Semua bisnes akan mengaku perkhidmatan dan produk mereka terbaik, paling berkualiti dan paling mantap!
“Produk ini terkini dan menggunakan teknologi baru..”
“Kami sedia berkhidmat 24 jam sehari 7 hari seminggu..”
“Pendekatan kami membolehkan anda dapat menjimatkan wang dan masa sebanyak 50%”
Tiada dalam sejarah bisnes akan mengaku jujur kelemahan atau kekurangan bisnes sendiri. Semua akan kata, mereka yang terbaik. Takut jika bersikap jujur, tidak laku pula.
Jadi bagaimana untuk menjadikan cakap atau kata-kata ini dipercayai oleh orang lain (dengan mudah) ?
Ya! Dengan menjadi PAKAR.
Ada beberapa cara untuk menjadi PAKAR dalam bisnes :
1. Membaca BANYAK buku/artikel/majalah mengenai bidang bisnes anda.
Jika anda mahu menjadi pakar pemasaran Facebook, baca banyak buku mengenai bidang tersebut. Jika mahu menjadi pakar kewangan, bacalah buku berkaitan kewangan dan ekonomi.
Berapa banyak buku perlu dibaca ? Sebagai permulaan 20 buku!
Mengapa begitu banyak ? Sebenarnya sedikit sahaja jika dibandingkan jumlah buku yang diperlukan untuk menulis artikel. Ini akan saya terangkan di point nombor 2.
2. Tulis Artikel
“Aisehmen. Kali terakhir saya menulis ketika peperiksaan SPM 1993.. Otak sudah karat..”
Pakar tidak karat otaknya. Menulis menyebabkan otak semakin tajam dan kritis.
Tulislah artikel di majalah atau suratkhabar. Atau sekurang-kurangnya, tulis di blog di internet. Di Facebook ada ruangan Notes untuk membolehkan kita menulis.
Menulis tentu memerlukan idea atau kandungan. Of course! Kerana itu kita perlu lebih banyak membaca. Jika untuk menjadi pakar pada awalnya kita perlu membaca 20 buku, untuk menulis pula kita perlukan input sekurang-kurangnya dari 50 buah buku!
3. Menghasilkan “Panduan Bagaimana…”
Tuliskan sebuah ebook dan edarkan secara percuma.
“Bagaimana menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun”
“Menjadi pelajar cemerlang secara part-time…”
“Menjadi pekerja malas yang disayangi boss..”
Topik mestilah mudah dan relevan. Tidak perlu tebal, cukup sekitar 25 halaman sahaja.
4. Menulis Buku
Adui! Menulis artikel pun terhegeh-hegeh, inikan pula mahu menulis buku.
Cuba satu hari anda pergi ke kedai buku. Kebanyakan orang yang berjaya mempunyai buku sendiri.
Cara shortcut menulis buku : Tuliskan artikel 300 patah perkataan dalam satu bidang yang sama secara konsisten sekali seminggu selama 6 bulan.
Selepas 6 bulan : 4 artikel x 6 bulan = 24 artikel.
Gabungkan artikel tersebut, ubahsuai sedikit.
Wallah! Buku selesai ditulis dalam masa 6 bulan !
5. Sertai Persatuan
Ini cara untuk mendapat network bisnes lebih baik. Selain itu, ini menjadi pengiktirafan sosial penyertaan anda dalam industri. Biasanya persatuan akan diketuai oleh individu berjaya, kaya dan berpengaruh. Dapat juga mengambil gambar bersama mereka.
6. Bercakap!
Anjurkan seminar, bengkel dan program anda sendiri. Biarkan pun secara kecilan. Orang akan memandang orang yang pandai bercakap sebagai orang yang tampan dan cantik!
7. Sijil Profesional
Jika anda pengaturcara, dapatkan sijil profesional seperti dari Microsoft. Jika anda pemilik spa, dapatkan sijil kelayakan dari badan yang berautoriti.
8. Sambung belajar
Fenomena orang yang tidak mahu sambung belajar kerana kemaruk bisnes menjadi-jadi sekarang ini.
Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.
“Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Kalau boleh biar sampai ke PhD tu…
Semua tip diatas memerlukan usaha. Tiada yang benar-benar shortcut kecuali ilmu dan usaha.