Salam Sejahtera,
Seminggu dua ni, cerita pelaburan internet masih belum2 padam. Sejak Majlis Fatwa mengeluarkan hukum ke atas pelaburan internet, nampaknya semakin ramai orang mula memperkatakannya. Baik orang politik atau pun media mula memberi perhatian khas atas pelaburan2 ini.
Terkini, Suruhanjaya Sekuriti melalui laman webnya (www.sc.com.my) telah menyenaraikan 43 laman web yang terlibat dalam pelaburan internet ( setahu saya lebih dari 43 laman web yang ada ) dan juga 17 syarikat yang terlibat.
Bukan untuk berdebat tentang halal haram, tetapi laman web dan syarikat tersebut telah menjalankan aktiviti pelaburan yang mencurigakan, tidak berlesan, melanggar undang-undang dan mengutip deposit secara tidak sah.
” KUALA LUMPUR 18 April – Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyenaraikan 43 laman web dan 17 syarikat pengantara pasaran modal pelaburan Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda dalam Senarai Amaran untuk dijauhi orang ramai.
Ini kerana, laman-laman web tersebut dan syarikat terlibat menjadi pengantara pasaran modal menjalankan aktiviti pelaburan mencurigakan, tidak berlesen, melanggar undang- undang dan mengutip deposit secara haram.
Semua aktiviti dijalankan oleh 60 laman web dan syarikat itu dianggarkan melibatkan 500,000 pelabur tempatan dengan nilai pelaburan tidak kurang RM1 bilion iaitu transaksi hampir keseluruhannya dalam dolar Amerika (USD).
Menurut laman web rasmi SC (sc.com.my), skim itu antara skim itu ialah SwissCash atau Swiss Mutual Fund (swisscash.com, swisscash.biz, swisscash.net); Buy-e-barrel (buyebarrel.us, buyebarrael.com); Al-Arabic Fund (al-arabic.com) dan ABB Fund (abbfund. com).
Bagi skim yang kononnya berpangkalan di Dubai, Cambridge Capital Trading (cambridgecapitaltrading.com, dubaiex.com), SC telah pun mengeluarkan kenyataan pada 26 Februari lalu berhubung tindakan pembekuan dua akaun bank berjumlah RM1.6 juta kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan.
SC pada 5 September 2006 juga mengeluarkan kenyataan bersama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai skim pelaburan SwissCash yang mencurigakan, tidak berlesen dan mengutip deposit haram.
Laman web SC juga menyediakan kemudahan menyemak status laman web atau syarikat pengantara pasaran modal lain menerusi enjin pencari: www.sc.com.my/eng/html/licensing/ fr_lic_ELA. html.
Sambutan
Hasilnya, pelaburan I Love U For Ever (iluf.biz) yang mendapat sambutan hangat orang ramai ketika ini juga merupakan bakal disenaraikan dalam Senarai Amaran kerana sebab-sebab yang sama.Antara syarikat atau skim pengantara pasaran modal yang termasuk dalam Senarai Amaran SC ialah Jai Network Sdn. Bhd., Matrix Cash, Hibah Fund, CB.IRAQ, Capital Glory Holdings Ltd, Duit Wayang, GC Group Asset Management, Ocean Balance Ltd dan 3A Consulting Group Sdn. Bhd.
SC meminta orang ramai yang ingin meminta penjelasan atau membuat aduan supaya menghubungi 03-62048999 atau e-mel aduan@seccom.com.my.
‘‘Orang ramai yang mengenal pasti dan mengetahui sesuatu laman web yang mencurigakan bolehlah menghantar e-mel kepada kami atau sebarang maklumat di Internet berkaitan pelaburan dan perkhidmatan boleh disalurkan kepada SC,’’ jelas SC dalam laman web itu.
‘‘Melesenkan semua pengantara pasaran modal ialah satu daripada langkah diambil SC untuk memenuhi tanggungjawab berkenaan dan dengan itu, undang-undang sekuriti mewajibkan semua orang yang mengendalikan aktiviti (pasaran modal dan pelaburan) mestilah dilesenkan oleh SC.
‘‘Amat penting kepada para pelabur untuk melabur hanya dengan pihak-pihak yang berlesen dan dilindungi mengikut undang-undang sekuriti,’’ katanya.
Laman web itu seterusnya menyatakan, SC memberi peringatan dan amaran kepada orang ramai mengenai pihak-pihak tertentu yang menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan berkemungkinan besar berunsur penipuan.
Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam persidangan ke-77 di Kuala Terengganu membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.
Pada 14 April pula, Utusan Malaysia mendedahkan bahawa skim-skim pelaburan dalam saham Internet menyerupai skim cepat kaya itu sebenarnya didalangi rakyat tempatan sendiri yang mengaburi mata rakyat dengan imej laman web kononnya beroperasi dari luar negara khususnya Amerika Syarikat.
Dalang-dalang terbabit membuka sesuatu laman web dan kemudian membuka yang baru apabila web terdahulu sudah mencapai tahap tepu dan tidak terkawal.
Penyiasatan Utusan Malaysia itu membongkar fakta bahawa 80 hingga 98 peratus pelabur dalam laman web skim-skim saham ini adalah rakyat Malaysia walaupun ia kononnya global dan diiktiraf dunia.”