Impian Ramadhan Terbaik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini 1 Ramadhan bersamaan 1 Ogos 2011. Tidak pernah sejak wujudnya blog irwandahnil.com ini, saya mencatat sesuatu pada hari pertama Ramadhan. Walau bagaimanapun, saya rasa tidak pernah terlepas untuk mencatatkan sesuatu disini. Ada sahaja yang menarik pada perspektif saya :

http://www.projektourleader.com/id/2009/08/26/belian-emosi-badan-merana/

http://www.projektourleader.com/id/2008/09/01/juadah-berbuka-puasa/

http://www.projektourleader.com/id/2007/09/13/pengalaman-berniaga-ramadhan-soho-baru/

Syukur, tahun ini saya dapat membuat catatan pada malam Ramadhan yang pertama. Selepas pulang dari solat terawih, punya sedikit masa untuk mengusik blog ini. Sedikit berbeza, tetapi signifikan 🙂

Sejak tahun lalu, saya sebenarnya rasa sedikit ‘tenang’. Mungkin setelah 12 tahun berbisnes,bermula tahun lepas saya benar-benar ‘melepaskan lelah’, tidak mengusahakan sesuatu yang signifikan untuk perniagaan. Walau saya masih menulis beberapa bab untuk buku-buku perniagaan untuk terbitan akan datang, tetapi perasaan sebagai usahawan berbeza sama sekali.

Dalam saya ingin terus berbisnes, saya mula mencari jalan yang berbeza. Benar, wang juga adalah motif berniaga, tetapi saya mahukan yang lain. Bukan lagi wang semata. Bukan lagi kepuasan peribadi. Bukan lagi kemahsyuran,bukan lagi pengiktirafan. Sudah-sudah dengan kata-kata orang lain yang menyatakan kehebatan. Semua telah saya kecapi.

Saya banyak melakukan kesalahan dan kesilapan sepanjang bergelar usahawan. Bila saya menoleh ke belakang, saya akan rasa malu, menyesal. Saya insan yang lemah, ada masanya, saya juga pernah dikaburi oleh wang ringgit dan kuasa. Saya malu untuk mengangkat muka. Kesalahan yang bukan saya berbangga untuk menyatakannya.

Memang saya ‘sesat’. Tetapi, jika bukan wang dan kepuasan, maka apalagi yang dicari dengan bisnes?

Jawapan buat masa sekarang : ENTAH! Saya cuma mahu mencari sesuatu yang lebih hakiki. Bagaimana dan bila, saya tidak pasti.

Tetapi saya yakin!

Contohnya, blog ini juga telah mencapai usia 5 tahun sejak tahun 2006. Alhamdulillah, sejak awal blog ini bukan bermotifkan duit. Ia kekal dari dahulu sebagai wadah untuk saya mencatatkan sesuatu. Jika ia dibaca dan memberi manfaat kepada orang lain, alhamdulillah mengharapkan saham akhirat juga saya. Tetapi jika tidak dibaca, tidak menguntungkan pada pandangan orang lain itu tidak menjadi nanah kepada saya. Kerana pada awalnya, telah saya tetapkan matlamatnya.

” Tahun ini saya mengharapkan ihsan dan berkat Ramadhan. Tunjukkan, berikan sedikit hidayah, jalan yang lurus, cahaya yang terang untuk saya teruskan perjuangan. Izinkan saya menyumbang dalam bidang bisnes dan keusahawanan mengikut jalan yang telah ditentukan. Mohon dibuangkan rasa keraguan dan was-was. Dibersihkan sumber keuntungan agar hanya yang halal dan berkat sahaja yang tinggal untuk dinikmati. Moga ada ruang untuk limpahan rezeki untuk insan lain agar turun merasa berkatnya. “

Biarlah sedikit, kecil, tidak kelihatan, tetapi berkesan. Doakan saya.

Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf diatas dosa yang saya lakukan. Memang banyak yang buruk dari baiknya. Moga Ramadhan tahun ini Ramadhan yang terbaik juga buat pembaca sekalian. Andai kata Ramadhan ini yang terakhir untuk kita, doakan agar ia Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui.  Amin!

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply