Hero Kalah Dahulu : Bermain Sehingga Detik Penamat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Catatan kali ini merupakan catatan terakhir 2012. Ia akan diakhiri dengan nota yang agak ‘suram’ mengenai ‘pencapaian’ blog ini sepanjang tahun. Hanya 3 post sahaja sempat saya catatkan! Sungguh pun begitu, ia telah dijangka. Dengan komitmen terhadap perundingan, latihan, kuliah dan penyelidikan saya terpaksa korbankan masa untuk menulis di blog.

Bertanya kembali pada diri sendiri adakah saya rasa sedih dengan pencapaian suram itu. Saya jawab, “Tidak”.

Dalam apa jua bidang, sesuatu matlamat mesti mempunyai jangkamasa untuk dicapai. Seperti juga dalam permainan, pemenang ditentukan dalam suatu jangkamasa pertandingan. Contohnya seperti permainan bolasepak yang dimainkan selama 90 minit.

Jika anda pengikut bolasepak (seperti saya) tentu anda pernah mendengar perkataan last-minute goal.

Last minute goal biasanya menentukan siapa juara dalam pertandingan. Statistik menunjukkan, pasukan yang komited sehingga ke minit terakhir perlawanan akan muncul sebagai pemenang dengan jaringan last minute goal. Ini bukan saya reka, tetapi statistik menunjukkan kejuaraan besar bolasepak ditentukan sehingga minit terakhir pertandingan.

EUFA Champions League Final 26 Mei 1999
Manchester United vs Bayern Munich

Manchester United menjaringkan 2 gol pada minit terakhir (minit 90:36 dan 92:17) ketika Bayern mendahului 1-0. United merupakan juara treble (3 piala) pada musim tersebut. Pencapaian gemilang.

FA Cup Final 12 Mei 1979
Arsenal vs. Manchester United

Perlawanan ini dikenali sebagai “the five-minute final”, Arsenal mendahului United 2–0 apabila perlawanan berbaki 5 minit. Tetapi United membalas dengan 2 jaringan dal am masa 2 minit. Seminit kemudian, Arsenal memadamkan impian United dengan jaringan kemenangan semi nit kemudian. Semua 3 gol dal am masa 5 minit terakhir perlawanan!

Barclay Premier League 26 Disember 2012
Manchester United vs Newcastle

United selagi lagi memenangi perlawanan dengan jaringan minit ke 90 Javier Hernandez menentang Newcastle United. Ini membuktikan Manchester United adalah ‘King of Comeback’ setelah beberapa kali ketinggalan gol.

Ini bukan kebetulan. Ini menunjukkan pasukan yang terbaik bermain dan berjuang dalam masa 90 minit sepenuhnya. Setiap minit dan setiap saat dikira. Walau ketinggalan beberapa gol, mereka masih optimis untuk memenangi perlawanan.

Refleksi diri :

Berapa ramai yang kita berputus asa selepas hanya beberapa bulan mencuba ?

Berapa ramai dari kita tidak mahu lagi mengejar matlamat kerana matlamat itu dirasakan terlalu besar ?

Berapa ramai dari kita yang tidak berusaha sehingga detik penamat dan menyalahkan masa yang terlalu pendek ?

Sama seperti apa jua matlamat yang kita tetapkan saban tahun. Kita sentiasa mempunyai jangkamasa matlamat yang kita tetapkan. Tidak separuh jalan, kita akan terus bermain sehingga detik penamat. Jika matlamat itu ibarat permainan bolasepak, gol yang kita mahukan adalah kejayaan yang dikecapi dipenghujung masa. Ia kemenangan muktamad!

Mungkin ungkapan “Hero kalah dahulu…” memang sangat relevan dengan pencapaian mereka yang sangat konsisten dalam jangkamasa panjang untuk mencapai sesuatu. Istiqamah, biar lewat asalkan menang!

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply