Salam Sejahtera,
Tentunya ramai yang telah kembali dari cuti. Minggu lalu ramai yang mengambil cuti mungkin kembali ke kampung bersempena dengan cuti sekolah.
Pernahkah anda mengalami keadaan di mana segala usaha anda dipandang rendah, diperkecilkan dan diperlekehkan oleh orang di sekeliling anda? Pernahkah anda merasa lebih ramai orang yang mengkritik dan meng’condemn’ anda dari mereka yang menyokong dan memberi pandangan positif terhadap usaha perniagaan anda?
Ayat-ayat seperti ” Alah.. berangan ko je lebih, buat tak tentu lagi… ” atau “Idea ko ni tak boleh pakai lah.. ko ingat senang ke nak berniaga ? ” memang selalu kita dengar. Lebih-lebih lagi kita baru berjinak-jinak dengan perniagaan.
Ketika saya mengambil keputusan untuk meninggalkan RHB Bank dahulu, dan memulakan perniagaan saya sendiri, tentangan yang datang sangat hebat. Tentangan yang kuat tentunya datang dari keluarga sendiri. Saya sendiri tahu bahawa mereka bimbangkan tentang masa depan saya, lebih-lebih lagi mereka tidak pasti keupayaan saya untuk melaksanakan perniagaan sendiri. Meninggalkan kerja makan gaji dan pendapatan yang agak lumayan ketika itu bagi mereka, merupakan kesilapan yang terbesar yang saya lakukan untuk membuat sesuatu yang belum pasti. Tambahan pula ketika itu, negara masih lagi mengalami keperitan melalui keadaan ekonomi yang suram dan masalah kewangan yang teruk akibat spekulasi .
Tapi saya buat juga. Idea gila yang orang kata tak boleh pakai saya lakukan jua. Pedulikan mereka…
Saya ambil kata-kata yang positif. Kata-kata yang negatif dan boleh melemahkan, saya tinggalkan di belakang. Saya tidak peduli bahkan kata-kata itulah yang menjadi perangsang kepada saya untuk lebih berjaya. Setiap hari saya bertanya diri saya, adakah apa yang saya lakukan salah? Tentu sekali tidak… Bahkan, semakin kuat azam saya untuk terjun ke dunia perniagaan.
“Inilah yang aku ingin lakukan… This is my passion, this is my dream. To create my destiny with my very own hand..”
Hati saya tekad, hati saya bulat ketika itu. Apa yang akan terjadi, tetap akan terjadi. Baik atau buruk, secara mentalnya saya telah bersedia.
Di sinilah saya sekarang. Menghampiri ke tahun ke tujuh, segala perit dan kesusahan dahulu saya berjaya lalui dan saya akan terus lalui. Pengalaman jatuh-bangun-semula dalam perniagaan telah sebati dalam hidup saya. Saya tidak pernah menyesal, jauh sekali untuk berpatah balik.
Perkara yang tidak pernah saya sesalkan. Saya 100% menentukan apa yang saya mahu, saya tetapkan apa matlamat kerjaya saya. Saya tebus masa lampau saya dengan kebebasan dalam menentukan haluan hidup saya. Biarlah apa orang lain kata, saya tidak kisah. Teruskan lah berkata-kata, kerana kata-kata sahaja tidak mungkin menggugat jiwa dan semangat saya sebagai seorang usahawan yang akan terus survive dalam mengharungi cabaran sepanjang jalan.
Tidak mungkin saya akan rasa sakit hati terhadap orang yang merendah-rendahkan usaha saya. Mendendami mereka juga bukanlah cara saya. Saya akur, manusia mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza-beza mengenai kehidupan. Hakikatnya, kehidupan seseorang tidak pernah dan akan sama dengan orang yang lain.
Maka benarlah kata sahabat saya, “Perniagaan ini kekayaan adalah perkara kedua, perniagaan adalah survival”ÂÂ
Teruskan kehidupan anda. Kehidupan yang menunggu adalah masa depan. Tinggalkan kata-kata mereka di belakang.
Apakah kata-kata orang sekeliling anda yang paling pedih anda pernah dengar dan hampir menggugah semangat anda sebagai usahawan ?