Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Saya menerima mesej dari seorang sahabat lama. Sebelum ini beliau merupakan seorang pekerja makan gaji yang stabil dari segi pendapatannya. Sehinggalah beliau memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.
Kini, apabila telah berniaga sendiri beliau menerima tekanan yang cukup kuat dari keluarga yang tidak menyokong tindakan beliau walau pun perniagaan beliau telah menunjukkan hasil. Pada pandangan keluarga, bekerja makan gaji dengan kerajaan adalah lebih baik. Beliau sekarang runsing sama ada keluarga mertuanya entah berkenan atau tidak dengan tindakan beliau.
Saya ingin kongsikan jawapan saya kepada beliau :
********************&&&&&&&&&&&&*******************
Salam Tuan,
Moga sentiasa dilindungi Allah sentiasa. Dalam catatan yang ringkas :
1. Paling penting, isteri Tuan sentiasa dibelakang dan menyokong. Biasanya orang rumah ni, mereka bimbang tentang kemampuan kita untuk komitmen dan sara keluarga. Tuan banyakkan berbincang, ini membantu dia untuk terus percaya dengan apa yang Tuan lakukan.
2. Kena buktikan dahulu, apa yang keluarga Tuan dapat ketika makan gaji adalah sama dengan apa yang keluarga dapat ketika tuan buat bisnes. Kalau dulu makan KFC sebulan sekali, lepas bisnes mesti kekalkan yang sama. Kalau dulu wang dapur RM1K sebulan, kekalkan sumbangan tersebut.
Bila berniaga, yang banyak berkorban adalah keperluan diri sendiri dahulu, bukan keperluan keluarga. Jika mereka perlu berkorban sekalipun, janjikan pengorbanan tersebut akan berbaloi dalam satu jangkamasa. Contohnya, tuan meminjam wang simpanan keluarga sebanyak RM1000 yang dijanjikan untuk dibayar dalam masa 1 bulan. Cukup masa, pastikan ia dibayar.
3. Jika perlu, buat semula pengurusan kewangan keluarga. Berbelanja berhati-hati. Selalunya, ada banyak pembelian yang membazir yang boleh dijimatkan.
4. Dalam satu jangkamasa, perlahan-lahan pertingkatkan aset untuk keluarga. Mulakan dengan wang simpanan dahulu. Tambahkan sedikit-demi sedikit. Isteri akan lebih hargai.
5. Seterusnya insurans dan perlindungan takaful untuk keluarga. Jika kita tidak berupaya dan tiada pence, keluarga kita perlu terbela. Tidak perlu beli insurans atau takaful yang mahal. Cukup untuk hospitalization dan ward coverage untuk seluruh ahli keluarga sahaja.
6. Kebanyakan orang hanya menilai perniagaan pada nilai material sahaja (apa yang kita pakai, apa yang kita pandu, rumah kita)… Tetapi itu cuma simbol kekayaan. Tidak perlu menunjuk hanya untuk memuaskan hati orang. Yang penting, keluarga Tuan bahagia dan keperluan mereka terpenuhi. Insyallah, rezeki Allah sentiasa menunggu.
7. Bila keluarga mertua bertanya, cakap yang baik-baik sahaja tentang perniagaan. “Perniagaan berkembang, client baru, pengalaman yang baik…” Jangan ceritakan yang negatif, mereka akan cepat susah hati dan akan mula menunding jari menyatakan tindakan kita berniaga salah. Kita bukan berbohong, cuma kita perlu redakan antagonis.