Catatan untuk orang (lebih) muda.
Bila orang cakap mereka merantau sampai jauh ke hujung dunia, kau cepat terloncat suka sangat. Sebenarnya untuk mula ubah kehidupan, tidak perlu sampai ke UK. Sudah cukup dengan kau ‘tunjuk jantan’ melangkah keluar dari zon selesa.
.
Aku pun merantau sedikit-sedikit. Dulu pindah dari rumah Ibu ke rumah sewa di Kajang. Setahun kemudian berpindah ke rumah sendiri di Puchong. Kemudian berpindah ke Kota Kinabalu.
.
Aku belajar berdikari dulu. Mengurus keperluan keluarga, bayar bil api air internet. Belajar bayar cukai. Belajar mengurus membesar anak sendiri. Mula miliki aset, urus belanja.
Belajar urus atap rumah bocor atau longkang tersumbat. Urus kereta rosak dan hantar servis. Ini semua kau kena buat sendiri, supaya kau jangan lemas tinggal bawah ketiak emak.
.
Cuba tengok mampu ke tidak bayar prepaid handphone tiap bulan, bayar belanja minyak kereta tol dan hidup dalam budaya orang lain. Jangan lupa hantar duit ke kampung.
Barulah kau sedar, merantau ini bukan hanya untuk berseronok sahaja. Kalau memulakan hidup pun kau rasa susah, merantau itu mungkin akan jadi lebih parah.
.
Cantikkan aturan Tuhan? Beri kita sedikit demi sedikit. One at a time. Supaya kita tidak ‘tersedak’ ikut jiwa muda mahu cepat saja. Dia tidak mungkin beri ujian seketul yang buat kita tidak mampu bangun. Tuhan mahu jaga hati ibu kau dik. Supaya dia tidak terluka, kau merantau dengan tiba-tiba.
.
Asas untuk merantau ini adalah BELAJAR untuk menjalani kehidupan sendiri. Kepandaian survival ini tidak diwarisi dari ibubapa atau saudara. Proses belajar ambil masa. Aku ambil masa dari bujang sampai anak tiga. Tapi aku steady dik. Sepanjang kesusahan itu, isteri aku cuma satu.
.
Belajar benda yang kecil-kecil. Buat satu-satu. Semakin banyak kita belajar, semakin jauh kita dapat melihat horizon dunia. Rama-rama yang cantik itu keluar dari kepompongnya secara perlahan-lahan. Bukan secara tiba-tiba. Matang bila tiba masa.
.
Kalau tidak nampak cara untuk sampai ke UK, bererti Dia suruh tengok tempat yang kau mampu. Supaya kau berfikir. Supaya kau belajar. Sabar. Masa kau akan sampai juga Dik.
Baik kan Tuhan pada kita ?
Catatan Kembara
Irwan Dahnil
Abang Jiwa Tisu
Glasgow, Scotland