Ketika aku mula buat pakej trip ke Eropah 5 tahun dulu, memang agak kelam-kabut.
Buat itinerary ikut peta, kira costing supaya tetamu mampu. Kemudian cari penginapan dan kedai makan. Struggle was real. Seluas-luas Eropah ini, kebajikan tetamu adalah perkara nombor satu.
Sehabis daya, terasa.itulah pakej terbaik aku hasilkan.
Sehinggakan bertemu dengan tetamu hampir 3 tahun lalu. Sepasang suami isteri. Sudah pencen, tetapi memang kelihatan loving sangat.
“Irwan, tolong bawakan kami ke masjid atau surau sepanjang perjalanan kita ya. Kalau sempat, mana-mana tempat sekali pun.”
Riak wajahnya tenang. Kedut di dahi, dan sesekali matanya tersorot dalam bila bercakap. Wise old man.
“Tak pa. Kita cuba sahaja. Kalau tiada pun tidak mengapa.”
Mlam itu aku google sehabisnya setiap ceruk Scotland. Masjid, musola, mahupun surau jika ada. Glasgow, Edinburgh, Stirling. Mana-mana sahaja.
“Memang Tuan Haji bila travel akan cari masjid ya?” saja aku tanya selepas solat di Central Mosque Glasgow.
“Begitulah. Suka tengok tempat orang. Umur begini cuma ingat mati.” Dalam tangannya sentiasa ada Vick, sesekali disuakan ke hidung.
“Irwan tidak masukkan masjid dalam itinerary ?”, sambungnya.
Aku terdiam. Serba salah. Malu pun ada. Aku geleng perlahan.
“Elok kalau Irwan letakkan sekali. Jadi senang orang mahu beribadah. Lagi pun Scotland ni sejuk. Mahu solat tempat terbuka, menggigil dibuatnya.”
“Bila solat terjaga, Insyallah akan pelihara trip kita sentiasa.”
“Lagi pun kita ini yang buat trip untuk orang lain. Memang berjalan ini Tuhan suka, tapi kalau kita mahu tambah berkat, bawalah mereka ke tempat ibadat.”
Aku cuma hangguk setuju. Masa itu kepala aku flashback, berapa banyak trip yang telah aku sudah buat. Tanpa ke masjid.
“Dan setiap kali selesai solat, sebelum balik jangan lupa kita masukkan sedekah ke dalam tabung masjid. Mana tahu, masjid ini akan memujuk-mujuk hati supaya datang lagi.” Tuan Haji cuma tersenyum.
Itulah titik perubahan aku dalam mengendalikan trip. Ia bukan hanya keseronokan, tetapi ada banyak pelajaran.
Bermusafiran untuk mencari keberkatan.
Bermusafiran mahu menambah kebaikan.
Bermusafiran memohon segala perlindungan.
Dan setiap titik pertemuan dalam perjalanan ini Tuhan payungi dengan penuh ihsan, supaya apa yang kita buat menjadi lebih baik dalam kehidupan.
Memang benar, jika kita mahu mengenali seseorang, bawalah dia bermusafir. Warna sebenar seorang insan memang jelas kita tafsirkan sepanjang perjalanan.
Aku masih lagi berhubungan dengan Tuan Haji. Hargai sangat kehadirannya ke Scotland. Dan dia nantikan juga kunjungan aku kembali ke Malaysia.
People who travel together, stay together. Carilah teman yang sama-sama mencari hikmah dalam pemusafiran. Tidak kiralah dengan siapa, niat mahu menikmati alam dengan rasa tunduk kesyukuran.
Doa orang yang bermusafir diangkat ke atas dan dipeluk Tuhan.
.
Catatan kembara
Irwan Dahnil
Bila Hati Diketuk Lagi
Glasgow, Scotland