Assalamualaikum & Salam Sejahtera Pembaca Blog yang Dihormati,
Lebih sebulan saya tidak mengemaskini blog ini. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya terdapat tersalah dan terkasar bahasa saya sepanjang penulisan saya dalam blog ini. Pejam celik, terasa benar 2009 pula menghampiri penghujungnya.
Topik hari ini adalah mengenai kereta. Bila hari raya menjelang tiba, jurujual kenderaan mula menggunakan taktik emosi untuk kesekian kaliannya.Bagi usahawan, mungkin ini menjadi salah satu kebanggaan pencapaian bisnes bila berkereta baru.
“Alangkah seronok dan meriahnya beraya dengan kereta baru!”
Majoriti dari kita mengetahui bahawa membeli kereta secara kredit itu adalah suatu liabiliti. Yang untung hanya bank sedangkan apabila kita membeli, harga kereta tersebut turun di saat ia keluar dari bilik pameran kenderaan. Membeli secara tunai pula kelihatan kurang bijak kerana wang yang ada boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan yang lebih menguntungkan.
Entah mengapa, selama bertahun-tahun lamanya, kereta itulah yang dipandang orang. Mata yang melihat akan terus kabur, dengan sentiasa memandang kereta itu sebagai lambang dan simbol kemewahan. Ini akan dikaitkan dengan perniagaan dan usahawan yang berjaya.
“Bisnes nampak hebat, takkan pakai kereta Kancil je ?”
Seolah-olah memandu Kancil tu rendah sangat tarafnya dan kerana frasa-frasa nakal seperti itulah maka ada usahawan yang sanggup rumahnya buruk tetapi kereta sanggup berkereta hebat. Malah rumah disewa dan bukan dibeli.Sanggup berkereta besar hanya untuk menunjukkan perniagaan laku dan laris.
Jadilah usahawan yang bijak, tidak termakan dengan apa yang dikata orang.
Tips Memilih Kereta Yang Sesuai Untuk Usahawan Kecil
1. Bagi yang bujang, jangan pilih kenderaan berpintu dua. Mungkin kereta akan kelihatan sporty & trendy, tetapi perlu beringat apabila anda telah berkahwin dan mempunyai anak. Pilih kereta berpintu empat masih selesa untuk dinaiki oleh anda dan pasangan dan 2 orang anak. Sekurang-kurangnya orang lain juga selesa menaikinya dan anda tidak perlu menukar kereta hanya disebabkan saiz keluarga yang bertambah.
2. Jenama Toyota dan Honda selalu menjadi pilihan kerana harga 2nd hand yang masih tinggi. Mungkin ia lebih mahal, tetapi ia lebih menjimatkan untuk jangka masa lebih dari 5 tahun. Sesetengah kenderaan sudah mula mendapat ‘sakit tenat’ selepas 3 tahun.Jenama kenderaan Korea seperti Hyundai juga mempunyai kualiti yang baik, tetapi nilai jualan semula yang jatuh merudum. Kalau ingin selesa, boleh dapatkan kenderaan ini tetapi niatkan dihati yang kenderaan ini akan dipakai sehingga hancur dan lunyai. Untuk dijual kembali mungkin tidak berbaloi.Tidak termasuk pemasangan tempatan seperti Hyundai menjadi Inokom atau Kia menjadi Naza, kejatuhan harga kenderaan lebih parah disamping kebanyakan kualiti import lebih baik daripada jenama pemasangan tempatan.
3. Sekiranya kehidupan anda masih belum stabil seperti anda ingin meneruskan pengajian ke luar negara, atau ingin berpindah kawasan seperti migrasi ke tempat lain, mungkin tahan dahulu selera membeli kereta. Saya antara orang yang sering menangguhkan pembelian kenderaan kerana niat dan matlamat menyambung pengajian. Bermula Oktober 2009, keluarga saya akan berpindah ke Sabah, maka tertangguh lagi pembelian kereta idaman.
4. Kenderaan import terpakai (recond) juga mempunyai nilai jualan semula yang rendah. Ambil contoh seperti BMW dan Mercedes yang berharga RM150,000 setelah dibawa masuk, akan jatuh sehingga RM100,000-RM120,000 apabila model baru diperkenalkan. Bila membeli perhatikan bilakah model baru kenderaan tersebut akan dikeluarkan. Katakan anda membeli Toyota Wish yang dikilangkan tahun 2009 berharga RM130,000 dan pada tahun 2o10 keluar pula model baru Toyota Wish. Anda akan dapati kenderaan anda akan turun harga secara automatik dengan pengimportan kereta model baru.
5. Beli sahaja kereta terpakai (2nd hand). Kebanyakan mata yang menilai kereta sebagai simbol kekayaan sebenarnya tidak tahu pun harga sebenar kereta. Asalkan kereta BMW atau Mercedes, itu sudah dianggap hebat. Kereta yang berumur lebih 10 tahun pula akan berada sekitar RM50,000 sahaja. Mungkin terdapat kos penyelenggaraan yang sedikit tinggi, Percaya atau tidak walaupun ia kereta terpakai ia tetap mempunyai aura dan kelas yang tersendiri.
6. Pernah dengar istilah 2nd car ? Atau juga bermaksud kenderaan kedua. Apabila membeli kereta hebat, tentunya belanja minyak dan penyelenggaraan juga tinggi. Untuk mengurangkan kos, maka usahawan menggunakan kenderaan kedua untuk urusan harian dan hanya menggunakan kereta hebat untuk urusan rasmi. Maka tidak hairanlah ramai berBMW atau berMercedes, tetapi hari-hari biasa cuma memandu Kancil atau menunggang motorsikal sahaja. Jimat bukan ?
7. Pertimbangkan juga kenderaan pelbagai guna (MPV). Sesuai untuk pelbagai urusan dan penggunaan! Kenderaan seperti Avanza, Grand Livina dan Exora menepati ciri-ciri bergaya disamping berguna untuk mengangkut barangan atau orang 🙂
Membeli kenderaan dan bertukar-tukar kenderaan secara kerap adalah satu amalan yang membazir. Oleh itu apabila membeli kenderaan pilih kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan jangka sederhana dan juga budget anda. Jangan ikutkan nafsu apabila melihat kereta yang menggoncang iman 🙂
Jangan bimbang kalau kenderaan anda bukanlah yang paling mahal, paling canggih atau paling hebat. Kerana setiap tahun pasti akan muncul model baru yang lebih baik, lebih hebat dan lebih cantik.
Anda tidak akan rugi kalau tidak membeli kenderaan secara terburu-buru sekarang.