Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Pembaca Budiman,
Saya tidak pernah menerima pendidikan perniagaan secara formal di sekolah atau universiti. Kerana itu saya sangat berterima kasih kepada banyak sumber rujukan dan buku yang menjadikan setiap bisnes yang saya lakukan sebagai peluang untuk belajar. Mungkin ada banyak lagi buku-buku perniagaan yang hebat diluar sana, tetapi ini adalah 10 buku perniagaan (tidak mengikut susunan) yang banyak mengubah persepsi dan menjadikan siapa saya hari ini :
1. Blue Ocean Strategy (BOS)
Penulis : CW Kim & R. Mauborgne
Telah diterjemah kepada pelbagai bahasa. Saya baca versi English yang lebih mudah difahami. BOS sangat memberi kesan kerana selepas akan membuatkan kita berfikir untuk meletakkan inovasi dan kelainan dalam perniagaan. Saya tidak lagi mahu mengeluarkan produk yang terikut-ikut dengan orang lain. Strategi yang berbeza, dan bagaimana merancangkan BOS bagi perniagaan. Bagi saya, jika produk/bisnes kita tidak unik, maka tiada bisnes. Perniagaan perlu berbeza untuk kekal lama.
BOS juga merupakan inspirasi besar untuk saya mengubah strategi penulisan buku dan juga pemasaran internet.
2. E-Myth Revisited
Penulis : Michael Gerber
McDonalds terkenal dan masih kekal sehingga sekarang bukan kerana mereka pembuat burger yang paling sedap. Saya lebih suka rasa burger tempatan Ramly. Tetapi mengapa McD dapat terus kekal ? Mengapa mereka dapat membuatkan orang percaya burger mereka paling sedap? Mengapa mereka dapat menghasilkan rasa burger yang sama di merata tempat? Rahsianya adalah dengan mempunyai sistem perniagaan. Sistem yang dibentuk, dirancang, dan boleh diduplikasikan. Kedai makan yang berjaya bukanlah kedai makan yang paling sedap, tetapi kedai yang dapat mengekalkan kualiti rasa disemua kedainya.
Pengajaran penting : Tukang masak yang terbaik tidak semestinya peniaga yang baik. Bermaksud jika anda pandai buat sesuatu, tidak semesti anda juga boleh membuka bisnes yang berjaya.
3. The Long Tail
Penulis : Chris Anderson
Konsep yang diketengahkan adalah dengan menawarkan banyak produk dalam sesuatu niche. Contohnya, jika anda menjual buku, anda perlu menjual seratus judul, dan kalau boleh beribu judul dalam pelbagai kategori. Kedai online seperti Amazon mengecap jaya dengan konsep ini. Begitu juga dengan iTune yang menjual lagu-lagu. Ini memberikan kepuasan kepada pelanggan dalam memilih disamping membuka pasaran pelanggan yang lebih luas.
Di KL, kedai mamak memang cukup popular. Pada pandangan saya, mereka menggunakan teori Long Tail. Walau pun ia kedai yang dikenali dengan roti canai dan teh tarik, tetapi kedai mamak kini menawarkan lebih dari itu. Nasi beriyani, nasi lemak, masakan barat seperti chicken chop sehinggalah masakan tomyam. Sebut sahaja makanan apa, kedai mamak kini lebih universal.
Ini menjadikan lebih banyak jualan berlaku dan bukan hanya produk khusus sahaja. Konsep Long Tail menjadikan produk yang tidak dikenali, laris semula.
4. Guerrilla Marketing
Penulis : Conrad Levinson
Saya suka dengan pendekatan pemasaran gerila kerana ia berkos rendah dan mementingkan kreativiti. Ia sangat sesuai untuk perniagaan kecil. Selama ini kita bercerita mengenai 4P dalam pemasaran, tetapi pemasaran gerila lebih bersifat ‘selamba’ dan ‘main belasah’ dalam pendekatannya. Ia berkesan!
5. The Psychology of Selling
Penulis : Brian Tracy
Ini asas pemasaran. Bermula dari mental setting sehinggalah strategi untuk mendekati pelanggan. Buku ini sangat sesuai untuk mereka yang takut sangat untuk buat jualan. Buku ini masih menggunakan pendekatan klasik pemasaran, tetapi masih relevan dengan dunia perniagaan. Saya suka!
Nanti akan saya sambungkan dengan Siri 2. Masih lagi dengan demam raya, masih menikmati masa-masa berkualiti bersama keluarga di K.Lumpur. Bagi rakan di luar sana, saya ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!