan jangka sederhana dan juga budget anda. Jangan ikutkan nafsu apabila melihat kereta yang menggoncang iman :)

Jangan bimbang kalau kenderaan anda bukanlah yang paling mahal, paling canggih atau paling hebat. Kerana setiap tahun pasti akan muncul model baru yang lebih baik, lebih hebat dan lebih cantik.

Anda tidak akan rugi kalau tidak membeli kenderaan secara terburu-buru sekarang.