Broadcast Tanpa Caj Kepada Pelanggan

Salam Sejahtera,

Minggu ini dan minggu hadapan saya akan kembali sibuk menyiapkan tugasan ‘sekolah’. Time waits for no man, kalau tidak dibuat sekarang, kerja semakin banyak dan bertangguh. Sejak balik dari bercuti, masih belum dapat menyusun jadual untuk pertemuan dengan rakan-rakan usahawan yang lain. Hanya sempat berjumpa dengan FayZ untuk berbincang mengenai kerjasama dengan pihak TV9.

Anyway, coretan hari ini adalah cukup mudah dan sekadar mengingatkan sahaja.

Laporkan Spam SMS – MCMC
Saya terbaca satu berita di akhbar utama semalam. Mengenai laporan seorang warga emas yang menerima beberapa SMS sepanjang 6 bulan yang lepas dan setiap SMS yang diterima dicajkan RM0.50. Sepanjang 6 bulan tersebut, beliau terpaksa membayar sejumlah RM166 untuk perkhidmatan yang tidak diminta. Yang lebih melucukan apabila setiap SMS tersebut bertanyakan beliau sama ada ingin berkenalan dengan seorang gadis! Selepas itu, beliau menerima pula panggilan dari seseorang yang mengaku dirinya dari California dengan menyatakan bahawa dia akan membayar segala bil SMS yang dicaj tadi. Keadaan ini sangat mengelirukan beliau, padahal beliau tidak sesekali pernah melanggan perkhidmatan sedemikian.

Kes ini hampir sama dengan kes penipuan SMS yang lain, dimana mangsa yang menerima SMS yang dikatakan pemenang pertandingan kuiz Akademi Fantasi dikehendaki membayar sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Tetapi perkara yang paling mencurigakan saya, walau pun begitu, menurut Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia (MCMC), tiada sebarang aduan rasmi diterima mengenai perkara ini. Benarkah begitu ? TIADA LANGSUNG aduan dibuat?

Jadi ke manakah mangsa-mangsa penipuan ini mengadu nasib? Yang saya pernah dengar, laporan polis dibuat. Tetapi bagaimana dengan laporan rasmi dengan MCMC?

Tahukah anda, sekiranya anda membuat aduan rasmi kepada MCMC, mereka boleh menjalankan siasatan dengan mengenalpasti SMS tersebut dihantar oleh pihak mana bahkan MCMC boleh menyiasat sehingga boleh mengarahkan sesebuah perkhidmatan penyedia perkhidmatan SMS ditutup. Mungkin ramai tidak sedar perkara ini dan seperti kebiasaan dengan laporan polis, kita beranggapan sudah memadai.

Buatlah laporan rasmi kepada MCMC sekiranya anda adalah mangsa. Laporan boleh dibuat secara online di forum laman web MCMC.

Broadcast Tanpa Caj
Istilah broadcast adalah merujuk kepada hebahan maklumat kepada pengguna atau pelanggan. Seperti TV, radio dan email mempunyai ciri-ciri untuk membuat hebahan. Kebiasaannya orang yang menerima hebahan tidak dikenakan sebarang bayaran. Dalam pemasaran, SMS juga boleh digunakan sebagai alat hebahan. Cuma SMS mempunyai sedikit keistimewaan dan keunikan dalam hebahan. Dengan SMS kita mempunyai pilihan untuk mengenakan caj bagi setiap mesej yang diterima!

Inilah yang selalu dimanipulasikan oleh penyangak SMS. Sedangkan dalam etika pemasaran, sekiranya kita ingin menghantar maklumat, kitalah yang perlu menanggung kosnya dan bukannya penerima maklumat tersebut. Melainkan pelanggan bersetuju untuk dikenakan caj, barulah SMS Broadcast berbayar boleh dihantar kepada mereka.

Ingat! Sekiranya anda membuat hebahan, mungkin ada yang terasa terganggu. Mereka tidak ambil pusing, kerana hebahan SMS hanya sekadar iklan biasa. Tetapi sekiranya SMS tersebut dicajkan kepada mereka, saya pasti 99.999% pemerima SMS Broadcast tersebut akan melenting!

Hati-hati dengan aktiviti SMS Broadcasting. Mesej anda mungkin akan tergolong dalam SPAM SMS.

Harga Yang Sesuai – RM1000? RM500?
Sekiranya anda ingin mempunyai Sistem Undian SMS sendiri, atau mempunyai Sistem Tempahan SMS sendiri, berapakah caj yang anda sanggup bayar? RM1 ribu setahun? Atau RM500 setahun?

Kajian tidak rasmi yang saya buat saya dapati perkhidmatan ini dikenakan caj tahunan yang tinggi. Saya agak kecewa dengan kos permulaan yang agak tinggi yang dikenakan oleh sesetengah penyediakan perkhidmatan. Ini akan melambatkan proses pembudayaan pemasaran SMS itu sendiri. Sedangkan saya ingin memperkenalkan Sistem SMS Grup pun ada yang berpandangan RM100 setahun sudah terlalu mahal.

Saya sendiri tidak mempunyai jawapannya. Kalau saya katakan RM100, ramai yang berkata terlalu rendah harganya…

Apa pendapat anda? Haruskan Sistem ini diberikan PERCUMA?

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply