Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Beberapa bulan saya tidak mencatatkan sesuatu. Mohon maaf kepada pembaca setia, kesibukan dan tanggungjawab menyebabkan saya tidak dapat mencoretkan sesuatu disini. Saya dalam misi pencarian ilmu yang tidak berkesudahan 🙂
Saya mengendalikan beberapa kursus keusahawanan beberapa minggu lalu khusus untuk pelajar dan juga lepasan universiti. Mereka muda belia belaka, maka suasana sepanjang kursus tidak sunyi dari gelak ketawa dan juga suasana yang menghiburkan. Satu perkara yang saya suka adalah ‘energy dan vibes’ mereka. Sunggu bersemangat, ide mereka memang segar.
Memang suatu kelebihan jika mula berniaga dari awal. Usahawan akan gagal dan bangkit semula. Proses ini berulang-ulang. Bermula awal bermakna usahawan mempunyai masa untuk bangkit semula ketika masih muda.
Proses yang saya panggil ‘cuba-gagal-cuba-jaya’ ini sebenarnya yang menjadikan bisnes berjaya. Setiap kali gagal ada elemen yang kita pelajari. Terdapat sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita pelajari apabila kegagalan berlaku iaitu ilmu meningkat, pengalaman bertambah, modal terkumpul, jaringan kenalan bertambah luas dan minat semakin mendalam.
Untuk usahawan muda, kebanyakkannya hanya mempunyai satu elemen sahaja iaitu MINAT. Empat elemen yang lain memang tiada atau sangat kurang. Kerana ini bisnes sering tidak menjadi seperti yang diharapkan…
Jika anda kenal Arnold Schwarzenegger..
Beliau menetapkan matlamat untuk menjadi Mr. Universe pada usia 15 tahun. Beliau mencapai matlamat tersebut ketika usia 20 tahun bahkan berjaya menjadi Mr. Olympia sebanyak 7 kali!
Seterusnya beliau menjadi pelakon dalam siri aksi seperti The Terminator dan Conan The Barbarian.
Sekarang beliau merupakan Gabenor California di USA!
Itu merupakan cerita gemilang.
Sebaliknya, Colonel Sanders pula memulakan perniagaan memasak ayam pada usia 40 tahun. Pada usia 65 tahun, perniagaan merosot sehingga beliau menjual perniagaannya untuk diselamatkan. Ketika itu, beliau hanya mempunyai USD105 yang diambil dari akaun sekuriti sosial. Sungguhpun begitu, KFC kekal sehingga sekarang kerana pertolongan orang.
Apa kelebihan Arnold berbanding Sanders dalam perniagaan ?
Kerana Arnold bermula awal, beliau telah meneroka lebih jauh dari apa yang beliau jangkakan. Dari sukan bina badan, menjadi bintang filem sehingga terjun dalam bidang politik. Itu satu pencapaian yang luar biasa!
Bagi Sanders pula, tiada pilihan yang banyak. Ketika berusia 65 tahun, bukan mudah untuk mencari franchisee yang boleh menjayakan semula KFC. Beliau sebenarnya lebih bernasib baik kerana punya pengalaman hidup yang lebih panjang. Di usia yang tua, tidak banyak pilihan bisnes yang ada apabila badan sakit-sakit dan tidak ‘setajam’ ketika muda. Sanders meninggal dunia ketika usia 90 tahun.
Mengapa Arnold lebih berjaya ?
Arnold melalui ‘cuba-gagal-cuba-jaya’ yang lebih panjang berbanding Sanders!
Kerana itu Arnold lebih berjaya. Setiap kegagalan yang Arnold alami menjadikan beliau lebih baik, ilmu dan pengalaman beliau bertambah, kenalan semakin ramai, dan modal juga bertambah. (Arnold juga salah seorang pengasas kepada Planet Hollywood!).
Saya boleh simpulkan, memulakan perniagaan ketika usia muda memang lebih banyak kelebihan. Bermula awal bererti kita menjadi lebih bertanggungjawab (secara lebih luar biasa) dan kematangan terbina. Minda terasah menjadi lebih tajam.
Apa yang memotivasikan saya, di akhir kursus tersebut peserta yang muda-muda belaka berkata kepada saya,
‘Kami memilih untuk melalui proses yang lebih panjang, kerana hanya dengan itu kami menjadi lebih berjaya!”…
Saya mengakhiri kursus saya dengan perasaan yang lega dan penuh kepuasan..