You are currently viewing Panduan Pilih Houseboat Kashmir

Panduan Pilih Houseboat Kashmir

Orang kata memang tak lengkap kembara tanpa menginap di houseboat Kashmir.

1. Mulanya aku ingat ia macam rumah atas bot. Tetapi tidak seperti namanya, houseboat ini tidak berlayar. Ia adalah rumah penginapan dan hotel.

2. Houseboat ini berada di Dal Lake dan Nigeen Lake. Diapit oleh pergunungan bersalji, mudah sekali aku rasa jatuh hati pada pemandangan indah disini. Tenang.

3. Keadaan tasik yang tenang dan tidak berombak menjadikan houseboat ini tidak terkoleng. Tidak terasa ia terhayun, ia steady dan stabil.

4. Pemerintah Kashmir tidak membenarkan orang asing membeli tanah dan buat rumah, sejak awal kurun ke 19, orang Eropah mula buat rumah atas tasik. Bijak kan?

Banyak houseboat dinamakan dengan nama negara, contohnya Switzerland Houseboat. Sebab orang Swiss dulu yang buat unit tu.

5. Houseboat ini berada di tasik, bererti perlu naik shikara (bot kecil) tidak jauh dari jeti. Biasanya caj shikara ini sudah termasuk dalam bayaran houseboat.

6. Houseboat aku mempunyai 4 bilik dan boleh memuatkan sekitar 12 orang. 3 bilik di bawah, satu bilik di atas. Juga terdapat ruang tamu yang cantik dan ruang dapur. Setiap bilik mempunyai bilik air sendiri.

7. Houseboat tempat aku menginap ini dibina dengan kayu cedar yang tahan bertahun walau pun berada dalam air. Di dalam houseboat ada panel kayu walnut dan perabot dibuat dari kayu yang diukir.

Ruang paling grand adalah ruang tamu, yang dihias cantik, apabila dibuka pintu utama maka akan tersergam kelihatan pergunungan di depan.

Spektakular!

8. Makan malam dan breakfast disediakan di kebanyakan houseboat. Jadi tidak perlu susah-susah nak keluar cari makan.

9. Bagaimana mahu pilih houseboat terbaik?

Yang ini subjektif sikit. Ada yang berada dekat dengan floating market, tapi tiada view. Ada yang ada depan gunung, tapi jauh dari jeti. Untuk aku, lebih utamakan kualiti servis.

10. Houseboat ini boleh di tempah secara online. Tapi aku skeptikal sikit. Umumnya, apa yang diiklan dalam website tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Jauhhhhh sangat gambar dan realiti.

Kedudukan houseboat ini kadang tidak mengadap pergunungan tetapi berada di bahagian tepi houseboat orang.

11. Seperti hotel, houseboat ini juga ada juga kelas ekonomi dan premium. Harga berbeza, tapi mempunyai ciri-ciri yang sama.

Pengkelasan Houseboat.

Houseboat Standar Srinagar: Kemudahan pada harga yang sederhana. Ini macam basic. Macam Budget Houseboat, harga murah, tapi faham-faham je lah.

Houseboat Deluxe Srinagar : Kemudahan yang lebih baik pada harga yang lebih.

Houseboat Super Deluxe Dal Lake : Terbaik dalam kelas premium. Ruang tamu yang luas, bilik air setiap bilik, air minuman (air jangan minum sembarangan ya), dapur yang moden.

11. Kebanyakan houseboat tidak mempunyai penebat haba yang baik. Ketika kami tiba di Kashmir, jatuh pada hari yang salji turun selebat-lebatnya. Memang terasa sangat sejuknya.

Ada heater, tapi tidak cukup. Syukur ada pad pemanas tilam, kesejukan hari itu masih diakhiri dengan tidur yang nyenyak.

Cuma mungkin terlalu sejuk, aku hanya mampu duduk sebelah heater sahaja sambil mengeringkan seluar yang kebasahan. Kawan-kawan lain senyap dan lena.

12. Houseboat akan dikunjungi oleh jurujual. Macam-macam barang. Souvenir, baju, pashmina, kain dan segala macam. Berbeza dengan keadaan menjual beli yang serabut di kedai, kat sini barang jualan dibawa, dibuka dan dibentang.

Kita yang jarang membeli pun, akhirnya tewas juga. Terbeli juga sebiji dua barang untuk dibawa pulang.

13. Bagi aku pengalaman houseboat, perlu dirasai sendiri. Aku suka.

Masih terbayang cantik pergunungan Pir Panjal ketika pintu houseboat terkuak dibuka. Pemandangan majestik.

Mungkin akan datang lagi. Merasai lagi secebis kecantikan seni kayuan pada binaan unik Kashmir ini.

Satu hari nanti, pada musim cuaca yang lebih panas, mesra dan hangat.

Catatan kembara

Irwan Dahnil

Keychain Kayu Dalam Kenangan

Srinagar, Kashmir

irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply