Adakah Anda Usahawan Itu?

Salam Sejahtera,

Memulakan sesuatu perniagaan atau memiliki sesuatu perniagaan bukan perkara kecil. Ia memerlukan pandangan yang berwawasan dan perancangan yang teliti untuk mengubah kehidupan dari makan gaji ke menggaji diri sendiri. Sebelum anda boleh mengarahkan orang tentang apa yang perlu dilakukan, anda hendaklah menilai diri sendiri apa yang anda TAHU dan MAHIR lakukan. Pilih perniagaan yang sesuai dengan kebolehan anda sendiri.

Perniagaan Menuntut Pengorbanan. Adakah anda bersedia?

Saya rasa bersyukur kerana memulakan perniagaan di kala usia saya masih muda lebih kurang setahun lepas tamat pengajian. Jadi saya tidak terasa banyak tekanan apabila memulakan perniagaan untuk berubah dari makan gaji ke perniagaan sendiri. Maklumlah, dah biasa dengan ‘tiada duit’, menjadikan saya lebih matang dalam berbelanja dan merancang perniagaan saya.

Dalam menilai diri sendiri, kita perlu memahami beberapa kunci penting dalam menjadi seorang usahawan. Motivasi diri biasanya berada di tempat teratas. Kita perlu mencari
sesuatu perniagaan yang kita SUKA dan mempunyai OBSESI terhadap bidang tersebut. Jangan buat bidang yang anda tidak suka. Anda yang menentukan apa yang anda mahu niagakan, jadi mengapa pilih perniagaan yang anda kurang gemar berbanding bidang yang anda rasa seronok, teruja dan sentiasa termotivasi untuk melakukannya? Biarkan apa orang kata dengan obsessi perniagaan anda. Lagipun anda yang akan berhempas pulak untuk berniaga, bukan mereka!

Sebagai usahawan, kita perlu menjadi lebih komited dengan apa yang kita lakukan. Biasanya, pada awal memulakan perniagaan memerlukan komitmen sepenuhnya dengan ganjaran kewangan yang sedikit. Satu lagi perkara yang perlu diingat, apabila kita memulakan perniagaan, kita perlu belajar untuk menanggung tanggungjawab dan mengawal keadaan. Kita tidak menerima arahan dari sesiapa, malah kakitangan kita yang akan meminta dari arahan dari kita. Kita yang akan bertanggungjawab dengan setiap keputusan yang telah kita ambil, sama ada memberi kesan baik atau buruk kepada perniagaan.

Saya seringkali bertanya kepada diri saya 10 soalan ini apabila saya mahu memulakan suatu perniagaan baru :

1. Adakah saya cukup rajin dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan perniagaan saya suatu yang berjaya? Atau sekarang hangat2 tahi ayam?

2. Adakah saya betul2 komited untuk menjadi boss kepada diri sendiri?

3. Adakah saya seorang yang bermotivasi tinggi dan boleh bekerja dibawah tekanan dan cabaran baru?

4. Bolehkah saya menyusun hidup saya dengan baik secara efisien, produktif dan menguntungkan? Tidak guna juga kalau untung tetapi diri sendiri asyik jatuh sakit..

5. Adakah anda bersedia untuk menghadapi keadaan yang mengecewakan apabila apa yang dirancang tidak menjadi?

6. Bolehkah saya membuat keputusan yang tegas dan sanggup menerima walau apa kesannya?

7. Adakah saya bersedia belajar dari kesilapan dan memastikan ia tidak berulang lagi?

8. Adakah saya mempunyai sebarang pengalaman dalam menceburi perniagaan yang saya pilih?

9. Sudahkah saya membuat kajian dan siasatan terhadap potensi pasaran saya untuk memastikan saya berjaya dan tidak hanya syok sendiri?

10. Adakah keluarga dan mereka yang tersayang berada di belakang anda dan akan menyokong anda dan sanggup berkorban?

Sekiranya, jawapan anda adalah YA, anda berada di landasan yang betul untuk memulakan perniagaan anda sendiri.

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply