Ebook Akan Menggantikan Buku Bercetak Sedikit Masa Lagi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Para Pembaca Budiman,

Minggu lalu salah seorang penulis yang terkenal dengan karya untuk kanak-kanak menyatakan kebimbangan beliau dengan perkembangan ebook.  Beliau merasakan masih belum bersedia untuk apa-apa menghadapi vortek / gelombang ebook. Ini tentunya akan mengancam jualan buku-buku bercetak apabila ebook mula diterima oleh masyarakat bagi menggantikan buku fizikal.

Memang ada asas kebimbangan beliau. Jika kita hanya melihat fakta-fakta jualan oleh Amazon, memang sudah kelihatan trendnya :

  • Sehingga tahun 2011, pertumbuhan jualan Amazon adalah yang terbaik dalam masa 10 tahun disokong oleh jualan buku pelbagai format (digital dan bercetak).
  • Dalam masa 5 minggu sejak diperkenalkan, Kindle yang berharga USD114 mencatatkan jualan terbaik bagi Amazon!
  • Amazon telah menjual 3 kali ganda ebook berbanding tahun 2010
  • Kurang dari 1 tahun diperkenalkan, Amazon menjual lebih banyak ebook berbanding buku bercetak. Sejal April 2011, nisbah pembeli ebook berbanding pembeli buku bercetak adalah 2:1.
  • Setiap 100 buku bercetak yang dijual, ebook telah terjual 105!

Ini bermakna jualan ebook telah melebihi jumlah jualan buku bercetak.

Bagaimana dengan nasib buku bercetak selepas ini? Sebelum ini, industri muzik telah melalui vorteks ini melalui model bisnes iTune. Tetapi untuk industri buku ditransformasikan, tidaklah semudah itu. Ia akan mengambil sekurang-kurangnya 2 fasa kritikal :

1. Mewujudkan Pasaran : Mengubah pasaran supaya pelanggan bersedia untuk untuk membelanjakan wang untuk ebook. Sudah ada permintaan, tetapi tidak agresif. Pelanggan masih lagi perlu dididik dan digalakkan untuk adaptasi teknologi. Buat masa sekarang mungkin harga teknologi seperti Kindle, iPad, Nook adalah mahal, tetapi teknolgi akan turun harganya bila industri sampai ke tahap ekonomi berskala. Harga akan turun!

2. Perubahan Permainan : Bila peraturan, kaedah, langkah-langkah, cara dan piawaiannya telah ditetapkan. Buat masa sekarang, belum lagi. Amazon masih dengan Kindle, Apple masih dengan iBook, Barnes& Noble masih dengan Nook. Masih belum ada keseragaman dan kompatibiliti. Cara masing-masing. Masih ingat apa yang dilakukan Apple kepada industri muzik sebelum ini? Melalui iTune, Apple telah melakukan proses perubahan permainan.

  • Boleh memilih lagu yang dibeli (bukan album/CD)
  • Boleh menyusun lagu mengikut susunan kegemaran
  • Tidak perlu membawa seluruh CD/album. Cukup dengan lagu selektif

Ketika ini permainan ebook ini masih belum diubah secara universal oleh mana-mana pihak. Saya tertanya-tanya siapa akan menjadi jaguh nanti. Jika lihat ke hadapan, bukan hanya muzik dan buku tetapi pelbagai lagi media kandungan yang sedang dihambat ancaman digital. Akhbar bercetak sudah banyak yang gulung tikar. Majalah juga menerima kesan yang sama. Sekarang ini, radio dan televisyen pula.

Vorteks ini akan berlaku. Gelombang digital akan mengambil tempat. Berapa lama ia akan berlaku di Malaysia ? Saya jangkakan tidak lama. Pemain industri di luar Malaysia sedang sibuk mencari keserasian teknologi. Dan ia sedang berlaku dengan agresif sekarang ini. Bila ini berlaku, Malaysia sebagai sebuah negara yang sering mengadaptasi teknologi, juga akan menerima gelombang ini.

Dan melalui pengamatan, bila gelombang ini berlaku, ia sangat kuat, tidak tertahankan. Seperti apa yang berlaku dengan penerimaan Facebook di Malaysia. Ia ibarat tsunami yang mengubah lanskap dan muka bumi industri buku. Hanya ada dua golongan, yang selamat dan yang terkubur.

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

This Post Has One Comment

  1. Best Sham

    salam tuan irwan dahnil, betul kata-kata tuan tu… bila tuan nak keluarkan ebook baru untuk usahawan usahawan di malaysia.

Leave a Reply