Di Malaysia, apabila disebut hostel maka akan terbayang penginapan murah, tilam yang nipis, tanpa penghawa dingin, panas, berkuap, kurang selesa dan rendah kualiti perkhidmatan.
Maka ramai yang memilih hotel kerana beranggapan ia lebih privasi dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik. Aku menilai dari pengalaman kembara ke Eropah. Pertama kali aku tiba di Prague, Republic Czech untuk menghadiri persidangan di hotel bertaraf 4 bintang. Ia pengalaman agak mengejutkan. Bukan mewah 4 bintang seperti yang aku bayangkan. Sebaik melangkah ruang lobi hotel, kaunter resepsi cuma panjang sekitar 7 kaki agak biasa sahaja hiasannya. Tiada lampu bergemerlapan, pokok hiasan atau air pancut. Tiada hiasan indah, tiada hiasan dalaman menarik dan jauh benar prestijnya berbanding dengan hotel Malaysia.
Bila masuk ke bilik penginapan pula tiada langsung ciri mewah. Biliknya kecil sekadar muat untuk 2 orang. Set TV bersaiz kecil jauh sekali untuk paparan HD. Pada aku, hotel tersebut hanya layak diberi dua bintang atau 1 bintang sahaja.
Mungkin Prague tidak semaju negara Eropah lain, maka aku beranggapan kualitinya tidak sebaik mana. Tetapi pandangan yang sama juga bila aku ke negara Eropah lain. Di Munich seperti itu juga, malah di Paris lebih sadis bila bangunan lama yang dijadikan hotel tiada lift dan usang.
Menurut sahabat, sistem rating bintang di Eropah tidak sama dengan Malaysia. Maka 4 bintang tidak boleh disamakan dengan 4 bintang di Malaysia. Hotel Eropah bersifat praktikal menggunakan ruang semaksimum mungkin untuk dijadikan bilik atau ruang yang boleh disewakan. Maka ruang yang tidak mendatangkan hasil dikurangkan. 8 dari 10 hotel 3 bintang yang aku pernah kunjungi mempunyai lif yang sangat kecil, sekadar untuk 2 orang bersama 2 beg bersaiz sederhana.
Di Malaysia sesebuah hotel menawarkan pelbagai ruang khusus seperti ruang permainan kanak-kanak kerana mempunyai ruang bangunan yang luas. Sebaliknya di Eropah setiap inci ruang bernilai tinggi, maka sewajarnya mereka memaksimakan penggunaan untuk meningkatkan hasil.
Fakta kualiti hotel Malaysia jauh lebih baik dan baru dari kebanyakan di Eropah. Lebih selesa, lebih bagus penampilannya. Walau bagaimanapun bagi pengembara ke Eropah mungkin di hostel sudah cukup baik berbanding di hotel bagi penjimatan dengan keselesaan.
*Daftar dan jadi ahli Youth Hostels atau Hostel International untuk kelebihan diskaun. Kali terakhir, yuran keahlian RM40 setahun atau RM300 untuk keahlian seumur hidup.
Di Eropah lain pula ceritanya. Hostel bukan seperti yang kita bayangkan. Malah menjadi pilihan kerana 2 sebab utama. Murah dan selesa dibandingkan dengan kos penginapan di hotel yang lebih mahal. Hostel bukan hanya pilihan backpacker, majoriti hostel juga menawarkan bilik untuk keluarga dan kanak-kanak.
Aku sudah beberapa kali duduk di hostel belia ini. Aku boleh simpulkan hostel belia yang berada di negara beriklim sejuk lebih baik dan selesa dari yang kurang sejuk. Aku bandingkan antara hostel aku duduk di Athens dan di Swiss. Memang ada perbezaan dari segi hawa persekitaran. Walau bagaimanapun, tahap kebersihan tetap terbaik.
Hostel belia ini berbeza dari hostel biasa. Ini kerana hostel ini menjadi tempat aktiviti belia. Ketika musim panas contohnya, belia akan tinggal disini untuk menjalani program atau aktiviti tertentu. Kemudahannya juga ada pelbagai. Ada bilik rekreasi, gym, berbasikal dan sebagainya. Ia pilihan yang lebih murah harganya sekitar £20 / EUR25 semalam untuk belia berumur 40 tahun ke bawah. Serius, aku tak pasti sama ada dia terima tetamu tua.
Hostel yang biasa menawarkan bilik 2, 4 dan 6 orang. Ada hostel mengasingkan jantina ada yang tidak. Tandas juga dikongsi bersama dengan kemudahan dapur, ruang rehat dan internet percuma. Kemudahan lain seperti laundry dan juga khidmat pelancongan percuma.
Satu lagi perkara mengenai hostel ini adalah keramahan tetamu dan juga kakitangan. Mungkin disebabkan tempat ini merupakan tempat sosial bagi traveler backpack solo atau kumpulan kecil, mereka lebih ramah menyapa dan berbual-bual. Memang tidak sombong. Aku berani gerenti sesiapa yang duduk di hostel ini biasanya akan mendapat kenalan dan kawan baru dari pelbagai latar belakang. Mereka sama seperti kita, mahu travel dan berjalan. Seronok bila bertukar-tukar pengalaman kembara. Maka tidak hairan, ada yang jatuh cinta dan mengahwini tetamu di hostel belia seperti ini.
Satu lagi yang aku rasa berbeza dengan hostel belia ni adalah dari segi lokasi. Kebanyaka lokasi berada agak sedikit luar dari bandar utama. Berada di luar bandar bererti landskap dan pemandangan desa adalah hidangan mata. Di Lindau, Germany dan Jona, Swiss aku sempat lagi jogging sebab terasa sungguh segar di kawasan luar bandar.
Apa pun, soal penginapan adalah soal pilihan masing-masing. Aku cuma share sahaja kerana aku rasa ini adalah caranya untuk kita berjimat dari membelanjakan duit beribu untuk tempat yang hanya untuk tidur dan tukar baju.
***************************************************************************************************************************
Berikan Sokongan Anda!
Jika anda rasakan kandungan blog ini bermanfaat, follow di Fanpage Safarnama. Jumlah Like yang meningkat, membantu penulis memahami corak pembacaan dan menghasilkan kandungan blog yang relevan dan berguna untuk pembaca. Hanya klik butang LIKE di bawah.
***************************************************************************************************************************
Pingback: Panduan Penginapan London
Salam bro…aku nk ke Amsterdam 9 Sept 2016 ni…ada planning blh jumpa ko
ID : Kat Iceland tarikh tu Lat.. Nanti msg