Salam Sejahtera,
Dalam seminggu lalu, saya menghabiskan banyak masa untuk membuat sedikit kajian dan bacaan. Semalam, pembantu rumah saya baru sampai dari seberang, seharusnya selepas ini saya mempunyai masa yang lebih banyak untuk membuat kajian.
Saya cuba mencari sebanyak mungkin maklumat mengenai pemasaran SMS di dunia. Tentunya saya memulakan kajian di laman Wikipedia untuk mengetahui betapa mendalamnya maklumat yang saya perolehi. Tetapi, dengan hampa, banyak maklumat yang ada dalam kamus internet tersebut merupakan maklumat yang saya telah tahu. Kurang benar rujukan mengenai pemasaran SMS yang ada di internet. Mungkin ini jawapan mengapa ebook Rahsia Buat Duit Dengan SMS tetap menjadi ebook pertama menghuraikan konsep pemasaran dan perniagaan SMS bukan sahaja di Malaysia, mungkin juga di dunia! 🙂
Saya juga menerima semakin banyak feedback dari mereka yang ingin menjalankan perniagaan SMS.
Salah seorangnya adalah En Ong BooSiong. Beliau bercadang untuk menjual minyak wangi menggunakan SMS. Tentunya konsep ini boleh direalisasikan menggunakan pemasaran SMS. Begitu juga dengan Puteri Salwa yang ingin memulakan perniagaan SMS untuk perniagaan katering yang sedang beliau jalankan sekarang.
Apa yang cuba saya nyatakan, sebenarnya perniagaan kita boleh berjalan seperti biasa tanpa SMS. Tetapi dengan pemasaran SMS yang lebih agresif, pelanggan dapat memberi respon secara terus kepada pengiklanan dan promosi yang kita lakukan. Saya berikan contoh yang saya lakukan di dalam blog ini. Saya sengaja mengedarkan ebook percuma 37 Model Perniagaan SMS Popular dengan menggunakan SMS. Bukannya saya tidak boleh memberikan secara percuma, tetapi yang penting saya boleh lihat berapa ramai yang akan memberi respon terhadap promosi saya tersebut. Caranya mudah. Apabila ada orang yang menghantar SMS untuk mendapatkan ebook tersebut, saya dapat laporan SMS yang memberitahu saya. Dan ini saya boleh dapat secara segera! Tentunya saya juga memperolehi nombor telefon yang menghantar SMS tersebut.
Sebenarnya SMS ini merupakan ‘icing on the cake’. Tanpa SMS, kita masih boleh melakukan pemasaran yang baik. Tetapi dengan SMS, ia membuatkan pemasaran saya lebih mempunyai daya memujuk. Tentunya kelihatan lebih canggih dan memberikan impak pemasaran yang lebih berkesan. Menampakkan lebih seksi dan menarik perhatian untuk dicuba oleh pelanggan!
Pemasaran SMS vs Buat Duit Dengan SMS
Hasil dari feedback yang saya terima, saya boleh kategorikan kepada 2 golongan yang ingin menggunakan SMS. Satu golongan adalah golongan yang ingin menggunakan SMS sebagai alat pemasaran mereka. Yang penting produk dan perkhidmatan mereka dapat diiklankan dan dipromosikan dengan lebih berkesan ( tentunya pulangan jualan yang lebih tinggi). Golongan ini hanya mahu menggunakan SMS sebagai alat dan tidak lebih dari itu. Bagi golongan ini, mereka lebih berminat untuk mengetahui bagaimanakah SMS boleh meningkatkan jualan, bagaimana untuk memulakan pemasaran SMS dan juga berapakah jumlah pelaburan pemasaran SMS. Yang penting, SMS boleh membantu meningkatkan jualan.
Oh ya! Saya ingin mengingatkan kepada mereka yang ingin menjual produk, supaya tidak menggunakan SMS sebagai kaedah pembayaran. Sebagai contoh, saya ingin menjual kerepek dengan harga RM5 sebungkus. Mengapa saya tidak menggalakan? Ini adalah kerana hampir separuh dari caj SMS tersebut akan diambil oleh telco.
Satu lagi golongan yang menarik perhatian saya adalah golongan yang ingin buat duit dari SMS. Seperti yang saya ceritakan dalam ebook saya, golongan ini boleh buat duit dengan sebarang kaedah dari SMS (selain dari menyertai affiliate ebook saya 🙂 ). Antara kaedah yang paling jelas adalah dengan menyediakan SMS Server sendiri dan menggunakan SMS untuk sebarang aplikasi yang dikehendaki. Selain itu, kaedah ‘profit sharing’ juga boleh digunakan pakai untuk menjana pendapatan, dimana konsep ini sangat popular apabila setiap sen yang dihantar melalui SMS, juga boleh dikongsi oleh kita. Berapa jumlah yang boleh dikongsi juga adalah berbeza-beza mengikut pembahagian antara telco dan penyedia perkhidmatan.
Golongan ini perlu ingat, sebenarnya wang dari SMS tidak datang dalam sekelip mata. Sekiranya anda hanya memperolehi RM0.10 dari setiap SMS, anda memerlukan 1000 SMS yang dihantar oleh pengguna untuk menghasilkan pendapatan RM100.
Satu lagi, golongan ini perlu realistik mengenai jumlah pelanggan yang akan menggunakan perkhidmatan SMS mereka. Adalah hanya dengan pengiklanan di website sudah memadai untuk mendapatkan 1000 orang pelanggan untuk menghantar SMS? Apa yang saya ingin nyatakan, promosi menentukan berapa ramai yang akan menghantar SMS anda. SMS hanyalah SMS. Sekiranya anda tidak membuat promosi perniagaan SMS anda, tiada siapa yang mahu menghantar SMS kepada anda. Tentunya tiada pendapatan dari situ.
Persamaan Pemasaran SMS dan Pemasaran Internet
Di sini saya boleh nyatakan mengapa pemasaran SMS mempunyai kesamaan dengan Pemasaran Internet. Seperti internet atau website, kita perlukan promosi. Website merupakan satu elemen pemasaran, dimana kita perlu menyediakan website untuk dilayari. Tapi bagaimana kita ingin memberitahu kepada pengguna internet, bahawa kita ada website yang boleh dilawati? Tidak lain, kita perlukan promosi. Tiada ‘tonik ajaib’ untuk website anda popular sekelip mata. Kos promosi juga hendaklah diambil kira seperti pengiklanan dan pembayaran affiliate sebagai contoh.
Pemasaran SMS juga mempunyai pendekatan yang saya. Sekiranya saya mempunyai nombor 5 digit sendiri, contohnya 34567, tetapi sekiranya tiada orang yang mengetahui nombor saya, maka tiada gunanya. Maka saya perlukan promosi, sama seperti website.
Satu lagi konsep persamaan adalah dari segi teknikalnya. Dalam internet, kita memerlukan hosting sebagai tapak laman web kita. Hosting ini kita ada pilihan sama ada untuk membuat hosting sendiri (memiliki web server sendiri) atau kita gunakan perkhidmatan hosting luar dengan membayar caj tertentu.
SMS juga memerlukan ‘tapak’ untuk transaksi dengan telco yang juga disebuat SMSCenter. Kita boleh mempunyai SMSCenter sendiri (SMS Gateway Server sendiri), atau kita boleh menggunakan perkhidmatan gateway luar dengan membayar caj tertentu.
Dari segi pendekatan pemasaran juga adalah sama. Antara flow untuk membuat pemasaran internet adalah :
1. Memilih Produk
2. Buat Website + dapatkan hosting dan domain
3. Buat Promosi Laman Web
SMS juga mempunyai pendekatan yang hampir sama :
1. Memilih perkhidmatan atau produk SMS yang hendak dipromosikan
2. Dapatkan penyedia perkhidmatan short code 5 digit
3. Buat Promosi Perkhidmatan SMS
Saya berharap dalam bulan2 akan datang saya dapat menghasilkan satu manual bagaimana untuk memulakan perniagaan SMS dari ZERO!…
Panjang pula celoteh saya hari ini. Saya cuma ingin berkongsi. Mungkin juga ini dapat menjawab beberapa soalan yang diajukan kepada saya sebelum2 ini.