Temui Anda Di Mini Konvensyen Pemasaran SMS 2010

4 08 2010

Saya tidak dapat membuat catatan yang panjang pada minggu ini disebabkan kekangan masa belajar.

Pengumuman #1 : Kepada Pembaca dan Pemohon Aplikasi Pemasaran SMS Buku 15 Teknik Pemasaran SMS

15 Teknik Efektif Pemasaran SMSSaya telah menerima banyak permohonan aplikasi tersebut. Saya memohon maaf kerana sebelum ini permohonan tersebut lewat untuk diproses. Ini disebabkan oleh jumlah permohonan yang banyak diluar jangkaan saya.

Untuk memudahkan proses tersebut, saya telah melantik seorang pembantu khas untuk menguruskan semua urusan permohonan aplikasi tersebut. Namanya Puan Aza, beliau telah bersama dengan saya selama hampir sebulan untuk menyusun semula permohonan tersebut. Insyallah, Puan Aza akan membantu pembaca sekalian dalam urusan setting dan konfigurasi sistem SMS tersebut.

Saya akan kemaskinikan juga laman web yang berkaitan bagi membolehkan anda menghubungi Puan Aza secara terus.

Kepada Puan Aza, “Selamat Datang” saya ucapkan!

Pengumuman #2 : Mini Konvensyen Pemasaran SMS 7 Ogos 2010

Mini Konvensyen Pemasaran SMS 2010Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana sekali lagi menjemput saya untuk menjadi speaker dalam mini konvensyen pemasaran SMS pada kali ini. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 7 Ogos ini.Yuran penyertaannya sangat minimum iaitu RM30 sahaja.

Berita baik kepada pembaca buku 15 Teknik Efektif Pemasaran SMS!

Anda cuma perlu bawa buku tersebut dan tunjukkan ketika mendaftar. Secara automatik anda akan diberikan diskaun sebanyak 20% untuk menghadiri konvensyen tersebut.

Untuk pendaftaran sila layari : http://www.ownsmsbiz.net/konven.html

Ini merupakan program terakhir saya sebelum Ramadhan. Saya berharap dapat berjumpa dengan anda disana nanti!

Pengumuman #3 : Salam Ramadhan

Hati saya berbunga-bunga menanti Ramadhan. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua pembaca. Moga Ramadhan kali ini akan memberi 1001 keberkatan dalam kehidupan kita.

Sign






Tanah : Pelaburan Untuk Generasi Akan Datang

26 07 2010

Artikel ini  saya terjemahkan dalam Bahasa Malaysia kerana kandungannya yang sangat menarik untuk orang seperti saya yang menjadi penduduk asal di negara berdaulat Malaysia.

Artikel ini disumbangkan oleh seorang deka-jutawan, seorang CEO dalam syarikat senaraian awam dan ketika ini terlibat dalam pembangunan hartanah di Kota Kinabalu.. Ayuh kita pelajari sesuatu dari yang pakar..

” Tetapi kebanyakan dari kita, jangka masa panjang bermakna sekitar 5 tahun, sederhana bermakna sekitar 1-3 tahun dan jangka masa pendek mungkin tidak lebih dari 6 bulan. Bagi kebanyakan pelabur hartanah, jangkamasa tersebut adalah kebiasaan dalam meramalkan keuntungan pelaburan.

Orang yang berfikir jauh sebenarnya orang yang sangat beruntung. Saya sedari antara satu sebab mengapa kebanyakan bangsa Cina secara rata-rata kaya (atau sekurang-kurangnya kualiti kehidupan lebih baik dan mewah), walau di ceruk dunia mana sekalipun mereka berada, adalah disebabkan kesungguhan mereka untuk berfikir, bertindak dan melabur dalam instrument yang secara relatifnya lebih panjang berbanding bangsa lain.

Perlakuan ibubapa Cina melabur bukan hanya untuk diri mereka atau anak tetapi juga untuk cucu DAN cicit juga! Kesannya, perlakuan ini menjadi tabiat. Begitu jauh mereka melihat…

LadangRamai keluarga Cina yang dahulunya memulakan kehidupan dengan menoreh getah, kelapa sawit, koko, lada putih dan sebagainya kini mempunyai berhektar atau sekurangnya berekar tanah yang kini menjadi sangat bernilai dan muncul sebagai kawasan pembangunan yang berharga. Di Lembah Kelang kawasan seperti Bangsar, Damansara, Kenny Hills, Ampang, Petaling Jaya dan Subang dahulunya merupakan kawasan perladangan.

Syarikat perladangan moden seperti KL Kepong, IOI, Asiatic Development, Guthrie, Bousted dan Sime Darby merupakan antara syarikat yang mempunyai serampang dua mata, menjana pendapatan dari hasil perladangan dan dalam masa yang sama akan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda dari nilai hartanah. Syarikat ini sebenarnya menggunakan strategi yang sama yang digunakan oleh ibubapa Cina tadi.

Pernah sekali seorang CEO syarikat perladangan kelapa sawit multinasional berkata “Kita telah berada dalam bisnes kelapa sawit lebih 100 tahun. Walau pun begitu keuntungan yang diperolehi sejak kita bermula tidak dapat menandingi keuntungan kita menjual sebuah estate! “. Dan estate tersebut adalah Damansara! “

Cetus hati saya….

Ini merupakan strategi pelaburan yang memang terbukti sejak sekian lama. Saya yang lahir di Lembah Kelang, pada awalnya tidak mengerti relevannya perkara ini memandangkan di Lembah Kelang mempunyai tanah yang terhad. Tetapi lama kelamaan, rupanya banyak lagi tanah yang menunggu untuk diteroka, diperam seperti yang dilakukan oleh mereka yang terdahulu.

Mereka hanya menunggu saya datang untuk datang, melihat dan menakluk. Saya ingin mencari ladang yang akan menjadi ‘Damansara’ dalam tahun-tahun mendatang.

Veni, Vedi, Vincci!

Sign






Orang Yang Gagal Mempunyai Magis

10 07 2010

Pada pandangan saya, dunia akademi memandang KESILAPAN sebagai tidak elok dan harus dijauhi. Dalam dunia pendidikan, lebih banyak kesilapan dilakukan seseorang, lebih kurang bijak seseorang itu akan kelihatan.

Kerana itu, ada masanya saya kurang berminat untuk ke sekolah. Setiap kesilapan yang dilakukan dipandang negatif. Saya tidak tahu mana silapnya sistem pendidikan kita, tetapi melakukan kesilapan di sekolah bukan dilihat dari aspek positif. Lebih teruk, saya dihukum kerana melakukan kesilapan!

Mereka yang belajar dari dunia jalanan (street smart) pula mempunyai pandangan berbeza mengenai konsep melakukan kesilapan. Dalam dunia perniagaan, lebih banyak kesilapan yang dilakukan membuka lebih banyak peluang untuk mempelajari benda baru, sesuatu yang tidak pernah diketahui sebelumnya.

Kesilapan adalah ibarat magis. Apabila sesuatu yang baru dipelajari, maka perspektif terhadap perniagaan akan menjadi lebih baik. Ibarat kita belajar menunggang basikal. Kesilapan demi kesilapan memang mengecewakan. Sehinggalah kita mampu mengayuh, mengimbangi dan mengawal basikal, maka rodanya akan berputar dengan sendirinya. Dunia baru akan terbuka. Suatu keajaiban yang baru ditemui dalam kesilapan.

Banyak kesilapan dalam perniagaan yang membuka dunia kejaiban yang tidak pernah terbayangkan sebelumnya.

1. Warren Buffet telah tersilap membeli Berkshire Hathaway, sebuah syarikat pengeluaran T-Shirt yang hampir lingkup. Kini, Berkshire Hathaway antara syarikat yang mempunyai saham syarikat yang tertinggi di dunia.

2. Syarikat Diamond Fields yang sepatutnya mencari berlian sebagai bisnes utama tetapi sebaliknya menjumpai nikel. Saham syarikat melonjak naik serta merta selepas penemuan nikel.

3. Levis Strauss menuju ke California untuk mencari emas tetapi gagal menemuinya. Akhirnya menjahit seluar dari kanvas untuk pelombong emas. Sekarang ini siapa yang tidak kenal jeans Levi’s.

Semua itu adalah kerana kegagalan dan kesilapan awal. Ia dihukum dengan mungkin kerugian dalam wang ringgit tetapi dalam waktu yang sama, iktibar dari kesilapan menjadikan ia lebih baik dari sebelumnya.

Christopher Columbus juga melakukan kesilapan apabila mencari laluan perdagangan ke negara China tetapi akhirnya menemui Amerika! Lihatlah apa kemajuan negara yang berpengaruh di dunia sekarang.

Founder IBM juga pernah menyatakan ” Jika ingin mendapatkan kejayaan yang pantas, GANDAKAN kegagalan!”.. Lebih banyak silap, lebih cepat kita capai kejayaan.

Walau bagaimana pun, saya tidak menyalahkan sistem pendidikan di Malaysia yang menjadikan kita takut untuk melakukan kesilapan. Itu zaman yang telah berlalu.

Tokoh usahawan terkenal Malaysia, Syed Mokhtar al-Bukhari pernah menyatakan bahawa orang hanya akan melihat yang berjaya sahaja. Apa kesilapan, kegagalan lalu tidak pernah terlintas di fikiran. Orang tengok yang baik-baik sahaja.

Ambil iktibar. Apa yang lebih penting adalah apa yang dipelajari dari kesilapan lalu yang membolehkan kita terus maju dan menemui keajaiban atau magis yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

p/s : Saya dalam mode menghadapi kegagalan. Jadi kali ini saya menulis untuk memotivasikan diri sendiri. Moga anda juga mendapat manfaat. :)






9 Sebab Saya Perlu ke Malaysia Internet Summit 2010

9 02 2010

Malaysia Internet Summit akan diadakan pada 21 Februari 2010 di PWTC Kuala Lumpur.  Adakah anda akan menghadirinya ? Bagi saya ada sebab mengapa saya akan menghadiri acara penting industri pemasaran internet ini..

1. Sejak 2005, saya tidak pernah saksikan penyertaan pakar pemasaran internet paling ramai yang akan berkongsi satu pentas. Sebelum ini kalau ada sekalipun mungkin seramai 5 atau 6 orang pakar sahaja, tetapi kali ini 12 orang! Ia ibarat Anugerah Grammy dalam industri muzik!

2. 12 orang panel adalah panel paling lengkap dengan penguasaan cabang pemasaran internet masing-masing. Dari segenap sudut, bermula dengan produk digital dan ebook sehinggalah produk fizikal. Tidak terkecuali seperti pakar affiliate, pakar Ebay, SEO dan pakar blog.Setiap panel mempunyai kekuatan masing-masing.

3. MIS tidak ‘gender bias’ kerana turut membawakan seorang panel wanita yang cukup berpengaruh. Jangan segan kalau anda seorang wanita, anda tidak pernah dilupakan :D

4. Acara sampingan Social Networking turut akan disertai oleh tetamu jemputan yang dekat dihati. Oleh itu, sepanjang MIS turut serentak berlaku aktiviti yang meningkatkan rangkaian sosial anda.

4. Menghadiri seminar dan persidangan seperti ini adalah cara yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu selain dari membaca buku, mendengar audio dan sebagainya.  Sekurang-kurangnya 3 kali seminar dan latihan dalam setahun.

Maklumat panel dan pakar yang hadir, ada DISINI!

5. Jika anda memandang ke hadapan, ini adalah masanya untuk mencari business venture. Lebih mudah untuk berurusan dihari kemudian. Hulurkan kad perniagaan anda, dan hubungi mereka nanti melalui email. Bayangkan email yang anda akan kirimkan berbunyi begini :

” Assalamualaikum Tuan XXX, Saya doakan agar tuan berada dalam keadaan sihat. masihkan tuan ingat pertemuan kita di MIS2010 dahulu?  Saya sebenarnya memerlukan pandangan tuan ….. “

Joint Venture lebih mudah bermula apabila kita pernah bersua muka. Rakan JV akan memberi maklum balas yang lebih kepada anda, kita pernah berjumpa berbanding orang yang tidak dikenali. Kalau tak percaya, cubalah!

6. Jika anda datang sebagai penuntut, ini adalah peluang anda untuk memilih sifu yang tepat. Hanya belajar dari yang terbaik!

7. Anda tidak akan berasa ‘kecil’ kerana ramai juga orang yang setaraf dengan kita. Tiada peserta yang kecil, tiada impian yang terlalu besar!

8. Peluang bergambar dengan mereka yang berpengaruh. Ingat frasa “Great mind think alike”. “A feather of birds flock together” ? Gambar bersama orang berpengaruh akan memberikan limpahan aura kepada anda. Anda juga akan dikenali sebagai orang yang mempunyai kenalan dikalangan mereka yang hebat. Bayangkan rakan anda berkata ” Eh! Engkau berkawan dengan Irwan Dahnil ye ?”, contoh je…

9. Ini adalah MIS yang julung kali diadakan. Kemungkinan untuk diadakan lagi adalah pada tahun hadapan pula. Menjelang tahun hadapan, senario pemasaran internet telah berlaku. Adakah anda akan terus ketinggalan nanti?

Saya juga ingin berjumpa anda DI SANA!!

Sebenarnya kita tidak perlu sebab untuk hadir ke MIS 2010. Kita hanya perlukan dorongan.

Insyallah, jumpa di sana!






Foto Profil Pelaburan Jangka Panjang

26 01 2010

10 tahun dahulu, lebih ramai yang suka berselindung di balik nama samaran atau dan menggunakan foto gantian untuk mewakili individu. Ketika itu pengguna belum terdidik di internet, suasana belum menggalakkan, belum begitu terbuka dan keyakinan pengguna belum begitu tinggi. Jadi menyembunyikan identiti sebenar adalah tindakan yang bijak dan selamat.

Tahun demi tahun, kini semakin ramai yang menggunakan identiti yang sebenar dalam dunia maya. Dengan pengenalan rangkaian sosial seperti Facebook beberapa tahun lalu telah menggalakkan penggunaan nama sebenar di internet. Semakin hari, kepercayaan semakin bertambah dan pengguna lebih terdidik, maka lebih ramai memilih untuk meletakkan gambar sebenar pula.

Walaupun begitu, pemilihan foto profil yang tepat adalah lebih penting. Tetapi bagaimana memilih foto profil yang baik ?  Walaupun ia dipandang mudah, tetapi setiap foto profil memberi satu tanggapan yang berbeza di mata orang yang melihatnya.

Sama ada di dunia online atau offline, gambar individu memberi satu tanggapan mengenai diri usahawan. Tentunya usahawan itu sendiri perlu menjual diri sendiri, sebelum produk atau perkhidmatannya boleh terjual. Memilih foto yang cantik, kemas, berketrampilan dan juga meyakinkan. Sedikit senyuman yang terukir dapat membina hubungan dibantu dengan adanya eye contact. Apabila ciri-ciri mudah ini wujud, seolah-olah gambar profil tersebut sedang ‘berkomunikasi’ dengan pelanggan.

Bergambar secara individu dan berkot adalah cara pilihan kebanyakan kita tetapi ia hendaklah menunjukkan wajah dari sudut yang boleh dikenalpasti.  Ada juga yang mengambil gambar ketika tunduk atau memalingkan wajah ke tempat lain. Ada juga dengan sengaja menggelapkan wajah supaya sukar dikenalpasti. Tidak kurang juga yang fokus kepada anggota muka seperti mata atau bibir. Kecuali anda ingin mempromosikan anggota tersebut, gambar yang tidak menunjukkan wajah sejelas mungkin hanya memberikan gambaran yang negatif, kurang keyakinan diri atau tidak berani.

Jenis-jenis Foto Profil

1. Bergambar bersama individu berpengaruh. Perumpamaan Inggeris “great minds think alike” memberi makna bahawa golongan yang hebat ini mempunyai cara pemikiran yang sama sedikit sebanyak aura individu berpengaruh akan memberikan kesan positif kepada gambar. Bagi gambar secara berkumpulan pula akan memberi gambaran bahawa mereka yang hebat ini mempunyai satu lingkungan yang sama seperti kata pepatah Inggeris “birds of a feather flock together”.

2. Gambar dalam peristiwa. Gambar ini juga biasanya menunjukkan individu beraksi di dalam sesuatu aktiviti dan kejadian. Peristiwa ini akan menjadi penyokong kepada latarbelakang individu dan aktiviti yang disertainya. Satu kelemahan gambar sebegini adalah dari segi kualiti gambar yang kurang jelas melainkan diambil dengan kamera yang berkualiti juga.

3. Gambar outdoor dan santai biasanya memberikan refleks bahawa individu tersebut suka pada kebebasan suasana yang santai dan tidak formal. Pastikan latar belakang adalah bersesuai dengan penampilan yang ingin dibawa.

4. Gambar yang menunjukkan riak wajah. Gambar ini biasanya bersifat sederhan, ketika struktur badan yang bersahaja dan sedikit senyuman. Ia membentuk daya tarikan yang mampu mengusik emosi.

5. Gambar di studio. Ia bukan sahaja digunakan untuk foto profil sahaja,bersifat pelbagai guna. saya gunakan sebagai grafik di blog, laman web menjual di www.akademisms.com, biografi sebagai penulis di buku-buku dan juga sebagai gambar penyokong kepada profil korporat yang berkeyakinan.

Sekarang cuba anda fikirkan apakah kesimpulan yang dibuat oleh orang lain apabila melihat foto profil anda ? Fikirkan apa yang anda mahu mereka simpulkan mengenai anda, dan anda tentu tahu foto profil yang bagaimana paling sesuai untuk digunakan.






Tips Menulis Profil dan Deskripsi Peribadi

21 01 2010

Penampilan melalui foto di internet adalah penting kerana ia adalah cara pintas bagaimana orang mengenali diri anda. Sesuai dengan matlamat membina kenalan dan lingkungan rangkaian, semua orang sukakan penampilan yang menarik.

Perkara seterusnya yang dinilai adalah mengenai informasi diri. Cerita mengenai diri sendiri juga memberi tafsiran kepada orang lain. Ia boleh jadi dalam bentuk point atau dalam bentuk deskriptif yang menceritakan mengenai diri sendiri. Informasi tersebut juga selalunya bersifat positif, membina dan menyenangkan orang lain. Apabila dibaca, orang lain menjadi lebih selesa kerana memahami secara asasnya bagaimana diri seseorang.

Cuba anda senaraikan 8 perkara yang baik tentang diri anda dalam masa 16 saat.

Boleh ?

Ada diantara kita merasa kurang senang dan tidak selesa apabila bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri. Sangat susah untuk meluah rasa, kadang kala terpaksa berfikir sejenak “Apa yang baik dalam diri saya?”..

Tips Menulis Deskripsi Diri

1. Tidak ada yang salah atau betul dalam menulis deskripsi diri. Anda boleh tulis sesuka hati anda. Pertama kali menulis, jangan fikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang diri anda.

2. Buat dalam masa sesingkat mungkin. 8 perkara positif dalam masa 16 saat. Apa yang terlintas dalam masa 16 saat, itulah diri anda yang sebenarnya.

3. Buat satu deskripsi ringkas, kemudian tinggalkan. Jangan lihat atau preview selama beberapa hari. Sekiranya anda ingin mengubah atau menyedapkan deskripsi lakukan selepas itu.

4. Berikan orang lain, rakan atau kenalan untuk membaca deskripsi tersebut. Tanya apa pandangan mereka, apa yang mereka boleh tafsirkan dengan deskripsi tersebut. Adakah sesuai dengan diri anda ?

5. Tuliskan perkara yang positif. Jangan menulis dekripsi yang berbau negatif, sedih, marah, tidak puas hati atau memberontak.

Saya sendiri menulis deksripsi diri banyak kali. Berkali-kali. Sehingga saya rasakan itulah deskripsi yang paling tetap dan sesuai yang benar-benar melambangkan diri saya. Ia mengambil masa kerana manusia memang sentiasa akan berubah dan nilai dalam diri turun berbeza.

Masa untuk melihat kembali dekripsi diri anda!






Tips Memilih Program Affiliate Untuk Usahawan Internet Baru

13 10 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca blog yang saya hormati,

Tidak dinafikan salah satu program menjana pendapatan yang paling mudah adalah dengan menyertai program affiliate. Selain daripada mudah dan percuma, selalunya ia menjadi platform dimana usahawan internet yang baru ‘mencuba nasib’ untuk mula memperolehi pendapatan di internet. Hanya sertai, dapatkan kod affiliate dan mula promosi. Sekiranya terjual, komisen akan diperolehi.

Tetapi ada satu tabiat di internet dimana kita suka,rajin dan berminat untuk mendaftarkan diri di dalam program affiliate. Malangnya program tersebut tidar benar-benar menjana pendapatan untuk kita. Maka tidak hairanlah, menurut kajian cuma 2% sahaja dari usahawan internet yang menyertai program affiliate benar-benar menjana pendapatan.Kita lupa bahawa menjadi ‘promoter’ kepada produk lain juga memerlukan teknik dan juga strategi yang betul.

Tips Memilih Program Affiliate Bagi Usahawan Internet Baru

Kejayaan menjual dari program affiliate sebenarnya sangat bergantung kepada kredibiliti penjual. Teknik dari mulut ke mulut usahawan internet, akan mempengaruhi pelanggan untuk membeli. Untuk menjana pendapatan dari program affiliate perlulah melihat dari pelbagai sudut. Antaranya :

1. Memilih program affiliate

Teringat saya kepada rakan ketika makan lunch buffet di sebuah hotel. Oleh kerana ia adalah buffet, maka rakan saya tadi mengambil sebilangan besar makanan yang terhidang. Yang lucunya, ada makanan yang tidak diketahui namanya. “Bayar mahal-mahal.. bila lagi nak rasa macam-macam”. Akhirnya makanan yang tidak kena dengan seleranya tidak dimakan. Kan lebih baik jika beliau memilih dahulu sebelum mengambil makanan tersebut ? Pembaziran itu sahabat akrab syaitan.

Memilih bererti membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menyertai.Lihat siapa penganjur program tersebut. Nilaikan kredibiliti penganjur. Selain itu lihat juga imbuhan yang bakal diterima. Adakah dalam bentuk peratus komisen, tarikh pembayaran, kaedah pembayaran dan sebagainya.

2. Sumber dari pakar atau ahli

Pernah dengar istilah “Jack of all trades, master of none”. Ia adalah ucapan yang merujuk kepada orang yang sangat umum, tetapi tidak mempunyai kemahiran /specialist dalam bidang tertentu. Pelanggan yang spesifik akan membeli dari orang yang pakar, mahir dan berpengalaman.

Andaikan anda mencari kasut. Kedai mana yang anda lebih gemar kunjungi sama ada kedai sukan Al Ehsan, atau pasaraya Giant ? Bagi anda yang inginkan lebih pilihan yang lebih spesifik akan suka ke kedai spesialist dan bukan ke gedung umum yang menjual 1001 barangan.

3. Sentiasa menjaga kredibiliti

Internet adalah dunia maya. Meyakinkan pelanggan untuk membeli di dunia maya adalah mencabar. Di internet, kuasa pemasaran mulut-ke-mulut jauh lebih berkesan. Pelanggan mempunyai kecenderungan untuk membeli sekiranya kenalannya yang boleh dipercayai mencadangkan pembelian tersebut. Ini adalah kredibiliti. Sertai program affiliate yang tidak berlawanan dengan kredibiliti anda.

4. Tidak bersilang dengan produk lain

Sekiranya anda dalam industri pertanian, cuba sertai program affiliate yang terlibat dengan pertanian juga. Ini membantu anda mengekalkan kredibiliti dan seniority anda. Satu lagi adalah istiqomah atau konsisten. Jika anda menjual produk pertanian A, jangan pula dalam masa yang sama mempromosikan produk pertanian B. ‘Walk the talk’, cakap mesti serupa bikin!

Anda boleh sertai banyak program affiliate, tetapi jangan lupa matlamat asal anda. Kalau sekadar suka-suka menyertai affiliate mungkin tidak mengapa. Tetapi bukankah matlamat anda ingin menjana pendapatan? Jika bukan mengapa anda habiskan masa anda dengan menyertai tetapi tidak komited.

Perbaiki cara kerja.

Pelancaran semula Program Affiliate Irwan Dahnil

Saya akan melancarkan suatu produk baru yang unik tidak lama lagi. Oleh itu saya ingin menjemput dan mempersilakan anda untuk menjadi sebahagian dari penggiat perniagaan internet yang lain untuk menyertai program ini. Program affiliate ini telah saya masukkan link untuk produk Akademisms.com dan anda boleh mula melakukan promosi.

Dari semasa ke semasa, saya akan tambahkan kumpulan produk (selain dari Akademisms.com) sedikit demi sedikit. Insyallah, komisen juga akan saya ubah sedikit masa lagi (buat masa sekarang cuma 10%), dan penyertaan sebagai ahli affiliate akan saya tutup bila telah memenuhi matlamat nanti.

Sebelum anda sertai, cuba anda ikutkan tips yang saya berikan tadi. Adakah ia bertepatan dengan anda ? Jika ya, sertailah program affiate yang mudah ini dan ianya percuma. Layari http://www.idjv.net






Menyediakan Play Fund - Berbaloi-baloi!

13 08 2009

“Boleh ke bisnes ni ? Dah keluar modal beribu-ribu, tapi bisnes tak jalan. camner ? Buat rugi je “

Isu yang sering bermain di minda orang yang mahu mula berniaga. Walau pun secara cuba-cuba, terdapat sedikit keraguan jikalau perniagaan yang baru tidak berjaya. Duit gaji yang disimpan bertahun-tahun, boleh lenyap sekelip mata. Risau rugi membungkam diri. Terpalit rasa menyesal menghabiskan wang tanpa hasil.

Teknik cuba-cuba dalam perniagaan adalah satu teknik yang telah lama dipraktiskan dari dahulu. Sedar atau tidak kita sendiri mungkin terlibat dengan teknik cuba-cuba berniaga ini. Anda juga tentu pernah menggunakan teknik cuba-cuba ini.

- Anda mungkin pernah menyertai satu skim yang mempunyai pelan pemasaran dan insentif yang hebat.
- Anda mungkin pernah menyertai perniagaan internet apabila ia digembar-gemburkan membawa pulangan yang berbaloi.
- Anda mungkin pernah mencuba perniagaan SMS kerana ia adalah perniagaan yang boleh dilakukan dari rumah.
- Anda mungkin pernah mencuba membeli ebook yang mempunyai potensi untuk membuatkan anda kaya.

Adakah anda menyesal kerana mencuba perniagaan tersebut ?

Pengalaman MLM Saya

13 tahun dahulu, saya telah terlibat dengan perniagaan MLM. Bermodalkan RM1,600 banyak yang saya pelajari dari MLM ini lebih-lebih lagi dalam teknik pemasaran. Walaubagaimana pun, perniagaan MLM yang saya ceburi tidak begitu berjaya.  Maka saya tinggalkan.

Ketika saya gagal meneruskan perniagaan MLM, saya tanya diri saya sendiri. Adakah saya menyesal dengan langkah saya menyertai MLM tersebut ? Adakah saya rasa kerugian yang amat sangat kerana tidak mendapat hasil ?

Jawapan saya TIDAK. Ini adalah kerana saya menggunakan dana Modal Permainan.

Apakah PlayFund ?

Modal Permainan @ Play Fund adalah merujuk kepada satu bentuk modal yang kita boleh gunakan untuk mencuba perniagaan baru. Saya tidak pasti apakah istilah yang tepat untuk modal ini, tetapi dana ini saya gunakan setiap kali saya ingin mencuba perniagaan yang baru.

Syarikat besar mempunyai jabatan @ unit khas untuk menjalankan kajian dan pembangunan (R&) organisasi dan diperuntukkan sejumlah wang. Konsep Play Fund mirip kepada konsep perbelanjaan R&D syarikat besar.  PlayFund adalah untuk peruntukan kewangan kepada kita untuk mencuba perniagaan baru.

PlayFund ini umpama belanja hangus, tidak mendatangkan hasil yang nyata. Ia adalah duit untuk kita belanjakan!

Mengapa Perlu PlayFund ?

Setiap daripada kita adalah unik. Ada seorang jurutera yang saya kenal, berminat dengan bidang seni. Ada juga programmer yang saya kenal, saya berminat dengan bisnes pertanian. Kadang2 yang kita minat itu terlalu jauh menyimpang dari apa yang kita lakukan.

Sebagai contoh ,seorang jurutera yang tidak mempunyai latarbelakang pertanian ingin mencuba bisnes tanaman cili. Beliau hanya berbekalkan minat sahaja. Tiada ilmu, tiada pengalaman.

Dengan adanya PlayFund, beliau boleh mencuba memulakan tanaman secara kecil-kecilan. Sekadar mencuba, tidak mengharapkan pulangan. Yang penting beliau dapat pelajari dan rasai sendiri pengalaman tersebut.  Sekiranya percubaan tadi berjaya, barulah fikirkan secara serius untuk melabur dalam bisnes cili yang sebenar. Sekiranya tidak berjaya, beliau boleh mencari punca, pelajari sebab dan bagaimana mengatasi masalahnya. Atau beliau masih boleh menarik diri dari menceburi tanaman cili!

Tindakan menggunakan Play Fund adalah sangat baik, berbanding dengan melabur terus kepada bisnes cili tanpa mengetahui apa-apa. Ia dapat menyelamatkan wang ringgit! Lebih baik lebur sedikit wang dari lebur seluruhnya..

Saya cukup kasihan bile mendengarkan orang yang berhutang atau membelanjakan seluruh wang simpanannya hanya untuk menyertai perniagaan yang dia sendiri tidak faham dan tiada pengalaman. Banyak kes seperti ini yang kita dengar.

Mendapatkan Play Fund

Ia tidak datang dari langit. Ada beberapa kaedah :

1. Bagi yang sedang makan gaji, asingkan sedikit dari gaji bulanan. Jumlah yang diasingkan ada bergantung kepada kemampuan. Ada yang yang memperuntukkan RM10 atau RM50 sebulan. Ada juga memperuntukkan 5 peratus hingga 15%.

2. Bagi usahawan, peruntukan sedikit keuntungan untuk dijadikan Play Fund.

3. Dapatkan dari ibu bapa yang boleh sponsor sekiranya mereka mampu. Minta sikit duit dari mereka! Ibubapa mana yang tidak menyokong anak yang nak mula berniaga :)

4. Kalau anda rajin sedikit, dapatkan geran peruntukan kerajaan. Bagi teknologi, MDEC menyediakan geran sebegini. Sirim juga menyediakan beberapa geran yang sesuai dengan projek yang ingin diceburi.

Kalau anda ingin cuba bisnes yang bermodal besar, maka peruntukan Play Fund juga harus besar.

Menggunakan PlayFund

Play Fund hendaklah digunakan secara cermat. Sebelum anda menggunakan dana tersebut, senaraikan dahulu perkara-perkara yang hendak dibeli. Dapatkan harga barangan dan jumlahkan. Dapatkan kos keseluruhan untuk satu2 bisnes baru yang ingin anda ceburi.

Jangan belanja Play Fund lebih dari yang diperuntukkan. Sekiranya anda gunakan PlayFund secara berlebihan, anda mungkin tidak mempunya dana yang cukup untuk mencuba perniagaan yang lain pula.

Ketika saya mulakan MLM, saya cuma tetapkan bahawa kos saya hanya RM1,600. Tidak lebih. Disebab tujuan saya adalah untuk mempelajari selok belok MLM, maka bagi saya RM1,600 adalah satu jumlah yang munasabah untuk saya belanjakan. Saya tidak mengharapkan pulangan hasil atau keuntungan. Mental saya sudah tetapkan bahawa saya tidak akan rasa rugi kerana membelanjakan sejumlah wang untuk ilmu.

Ketika saya memulakan perniagaan SMS pula,  Play Fund saya adalah sekitar RM5,000. Saya belanjakan bagi pelbagai tujuan. Beli web hosting, beli domain, sewa SMS gateway, server payment gateway, beli autoresponder, belanja promosi, upah programmer dan sebagainya.  Habis begitu sahaja.

4 Perkara Pasti yang Diperolehi Dari Play Fund

Kita akan rasa rugi dan menyesal kalau modal yang kita keluarkan tidak memberikan hasil. Berbeza dengan Play Fund, minda kita telah setkan bahawa kita tidak akan rasa rugi untuk mencuba sesuatu. Kita bersedia untuk mempelajari sesuatu dari konsep cuba-cuba bisnes.

1. Pengalaman : Priceless! Kalau tak cuba kita tidak tahu.

2. Pengetahuan : Bila kita mencuba sesuatu yang baru, kita akan sentiasa tertanya-tanya. Bagaimana dan mengapa. Kita akan menjadi semakin celik dan semakin faham sesuatu bisnes itu.

3. Keyakinan : Bila dah berpengalaman, maka baru wujud keyakinan. Jurutera yang menanam cili secara cuba-cuba, akan berani melabur lebih banyak wang untuk bisnes cili yang lebih besar. Kerana pengalaman dan pengetahuan telah terbina ketika proses cuba-cuba.

4. Strategi : Rancangkan strategi bisnes yang terbaik. Ini dipanggil best practice. Kita dah tahu, mana yang berjaya mana yang gagal. Strategi lebih mengenai selepas ini.

Jika minda kita sudah bersedia, kita tidak akan rasa menyesal, rugi, takut, atau kecewa sekiranya perniagaan kita tidak berjaya.

Play fund sebanyak RM5,000 yang saya belanjakan setahun yang lalu kini telah membuahkan hasil.  Projek telah saya besarkan skalanya dan memberikan hasil RM50,000. Bukan hanya setakat pulang modal, tetapi perniagaan juga semakin membesar.Sekarang saya menyediakan Play Fund untuk projek RM500,000 pula.

Sekadar contoh nyata betapa berbaloinya menyediakan Play Fund.

Bisnes Tanpa Play Fund ?

Ibarat membuka satu pintu kejayaan, menutup satu lubang kegagalan. Menyediakan Play Fund ibarat membuka satu pintu. 90 peratus bisnes baru tutup dalam masa 5 tahun  selepas penubuhan. Lebih banyak anda mencuba, lebih tinggi peratus kejayaan dalam perniagaan. Pilihan di tangan anda!

Saya doakan perniagaan idaman anda akan tercapai! Bak kata Amy Search ” Berbaloi-baloi! “ :)






Mengatasi Penyakit Kebanjiran Maklumat di Internet

21 07 2009

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda mula melayari internet, dan secara tanpa anda sedari anda telah sampai ke laman web yang anda sendiri tidak jangkakan ?

Tidak pasti ? Cuba buat pemeriksaan singkat :

1. Anda terasa stres. Tidak kira berapa banyak kajian di internet yang telah dilakukan, anda tetap merungut kerana
sentiasa terasa maklumat yang penting tertinggal.

2. Memori ingatan yang lemah. Anda terasa susah untuk mengingati nama-nama penting, tarikh atau maklumat terperinci.

3.  Risau melampau. Anda mudah terganggu, berkhayal dan berangan-angan di siang hari.  Anda akan mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugas dan sering menunda tugasan walau tugasan itu mudah.

Sekiranya anda mempunyai simptom tersebut, ada baiknya anda ‘tune’ semua diri anda.

Dalam kehebatan internet menyebarkan maklumat di ruang siber, sebenarnya telah wujud satu bentuk penyakit yang
sangat merbahaya. Kita yang hidup di dalam dunia yang meletup dengan maklumat sebenarnya sangat terdedah dengan penyakit ini. Hanya dengan menaip satu patah perkataan di internet, kita disajikan dengan 1001 maklumat.

Kebanjiran maklumat atau information overloading adalah merujuk kepada keadaan dimana kita diberikan terlalu banyak maklumat tetapi hanya menggunakan terlalu sedikit maklumat tersebut!

Saya Adalah Pengidap

Saya merupakan salah seorang ‘pengidap’ penyakit ini. Sejak tahun 2006, hidup saya hanya berlegar dengan internet. Semua maklumat saya capai dari carian Google, malah saya tidak lagi melanggan akhbar. Aktiviti bersosial juga berkurangan kerana semua yang menggembirakan saya ada di internet.

Apabila saya ingin membeli sesuatu, internet sangat membantu. Saya boleh membuat carian dengan membandingkan spesifikasi produk yang saya inginkan, membandingkan harga dan membuat penilaian awal sebelum betul-betul membeli.  Ini sangat menjimatkan masa dan meningkatkan kemampuan membuat keputusan yang lebih tepat.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mula mengabaikan beberapa elemen penting yang biasa saya lakukan sendiri sebelum itu. Saya tidak lagi menghafal tarikh-tarikh penting termasuklah tarikh lahir kenalan dan sahabat. Saya akan andalkan kepada internet yang mempunyai sistem PDA sendiri untuk menguruskan semua jadual tersebut. Nombor telefon rakan-rakan juga saya abaikan. Begitu juga dengan menghafal maklumat akaun perbankan.

Ibarat, kalau tiada internet saya pasti ‘mati’!

Tetapi lama kelamaan saya sedari saya mengidap tanda-tanda seperti diatas. saya mula malas, terasa stress seolah-olah kerja tak pernah selesai, atau sentiasa bimbang dengan perkara yang tidak perlu dibimbangkan.

Saya pernah menunda penerbitan sebuah buku yang telah siap ditulis pada Julai 2008 ke Mei 2009 hanya kerana saya sentiasa rasakan buku tersebut tidak pernah lengkap!

Anda Mungkin Pengidap Seterusnya..

Saya teringat kepada post di blog saya sebelum ini. rakan-rakan yang menghantar email kerana terasa kebuntuan dan
tidak tahu dimana ingin bermula perniagaan disebabkan terlalu banyak maklumat yang telah dibaca di internet. Ini merupakan satu petanda yang mereka juga boleh menjadi mangsa seperti saya.

Quick check : Apabila anda membaca banyak maklumat di internet, adakah anda akan mengambil sesuatu langkah yang penting selepas itu ? Atau anda hanya membaca, membaca, membaca dan akhirnya berada dalam kesamaran ?

Kalau anda masih lagi berada dalam kesamaran, berhenti seketika. Anda mungkin telah mula dihidapi simptom tersebut!  Sekiranya tanda-tanda telah kelihatan, anda perlu lakukan sesuatu.

Langkah-langkah Mengurus Maklumat Yang Keterlaluan

1. Ada tentukan apakah yang anda inginkan. Tetap dan fokus. Selain dari itu, jauhkan atau tutup sahaja tetingkap browser. Ini dapat membantu mencegah anda terlalu ‘teruja’ membaca sesuatu yang tidak releven. Perkara yang menyeronokkan seperti gosip, berita artis, sukan atau sosial merupakan subjek yang senang ‘mencairkan’ dan
membuatkan anda khayal.

2. Rancang dan susun kerja anda supaya maklumat yang diperolehi lebih  tersusun. Letakkan kerja atau tugasan dalam aturan 1,2,3 atau berkonsepkan carta alir. Cari maklumat di internet mengikut susunan kerja. Selepas lakukan 1, lakukan yang ke 2 dan seterusnya. Melompat-lompat kerja akan membuatkan kerja anda berterabur dan tidak tersusun.  Awas!

3. Kawal aliran maklumat. Ketepikan semua nafsu nafsi yang menggoda anda di internet. Jangan baca semua, fokus dan baca yang anda mahukan sahaja. Cuma kongsikan maklumat di tempat yang sesuai seperti blog, atau Facebook. Jangan kongsikan di semua laman yang anda masuk. Ini cukup membuang masa.

4. Katakan ‘TIDAK’ kepada mereka yang mencuri masa anda. Ini termasuklah rakan chat, gossip dan melayari internet yang tidak bertujuan.

5. Buat senarai tertinggal dan lekat di dinding. Senarai tertinggal adalah perkara-perkara yang anda belum selesaikan. Tuliskan besar-besar sekurang-kurang saiz kertas A4 dan lekatkan di dinding. Gunakan warna yang terang dan ’striking’. Ini akan sentiasa menjadi motivasi dan pendorong anda untuk kekal fokus di internet.

Alhamdulillah, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ledakan maklumat yang melampau di internet. Saya sentiasa mempunyai 3 planner bertulis (bukan PDA), yang sentiasa saya tuliskan menggunakan pen berwarna sebagai pengingat diri. Saya sentiasa catatkan di dinding perkara yang masih belum saya capai untuk tahun ini. Saya sentiasa lakukan mengikut keperluan.

Saya berharap anda tidak mengalami masalah dan penyakit seperti saya. Semoga anda terus bijak menguruskan maklumat dan sentiasa mendapat manfaat dengan maklumat di internet.






Tingkat Demi Tingkat Perniagaan di Internet

13 07 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca blog yang dihormati.

Mungkin anda pernah menonton cerita klasik P Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Dalam satu adegan, Ahli Nujum Negara ditanya dengan soalan yang lebih kurang berbunyi :

  • “Terdapat sebatang kayu yang diraut cantik. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal?”

Seperti yang kita ketahui jalan ceritanya, ia memang menghiburkan. Tidak bosan berkali-kali menonton.

Bagaimana pula kalau ada yang bertanya :

  • “Terdapat banyak perniagaan dan pemasaran internet. Yang manakah hujung dan yang manakah pangkal ?”

Walau saya bukan ahli nujum, tetapi kerap kali juga diajukan soalan tersebut.  Dalam bahasa sekarang banyak soalan yang berbunyi lebih kurang sama :

“Saya ni masih baru dalam dunia Internet Marketing ni. Macam-macam yang saya baca. Memang banyak yang menarik, macam mana nak memulakan perniagaan internet ? Saya keliru..”

Tidak seperti filem P Ramlee dan Ahli Nujum Negara, jawapannya tidak dapat saya berikan sekelip mata. Bertahun-tahun juga saya memikirkan jawapannya.  Faktanya, ramai yang masih baru memang tidak tahu yang mana hujung, dan yang mana pangkal, keliru dengan perniagaan dan pemasaran internet (IM).

Maklumat dan informasi yang melambak di internet memberikan peluang untuk kita mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang IM, tetapi dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan maklumat yang keterlaluan. Pembaca tidak mengetahui yang mana satu datang dahulu dan di mana ia berakhir.

Sekiranya pembaca tidak dapat menapis kesahihan atau kebenaran maklumat yang dibaca, ini akan menyukarkan lagi. Maka semakin kelirulah jadinya mereka yang masih mentah dalam IM.

Susahnya mencari titik penamat kalau tidak tahu di mana mahu bermula.

Dari Pemasaran ke Perniagaan Internet : Ayuh Cari Garisan Permulaan

Hakikatnya internet itu tidak lebih dari satu media. Ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Seperti tv, akhbar dan radio, dalam ketika ia menyampaikan maklumat akan terselit juga iklan-iklan perniagaan di dalamnya.

Maka konsep yang sama digunakan oleh internet. Dalam menyampaikan maklumat, tersebut juga iklan-iklan perniagaan.  Maka wujudlah banner, bunting dan juga iklan teks di website.

Dalam waktu yang sama wujudlah juga agen,  affilite, promoter atau tukang kempen yang lebih dikenali sebagai Internet Marketer (Pemasar Internet) yang akan mempromosikan bisnes orang lain di internet. Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan orang lain, mereka ini akan memperolehi sejumlah ‘upah’ sebagai ganjaran.

Disinilah bermulanya konsep yang dikatakan buat duit dengan internet!

Boleh dikatakan, kebanyakan garis permulaan kejayaan buat duit di internet adalah dengan menyertai golongan Internet Marketer dalam menjana pendapatan.

Ada terlalu banyak program yang ada. Menjual ebook, adsense, Nuffnang, Pay per review dan seterusnya.Tak larat untuk disebutkan kesemuanya. Tetapi ia mempunyai satu ciri yang sama. Anda akan mendapat imbuhan sekiranya anda menjual produk atau perkhidmatan orang lain.

Jadi sebutlah pelbagai macam bentuk program di internet, sekiranya ada sahaja imbuhan (yang biasanya dalam bentuk komisen) ia memerlukan kemahiran internet marketer untuk menjana pendapatan.

Di sini perlunya kemahiran pemasaran internet (internet marketing skills). Email marketing, social networking, blogging, adwords, SEO, affiliate marketing, youtube marketing dan 1001 lagi kaedah promosi menjadi wajib untuk dikuasai.

Disebabkan terdapat pelbagai teknik pemasaran internet yang ada di internet, lebih banyak seseorang pemasar internet menguasai sesuatu kemahiran, lebih banyak jualan yang boleh dilakukan. Ini bermakna lebih banyak komisen yang akan diperolehi.

Boleh kaya sampai jutawan ke hanya dengan menjadi Internet Marketer ?

Mengapa tidak ? Ada 2 faktor yang membolehkan ia berlaku :

1. Produk dan perkhidmatan antarabangsa selalunya diperdagangkan dalam USD. Bererti komisen yang diperolehi juga adalah dalam US Dollar!

2. Internet Marketer boleh dilakukan secara serentak dalam masa yang sama untuk pelbagai produk dan perkhidmatan. Hanya dengan kemahiran yang sama, kita boleh promosikan ratusan (ribuan) produk orang lain untuk mendapatkan komisen sebanyak-banyaknya.

Mengapa Tidak Menjual Produk Sendiri ?

Ini adalah tahap kedua.  Setelah memahami konsep, selok belok pemasaran internet, seseorang pemasar internet akan beralih pula fokus untuk menghasilkan produk sendiri. Mungkin telah bosan dengan menjual produk orang lain, menjual produk sendiri lebih memberi kepuasan diri dan sudah tentunya memberi lebih banyak keuntungan.

Kebanyakan internet marketer akan mencuba produk digital atau produk virtual yang bersifat tidak perlu menyimpan stok, tiada kos operasi, tiada cost of good sold, tiada modal yang besar dan memberikan margin untung yang lebih. Perniagaan seperti menjual ebook, menjual sistem, menghasilkan portal iklan dan sebagainya menjadi pilihan.

Disini, kita boleh lihat perubahan dari seorang pemasar internet menjadi perniagaan internet.  Ia telah beralih dari hanya mempromosikan dan menjadi pemasar sahaja menjadi sebuah perniagaan dan wujud ‘kedai’ di internet.

Anda bayangkan betapa nikmatnya memiliki produk sendiri apabila anda pula boleh menciptakan program jana duit seperti affiliate program supaya internet marketer yang lain pula mempromosikan produk anda. Sebelum ini anda yang bersusah-payah menjana duit dengan mempromosikan produk orang lain, sekarang semua sudah berubah.

Ada berada di posisi yang lebih baik!

Apabila anda pernah menjadi internet marketer untuk produk orang lain, akan menjadi satu kelebihan kepada anda. Anda akan lebih bijak dalam menentukan pelan pemasaran untuk produk anda sendiri. Selain itu anda akan lebih rasai keperitan yang ditanggung oleh internet marketer. Oleh itu anda akan bersikap lebih adil apabila memberi komisen, lebih menjaga mereka dan memberikan perhatian kepada feedback dan pandangan mereka.

Mampukah  Perniagaan Internet Berjaya Tanpa Pemasar Internet ?

Jawapannya boleh.  Tetapi tahap kejayaan tidak mungkin mencapai tahap kejayaan setinggi apabila dibantu pemasar internet.

Saya hentikan disini dahulu. Memandangkan pangkalnya telah dihuraikan, mungkin ada masa nanti akan saya sambungkan untuk penghujungnya pula…

p/s : Anda tahu tak jawapan soalan Nujum Pak Belalang di atas ? :)