Saat Melihat Kehidupan Dengan Mata Hati

Lebih sebulan saya tidak menulis di blog. Keutamaan kehidupan saya teralih sedikit apabila saya menetapkan untuk melakukan sesuatu yang berbeza, keluar dari zon selesa setelah lebih 10 tahun dalam perniagaan. Saya tidak berkesempatan untuk menulis, seperti biasa saya lakukan bertahun dahulu. Tekad saya untuk mempelajari ilmu baru tidak pernah padam, justeru saya tinggalkan keselesaan dalam perniaagaan seketika. Saya anggap kealpaan saya untuk menulis di sini sebagai satu pengorbanan untuk mencapai apa yang saya inginkan dalam kehidupan.

Tahun ini saya beraya tanpa kembali ke kampung halaman di Selayang. Syawal tetap dirasakan meriah disambut di Sabah. Dalam keseronokan menyambut Hari Raya, saya mempunyai lebih masa sepanjang Ramadhan untuk menilai diri, muhasabah kehidupan, membetulkan niat dan juga berfikir sedikit jauh dari kebiasaan. Sesuatu yang hanya dapat dilakukan apabila perubahan yang besar berlaku dalam kehidupan.

Kehidupan di Kuala Lumpur memang sibuk, berlalu begitu laju. Kadang-kala belum sempat menghadamkan di hadapan mata, perkara yang lain muncul pula. Kitaran tersebut berlaku berulang kali. Saya sentiasa melihat perkara dengan pandangan mata dan nafsu hingga menjadi lupa, kehidupan itu juga boleh dilihat dari pandangan akal dan hati.

Pandangan akal melihat dengan penuh kajian dan penelitian dengan pemikiran mampu menganalisis. Pandangan akal disokong oleh ilmu sehingga dapat menilai sesuatu perkara tersebut dari segi ketepatan, ketelitian dan elemen yang terperinci.

Tetapi, pandangan mata hati saya kali ini cukup berbeza. Saya tidak begitu taksub dengan perniagaan, tidak begitu gelojoh untuk berdagang. Saya inginkan sesuatu yang berbeza. Pandangan saya turut terbias dengan suatu pandangan yang cukup sukar untuk saya nyatakan secara tepat.

Jika boleh saya ibaratkan kehidupan itu sebagai kuih dan saya melihat kuih tersebut dengan mata hati. Apabila melihat sepotong kuih, saya teringatkan ibu. Terkenangkan kasih-sayang, keprihatinan, ketegasan dalam kelembutan, dan segala yang terbaik darinya. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti bukan sekadar tulang, daging dan urat ibu tetapi kepada yang lebih bermakna, iaitu budi, kasih dan sayangnya.

Begitu juga dengan pandangan saya terhadap kehidupan. Saya mula mencari keredhaan, lebih keberkatan, kesucian dan pencapaian yang lebih unggul. Yang kekal, memberi kebaikan lebih luas. Yang lebih lestari.

Dan pencarian ini masih berterusan….

Saya tanyakan diri sendiri, pandangan mana yang lebih tepat dan murni ? Pandangan mata hati adalah jawapannya.

Di hari yang baik, saya panjatkan doa dari Allah s.w.t agar semua pembaca blog ini sentiasa dilindungi, dirahmati dan diberi keberkatan sebanyak-banyaknya. Moga mendapat pengakhiran yang baik dan tercapai apa yang diimpikan.

Saya dan seluruh keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin!

p/s : Teringat pula ketika kecil selalu membantu ibu membuat kuih samprit! 🙂


irwan.dahnil

ID is a certified tour leader with extensive experience in organizing and leading private trips. A dynamic individual with a multiple of talents, extensive experience, and a broad spectrum of exposure across various industries.

Leave a Reply